PENDAHULUAN

Kategori A:   Buku

PANEL PENILAI menerima tiga buah buku kumpulan drama seperti yang berikut:

  1. Dunia Belum Kiamat (Hatta Azad Khan)
  2. Libau Rentap; Bukan Penyerahan (Jais Sahok)
  3. 3 Naskhah Teater (Senibayan)

Penilaian:

  1. 1. Dunia Belum Kiamat

Kumpulan drama ini memuatkan lima buah skrip drama pentas seperti yang berikut:

a)    “Awang”

b)    “Anak Korporat”

c)    “Dunia Belum Kiamat”

d)    “Cermin Tipu Daya”

e)    “Puteri Gunung Ledang”

Untuk melayakkan sesebuah kumpulan drama diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi Kategori A (Buku), sekurang-kurangnya dua pertiga daripada skrip yang terkandung di dalamnya mestilah baru ditulis, tersiar dalam majalah atau dipentaskan tidak lebih daripada 10 tahun dari tahun penilaian. Mengikut catatan penulisnya sendiri, empat daripada lima skrip drama di atas pernah tersiar di dalam majalah atau pernah dipentaskan pada awal dekad 80-an, iaitu sudah melebihi 20 tahun usianya. Hanya skrip “Cermin Tipu Daya” belum pernah dipentaskan atau tersiar di mana-mana penerbitan.

Justeru, kumpulan drama Dunia Belum Kiamat didapati tidak layak untuk dipertimbangkan bagi HSPM Genre Drama Pentas Kategori A (Buku).

  1. Libau Rentap; Bukan Penyerahan

Kumpulan drama ini memuatkan 15 buah skrip drama pentas seperti yang berikut:

1)    “Bukit Lanjak”

2)    “Mendung Berlalu”

3)    “Lambaian Horizon”

4)    “Persimpangan”

5)    “Bukan Penyerahan”

6)    “Kenyalang”

7)    “Penghujungnya”

8)    “Jangan Biarkan Mereka Mati”

9)    “Hemodialisis”

10) “Engkabang”

11) “Cinta”

12) “Kembali”

13) “Libau Rentap”

14) “Oh Mama, Saya Mahu Kahwin”

15) “Anugerah”

16) “Munajat di Pusara”

Berdasarkan catatan penulisnya juga, kesemua skrip yang termuat di dalam kumpulan drama ini telah ditulis/tersiar dalam penerbitan lain atau dipentaskan dari tahun 1989 hingga 2005. Daripada 15 naskhah tersebut, hanya dua buah sahaja yang dipentaskan dalam tempoh 10 tahun ke belakang, iaitu “Persimpangan” (2004) dan “Mendung Berlalu” (2005). Sementara 6 judul pula pernah terbit dalam antologi drama yang lain, dari tahun 1992 hingga 2001. Jumlah skrip yang boleh dipertimbangkan didapati tidak memenuhi syarat dua pertiga yang ditetapkan untuk melayakkan kumpulan drama yang dinilai diberikan HSPM Genre Drama Kategori A: (Buku).

  1. 3 Naskhah Teater

Kumpulan drama ini mengandungi tiga buah drama pentas seperti yang berikut:

1)    “Nisya Khalid” (monodrama)

2)    “Ulek Banda” (drama pendek)

3)    “Chainarong” (dekon)

Ketiga-tiga drama di dalam kumpulan yang dinilai merupakan subgenre yang agak popular dalam kalangan penulis dan aktivis teater kontemporari, khususnya di institusi pengajian tinggi. Monodrama, drama pendek dan dekon ini jika dipentaskan akan berdurasi sekitar 15 – 20 minit sahaja dan jika mahu dibandingkan dengan drama sebabak (45 – 75 minit) atau drama panjang (75 – 90 minit) tentulah kemantapannya dari segi struktur dramatik (plot), watak dan perwatakan tidak cukup meyakinkan kerana perkembangannya terhad. Jika ketiga-tiga naskhah tersebut dibandingkan dengan naskhah lain dari sub-genre yang sama, mungkin karya berkenaan didapati lebih baik, berdasarkan hadiah-hadiah yang pernah dimenangi. Namun untuk dicadangkan sebagai penerima HSPM Genre Drama Kategori A: (Buku) difikirkan tidak begitu wajar.

Kategori B (Eceran)

Panel Penilai menerima 15 naskhah drama bagi Kategori B (Eceran). Bagi kategori ini, drama mestilah sama ada sudah dipentaskan atau diterbitkan dalam mana-mana majalah atau jurnal dalam tahun penilaian. Drama-drama tersebut adalah seperti yang berikut:

1)    “Pintu Syaghir” (Dewan Sastera)

2)    “Firasat Caesar” (Dewan Sastera)

3)    “Bulan Belum Kelam” (Dewan Sastera)

4)    “Telemong” (Dewan Sastera)

5)    “Samara Gita Gangga Negara” (Dewan Sastera)

6)    “Kau Bawa ke Mana Hatiku Bulan?”(Dewan Sastera)

7)    “Siasat Pak Pandir” (Pentas)

8)    “Monodrama Bola Plastik Belang Merah”

9)    “Anarki Seorang Perempuan” (Dewan Sastera)

10) “Lungun” (Dewan Sastera)

11) “Sesudah Subuh”*

12) “Rama-rama”

13) “Ring… Ring… Ring…”

14) “Selawat Ibu Selepas isyak”*

15) “Nisya Khaleed”

Daripada senarai di atas, 9 daripadanya (dinyatakan di dalam tanda kurung) pernah disiarkan di dalam majalah, sementara naskhah selebihnya pernah dipentaskan. Skrip “Nisya Khaleed” sudah termuat di dalam kumpulan 3 Naskhah Teater yang dinilai untuk Kategori A: (Buku) kerana itu ia terkeluar dari penilaian untuk Kategori B (Eceran).

PENILAIAN

Terdapat kecenderungan dalam kalangan penulis drama kini menghasilkan monodrama, drama pendek dan dekon. Bagi tujuan atau matlamat pementasan khusus, tiada masalahnya naskhah-naskhah seperti ini. Bagaimanapun, atas sifatnya yang pendek itu, kebanyakan drama dalam kategori ini tidak memperlihatkan pembangunan idea yang mantap, dengan struktur dramatik yang tersusun kemas – membina krisis dan konflik yang benar-benar meyakinkan dan bertenaga. Apabila sebahagian besar drama juga tidak jelas genrenya, maka pembinaan cerita seperti tidak terarah dan tanpa kawalan.

Terdapat drama sebabak yang hampir sempurna, tetapi kurang jelas dari segi pembinaan dan pengembangan watak. Antara protagonis dengan antagonis tidak dapat dipastikan. Sehubungan dengan itu, konflik tidak terbentuk kerana punca krisis tidak bertolak daripada pergelutan antara watak utama untuk memperjuangkan matlamat salah seorang daripada mereka. Apabila konflik tidak terbina sebagaimana yang sepatutnya, maka klimaks cerita juga tidak jelas dan drama seperti tiada peleraian. Hasilnya, karya berkenaan lebih terkesan sebagai sebuah sketsa semata-mata dan tidak boleh dikategorikan sebagai sebuah drama.

Tidak dinafikan, sebahagian daripada drama dalam kategori eceran ini memperlihatkan idea yang asli dan menarik serta berpotensi sebagai sebuah pementasan yang baik. Ada karya yang memaparkan isu dan persoalan-persoalan yang jarang disentuh oleh penulis sebelum ini. Bagaimanapun, agak dikesali kerana idea asli ini tidak dikembangkan mengikut standard penulisan skrip yang sewajarnya. Suatu hal lagi yang perlu ditekankan, sebahagian besar penulis gagal mengambil kira bahawa naskhah drama itu memiliki sifat yang unik, sebagai karya sastera dan juga teks untuk pementasan. Terdapat skrip yang terlalu “mewah” dengan kata-kata atau dialog, tanpa memberikan tumpuan kepada aspek teaterikal, melalui “bahasa” yang khusus (bahasa teater). Sebaliknya ada pula naskhah yang terlalu cenderung untuk bercerita melalui aksi semata-mata, sehingga aspek kesusasteraannya terlalu tipis.

Panel berpendapat, hanya sebuah drama memperlihatkan idea dan pemikiran yang menarik dan boleh dipertimbangkan untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia Genre Drama Kategori B (Eceran). Drama tersebut ialah “Bulan Belum Kelam”.

“Bulan Belum Kelam”

A.     Kekuatan kesatuan organik karya:

Genre drama ini jelas, iaitu tragedi. Protagonis drama ini ialah Mira dengan kelemahan utamanya mudah terpengaruh. Disebabkan kelemahan ini, maka pembaca/audien akan rasa bimbang dan kasihan terhadap watak Mira. Protagonis terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis sepanjang drama, antaranya tekanan dan desakan oleh Ti, bersubahat membunuh Karim dan Jali, dituduh mengadakan hubungan sulit dengan Karim dan diancam bunuh oleh Ti. Kemuncak krisis watak ini ialah penyesalan terlampau sehingga bersedia menyerah diri kepada polis. Namun, akhirnya watak ini bebas daripada segala kekusutan dan segala kebimbangan dan rasa kasihan pembaca/audien terhadap Mira terlerai apabila kedua-dua watak Jali dan Karim tidak mati.

Plot drama ini amat menarik berbanding naskhah  yang lain kerana drama ini mengemukakan beberapa unsur suspen dan ‘plot twist’. Elemen suspen dan ‘plot twist’ ini adalah penyumbang kepada rasa bimbang dan kasihan pembaca/audien terhadap watak Mira, antaranya;

1)        Desakan Ti terhadap Mira untuk menentang suaminya Jali;

2)        Lelaki pertama yang dibunuh adalah Karim dan bukannya Jali;

3)        Mira dituduh oleh Ti mengadakan hubungan sulit dengan Karim;

4)        Percubaan Ti membunuh Mira;

5)       Kedua-dua watak Mira dan Ti mula bercakap menggunakan Bahasa Indonesia;

6)        Karim muncul untuk pulangkan dompet Jali;

7)        Jali keluar dari bilik.

Unsur suspen ini menyebabkan timbulnya pelbagai persoalan dan mendorong bacaan sehingga ke akhir plot. Khalayak seperti tidak dapat menjangka apa yang akan belaku selepas sesuatu situasi dan momentum ini meningkatkan keinginan khalayak mengikuti cerita hingga ke tahap klimaks serta peleraiannya.

Selain itu, skrip ini juga ditampilkan dalam format penulisan drama yang standard (dialog, arahan pentas, pengenalan watak dan deskripsi adegan/babak), dengan senarai watak dan perwatakan (merangkumi deskripsi watak seperti umur dan hubungan watak yang dihurai dengan watak yang lain); suasana, latar tempat dan masa; menghadirkan arahan pentas yang jelas; dan dihasilkan dengan bahasa yang ringkas serta realistik sebagai bahasa bacaan (sastera) mahupun pengucapan pentas.

Drama ini juga memuatkan aspek teaterikal yang menarik dari segi kostum, aksi dan pencahayaan. Penulis dengan sedar memilih pakaian watak selari dengan sifat dan psikologi watak. Aspek ini digarapkan melalui warna dan fesyen pakaian yang dikenakan oleh watak. Misalnya, keberanian dan keinginan untuk menikmati kebebasan dari segala bentuk kongkongan (suami, tradisi, agama dan kemiskinan) yang dirasakan oleh watak Ti, diindikasi oleh pakaian yang dikenakan oleh watak ini. Ti menggunakan pakaian moden (skirt, blaus dan selendang) berwarna merah dan berfesyen moden. Manakala watak Mira yang sabar, akur pada perintah suami, kuat pegangan agama dan akar umbi budaya, berpakaian Kemaja-T, kain batik dan serkup kepala. Kemeja-T yang dikenakan adalah elemen moden atau kesediaan untuk maju, manakala kain batik melambangkan nilai tradisi, serta serkup kepala di rumah adalah nilai keagamaan yang dipegang oleh watak ini.

Drama ini juga banyak mengemukakan komunikasi visual dari segi aksi. Antara aksi yang terkandung dalam drama ini ialah ketika watak Mira memeluk badan dan kemudian mundar-mandir ketika Ti mendesaknya untuk bekerja (DS April 2013 hlm. 80). Aksi ini memberi indikasi bahawa watak Mira mungkin mengandung. Selain itu, aksi Ti (DS April 2013 hlm. 82) ingin membunuh Mira: (Ti bergerak ke belakang Mira, dia meletakkan tangan di bahu Mira); (Ti memandang Mira dengan pandangan menakutkan. Kebencian dan kemarahan berbaur. Perlahan-lahan tangannya naik ke leher Mira.); (Ti terkedu mendengar kata-kata Mira. Tangannya dijarakkan dari leher Mira, diletak semula dan dijarakkan lagi….).

Selain itu, drama ini juga memuatkan aspek teaterikal yang menarik dari segi pencahayaan yang disarankan. Berdasarkan suasana drama ini, sebahagian daripada aksi drama ini berlaku dalam suasana gelap, apabila bekalan elektrik terputus. Dalam konteks pementasan sebenar, pelakon harus beraksi seperti dalam kegelapan melalui pencahayaan pentas. Hal ini adalah ‘reversal of the actual’ dalam lakonan dan aspek ini akan mencabar pengarah serta pelakon untuk mengekalkan aksi dalam suasana gelap. Aspek-aspek yang dibincangkan dalam bahagian ini menjadikan drama ini kaya dengan elemen visual pentas atau teaterikalnya.

B.     Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang

Persoalan drama ini ialah keinginan seorang gadis daripada latar belakang keluarga susah, merantau untuk mencari kesenangan hidup di negara orang, namun keperitan hidup terus mencengkam dirinya. Protagonis yang mudah terpengaruh berhadapan dengan situasi menggadaikan segala didikan agama dan keluarga untuk membebaskan diri daripada cengkaman kehidupan yang terus perit  menghimpit.

Persoalan drama ini juga kuat kerana memperkatakan tentang kesenangan yang tidak berlandaskan ajaran agama tidak mungkin memberikan kebahagiaan yang sebenar serta kekal. Selain itu, naskhah ini juga menarik kerana mengangkat wanita sebagai protagonisnya.

C.     Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan.

Bahasa yang digunakan dalam drama ini ringkas, padat dan jelas, tidak mengelirukan pembaca. Terdapat tiga fungsi bahasa dalam naskhah ini;

1)     bahasa sebagai dialog antara watak;

2)     bahasa arahan pentas; dan

3)     huraian penulis tentang skrip.

Bahasa arahan pentas dan huraian penulis tentang skrip tidak memperlihatkan nilai estetika. Hal ini disebabkan kedua-dua bentuk bahasa ini berfungsi sebagai penerangan kepada pembaca yang kadang-kadang bersifat teknikal. Bahasa yang digunakan dalam bahagian ini bertujuan menerangkan keperluan pementasan skrip berkenaan.

Nilai estetika dalam bahasa lebih terlihat pada dialog watak, kerana kata-kata ini yang berfungsi sebagai bahasa pengucapan pentas semasa pementasan. Secara umum, bahasa yang digunakan dalam drama ini disesuaikan dengan latar sosial dan konteks zaman yang mendasari watak-watak yang dipaparkan dalam skrip. Bahasa Indonesia misalnya digunakan antara watak Mira dengan watak Ti setelah kedua-dua suami mereka (Karim dan Jali) dibunuh (DS April 2013, hlm. 80). Drama ini juga turut memuatkan bahasa indah seperti, “cucuk jarum mesti berhati-hati”; “melukut tepi gantang”, (hlm. 73); “masuk separuh senja”, “kurus keding” (hlm. 74); “Jadi burung dalam sangkar emas…”; “macam kotoran di kain tak pun macam daki di badan lelaki. Sekali jirus dengan air jatuh… hancur… tak berharga” (hlm. 74 Mac 2013). “masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek” (hlm. 79, April 2013); “Kucing mana melepaskan ikan dari mulutnya?” (hlm. 81, April 2013); “mengalas dosa di bahu” (hlm. 82, April 2013).

Selain penggunaan bahasa yang indah pemilihan perkataan dalam naskah ini juga turut memiliki nilai simbolisme yang tinggi. Antaranya ialah nama latar tempat drama ini, Bulan Kelam- sebuah kampong setinggin yang daif dan mundur. Penghuninya tiada harapan untuk melepaskan diri daripada kongkongan kesusahan, kemiskinan dan kemunduran. Bulan adalah sinomin dengan malam. Lazimnya bulan ialah sumber cahaya pada waktu malam, namun bulan yang diharapkan itu kelam dan tiada guna kehadirannya. Hal ini dapat dikaitkan dengan harapan Mira mencari pekerjaan di Malaysia untuk membantu keluarganya yang hidup susah di Indonesia, namun kehidupannya di Malaysia tidak banyak berubah daripada keadaannya di kampung kerana suaminya tidak membenarkannya bekerja serta turut menderanya (kesan lebam kerana dipukul). Hidupnya tetap dibelenggu kepayahan, kemiskinan dan kedaifan.

Manakala, nama latar lokasi yang disebut dalam drama ini – Flat Mentari Suram – kediaman baru watak Ti sebenarnya menggambarkan kehidupan watak-watak di lokasi tersebut. Flat kos rendah tersebut adalah antara peluang golongan setinggan menikmati kediaman yang lebih sempurna dan moden. Walaupun flat tersebut lebih mewah berbanding rumah setinggan di kampung Bulan Kelam, namun realitinya kehidupan penghuni Flat Mentari Suram masih belum bebas daripada kemiskinan dan suasana tidak selesa secara total. Perkara ini dapat digarap daripada dialog Mira pada halaman 73.

MIRA:   Bang Jali kata kak, antara Kampung Bulan Kelam ni dengan flat   Mentari Suram, sama saja kak. Sini sampah sana pun sampah.          Sama-sama busuk, hanyir … entahlah.

MIRA:   Bang Jali kata, tinggal di bawah ni dia rasa berhakl. Tinggal di atas           macam kehilangan. Mungkin betul juga, di sini ada tanah nak pijak.             Di atas ….

Watak Ti inginkan kesenangan dan kemewahan yang belum pasti. Ia adalah cita-cita dan impian yang dikejar oleh watak Ti yang dapat dikaitkan dengan kehidupan di flat, watak Ti rasa besar apabila berada di atas, pada hakikatnya dia tetap dibelengu oleh kehidupan yang susah (DS, Mac 2013 hlm. 73). Kaitan nama flat dengan kehidupan penghuninya adalah sinonim. Matahari adalah harapan dan cita-cita watak Ti untuk hidup senang. Matahari hanya timbul pada waktu siang, waktu di mana segala kehidupan berusaha untuk meneruskan kehidupan. Namun mentari yang diharapkan sebagai sumber utama kehidupan, suram. Lantas kesuraman tersebut tidak mungkin dapat membantu kehidupan baik yang diangankan oleh watak Ti.

D.     Keindahan moral

Drama ini mengajak untuk sentiasa meletakkan ajaran agama sebagai landasan dalam mengejar cita-cita dan kesenangan. Selain itu, drama ini juga menekankan bahawa wang ringgit tidak dapat menggantikan rasa berdosa.

E.     Inovasi dan kreativiti

Dari segi penulisan, drama ini memaparkan inovasi dan kreativiti dari segi;

1)     unsur suspen dalam plot;

2)     teknik pencahayaan yang disarankan;

3)     perwatakan, terutamanya Mira yang ‘fragile’ tetapi menjadi berani pada penghujungnya.

Dengan mengambil kira semua aspek yang diperincikan, maka drama ini dinilai sebagai sebuah karya sastera yang mantap dan juga teks pementasan yang berpotensi.

Keputusan:

Berdasarkan penilaian yang dilakukan di atas, Panel Penilai HSPM 2013 bagi Genre Drama membuat keputusan seperti berikut:

Pemenang:

Kategori A (Buku):

Tiada Pemenang.

Kategori B (Eceran)

“Bulan Belum Kelam” (Dewan Sastera, Mac-April 2013)

Panel Penilai:

Prof. Dr. Solehah Ishak

Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah

Zakaria Ariffin

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks