MANUSIA ialah makhluk berfikir yang menggunakan bahasa. Mereka mencipta dan menyusun kata melalui cerapan pengalaman dan pemerhatian sekeliling. Sastera ialah hasil penelitian terperinci daripada cerapan dan pemerhatian itu. Tidak hairanlah apabila ada negara luar yang mengiktiraf bahan sasteranya sebagai “nilai seni tinggi”.

Makhluk berkata juga sentiasa bercerita. Dalam mana-mana tradisi tamadun besar, mereka menyimpan dan menyampaikan cerita lisan. Paling asas, mudah, dan berbentuk rakyat ialah cerita rakyat atau dongeng.

Mungkin pada era globalisasi sekarang, cerita rakyat dianggap lapuk dan tidak menyumbangkan apa-apa pada pembangunan insan masyarakatnya. Namun begitu, masyarakat moden perlu menyedari bahawa cerita rakyat mewarisi identiti dan jati diri yang paling nyata tentang masyarakat yang diceritakan. Oleh sebab itu, cerita rakyat perlu melalui proses rekayasa supaya cerita rakyat terus dimasyarakatkan dan dihidupkan. Dalam fokus kali ini, contoh rekayasa cerita rakyat yang baik telah dilakukan di Pulau Langkawi. Pihak berkuasa dan penggerak pelancongan Langkawi melihat potensi cerita rakyat dalam menyemarakkan industri pelancongan, lantas merealisasikan penggabungan cerita rakyat dengan tempat pelancongan. Kisah rakyat bukan lagi disebut di bibir tetapi imejnya dapat dirakam, dan tempatnya dihidupkan dengan suasana latar asalnya.

Sebenarnya cerita rakyat tidak pernah luntur, selagi masyarakatnya terus bercerita. Terdapat istilah seperti legenda bandar (urban legend), yang kini hanya popular dalam masyarakat kita dengan kisah tahayul, seram, dan hantu. Kita perlu menggerakkan daya usaha untuk mendokumentasikan cerita rakyat moden yang lebih bermakna. Para pengarang harus sedar, terdapat pelbagai cerita moden dan seharian yang belum ditulis dan diungkapkan. Mungkin Zainal Rashid Ahmad antara pengarang yang berjaya merekayasa bentuk ini dalam suatu pengisahan hikayat baharu atau “cerita penglipur lara moden”. Beliau menangkap kisah lama dengan bentuknya lalu menyampaikannya dengan kritikan politik dan citra kemanusiaan semasa, malah dapat merenung persoalan masa hadapan masyarakatnya. Kekuatan sebeginilah yang ditunggu-tunggu dalam membangunkan gabungan sastera lisan dengan penulisan.

Bil. 3/2015

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks