HADIAH dalam kategori C, merujuk kepada karya sastera kreatif bentuk buku, bagi genre cerpen, novel, puisi dan drama. Karya bentuk buku ini merupakan hasil pengarang perseorangan untuk sasaran peringkat kanak-kanak dan peringkat remaja. Karya yang dinilai ialah karya-karya yang diterbitkan  pada tahun 2013.

KATEGORI KESUSASTERAAN KANAK-KANAK

Empat kategori karya yang dinilai, iaitu :

i, Kategori Novel Kanak-kanak..

ii.Kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak.

iii,Kategori  Kumpulan Puisi Kanak-kanak.

iv.Kategori  Kumpulan Drama Kanak-kanak.

Kategori Novel Kanak-Kanak

  1. 1. Pendahuluan

Novel kanak-kanak merupakan salah satu kategori yang dinilai dalam Hadiah Sastera Perdana (HSPM)  2013.  Pihak Sekretariat HSPM 2013  telah menerima sejumlah novel kanak-kanak yang sesuai dinilai dalam kategori berkenaan. Novel-novel yang diterima mengutarakan pelbagai tema dan persoalan, merangkumi ruang lingkup dunia kanak-kanak seperti yang ditetapkan.

  1. 2. Kriteria Penilaian

Urus setia telah menetapkan kriteria dalam proses penilaian, antaranya sesebuah karya tersebut perlu memenuhi ciri-ciri kekuatan kesatuan organik, kekuatan dan keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, dan  inovasi dalam kreativiti.

Dalam hubungan ini, semua novel telah dibaca secara analitikal untuk memastikan kehendak kriteria penilaian itu dipenuhi. Berdasarkan pembacaan dan penelitian yang dilakukan terhadap novel tersebut, terdapat karya yang memaparkan kekuatan dalam aspek-aspek tertentu  tetapi memperlihatkan pula beberapa kelemahan yang nyata, misalnya dari aspek penggunaan bahasa dan garapan plot yang lemah walaupun idea yang diketengahkan baik.  Hal-hal sebegini telah diberikan perhatian yang sewajarnya oleh panel penilai dalam menentukan karya yang benar-benar kuat untuk diangkat sebagai penerima anugerah.

  1. 3. Penilaian keseluruhan

Panel telah menerima sebanyak 22 buah novel kanak-kanak untuk dinilai berdasarkan kriteria dan pertimbangan yang ditetapkan. Meneliti secara keseluruhan novel yang dihasilkan, umumnya menampakkan kesesuaian terutama sebagai bahan bacaan kepada kelompok sasaran. Sebahagian besar novel yang diketengahkan berkisar di sekitar kehidupan kanak-kanak, kekeluargaan, pengalaman hidup kanak-kanak, cerita-cerita teladan dan pengajaran walaupun kebanyakan isu yang dipaparkan agak lazim. Walaupun demikian, panel penilai mengakui bahawa  ada usaha dan kesungguhan yang dilakukan oleh penulis untuk menyajikan sesuatu yang baharu, dengan persoalan yang baharu serta penyisipan ilmu melalui cerita yang disampaikan.

Selain itu, nilai dan pengajaran yang dapat diperoleh melalui karya itu dikesan secara dominan dalam keseluruhan karya yang diteliti mempunyai nilai positif seperti bertanggungjawab, keyakinan tinggi, jujur dan tabah sesuai dengan peranan dan fungsi sastera antaranya sebagai medium untuk mendidik. Namun demikian, kecenderungan penulis menyuguhkan nilai dan pengajaran secara keterlaluan dalam novel menjadikan karya berkenaan tidak realistik dan seperti sengaja diada-adakan.

Tidak kurang juga novel yang menggunakan bahasa yang baik, iaitu mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi selaras dengan tahap khalayak sasarnya. Walaupun demikian, terdapat juga beberapa novel yang dinilai menggunakan bahasa santai secara berlebihan sehingga mencetuskan kerancuan. Penggunaan bahasa basahan, bahasa slanga, bahasa asing, digunakan untuk menyesuaikan karya dengan dunia kanak-kanak. Hal ini tidak dianggap sebagai satu perkara yang baik kerana pengabaian terhadap estetika bahasa sudah tentu menghilangkan pesona kesusasteraan itu sendiri.

Hasil penelitian dan pembacaan secara rinci terhadap 22 buah novel yang dinilai dari segi kesesuaian cerita, watak, dan teknik penyampaian dan penulisan, tiga buah novel telah dipilih untuk dipertimbangkan dalam senarai pendek bagi penilaian  ke peringkat separuh akhir. Novel-novel tersebut ialah :

  1. Suteki Da Ne Aleena oleh Mass Ruhaiza Ali
  2. Budak Tin oleh Nazrie Haslienie
  3. Super Jejul oleh Siti Nazhatusshima bt Ahmad

Setelah diperhalus  dari segala aspek penilaian yang ditetapkan oleh pihak urus setia.  Panel telah membuat keputusan sebulat suara untuk memilih dua buah novel yang berjaya memenuhi justifikasi pemilihan akhir iaitu novel Suteki Da Ne Aleena dan novel Budak Tin.

Ulasan Umum Novel

Suteki Da Ne Aleena

Novel ini mengisahkan Aleena dan kakaknya Nora yang terpaksa berpindah sekolah ke Amerika Syarikat kerana pertukaran kerja ayah mereka. Ayah mereka ditukarkan untuk bertugas di Kedutaan Malaysia, California Amerika. Maka, bermulalah perjalanan hidup Aleena dan kakaknya yang penuh cabaran. Sebagai pelajar Melayu Muslim di bumi Amerika, Aleena dan kakaknya menghadapi pelbagai cabaran. Namun, perkara itu membakar semangan Aleena untuk membuktikan remaja Muslim mampu mencapai kejayaan yang cemerlang.

Konflik bermula apabila Aleena  terpaksa belajar matematik bersungguh-sungguh di Foothill Middle School. Namun dia berjaya mengharungi semua konflik dan akhirnya beroleh kecemerlangan dalam kedua-dua bidang. Aleena cuba bersungguh-sungguh untuk menguasai subjek matematik. Dalam masa yang sama, dia akan berlatih bermain violin dengan kakaknya ketika di rumah. Hasilnya, Aleena berjaya menempatkan diri sebagai pemain violin di konsert sekolahnya dan penganugerahan atas penglibatannya. Dia juga menerima anugerah pelajar cemerlang dalam subjek matematik. Aleena berbangga kerana dia telah berjaya membuktikan bahawa pelajar Muslim sepertinya mampu untuk mencapai kejayaan.

Budak Tin

Novel ini mengisahkan seorang remaja perempuan, Fatin yang merupakan anak kepada pemungut tin. Ayahnya, Pak Husin, terpaksa menyara keluarga dengan bergantung kepada mata pencariannya sebagai pemungut tin setelah dia gagal mendapatkan pekerjaan akibat kecacatan fizikal yang dialaminya. Tin-tin yang dipungut di tempat pembuangan sampah akan dibersihkan dan dijual di pusat kitar semula. Walaupun berhadapan dengan kehidupan yang serba sederhana, Fatin bersyukur dengan kehidupannya. Malah, Fatin berusaha menjadi anak yang mampu meringankan beban keluarga. Setelah pulang dari sekolah, Fatin akan cepat-cepat menyiapkan kerja sekolahnya agar pada waktu petang, dia dapat membantu ayahnya memungut tin di kawasan pelupusan sampah

Darius, kawan sama sekolah Fatin tidak menyenangi kerjaya ayah Fatin. Baginya, pekerjaan sebagai pemungut tin sangat hina berbanding ayahnya yang berjawatan besar. Hal itu berlarutan sehingga Darius dan Fatin bergaduh dan tidak bertegur sapa. Sehinggalah suatu hari, rumah Darius terbakar dan dia tersekat di dalam rumah tersebut. Pak Husin yang menyedari perkara tersebut cuba sedaya upaya membantu menyelamatkan Darius. Sejak daripada itu, Darius sedar bahawa nilai seorang manusia tidak terletak pada darjat dan kedudukan seseorang.

Ulasan Penilaian Pemenang

Pada peringkat akhir penilaian, panel penilai telah bersetuju untuk mengangkat novel Suteki Da Ne Aleena oleh Mass Ruhaiza Ali untuk memenangi kategori ini.  Keputusan ini dibuat berdasarkan justifikasi yang  dipersetujui, iaitu kekuatan kesatuan dan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, kesesuaian nilai, serta inovasi dan kreativiti.

  1. a. Kekuatan kesatuan dan organik karya

Struktur novel ini memenuhi struktur novel yang baik iaitu mengandungi tema yang jelas, plot yang menyakinkan ada unsur sebab dan akibat, watak dan perwatakan yang menimbulkan emosi kepada pembaca, gaya bahasa yang baik, menarik dan boleh difahami oleh khalayak pembaca.

b. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang

Persoalan yang diketengahkan berada di luar klise penulisan novel kanak-kanak dalam kesusasteraan Melayu, iaitu konflik seorang kanak-kanak untuk menguasai dua bidang ilmu iaitu muzik dan matematik. Persoalan itu diberatkan dengan latar di luar negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan suasana latar yang dialami. Namun watak utama ini berjaya mengatasi konflik yang dihadapi.

c. Keseimbangan estetika bahasa dan persoalan kemanusiaan

Bahasanya baik disampaikan secara sederhana, mudah difahami oleh pembaca kanak-kanak. Penggunaan bahasa yang baik dan menimbulkan kesan kepada pembaca menyebabkan novel ini tidak jemu untuk dihayati.

  • Pengarang berjaya menyampaikan ceritanya secara objektif dan diperindah dengan penerapan unsur  kesusasteraan.

  • Penggunaan bahasa asing yang digunakan adalah sesuai kerana latar penceritaan dalam novel tersebut di luar negara.

  1. d. Keindahan moral dan kesesuaian nilai

  • Kekuatan novel ini terletak kepada nilai diri watak remaja yang berjaya menonjolkan nilai positif walaupun berhadapan dengan pelbagai konflik. Watak juga menunjukkan sifat jati diri yang tinggi dalam dirinya apabila berjaya mengekalkan identitinya sebagai pelajar Muslim dalam kelompok masyarakat barat  yang majoritinya bukan  Islam.

  1. e. Inovasi dan kreativiti.
  • Pengarang telah berjaya mengetengahkan persoalan baharu kepelbagaian kecerdasan manusia yang disampaikan melalui watak Alena yang berjaya menguasai dua bidang yang berbeza iaitu bidang seni dan bidang matematik dengan cemerlang yang prinsip asasnya melibatkan peranan otak kiri dan otak kanan.

  • Teknik penceritaan banyak memasukkan teknik monolog dalam diri watak utama Aleena yang menggambarkan pelbagai konflik yang dihadapi oleh watak tersebut.

Kesimpulan

Kesimpulannya, novel kanak-kanak yang dinilai mengetengahkan pelbagai tema yang berkaitan dunia kanak-kanak. Namun, pemilihan tema sewajar diperteguh dengan binaan struktur karya yang lengkap dan saling menyokong antara satu sama lain. Kebanyakan novel yang dinilai tidak dapat memenuhi keperluan struktural yangn optimum. Ringkasnya, novel yang diangkat sebagai pemenang mempunyai kekuatan dan kehebatannya yang tersendiri, melepasi novel-novel dalam kategori yang sama.

Kategori Kumpulan Cerpen Kanak-Kanak

Pendahuluan

Kumpulan cerpen kanak-kanak ialah koleksi cerita yang berlatarkan dunia kanak-kanak. Untuk memenuhi kriteria ini, karya hendaklah benar-benar bercirikan dunia kanak-kanak, seperti watak, perwatakan, tema dan persoalan, nilai dan pengajaran, dan unsur-unsur lain yang berkenaan.

Kriteria penilaian

Kriteria penilaian karya diasaskan pada perkara-perkara yang berikut.

  1. Kekuatan kesatuan organik karya.  Cerpen-cerpen yang termuat dalam kumpulan cerpen terbina dengan unsur struktural yang mantap tanpa mengabaikan kesesuaian dan kewajaran karya, nilai dan ilmu yang diterapkan, keindahan moral serta kreativiti.

  1. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang.  Keaslian persoalan berkait dengan keupayaan pengarang mengetengahkan sesuatu tema baharu dan terkini.

  1. Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan. Gaya bahasa yang mantap menjadikan cerpen itu indah dan berseni.

  1. Keindahan moral melibatkan  pengajaran yang berguna kepada kanak-kanak. Setiap cerpen disisipkan nilai moral tentang kepentingan ilmu, persahabatan, kemasyarakatan, kekeluargaan setia kawan dan kasih sayang.

  1. Inovasi dalam kreativiti memberatkan aspek pembaharuan dalam karya di samping mendorong kanak-kanak berfikiran kreatif dalam kehidupan.

Penilaian keseluruhan

Panel penilai telah menerima tiga kumpulan cerpen kanak-kanak untuk dipertimbangkan, iaitu :

  1. E-mel dari Shinjuku oleh Ariff Mohamad
  2. Pengintip Kecil oleh Ghazali Ngah Azia
  3. Luv U, Laila oleh Pitri Al-Fateh

Hasil penelitian dan perbincangan rinci dilakukan, panel memutuskan bahawa kumpulan cerpen  E-mel dari Shinjuku oleh Ariff Mohamad sebagai pemenang kategori ini.

Ulasan Penilaian Pemenang

Sebanyak 14 buah cerpen terkandung dalam kumpulan cerpen ini. Pelbagai tema yang berkaitan dengan kehidupan kanak-kanak itu sendiri. Cerpen-cerpen tersebut dapat mendidik jiwa kanak-kanak, kerana dalamnya terpancar nilai pendidikan yang baik. Antaranya unsur motivasi guru terhadap murid-murid dan kasih sayang murid terhadap guru seperti dalam cerpen ‘Serangkap Pantun di Atas Meja’ dan ‘Hadiah untuk Cikgu Siti’. Kasih sayang ibu bapa dan anak terhadap keluarga seperti  cerpen ‘ Misteri Banglo Putih’, ‘Memilih Mimpi’, ‘Menanti Hujan Berhenti’ dan ‘Rahsia Sekeping Potret’, ‘Komputer Idamanku’. Rasa setia kawan, nilai persahabatan juga terpancar menerusi cerpen seperti, ‘E-mel dari Shinjuku’, bersahabat dengan makhluk asing menerusi cerpen ‘Aragon dari Planet Zatura’, dan ‘Sesat di hutan’ dan ‘Detektif Izwan’.

  1. a. Kekuatan organik

Semua cerpen yang termuat dalam kumpulan cerpen ini memenuhi kriteria struktural sebuah cereka. Pengarang berjaya memenuhi ciri-ciri sastera kanak-kanak dengan menetapkan ruang lingkup dunia pembacanya.

  1. b. Kekuatan dan Keaslian Persoalan yang ditampilkan secara Matang

Pengarang mengetengahkan pelbagai tema yang semuanya berkisar di seputar dunia kanak-kanak. Persoalan-persoalan tersebut tercetus melalui hubungan watak-watak yang ditonjolkan dengan guru, ibu bapa, rakan-rakan sebaya dan seumpamanya. Melalui beberapa cerpen, pengarang mengaitkan watak dengan dunia siber yang menjadi elemen baharu dalam kehidupan.

  1. c. Keseimbangan estetika bahasa dan persoalan Kemanusiaan

Kumpulan cerpen ini juga berjaya menyerlahkan nilai-nilai estetika bahasa yang mudah diserap oleh pembaca sasaran.  Diksi dan struktur ayat yang diketengahkan segar dan menarik minat pembaca untuk mengamatinya.  Bahasa interaksi dizahirkan secara lembut dan berhemah. Hal ini sudah dapat mendidik pembaca ke arah kesantunan bahasa secara langsung dan tidak langsung.

  1. d. Keindahan moral dan kesesuaian nilai

Karya-karya yang termuat dalam kumpulan cerpen ini sarat dengan keindahan nilai dan moral yang positif. Antaranya, pengarang menyisipkan nilai kekeluargaan, kasih sayang sesama manusia, keyakinan diri, kerjasama, semangat kekitaan, dan persahabatan.

  1. e. Inovasi dan Kreativiti

Dari aspek kreativiti dan inovasi, pengarang berusaha untuk menerapkan elemen teknologi secara signifikan.  Hal ini terbukti melalui peranan watak yang memanfaatkan teknologi siber sebagai wahana komunikasi yang berkesan dan berhikmah.  Judul kumpulan ini “E-mel dari Shinjuku” telah menyerlahkan kreaviti pengarang dalam menjenamakan karya beliau.  Selain itu unsur patriotisme dalam cerpen “Semangat Hang Tuah” berjaya ditonjolkan secara implisit sebagai pengajaran agar kanak-kanak tidak mengagung-agungkan watak adiwira luar kerana kita juga memiliki adiwira tempatan yang terbukti kehebatannya.  Semua elemen itu memperlihatkan penulis keluar daripada kebiasaan penulisan untuk kanak-kanak

Kesimpulan

Secara amnya, kumpulan cerpen kanak-kanak juga amat terhad penghasilannya dan diharapkan karya-karya dalam genre ini dipertingkatkan penerbitannya pada masa akan datang.

Kategori Kumpulan Puisi Kanak-Kanak

Pendahuluan

Kumpulan puisi kanak-kanak ialah himpunan puisi yang dikhususkan untuk memperihalkan dunia kanak-kanak.   Untuk memenuhi kriteria ini, puisi-puisi yang dihasilkan hendaklah  benar-benar bercirikan dunia kanak-kanak  dari aspek kekuatan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, dan inovasi dan kreativiti.

Kriteria Penilaian

Asas pertimbangan penilaian dilihat berdasarkan kekuatan karya yang dikesan melalui kesesuaian dan kewajaran karya dari aspek tema dan persoalan yang diketengahkan, gaya bahasa yang digunakan, penerapan nilai dan ilmu yang diketengahkan, kesatuan organik karya dan  keindahan moral, kreativiti dan  keaslian dalam karya.

Penilaian Keseluruhan

Panel penilai menerima sebuah kumpulan puisi iaitu “Pesanan Pendeta” oleh Mahaya Mohd Yassin yang mengandungi 68 buah puisi dan memutuskan bahawa kumpulan puisi ini dipilih sebagai pemenang. Pemilihan tersebut berdasarkan pertimbangan yang dirincikan dalam perkara (5) yang berikut.

Ulasan Penilaian Pemenang

Meneliti keseluruhan kumpulan puisi, iaitu “Pesanan Pendeta” oleh Mahaya Mohd Yassin, dikesan usaha penulisnya menggarap idea untuk disesuaikan dengan pengalaman, latar dan budaya kanak-kanak. Usaha ini bukan sesuatu yang mudah tetapi telah dapat diterjemahkan melalui kreativiti dan sensitiviti penulisnya. Panel pemilih juga telah mengenal pasti kekuatan kumpulan puisi ini berasaskan beberapa perkara, iaitu :

Bahasa penyampaiannya mudah, ringkas, padat dan mudah difahami dan merangsang pemikiran kanak-kanak. Keindahan bahasa disampaikan dalam bentuk puisi, seperti pantun dua kerat, pantun empat kerat, syair, gurindam dan puisi berbentuk bebas, iaitu sajak. Tema puisi tersebut diangkat daripada pengalaman dan apa-apa yang ada di sekeliling kanak-kanak itu sendiri. Hal ini akan memberi kefahaman kepada kanak-kanak itu tentang tujuan hidup mereka.  Dalam konteks ini, pemilihan kata mudah difahami, tidak memberatkan pemahaman pembaca tetapi masih mampu untuk memberikan kesan  terhadap makna yang disampaikan.

Keseluruhan puisi yang dihasilkan telah menyisipkan nilai-nilai murni yang sesuai untuk dihayati dan difahami oleh khalayak sasarnya. Antaranya nilai murni berkaitan dengan sikap  hormat menghormati, kejujuran, pengorbanan, menghargai  dan kesetiaan yang merupakan nilai murni sejagat. Dari sudut ilmu, dapat dikesan wujudnya kepelbagaian ilmu yang diterapkan. Hal ini memperlihatkan bahawa pengarang telah  mewajarkan fungsi karya sastera sebagai alat untuk mendidik dan menyampaikan maklumat secara terancang dan berhemah.

Kesimpulan

Meneliti kepada jumlah kumpulan puisi yang diperoleh untuk tujuan penilaian,  memperlihatkan jumlah yang kecil berbanding dengan khalayak kanak-kanak secara umumnya.  Usaha memperbanyak kumpulan puisi melalui penerbitan yang dilakukan oleh penerbit-penerbit persendirian merupakan usaha murni yang menuntut sokongan semua pihak. Namun begitu, selain jumlah sebagai ukuran, pertimbangan estetika dan nilai-nilai moral dan ilmu yang selaras dengan dunia kanak-kanak perlu diberikan perhatian serius.

Kategori Drama Kanak-Kanak

Pendahuluan

Panel  penilai telah menerima satu kumpulan drama   kanak-kanak iaitu Mimpi Laila oleh Amelia Hashim.  Setelah meneliti skrip-skrip drama dalam kumpulan tersebut, panel mendapati bahawa kumpulan drama tersebut layak diangkat sebagai pemenang.

Kriteria penilaian

Seperti yang ditetapkan oleh sekretariat,  kriteria yang sama digunakan untuk menilai kategori drama kanak-kanak.  Karya dinilai dari aspek:

  1. Kekuatan kesatuan organik karya.  Drama-drama yang termuat dalam kumpulan drama terbina dengan unsur struktural yang mantap. Aspek struktur skrip dalam kumpulan drama ini didapati bersesuaian dengan tahap pemikiran kanak-kanak sama ada untuk dibaca atau dipentaskan.

  1. Kekuatan dan keaslian persoalan ditampilkan secara matang. Dari sudut tema dan persoalan, kumpulan drama ini digarap berasaskan tema-tema terkini yang hampir dengan kehidupan kanak-kanak kerana mengungkapkan kepentingan ilmu, alam sekitar, dan kepentingan rangkaian kehidupan seluruh makhluk di bumi. Karya juga mengetengahkan kepentingan nasihat orang tua terhadap anak-anak, kepentingan menepati janji dan seumpamanya.

  1. Dalam aspek keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, skrip-skrip memaparkan gaya bahasa yang mantap dan berhasil menjadikan drama itu indah dan berseni dilengkapi pula dengan unsur dramatik yang menarik.  Mesej yang disampaikan juga dapat diserap dengan mudah oleh pembaca atau penonton.

  1. Inovasi dalam kreativiti karya memberatkan aspek pembaharuan dalam karya di samping mendorong kanak-kanak berfikiran kreatif dalam kehidupan. Skrip-skrip ini juga sesuai dipentaskan dan melibatkan unsur-unsur seni yang lain seperti nyanyian, tarian, seni busana, dan ruang pementasan yang sesuai.

Penilaian keseluruhan

Hanya sebuah kumpulan drama kanak-kanak yang dinilai iaitu Mimpi Laila.  Sebanyak empat buah drama telah dikumpulkan menerusi kumpulan drama ini, iaitu ‘Ayam Dengan Ular’, ‘Mimpi Laila’, ‘Tiung Budiman’ dan ‘Katak Di Bawah Tempurung’. Keempat-empat drama ini baik dari sudut isi cerita dan mesej yang hendak disampaikan penulis. Dalam cerita ‘Ayam Dengan Ular’ menggunakan watak binatang. Antara mesej yang hendak disampaikan ialah jika menghadapi mesalah dalam kehidupan selalu menyelesaikan dengan menggunakan akal fikiran bukannya dengan perasaan. Drama ‘Mimpi Laila’ yang menjadi tajuk kumpulan drama ini. memberi mesej setiap yang wujud di muka bumi ini adalah penting dan saling melengkapi antara satu sama lain. Selanjutnya drama ‘Tiung Budiman’  mengetengahkan mesej bahawa setiap insan hendaklah mendengar nasihat ibu bapa agar hidup selamat. Kedua, manusia tidak harus tamak apabila mendapat habuan kerana  habuan tersebut boleh membawa padah kepada diri sendiri.  Drama ‘Katak di bawah Tempurung’ membawa mesej seseorang itu harus menepati janji. Oleh yang demikian empat buah drama ini banyak memberikan mesej yang baik kepada para pembaca remaja dan sekiranya  dipentaskan dengan teknik yang baik, nescaya dapat memberi hiburan dan pendidikan kepada kanak-kanak.

Kesimpulan

Penghasilan kumpulan drama agak terhad dari segi bilangannya. Oleh yang demikian, pada masa akan datang penulis perlu memberikan tumpuan untuk menghasilkan skrip-skrip drama yang khusus untuk kanak-kanak.  Selain itu, penulis juga tidak harus mengabaikan aspek nilai moral dan pendidikan dalam penghasilan skrip-skrip drama yang baik.

KATEGORI KESUSASTERAAN REMAJA

Empat kategori karya yang dinilai iaitu :

i,   Kategori Novel Remaja

ii.  Kategori Kumpulan Cerpen Remaja

iii, Kategori  Kumpulan Puisi Remaja

iv. Kategori  Kumpulan Drama Remaja

Kategori Novel Remaja

Pendahuluan

Sebanyak 11 buah novel remaja telah dinilai berdasarkan lima kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh pihak Urus Setia HSPM 2013  .

Kriteria Penilaian

Penilaian terhadap karya dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan dengan melihat kekuatan yang dapat dikesan dalam karya. Kriteria-kriteria tersebut termasuklah kekuatan kesatuan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, serta  inovasi dan kreativiti.

Penilaian Keseluruhan

Hasil penelitian dan pembacaan secara rinci terhadap 11 buah novel yang dinilai dari segi kesesuaian tema, persoalan, watak, teknik penyampaian dan penulisan, hanya tiga buah novel telah dipilih untuk dipertimbangkan bagi penilaian  ke peringkat separuh akhir. Novel-novel tersebut ialah:

  1. Sepetang di Kafe Biblioholic oleh Ainunl Muaiyanah bt Muhammad Sulaiman
  2. Cahaya oleh Zailani Taslim
  3. Kembara Mardiana oleh Norhisham Mustaffa

Sepetang Di Kafe Biblioholic

Novel ini mengisahkan watak Kamellia yang menyimpan impian untuk memenuhi hasrat ibunya untuk membuka sebuah kafe berasaskan kecintaan terhadap buku. Kamellia dibesarkan oleh ibunya sehingga menjadi seorang gadis yang berpendidikan dan bekerja di sebuah syarikat penerbitan. Hasratnya tercapai apabila ayahnya yang lama tidak ditemui tiba-tiba muncul. Demi menjernihkan kesilapan kerana menceraikan ibu Kamellia ketika Kamellia masih kecil, Kamal membelikan sebuah kafe untuk diurus oleh Kamellia. Tindakan Kamal itu dicemburui oleh isteri kedua Kamal, ibu tiri Kamellia kerana  khuatir Kamellia akan merebut harta Kamal. Namun, hubungan dingin antara ibu tiri dengan Kamellia akhirnya dapat dijernihkan apabila Kamellia dapat memujuk hati adik tirinya Zara yang merajuk dengan mengunci diri dalam bilik dan hanya Kamellia sahaja yang dapat memujuknya.

Cahaya

Novel ini mengisahkan seorang remaja kampung tinggal bersendirian kerana kedua ibu bapanya meninggal. Dia mempunyai seorang kakak yang tinggal di bandar bekerja sebagai ekskutif di sebuah syarikat swasta. Azmi memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tetapi kemudiannya menjadi buta akibat kemalangan. Namun, pada akhir cerita mata Azmi dapat dipulihkan dan hidupnya kembali normal hasil bantuan daripada kakaknya yang mengambil berat tentang kehidupan Azmi.

Kembara Mardiana

Novel ini memaparkan watak Mardiana menjejaki Zul Hakimi yang membantunya ketika dia sakit dalam perjalanan dengan keretapi ke kampungnya di Kelantan. Zul Hakimi telah menderma darah untuk menyelamatkan nyawa Mardiana di hospital Seremban. Ibu Mardiana telah tersalah anggap terhadap Zul Hakimi ketika datang melawat anaknya di hospital. Tambahan pula ibu Mardiana berhasrat untuk menjodohkan Mardiana dengan Shahrul, iaitu pemuda pilihannya. Sebaik sahaja sihat Mardiana mula mencari Zul Hakimi. Mardiana berhadapan dengan pelbagai konflik dengan watak-watak di sekelilingnya termasuk perasaannya terhadap Zul Hakimi  setelah mengetahui dia mempunyai pertalian saudara dengan pemuda itu. Akhirnya setelah Mardiana jatuh sakit sekali lagi semua konflik terungkai apabila Zul Hakimi datang melawatnya.

Keputusan

Setelah melakukan perbincangan secara rinci, panel penilai sepakat memperakukan novel Sepetang di Kafe Biblioholic oleh Ainuni Muaiyanah bt Muhammad Sulaiman sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013. Pemilihan tersebut berdasarkan pertimbangan yang dirincikan dalam perkara (5) yang berikut.

Ulasan Penilaian Pemenang

  1. a. Kekuatan Kesatuan Organik Karya

Novel ini dibina dengan adunan yang kemas melalui tema, plot (unsur sebab akibat yang meyakinkan), watak dan perwatakan serta gaya bahasa yang segar, menjadikan novel ini seronok dibaca dan pembaca akan terus membaca tanpa henti untuk mengetahui apakah kesudahan cerita ini.

  1. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang.

Penulis telah membawa subjek baharu dalam penceritaan dengan mengetengahkan ‘kafe’ dan ‘buku’ sebagai  satu bentuk  perniagaan. Penulis juga turut mengetengahkan gaya hidup kebandaran ‘urban’ yang menjadikan kafe sebagai tempat pertemuan komuniti tertentu dengan disajikan bahan bacaan sebagai pengisi sampingan sumber maklumat.

  1. c. Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan

Bahasa penulisannya menarik dan lancar dengan pengawalan tatabahasa yang baik. Penulis mampu memasukkan istilah dalam bidang khusus, antaranya dunia penerbitan, perniagaan, dan  perpustakaan selain memasukkan  istilah yang segar seperti ‘rusuh gaduh’, ‘biblioholic’, ‘bersinar girang’, dan ‘pramusaji’.  Penulis sempat juga memasukkan kritikan kepada orang yang suka menggunakan bahasa SMS yang banyak merosakkan bahasa Melayu.

  1. d. Keindahan moral

Watak utama dalam novel memiliki ciri-ciri yang tinggi nilai moralnya. Walaupun hidup di kota kosmopolitan, Kamellia tidak terpengaruh dengan cara hidup moden yang keterlaluan. Hal ini terbukti apabila Kamellia tidak menyalahkan bapanya yang meninggalkan ibunya sewaktu Kamellia masih kecil. Dia jua tidak mempunyai perasaan negatif terhadap ibu tirinya. Novel ini tidak menggambarkan persoalan cinta secara berlebih-lebihan yang boleh merendahkan martabat watak sebagai seorang wanita berpendidikan.

  1. e. Inovasi dan kreativiti

Penulis banyak memasukkan unsur-unsur ilmu yang boleh menambahkan pengetahuan pembaca terutama pembaca remaja. Antaranya ilmu dalam bidang penerbitan, hiasan dalaman, minuman, dan kepustakaan.  Penulis mempunyai kebolehan melagang cerita  (craftsmanship) yang jelas dalam penulisannya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, panel telah menerima sebanyak 11 buah novel remaja untuk dinilai  berdasarkan kriteria dan pertimbangan-pertimbangan tertentu. Meneliti secara keseluruhan,  umumnya novel-novel yang dihasilkan sesuai dengan golongan remaja terutama sebagai bahan bacaan. Sebahagian besar persoalan yang diketengahkan berkisar tentang kehidupan remaja, isu-isu tentang remaja, konflik remaja, dan persoalan identiti remaja. Walaupun begitu, dikesan juga novel-novel yang mengetengahkan  persoalan yang agak berat dan serius yang kemungkinannya sukar untuk ditanggapi maknanya oleh remaja.

Kategori Kumpulan Cerpen Remaja

Pendahuluan

Cerpen remaja ialah karya yang disasarkan untuk golongan remaja.  Lantaran itu,  ciri utama cerpen remaja ialah pemaparan watak dan tema yang diketengahkan hendaklah bersesuaian dengan dunia remaja dengan mengambil kira remaja sebagai watak dan remaja sebagai pembaca sasaran.

Kriteria penilaian

Kriteria pemilihan kategori cerpen remaja juga selari dengan genre-genre yang lain.  Antaranya termasuklah unsur kesesuaian dan kewajaran karya dari aspek tema dan persoalan yang diketengahkan, gaya bahasa yang digunakan, penerapan nilai dan ilmu yang diketengahkan, kesatuan organik karya dan  keindahan moral, kreativiti dan  keaslian dalam karya.  Perkara-perkara inilah yang menjadi asas penghasilan sebuah cerpen yang baik.

Penilaian keseluruhan

Panel penilai menerima sebuah  kumpulan cerpen dalam kategori yang layak untuk dipertimbangkan, iaitu Kumpulan Cerpen Dapatkah Dirimu Kulupakan karya Ghazali Ngah Azia. Dalam kumpulan cerpen tersebut sebanyak 17 buah cerpen dimuatkan. Tema yang digarap pelbagai dan dekat dengan kehidupan para remaja terutama remaja yang sedang menghadapi dunia persekolahan.

Semua tema dalam kumpulan cerpen ini kisah biasa yang disampaikan secara sederhana dan kurang mencabar pemikiran pembaca. Walaupun banyak unsur murni dan mesej yang baik yang terkandung dalam cerpen-cerpen yang digarap, namun seperti yang dinyatakan sebelum ini, penulis masih menggarap cerita-cerita klise yang sudah banyak dipaparkan dalam karya sebelumnya.

Kelemahan kumpulan cerpen begitu terserlah apabila kekerapan kesalahan sama ada ejaan, penggunaan istilah, klausa, banyak berlaku. Namun, setelah penelitian dibuat terhadap kumpulan cerpen tersebut didapati bahawa kumpulan cerpen  tersebut tidak mencapai tahap untuk diberikan anugerah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tidak ada kumpulan cerpen remaja yang mampu mencapai tahap yang diperlukan untuk dianugerahi hadiah.  Kumpulan cerpen yang dinilai masih terdapat kelemahan-kelemahan yang ketara dan menjejaskan mutu karya.

Kategori Kumpulan Puisi Remaja

Panel penilai tidak menerima sebarang penyertaan dalam kategori kumpulan puisi remaja untuk dinilai.

Kategori Drama Remaja

Panel penilai tidak menerima sebarang penyertaan dalam kategori drama remaja untuk dinilai.

Cadangan Panel Penilai

Urus Setia HSPM 2013  telah menerima 12 buah buku cerita  bergambar untuk dinilai dalam kategori  novel kanak-kanak. Walau bagaimanapun, panel penilai beranggapan bahawa buku cerita bergambar ini wajar dikelompokkan dalam satu kategori tertentu kerana karya tersebut tidak memenuhi kriteria sebuah novel kanak-kanak. Berdasarkan penilaian terhadap kesemua  buku cerita  bergambar tersebut, panel penilai mengesyorkan agar buku  Adakah Kelapa Ada Biji oleh Arshad Rawian diberikan Anugerah Khas Hadiah Sastera Perdana 2013 sebagai pengikhtirafan kepada penulis yang menghasilkan karya-karya sedemikian. Panel penilai mendapati bahawa buku cerita bergambar tersebut mempunyai kekuatan dari sudut kandungan, illustrasi yang menarik serta  penerapan ilmu dan nilai.

Panel Penilai juga mengesyorkan agar satu kategori Buku Cerita Bergambar diwujudkan pada penilaian Hadiah Sastera Perdana akan datang.

RUMUSAN

Karya-karya yang dinilai (kategori remaja dan kanak-kanak), memperlihatkan kemampuan para penulis memahami tuntutan jiwa remaja dan kanak-kanak. Pemilihan dari segi tema, plot yang gunakan tidak begitu rencam.  Namun begitu, karya yang dihasilkan dapat memcabar pemikiran pembaca. Watak-watak utama yang dipaparkan dalam lingkungan remaja dan kanak-kanak sesuai dengan pembaca sasaran. Selain itu, bahasa penyampaiannya mudah difahami dan sesuai dengan struktur ayatnya. Jelasnya, penulis yang menghasilkan karya dalam kategori kanak-kanak dan remaja mengambil kira pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya bagi memenuhi matlamat pembinaan insan  yang sempurna.

Disediakan Oleh:

Dr. Misran Rokimin

Dr. Ghazali Lateh

Dr. Arbai’e Sujud

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks