Pendahuluan

BAGI HSPM 2013, karya-karya yang dinilai bagi kategori buku kajian sastera, kumpulan esei/kritikan dan buku biografi/autobiografi diterbitkan oleh pelbagai badan penerbitan. Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur paling banyak mengemukakan karya untuk dinilai, dan selebihnya diterima daripada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) & PENA, Penerbit Universiti Sains Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Penerbit Universiti Malaya, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, Penerbit Universiti Malaysia Sabah, Pelima Media Sdn. Bhd., dan Penerbit Mentari. Bagi Kategori Esei/Kritikan Eceran, karya-karya yang dinilai tersiar dalam akhbar Utusan Borneo dan akhbar Harakah, majalah Dewan Sastera, Jurnal Pemikir, Jurnal Bahasa, Wadah, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Jendela Sarawak, Tunas Cipta, dan beberapa buku kumpulan esei dan kritikan. Secara keseluruhan, panel penilai menerima sebanyak 13 buah karya bagi Kategori Buku Kajian Sastera, 10 buah Kumpulan Esei/Kritikan, 5 buah buku bagi Kategori Autobiografi/Biografi, dan sejumlah 263 buah esei bagi Kategori Esei/Kritikan Eceran. Kesemua karya ini dinilai dan kemudiannya disenaraipendekkan bagi tujuan penilaian akhir.

Kriteria Penilaian

Penilaian dilakukan berpandukan skop dan kriteria yang berikut:

  1. Keaslian idea dan penemuan baharu yang diperolehi melalui pentafsiran semula, atau pengemukaan fakta baru.
  2. Penghujahan dan analisis kritis melalui komposisi ilmiah yang lengkap.

iii. Pemanfaatan teori/pendekatan/konsep kritikan yang relevan untuk tujuan penulisan ilmiah.

iv. Kesahihan dan kerincian fakta serta huraian yang dapat mendokong idea dan penghujahan.

Penilaian Keseluruhan

Berdasarkan kepada karya-karya yang disenaraipendekkan, panel penilai mengenal pasti beberapa kecenderungan yang jelas. Antaranya, jumlah penyenaraian karya yang agak seimbang dalam setiap kategori. Rata-rata kategori diisi dengan jumlah senarai pendek yang mencukupi untuk penilaian akhir. Seperkara yang jelas kelihatan daripada senarai pendek ini ialah rangkuman penglibatan antara para penulis, pengkaji, pengkritik dan sarjana sastera yang sudah sedia mapan, bersama dengan nama-nama baharu. Kategori kumpulan esei dan kritikan sastera umpamanya, memperlihatkan penguasaan pengkaji, pengkritik dan sarjana yang sudah sedia mengukir nama dalam bidang kesarjanaan sastera Melayu. Manakala, kategori buku kajian sastera pula menyaksikan dominasi sepenuhnya para pengkaji dan sarjana baharu. Ini menjelaskan soal sebahagian besar buku kajian sastera yang sampai ke penilaian akhir yang merupakan tesis yang diusahakan bagi memperolehi ijazah, terutamanya pada peringkat kedoktoran.

Begitu juga halnya dengan senarai akhir bagi kategori buku autobiografi dan biografi yang turut didominasi oleh nama-nama baharu. Manakala, kategori esei/kritikan eceran pula memperlihatkan penglibatan yang seimbang antara nama-nama yang sudah sedia mapan dan baharu.

Panel berpendapat bahawa penglibatan antara para penulis dan pengkaji yang sudah sedia mapan dan baharu ini signifikan untuk dibangkitkan, kerana berkait rapat dengan topik-topik yang menjadi fokus kajian dan perbincangan. Kesignifikanan ini jelas dalam kategori esei/kritikan eceran apabila terdapat para penulis muda yang berani memanfaatkan pemikiran penting dalam tradisi keilmuan dunia. Umpamanya, soal keterikatan dan kebertanggungjawab manusia, konsep “persuratan” yang dibezakan daripada kesusasteraan, tasawur Islam yang berteraskan Tauhid dan pembezaannya dengan konsep tragedi yang menunjangi pandangan alam Barat. Dalam tulisan para penulis muda ini, jelas sekali bahawa pemanfaatan konsep-konsep ini memungkinkan lahirnya pemahaman dan kesimpulan yang segar serta baharu, meskipun pada persoalan atau isu yang sudah kerap kali dibincangkan. Pemanfaatan pemikiran serta konsep ini turut memberikan gambaran tentang tahap bacaan dan sumber rujukan para penulis dan pengkaji yang semakin luas dan tidak terbatas. Meskipun pencapaian ini hanya diperlihatkan dalam sejumlah kecil karya esei/kritikan eceran, namun cukup memberikan harapan terhadap penerbitan lebih banyak karya yang dapat membicarakan persoalan serta isu dalam kesusasteraan Melayu secara kritis dan bertenaga.

Secara amnya, karya-karya ilmiah yang dinilai pada peringkat akhir ini didapati cenderung meneroka topik-topik berkaitan ideologi, teori dan pendekatan sastera sama ada cetusan para sarjana tempatan, mahupun antarabangsa. Penerokaan topik-topik ini rata-rata bertujuan menerapkan ideologi, teori serta pendekatan sastera tertentu dalam pengkajian, analisis serta bacaan terhadap karya-karya sastera Melayu. Ini menjadikan penerokaan topik-topik itu lebih bersifat aplikasi, dan bukannya perbahasan kritis tentang ideologi, teori dan pendekatan sastera itu sendiri. Bagaimanapun, kebanyakan ideologi, teori dan pendekatan sastera yang diterapkan itu merupakan idea dan pemikiran yang bukan baharu, dan dengan itu sebenarnya menuntut kepada perbincangan yang lebih kritis bagi mewajarkan penerapannya. Dalam konteks ini, rata-rata karya dan tulisan ilmiah yang dinilai memperlihatkan tahap analisis yang bersifat deskriptif, dan bukannya argumentatif. Berkaitan itu juga, sebahagian besar kajian ilmiah yang dinilai didapati sarat dengan sumber-sumber rujukan yang diturunkan tanpa kesedaran yang jelas untuk membangunkan hujah. Ketiadaan konsep “membangunkan hujah” ini dianggap melemahkan sebahagian besar kajian dan tulisan ilmiah yang dinilai pada peringkat akhir.

Dalam konteks kecenderungan mengaplikasi ideologi, teori serta pendekatan sastera tertentu ini, terdapat kajian dan tulisan ilmiah yang tidak memperlihatkan kepekaan yang jelas dan terlepas pandang soal tradisi serta pandangan alam yang melingkungi karya-karya sastera Melayu yang dikaji. Seperkara lain yang penting dibangkitkan ialah kelemahan aspek bahasa terutamanya penggunaan gaya bahasa bombastik yang mencacatkan penulisan sesebuah karya ilmiah.

Aspek positif dapat dikesan melalui keberanian para pengkaji dan penulis dalam meneroka genre-genre sastera yang pelbagai. Kajian dan tulisan yang dinilai rata-rata meneliti pelbagai genre sastera daripada khazanah sastera tradisional seperti cerita rakyat, cerita lipur lara, hikayat dan syair, sehinggalah sastera moden seperti novel, cerpen, sajak, teater dan filem. Dalam konteks keluasan genre-genre kajian ini, terdapat beberapa kajian dan tulisan yang bersifat “silang genre” dengan mengkaji serta membandingkan genre-genre tertentu, selain meneliti aspek transformasi genre itu sendiri.

Secara keseluruhannya, panel penilai berpendapat rata-rata kajian dan tulisan ilmiah yang dinilai mempamerkan mutu yang sederhana. Kesederhanaan ini disebabkan oleh tiadanya keaslian idea yang substanstif dan penemuan baharu yang diperolehi melalui pentafsiran semula, atau pengemukaan fakta baru secara sistematik. Sehubungan itu juga, satu kelemahan yang ketara ialah tiadanya fokus yang jelas dan penghujahan kritis yang dibangunkan melalui komposisi ilmiah yang lengkap dan teratur. Selain itu, pemanfaatan ideologi, teori dan pendekatan sastera juga hanya berlegar pada tahap aplikasi, dan justeru menjadikan sebahagian besar kajian dan tulisan ilmiah yang dinilai itu deskriptif sifatnya.

Kategori: Kajian Sastera

Bagi kategori ini, sebanyak 13 karya diterima untuk penilaian awal. Daripada jumlah ini, sebanyak tiga karya disenarai pendek untuk penilaian akhir, iaitu:

  1. Komunikasi Dua Hala Terancang Satu Aplikasi dalam Penyampaian Cerita Rakyat oleh Roslina Abu Bakar (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2013).
  2. Silang Seni Siti Zainon Ismail oleh Sakinah Abu Bakar (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2013).

iii. Cerpen dan Perpaduan Nasional oleh Chew Fong Peng (Penerbit Universiti Malaya, 2013).

Ulasan Penghakiman

Komunikasi Dua Hala Terancang Satu Aplikasi dalam Penyampaian Cerita Rakyat oleh Roslina Abu Bakar (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2013)

Buku kajian ini mengutarakan sebuah model yang baharu dibangunkan dan dinamakan “Model R. Lina: Komunikasi Dua Hala Terancang” yang diguna pakai bagi menganalisis cerita-cerita rakyat Melayu. Pengutaraan model ini dilakukan dengan menggabungkan beberapa model sedia ada cetusan sarjana Barat dalam bidang komunikasi seperti Tindak Balas oleh McAuley, Interaksional oleh Max Weber dan Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner. Dengan mengguna pakai model yang baharu dibangunkan itu, buku ini mengkaji cerita-cerita rakyat yang diperolehi daripada seorang responden di Johor. Sumbangan buku ini terletak pada usahanya dalam memperkayakan korpus penyelidikan tentang sastera rakyat. Walau bagaimanapun, beberapa aspek kajian ini mengundang persoalan. Antaranya, aspek kemantapan model yang dibangunkan, selain aspek pemerolehan sumber kajian daripada responden yang menjadi satu-satunya nara sumber dalam penyelidikan ini. Kajian ini juga sarat dengan sumber rujukan terutamanya dalam menyoroti kajian-kajian sedia ada, tetapi sumber-sumber ini tidak diorganisasikan secara berkesan sehingga melemahkan fokus pengkajian. Aspek-aspek berkenaan dianggap menjejaskan kemantapan buku ini sebagai sebuah karya ilmiah.

Silang Seni Siti Zainon Ismail oleh Sakinah Abu Bakar (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2013)

Pada dasarnya, buku ini membicarakan soal pengaruh dalam pengalaman seni dan estetika, khususnya pengaruh seni tampak dan puisi yang dianggap saling bersilang. Dalam konteks ini, kajian ini mengemukakan ketokohan Siti Zainon Ismail sebagai penyair yang memiliki bakat yang merentasi kedua-dua cabang seni dan sastera. Sumbangan buku ini terletak pada subjek yang diperkatakan iaitu pengaruh antara seni tampak dengan seni puisi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa aspek yang dianggap menjejaskan penulisan buku ini. Antaranya, kurang ketelitian dalam pengemaskinian data serta sumber rujukan berkaitan subjek yang diperkatakan, selain analisis bahan-bahan kajian yang bersifat deskriptif. Kedua-dua aspek berkenaan dianggap telah menjadikan buku ini sebagai sebuah karya ilmiah yang sederhana.

Cerpen dan Perpaduan Nasional oleh Chew Fong Peng (Penerbit Universiti Malaya, 2013)

Buku ini membincangkan tentang peranan cerpen sebagai medium perpaduan nasional dan integrasi kaum, dan mengangkat peranan para penulis cerpen sebagai agen perpaduan nasional di negara berbilang kaum seperti Malaysia. Kajian ini memanfaatkan teori Barat seperti Teori Weiner dan Teori G. Lukacs bagi menghuraikan soal integrasi nasional dan sastera sebagai cerminan masyarakat. Berdasarkan kedua-dua teori ini, kajian ini menganalisis 83 cerpen Melayu yang bertemakan perpaduan nasional. Kajian ini dianggap telah memberikan sumbangannya yang tersendiri, terutamanya dalam memperkayakan lagi korpus tentang sastera dan perpaduan nasional. Bagaimanapun, memandang isu ini bukan satu isu yang baharu, maka perbahasan mengenainya menuntut kepada pemanfaatan perspektif atau sekurang-kurangnya bahan-bahan penelitian baharu. Dalam konteks berkaitan, kajian ini memperlihatkan kelemahan kerana cerpen-cerpen yang dimanfaatkan sebagai bahan kajian diterbitkan antara tahun 1970-an hingga 1990-an. Ini menyebabkan isu-isu yang terserlah daripada cerpen-cerpen yang dikaji itu rata-rata merupakan isu-isu yang dianggap tidak bersifat semasa. Selain itu, penggunaan sumber rujukan yang terbatas, dan analisis bahan-bahan kajian yang bersifat deskriptif dianggap melemahkan mutu kajian ini. Suntingan bahasa juga tidak rapi, dan hal ini secara keseluruhannya dianggap menjejaskan kelancaran perbincangan.

Keputusan Kategori Buku Kajian Sastera

Setelah menimbangkan secara terperinci aspek-aspek di atas, panel bersetuju untuk tidak memberikan sebarang hadiah bagi kategori ini.

Tiada Pemenang.

Kategori A: Kumpulan Esei dan Kritikan Sastera

Bagi kategori kumpulan esei dan kritikan, sebanyak 10 karya diterima untuk penilaian awal. Daripada jumlah ini, sebanyak tiga karya telah disenarai pendek untuk penilaian akhir, iaitu:

  1. Berdiri di Akar Diri oleh Mana Sikana (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & PENA, 2013)
  2. Penulis dan Penulisan oleh Talib Samat (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & PENA, 2013)

iii. Teater Filem dan Pengurusan Seni oleh Hatta Azad Khan (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2013)

Ulasan Penghakiman

Berdiri di Akar Diri oleh Mana Sikana (ITBM & PENA, 2013)

Buku ini mengandungi kompilasi 19 buah esei yang terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi 9 esei yang diberikan subjudul “Wacana Teori Sastera”, dan  mengandungi huraian tentang beberapa teori sastera tempatan, seperti teori estetika, teori konseptual kata kunci, teori sastera autobiografi, teori teksdealisme dan teori sastera Islam. Selain itu, terdapat juga perbincangan tentang teori sastera global dan teori sastera Tun Sri Lanang. Bahagian kedua pula mengandungi 10 esei di bawah subjudul “Analisis Kritikan Sastera”. Bahagian ini membincangkan beberapa karya nukilan para sasterawan Melayu, seperti Masuri S.N., Abdullah Sidek, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh dan Zurinah Hassan. Dalam perbincangan ini, panel berpendapat bahawa tidak banyak idea dan isu baharu yang dikemukakan, selain ada kecenderungan dalam mengulang kembali perkara yang sudah sedia dibicarakan dalam tulisan-tulisan lain. Selain itu, panel berpendapat perbincangan dalam buku ini rata-rata tidak mendalam dan lebih berupa lontaran fakta, istilah atau “teori” tertentu yang tidak didukung oleh penghuraian atau perbahasan yang mendalam dan kritis. Ini umpamanya jelas dalam pengutaraan apa yang diungkapkan sebagai “Teori Sastera Tun Sri Lanang”. Selain itu, aspek laras bahasa juga dianggap melemahkan penulisannya sebagai sebuah karya ilmiah.

Penulis dan Penulisan oleh Talib Samat (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & PENA, 2013)

Buku ini merupakan sebuah kompilasi 13 esei yang rencam kerana membicarakan pelbagai isu dan persoalan. Terdapat esei yang membicarakan tentang kajian tokoh, karya sastera tradisional dan moden, selain isu-isu umum sekitar dunia sastera. Dalam konteks ini, kerencaman topik dianggap telah melonggarkan fokus perbincangan, iaitu satu aspek yang penting dalam penulisan dan persembahan sesebuah tulisan ilmiah. Kelemahan ini ditambahkan lagi dengan kecenderungan hanya memerikan fakta dan bahan tanpa usaha-usaha yang jelas untuk membangunkan satu penghujahan yang kritis.

Teater Filem dan Pengurusan Seni oleh Hatta Azad Khan (DBP, 2013)

Buku ini mengutarakan cetusan pemikiran, ulasan serta kupasan isu-isu teater dan filem yang bersifat kontemporari, rata-rata hasil pengamatan serta penelitian daripada seorang penggiat dan pakar yang berpengalaman dalam bidang teater dan filem. Buku mengandungi kompilasi 18 buah esei yang terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama diberikan subjudul “Teater dan Filem” mengetengahkan persoalan teater dalam filem, bahasa dalam filem, skrip drama dan produksi, sinografi dan teater generasi ketiga di Malaysia. Bahagian kedua pula diberikan subjudul “Pengurusan Seni” yang menjurus kepada persoalan praktis semasa dalam lapangan kreatif seperti pemasaran karya seni, industri budaya dan pengurusan teater. Keseluruhan esei yang dikumpulkan dalam buku ini berasaskan kertas kerja akademik yang telah dibentangkan dalam seminar serta bengkel ilmiah, dan oleh itu dianggap menampilkan perbincangan yang teliti dan substantif. Sebagai satu kumpulan esei, kelebihan buku ini terletak pada isi kandungannya yang lahir daripada penelitian mantap dalam bidang teater, filem dan pengurusan seni. Tidak kurang penting ialah cakupan bidang perbahasan yang terfokus pada subjek yang diperikan secara jelas melalui judul buku.

Keputusan Kategori Kumpulan Esei/Kritikan Sastera

Setelah berbincang secara terperinci, panel bersetuju menerima karya berikut sebagai pemenang, iaitu:

Teater Filem dan Pengurusan Seni oleh Hatta Azad Khan (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2013)

Kategori: Buku Autobiografi/Biografi

Bagi kategori ini, sebanyak lima (5) karya diterima untuk penilaian awal. Daripada jumlah itu, sebanyak dua karya telah disenarai pendek untuk penilaian akhir, iaitu:

  1. Dato’ Dr. Hassan Ahmad Cendekiawan Melayu Terulung oleh Nor Azuwan Yaakob (Penerbit Universiti Putra Malaysia, 2013).
  2. Memoir Hasrat Menyala oleh Amir Haji Hassan (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & PENA, 2013).

Ulasan Penghakiman

Dato’ Dr. Hassan Ahmad Cendekiawan Melayu Terulung oleh Nor Azuwan Yaakob (Penerbit Universiti Putra Malaysia, 2013)

Buku ini merupakan satu penulisan biografi seorang tokoh pejuang bahasa dan sastera Melayu yang tidak asing lagi di tanah air, iaitu Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad. Buku ini mengandungi 14 bab yang menyentuh rentetan sejarah, pemikiran dan kesan perjuangan Dato’ Dr. Hassan Ahmad dalam bidang bahasa, budaya, dan kelangsungan bangsa Melayu. Tidak ketinggalan sumbangan Dato’ Dr Hassan Ahmad dalam mencorakkan industri buku negara, membangunkan usaha penerbitan dan penterjemahan, terutamanya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi juga antarabangsa. Dalam konteks ini, biografi ini memberikan sumbangan terutamanya dalam merakamkan jasa seorang tokoh penting dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu. Dalam penulisan biografi ini, sebahagian besar sumber maklumat diperoleh secara langsung daripada tokoh yang dikaji. Namun, maklumat-maklumat ini tidak dicerna dan ditafsirkan secara mendalam, dan ini menyebabkan maklumat-maklumat yang diperoleh itu hanya diperikan begitu sahaja. Sungguhpun buku biografi ini ditulis secara sederhana, namun maklumat yang terkandung di dalamnya tetap berguna terutamanya dalam merakamkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan tokoh yang besar terhadap bangsanya.

Memoir Hasrat Menyala oleh Amir Haji Hassan (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & PENA, 2013)

Sebuah autobiografi nukilan Amir Haji Hassan, seorang bekas pegawai imigresen yang kaya dengan pengalaman perkhidmatannya bukan sahaja di beberapa negeri di tanah air, tetapi juga di Indonesia dan Nepal. Kisah-kisah sewaktu berkhidmat sebagai pegawai tinggi imigresen mengisi ruang memoir ini, selain cebisan rakaman pengalaman peribadi di beberapa negara seperti Singapura, Hong Kong dan Arab Saudi. Lebih signifikan, jawatan yang disandangnya ini turut memungkinkan beliau mengalami sendiri peristiwa-peristiwa yang ada kaitannya dengan suasana politik dan keselamatan negara. Kekuatan autobiografi ini terletak pada ketelitian dalam aspek pemilihan peristiwa dan pengalaman peribadi, yang diorganisasikan dalam satu alur penceritaan yang lancar. Setiap peristiwa serta pengalaman yang diceritakan dilengkapi dengan perincian yang relevan serta mencukupi, dan dicerna dengan tafsiran serta renungan yang mendalam.

Keputusan Kategori Biografi/Autobiografi

Panel sepakat bahawa karya berikut layak untuk diberikan hadiah, iaitu:

Memoir Hasrat Menyala oleh Amir Haji Hassan (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & PENA, 2013).

Kategori: Esei/Kritikan/Kajian Sastera Eceran

Bagi kategori ini, sebanyak 263 karya diterima untuk penilaian awal. Daripada jumlah itu, sebanyak 11 karya telah disenarai pendek untuk penilaian akhir. Karya-karya tersebut ialah:

  1. “Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering” oleh Nur Fatiha Fadila (Dewan Sastera, Mac 2013)
  2. “Media Elektronik Mengancam Persuratan” oleh Anwar Ridhwan (Dewan Sastera, Mei 2013)
  3. “Antara Klise dengan Silang Budaya” oleh S.M. Zakir, Tunas Cipta, April 2013.
  4. “Pembinaan Insan dan Jati Diri Melalui Karya Sastera” oleh Roslan Jomel (Tunas Cipta, Julai 2013)
  5. “Penerapan Unsur Islam dalam Karya Penulis Muda” oleh Tuah Saujana (Tunas Cipta, Mei 2013)
  6. “Folklor Melayu Retorik Bukan Pengucapan Politik” oleh Lokman Abdul Samad (Wadah, Disember 2013)
  7. “Pengarang Muda Tanggungjawab dan Cabaran Zaman” oleh Muhammad Lutfi Ishak (Dewan Sastera, Disember 2013)

viii.  “Unsur Kerohanian dalam Janjang Iktikaf: Satu Pendekatan Seni Rohani” oleh Samsina Abdul Rahman (Jalan Ke Taman: Esei-Esei Penghargaan, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013).

  1. “Hang Tuah dalam Hayat Lisan di Air dan Daratan”            oleh Muhammad Haji Salleh (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013)
  2. “Ritual dalam Lipur Lara dan Foklor Melayu: Tradisi dan Persepsi” oleh Mohamad Luthfi Abdul Rahman (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013)
  3. “Daripada Kertas Kepada Layar: Transformasi Kisah Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin kepada “Puteri Gunung Ledang” oleh Wan Hasmah Wan Teh (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013).

Keputusan Kategori: Esei/Kritikan/Kajian Sastera Eceran

Setelah menilai karya-karya yang disenaraipendekkan di atas, panel memperakukan 7 buah karya sebagai pemenang kategori ini. Karya-karya tersebut ialah:

  1. “Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering” oleh Nur Fatiha Fadila (Dewan Sastera, Mac 2013)
  2. “Media Elektronik Mengancam Persuratan” oleh Anwar Ridhwan (Dewan Sastera, Mei 2013)
  3. “Pembinaan Insan dan Jati Diri Melalui Karya Sastera” oleh Roslan Jomel (Tunas Cipta, Julai 2013)
  4. “Pengarang Muda Tanggungjawab dan Cabaran Zaman” oleh Muhammad Lutfi Ishak (Dewan Sastera, Disember 2013)
  5. “Hang Tuah dalam Hayat Lisan di Air dan Daratan”            oleh Muhammad Haji Salleh (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013)
  6. “Ritual dalam Lipur Lara dan Foklor Melayu: Tradisi dan Persepsi” oleh Mohamad Luthfi Abdul Rahman (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013)
  7. “Daripada Kertas Kepada Layar: Transformasi Kisah Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin kepada “Puteri Gunung Ledang” oleh Wan Hasmah Wan Teh (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013).

Ulasan Penghakiman

“Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam HERING” oleh Nur Fatiha Fadila (Dewan Sastera, Mac 2013)

Esei ini membincangkan tentang persoalan kuasa  dan kekuasaan dalam “Hering”, iaitu salah satu bab dalam novel Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan. Dalam membicarakan persoalan ini, esei menerapkan Teori Hegemoni Gramsci yang tertegak di atas prinsip yang memperakukan dominasi kuasa dominan yang menindas golongan pinggiran (subaltern). Prinsip ini diaplikasi dalam bacaan terhadap cerita yang mengisahkan pergelutan dominasi kuasa watak Politikus Muda yang berhadapan dengan golongan subaltern. Dengan mengaplikasikan prinsip ini, golongan subaltern dikatakan mencapai kemenangan dengan menumpaskan kuasa dominan secara intelektual. Secara keseluruhannya, kelebihan esei ini terletak pada cara penulisan dan pengolahan idea yang kemas dan teratur, meskipun sekadar satu penerapan teori tertentu untuk bacaan sebuah teks sastera.

“Media Elektronik Mengancam Persuratan” oleh Anwar Ridhwan (Dewan Sastera, Mei 2013)

Pengaruh media elektronik dalam perkembangan terkini diajukan sebagai penyebab ancaman terhadap pembangunan persuratan. Esei ini memaparkan idea dan pandangan yang jelas tentang permasalahan sikap masyarakat, khususnya sambutan golongan remaja terhadap hasil penerbitan persuratan. Media elektronik lebih mendapat perhatian dan popular. Walaupun idea ini sudah lama didebatkan, tetapi perbincangan yang menggunakan data-data dan statistik mengukuhkan penghujahan dan pembuktian. Wacana yang dibahaskan turut memuatkan perbandingan perkembangan persuratan di luar negara yang lebih dinamik. Subjek dibahaskan dan dihujah melalui pelbagai perspektif termasuk peranan penulis, penyunting, pereka bentuk, pencetak, pengedar dan pembeli buku.

“Pembinaan Insan dan Jati Diri Melalui Karya Sastera” oleh Roslan Jomel (Tunas Cipta, Julai 2013)

Sebuah esei kritis yang membicarakan persoalan pembinaan insan dan jati diri melalui karya sastera. Tulisan ini mengungkapkan idea dari sudut pandangan generasi muda secara kritis, dengan mengemukakan cadangan bagi meningkatkan pembangunan sastera kebangsaan. Dari segi penghujahannya, esei ini memperlihatkan keaslian idea, iaitu dari segi keberanian dalam mengutarakan pandangan yang kritis terhadap punca permasalahan yang diutarakan. Idea dibina melalui pemerhatian dan kesan bacaan terhadap karya sastera yang dianggap tidak mampu memikul tanggungjawab membina keperibadian insan dan jati diri golongan muda. Dengan memberikan fokus terhadap kecenderungan golongan muda, esei ini menyarankan supaya karya kreatif masa kini tidak memperkecilkan tuntutan golongan yang dahagakan karya-karya yang bermutu tinggi.

“Pengarang Muda Tanggungjawab dan Cabaran Zaman” oleh Muhammad Lutfi Ishak (Dewan Sastera, Disember 2013)

Esei ini mengupas persoalan tanggungjawab pengarang muda dalam mendepani cabaran zamannya. Dalam mengupas topik ini, esei ini memanfaatkan pemikiran tokoh-tokoh intelektual kontemporari seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas, Seyyed Hossien Nasr dan Wan Mohd. Nor bin Wan Daud. Dalam memperincikan pandangan kedua-dua tokoh ini, esei ini turut memanfaatkan pemikiran penting dalam tradisi Islam seperti Shah Wali Allah al-Dihlawi yang mengajukan konsep taklif. Esei ini menekankan tentang pentingnya penulis muda untuk memahami secara mendalam tentang pandangan alam Islam yang tertegak di atas prinsip Tauhid dan membezakannya dengan pandangan alam Barat yang bertunjangkan tragedi. Pemahaman yang tepat tentang pandangan alam Islam ini dianggap dapat mewujudkan mas’uliah atau tanggungjawab para penulis muda yang dipasakkan pada “janji” untuk menegakkan agama Allah SWT. Kekuatan esei ini terletak pada keupayaannya dalam memanfaatkan pemikiran dan gagasan Islam bagi mengupas persoalan dan tanggungjawab para penulis muda.

“Hang Tuah dalam Hayat Lisan di Air dan Daratan” oleh Muhammad Haji Salleh (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013)

Esei ini mencatatkan pengalaman penyelidik dalam melakukan kajian lapangan terhadap subjek ketokohan Hang Tuah di beberapa kawasan Alam Melayu. Keaslian data dan sumber primer dalam kajian ini berupaya membuktikan bahawa kewujudan teks Hang Tuah bukan sahaja subur dalam naratif bangsa Melayu, bahkan memainkan peranan penting dalam ingatan bangsa Nusantara. Perbincangan tentang subjek dihujah secara berstruktur dan dibuktikan melalui kewujudan fungsi hayat lisan dan tulisan, lukisan dan seluloid. Karya ini mengemukakan persoalan mutakhir imej Hang Tuah yang mampu memasuki era media baharu sebagai imaginasi bangsa yang terus diucapkan. Karya ini menggunakan nalar bukti-bukti lisan yang dituturkan dalam pelbagai medium dan medianya, sehingga Hang Tuah dibuktikan terus dibincangkan tentang kesetiaan dan kewiraannya.

Ritual dalam Lipur Lara dan Foklor Melayu: Tradisi dan Persepsi” oleh Mohamad Luthfi Abdul Rahman (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013)

Isu amalan ritual dalam persembahan folklor dan persepsi masyarakat terhadap tradisi folklor menjadi pilihan perbincangan dalam tulisan ini. Permasalahan tentang kerelevanan kandungan ritual dalam persembahan folklor semasa, dibahaskan melalui sorotan literatur. Sejarah perkembangan persembahan penglipur lara dikemukakan sebagai kajian kes untuk dianalisis. Isu yang cuba diselesaikan didapati sesuai dengan permasalahan yang sering muncul dalam perdebatan agama dan pemikiran semasa. Tulisan ini berupaya mengemukakan bagaimana isu tradisi dan persepsi masyarakat harus diselesaikan secara ilmiah. Sebaliknya, pengamal persembahan tradisi disarankan menggunakan kebijaksanaannya dalam menangani perubahan zaman.

“Daripada Kertas Kepada Layar: Transformasi Kisah Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin kepada “Puteri Gunung Ledang” oleh Wan Hasmah Wan Teh (Sastera dalam Budaya dan Media, Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2013)

Esei ini mendiskusikan konsep adaptasi teks ke filem. Permasalahan transformasi daripada teks Hikayat Hang Tuah ke bentuk filem Puteri Gunung Ledang dianalisis menggunakan pendekatan adaptasi. Pencerakinan konsep transformasi dibincangkan satu-persatu melalui hujah dan bukti secara perbandingan. Tanggapan dan fakta yang dipilih termasuk persoalan ketokohan, sejarah, dialog dan kesan visual dibandingkan berasaskan sumber asal. Pengekalan dan perubahan dalam konsep transformasi dirumuskan sebagai satu proses tafsiran semula yang mempunyai kepentingan untuk media filem, terutama dari segi faktor pemasaran dan kehendak penonton. Dengan itu, karya ini berupaya menjelaskan mengapa proses adaptasi teks perlu diambil kira dari sudut fakta bentuk dan ciri kandungan genre yang berbeza.

Kesimpulan

Karya yang memenangi hadiah dalam Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan, Buku Biografi, Autobiografi, dan Esei/Kritikan Eceran memperlihatkan kekuatan kategori masing-masing. Sebagai sebuah karya, penilaian mendapati anatomi karya distrukturkan secara jelas dan lengkap. Subjek yang dibincangkan menyentuh tentang isu dan persoalan terkini dan menjadi pilihan. Kebanyakan karya menggunakan teori, dan sekurang-kurangnya memilih konsep yang dipraktikkan mengikut kesesuaian format genre. Pengolahan gaya bahasa turut disesuaikan mengikut langgam dan pendekatan pilihan.

Umumnya, karya yang menang memaparkan pendekatan dan perbincangan yang bersifat ilmiah. Perbincangan dan analisis bersifat deskriptif menjadi pilihan kebanyakan karya yang dinilai. Bagi buku kajian, teori-teori tertentu dikemukakan bagi tujuan analisis data atau bahan kajian, dan pembuktian hipotesis pada bahagian awal dijawab dalam bab rumusan. Walau bagaimanapun, mutu karya-karya ilmiah yang dinilai rata-rata bersifat sederhana, dan justeru tiada pemenang yang dianggap layak bagi kategori ini.

Bagi kumpulan esei pula, pola himpunan esei yang mendukung satu tema menjadi pilihan karya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan esei yang memuatkan pelbagai judul yang memilih pelbagai tema dan dibahagikan kepada subjudul. Kajian yang menyerlah lebih berkesan pada himpunan esei yang berada di bawah satu tema.

Karya yang dinilai tidak menang mempunyai kelemahan dari segi pelbagai sudut. Antaranya, kelemahan yang ketara adalah dari segi garapan idea. Karya tidak berupaya meyakinkan penilai dari segi penghujahan sehingga subjek yang dikesan tidak berfokus. Skop kajian yang luas juga menyebabkan karya didapati bercempera dengan pelbagai idea dan fakta yang menyokong tidak mampu dibina secara berfokus. Kebanyakan karya cuba menerapkan sumber rujukan sebagai bukti, namun demikian sumber yang menyokong fakta tidak dikemas kini. Terdapat segelintir karya yang masih tidak merujuk sumber-sumber yang terkini, dan ini secara tidak langsung memberi kesan bahawa perbahasan sudah terkebelakang dari segi fakta dan idea.

Dari segi penggunaan gaya bahasa, karya yang menang dianggap berupaya memadatkan idea dalam gaya bahasa yang ringkas dan tepat. Daya pentafsiran secara mendalam diolah melalui bahasa yang bersifat informatif dan substantif. Istilah teknikal yang selari dengan bidang pilihan digunakan bagi menjelaskan konsep yang dikemukakan. Kefahaman terhadap karya kajian dan esei bergantung pada sistem bahasa yang jelas, serta mampu menghidupkan daya penaakulan terhadap subjek melalui contoh dan huraian yang tepat. Sebaliknya, kebanyakan karya yang lemah disebabkan kesilapan dari segi penyampaian idea yang tidak selari dengan kematangan berbahasa. Gaya bahasa yang kurang memanfaatkan penghujahan secara mendalam menyebabkan karya dianggap kurang bermutu. Terdapat juga sebahagian kecil karya yang lemah kerana pengeditan bahasa yang kurang cermat, selain mengandungi kesalahan ejaan dan tatabahasa.

Panel Penilai

Profesor Madya Dr. Hashim Ismail

Profesor Madya Dr. Jelani Harun

Profesor Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks