HANYA manusia yang alpa tentang sejarahnya yang akan mengulangi perbuatan yang akan memakan dirinya. Apabila terdapat penulis yang mendabik dada, menjalankan suatu gagasan yang dihitungnya sebagai suatu pembaharuan, tanpa menyelak sejarah sasteranya, dia akan menyedari, dengan terlewat bahawa pendekatan yang dijalankannya pernah dilaksanakan oleh orang terdahulunya, malah mungkin lebih baik lagi daripada hasil karyanya.

Fokus kali ini memberikan peluang kepada kita untuk menelaah kembali rentetan peristiwa dan drama yang membentuk kesusasteraan “moden” kebangsaan yang kita kenal pada masa sekarang. Noriah Taslim menampilkan suatu pendedahan penting dalam alur perubahan persuratan Melayu. Segala pembaharuan yang dibawa oleh pengaruh kolonial Barat, khususnya Inggeris dan Belanda, mula mengubah makna diri, mentaliti, falsafah, dan sosial masyarakat Melayu pada ambang abad ke-18. Sejarah diambil sebagai maksud fakta yang tidak dapat ditolak, membentuk dan mencorakkan pergerakan minda manusia tertawan dan terpesona pada era itu. Namun begitu, terdapat juga manusia yang melawan pengaruh pembaharuan ini dengan bentuk pembaharuan persuratan segar untuk mempertahankan pemikiran, bahasa, dan agamanya daripada ditawan oleh pengaruh baharu.

Menariknya, pandangan pengarang fokus ini menghargai warisan yang diperturunkan, walaupun dari luar, yang membawa pembaharuan yang disebut sebagai literary renaissance, membentuk beberapa genre baharu yang agak asing daripada gaya persuratan Melayu lama. Dalam hal ini, Noriah menampilkan cara masyarakat Melayu, khususnya di Riau, menggunakan kefahaman teknologi dan pendedahan pembaharuan kaedah penulisan kolonial Barat, lantas menyemarakkan “suara peribumi” yang dahulunya hanya disampaikan kepada kelompok dan kelas yang tertentu dalam strata masyarakat Melayu. Mungkin kefahaman ini sesuai dihitung oleh penulis sekarang dalam memilih acuan yang terbaik apabila meneliti pelbagai gagasan dan karya yang sampai kepada mereka dari Barat. Dengan itu, mereka pula dapat membina suatu pencerahan yang berbeza dan segar pada era global tanpa sempadan serba mendesak dan memaksa masyarakat dunianya sekarang untuk menyokong suatu sentimen sosial yang sama tetapi sebenarnya kurang sesuai dengan takrif makna diri kita.

Bil. 4/2015

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks