OLEH ROSLI K. MATARI

PENYAIR muda terkemuka, Allahyarham Rahimidin Zahari menghembuskan nafas terakhirnya pada petang Khamis, 14 Mei 2015, kira-kira jam 4.00 petang. Rahimidin meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, sesudah lebih seminggu koma, akibat serangan darah tinggi, turut mengakibatkan angin ahmar dan pendarahan dalam otak.

Selain seisi keluarganya, para penulis serta pencinta sastera dan budaya sepelosok tanah air, apatah lagi para sahabat yang akrab, tentu sahaja berasa amat sayu dan sangat terharu. Pemergiannya, kembali ke alam baqa – bagai hilang sebutir bintang yang indah, hilang sebiji mutiara yang sangat mahal. Anak desa Bechah Keranji, Peringat (Kelantan) ini dilahirkan pada 28 Mac 1968. Usia terakhirnya, 47 tahun, relatif dapat dianggap masih muda.

20 tahun lalu, nama Rahimidin Zahari mendadak mengejutkan dan membuka luas mata umum dalam dunia sastera di tanah air, tatkala kumpulan puisinya, Sekepal Tanah (DBP, 1995) berjaya menggenggam Hadiah Utama dalam Anugerah Sastera Darul Iman III. Sayembara ini, di samping karya penyair Malaysia, turut disertai juga oleh penyair dari Indonesia dan Singapura. Malah, kejayaan ini dikagumi kerana kumpulan ini satu-satunya dilayakkan menggondol Hadiah Utama itu. Di belakangnya, tiada pemenang kedua dan ketiga, melainkan para pemenang hadiah galakan. Justeru, dalam penilaian panel, semua kumpulan lain begitu ketara jarak mutu puisinya, berbanding Sekepal Tanah.

Jauh lebih awal, sembilan tahun sebelumnya, iaitu pada tahun 1986, bakat besar Allahyarham sudah terserlah apabila memenangi Peraduan Menulis Cerpen dan Sajak Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui sebuah puisinya berjudul “Batu-batu di Laman, tersiar dalam Dewan Siswa. Ketika itu, usianya baru menapak 18 tahun. Manakala lapan tahun lebih awal sebelum melantun Sekepal Tanah, dalam jejak usia 19 tahun, sudah pun diterbitkannya sendiri kumpulan puisi pertamanya, Lakaran Kampung (1987).

Rahimidin Zahari dalam usia remaja.

Rahimidin Zahari dalam usia remaja.

Namun begitu, Sekepal Tanah yang tersohor pada tahun 1995 itu, boleh dianggap sebagai titik tolak terpenting bahawa Rahimidin sudah dapat diterima untuk mulai berdiri dalam garis hadapan puisi di tanah air, meskipun dengan labelnya ketika itu masih sebagai penyair muda.

Apabila mengimbas Sekepal Tanah, izinkanlah saya memetik kembali, meski agak panjang sedikit, antara sebahagian kata pengantar oleh Kemala (Sasterawan Negara, Dato’) yang dicatatkannya dalam kumpulan ini:

Seawal 1985 saya mula mengenal sebuah nama penulis muda Rahimidin Zahari yang diperkenalkan kepada saya oleh penyair Rosli K. Matari. “Bang, ini anak didik saya, dia sedang meningkat,” kata Rosli.

Waktu itu anak muda ini belum pun mencapai usia 20 tahun, masih malu-malu, tersenyum di sisi Rosli, tanpa banyak omelan. Tetapi, tampannya berkumis nipis dan bermata tajam, seperti anak muda yang ingin cepat belajar dan mempersiap diri menjadi calon penyair. Seolah-olah seperti burung yang ingin mengembang sayap membumbung ke langit tinggi…Hubungan guru-murid antara Rosli dan Rahimidin, sebelumnya juga dimanfaatkan oleh Moechtar Awang dengan Abdul Aziz H.M.

Memang saya ingat benar akan peristiwa pertemuan kami bertiga, ketika itu. Saya bersama arwah ke bengkel penulisan anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA). Sementelah, saya salah seorang perintis dan ahli jawatankuasa GEMA. Dihadiri Kemala sebagai pembimbing bengkel.

Saya tidak begitu pasti, namun saya yakin dan percaya, Rahimidin mungkin pernah bertemu Kemala lagi selepas kemenangannya itu. Selain ingatan tajam Kemala pada peristiwa pertemuan pertama itu, tentulah sedikit sebanyak Rahimidin pernah turut memaklumkan juga alur perkembangan dirinya pada waktu itu, dimanfaatkan dengan agak terperinci oleh Kemala dalam kata pengantarnya.

Namun, sehingga kini pun, jauh di luar pengetahuan Kemala, isi catatan kata pengantarnya itu – berkaitan hubungan guru–murid antara saya dengan Rahimidin – sebenarnya tidaklah mudah diterima oleh sesetengah sahabat dan kawan dalam kalangan penulis dan penyair di negeri Kelantan sendiri. Malah, ketika itu, ada yang mempersenda saya, dengan kononnya kerana kebetulan ketika itu Rahimidin ada bersama, maka diperkenalkanlah demikian oleh saya sebagai anak murid – dalam erti kata, sebagai guru yang mendidik Rahimidin menulis puisi.

Saya terkejut oleh penafian, tempelakan, sindiran dan sinis oleh segelintir sahabat dan kawan. Saya masih ingat akan peristiwa sewaktu menghadiri jamuan kesyukuran oleh Allahyarham sempena kemenangannya itu. Bersembang di laman tangga rumahnya, di Bechah Keranji itu, saya dihujani oleh kata-kata daripada sesetengah sahabat dan kawan, “Li mengajar dia setakat lagu mana sangat.” Dialek Kelantan itu sangat menusuk hati, menikam, lebih bermaksud bahawa kepandaian Rahimidin menulis puisi adalah asalnya kerana kebolehannya sendiri, bukanlah sangat kerana peranan dan asuhan saya.

Saya tidak menafikan, malah jauh untuk mendabik dada.

Sekadar mampu tersenyum, malu, dan mengangguk, kerana memang saya tahu Allahyarham Rahimidin tentulah akan menulis dan berkembang atas bakat dan kebolehannya sendiri. Saya hanya terdiam, lebih-lebih lagi kerana berasa akan kekecilan diri sendiri pada waktu itu, saya bukan penyair hebat. Bahkan, belum pun memiliki kumpulan puisi sendiri. Namun, saya masih ingat sampai kini, ketika itu sambil tertawa kecil, saya sempat mencengangkan mereka dengan kata-kata, “Saudara semua mengajar dia melukis, tetapi saya mengajarnya mewarna.”

Saya sedar, justeru Rahimidin sudah bergaul rapat dan akrab dengan hampir keseluruhan penyair dan penulis terkemuka Kelantan, malah biasa juga baginya ketika dalam usia peningkatan kepenyairannya, menunjukkan puisinya kepada kalangan penyair Kelantan untuk dikongsikan, malah ditunjuk ajar, diberikan komentar, maka sudah tentulah dia belajar juga daripada mereka semua.

Namun, saya memahami juga, hal demikian justeru tiadalah mereka melalui dan mengetahui agak terperinci banyak perkara, kerana sebahagian besar masa dari sisi mereka tiadalah sebesar dan seperinci masa sebagaimana dia bersama saya.

Saya tidak pernah ingin mendabik dada apa-apa atas bakat dan kreativiti besar kepenyairan Rahimidin Zahari. Sebagaimana sifat kebanyakan guru lain terhadap anak muridnya – impian dan kemuliaan sebenar guru adalah untuk melihat anak didiknya berjaya, malah melebihi daripada dirinya sendiri.

Demikianlah juga prinsip saya, sejak sekian lama, justeru profesion saya ialah sebagai guru. Tanpa bermaksud mengangkuhkan diri, hakikatnya, tentulah saya tidak perlu bergantung apa-apa pada Rahimidin untuk menjadi penyair lebih terkemuka. Dan begitulah sebaliknya, dia juga tidak perlu bertongkat apa-apa daripada saya untuk menjadi penyair lebih masyhur.

Kecuali segelintir sahabat yang benar-benar mengetahui, maka untuk sebahagian besar umum yang lain, meskipun di Kelantan sendiri, saya biarkan sahaja mereka untuk lebih menyangka dan menganggap hubungan saya dengan Rahimidin, sebagai guru–murid, adalah sekadar guru dalam bidang akademik (persekolahan) sahaja.

Pada tahun 1984, sekembali daripada mempelajari Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia, saya memenuhi janji kepada sekolah swasta, Akademi Kenali (kemudian diubah nama Madrasaturrahmah Kenali) di Kubang Kerian, Kelantan untuk pulang mengajar semula. Inilah tempat pertama saya berpeluang bekerja dahulu, bermula dengan profesion guru swasta.

Malah, dua orang penyair Kelantan – Kamil Muhammad dan Ladin Nuawi juga pernah sama, walau tidak begitu lama, mengajar di sekolah ini. Kecuali Kamil, memang sangat saya ingat pernah bersama saya, sebelum kemudiannya berundur mengajar. Namun, kalaulah tidak silap ingatan saya, Ladin tidak bersama di sekolah ini lagi, ketika saya sudah pulang untuk mengajar semula.

Rahimidin hadir mendaftarkan diri sebagai pelajar di sekolah swasta ini pada tahun 1986. Ketika itu, usia saya 25 tahun dan usianya pula 18 tahun. Namun, sebelum dia hadir belajar – kira-kira setahun sebelum itu, saya sudah mengenali dan akrab dengannya. Justeru, biasa bertemu dalam aktiviti sastera, bersembang dan sesekali dia berkunjung ke rumah saya. Ketika itu, saya sudah biasa memberi komentar pada draf puisinya.

Saya masih ingat, beberapa hari persekolahan dibuka, waktu rehat, saya diberitahu oleh seorang guru, ada pelajar menunggu di luar kantin ingin bertemu saya. Dua orang sebenarnya – tersenyum-senyum – Rahimidin dan kawan yang menemaninya. Rahimidin ketika itu berambut lebat, menggerbang, agak panjang. Kurus bagai tinggi lampai badannya. Melihat pada pakaian sekolah, tahulah saya bahawa dia datang belajar di tempat saya. Tentulah saya terkejut, tidak menyangka demikian. Tidak diberitahunya akan datang belajar.

“Kita sambung lagi – saya ingin belajar menulis sajak.”

Kata-kata pertamanya itu membuatkan saya tertawa. Namun, bangga pada minatnya itu. Saya sangat ingat, memberitahunya, saya penulis dan penyair kecil sahaja. Tetapi balasnya, “Kecil, kita buat cara kecil. Tetapi lama-lama boleh jadi besar. Lebih besar daripada cikgu.” Kami bersama-sama ketawa. Nakal sekali dia.

Walaupun jarak sekolah saya dari desanya, kira-kira setengah jam sahaja berkenderaan, namun jika dia memilih sekolah swasta lain di Kota Bharu, walaupun lebih jauh, hal itu sebenar lebih mudah baginya. Jika ke pusat bandar itu, kenderaan boleh terus lurus sahaja ke sana.

Untuk ke sekolah saya, dia berbasikal ke jalan raya, dihumbankannya ke celah belukar, menaiki kenderaan awam, kemudian harus lelah berjalan kaki kira-kira 20 minit, menyusur ke sebelah jalan raya lain lagi, sebelum dapat tiba ke sekolah. Namun, tanpa bermaksud berbangga diri, itulah sebabnya dia memilih demikian, kerana sedia mengetahui saya mengajar di situ dan ingin belajar dengan saya.

Suatu perkara yang tidak diketahui umum, sebelum saya catatkan di sini, Rahimidin Zahari merupakan pelajar yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM).

Pendedahan ini mungkin mengejutkan umum. Namun, pendedahan saya ini tidak akan mengaibkannya apa-apa. Justeru, apa sebenar yang harus dilihat nanti ialah kegeniusan dan ketekunannya. Dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah menengah kerajaan, Rahimidin mendapat kelulusan paling corot bagi BM – iaitu pangkat 7 (pangkat terakhir – gagal). Alangkah jauhnya jarak antara pangkat gagal 7 dengan pangkat cemerlang 1. Itulah sebabnya mengapa dia harus belajar di sekolah swasta, jika ingin meneruskan persekolahan lagi, pada waktu itu.

Bayangkanlah, jika sebagai guru – bukanlah suatu perkara yang amat mudah, membimbing pelajar gagal BM, yang sangat corot, untuk lulus. Apalagi untuk lulus dengan cemerlang. Bayangkanlah, betapa jauhnya beza antara jarak pangkat 7 dengan pangkat 1. Apatah lagi, dalam masa sama, untuk mengasuh pula pelajar pangkat corot 7 BM ini agar dapat menulis puisi, kerana minatnya demikian. Malah, apatah lagi, jika harus matang dan halus pula penciptaan puisinya. Akan sangat terasa, tidak ubah seperti bermimpi di siang hari sahaja.

Demikianlah, sangat saya ingat, justeru sudah pernah mengenali dan akrab dengannya, kasih dan kasihan pada wajah lurus dan teduhnya, bangga pada minat dan impian besarnya, kagum pada susah payah dan kegigihannya, dan tidak ingin menghampakan perasaan serta harapannya kerana mencari dan memilih untuk bersekolah di tempat saya mengajar, maka bermulalah, sekali gus, tiga tanggungjawab besar saya kepadanya.

Tanggungjawab itu ialah:(1) Mengajar BM untuknya secara khusus dan peribadi, di luar persekolahan formal, kerana dia harus mengulang mengambil peperiksaan BM Julai sendiri, (2) Mengasuhnya dalam puisi, dan (3) Pembelajaran formalnya di sekolah.

Secara formal dalam persekolahan pula, oleh sebab dia belajar dalam tingkatan 6 bawah dan setahun kemudian ke tingkatan 6 atas, dapatlah dia mempelajari sejarah sastera Melayu tradisional, sejarah sastera Melayu moden serta kajian teks hikayat, novel dan puisi. Daripada saya, selain Kesusasteraan, dia belajar juga Pengajian Am kerana saya menjadi guru bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Paling diminatinya, tatkala dapat mempelajari novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer. Namun, sekali dua, saya pernah membebel kerana jawapannya dalam latihan dan ujian lebih cenderung menghurai tentang diri Pramoedya. “Jawab apa soalan mahu, bukan apa yang kautahu,” bentak saya. Dia tergelak. Oleh sebab minat membacanya sudah mulai makin meluas, membaca pelbagai esei itu, ini, tentang Pramoedya, tidak hairanlah, jika jawapannya menjadi lebih bercapah demikian. Namun begitu, saya sedar dan mulai melihat bahawa ciri-ciri ilmiah sudah mulai semakin tumbuh dan luas dalam dirinya.

Sungguhpun demikian, dia agak ngeri pada karangan BM. Apalagi, karangan dalam Pengajian Am kerana memerlukan fakta, belum lagi soal menghuraikannya. Namun, tanpa bermaksud mendabik dada, saya harus tabah dan tekun mengajarnya, terutama kerana dia wajib lulus BM Julai yang diambilnya secara persendirian agar tidak terkandas lagi – satu subjek diwajibkan lulus oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Akhirnya, keputusan BM Julai yang diambilnya itu – memperoleh Pangkat 2. Cemerlang, sangat jauh berbeza dengan Pangkat 7 itu dahulu.

Demikianlah bagaimana hubungan rutin kami sebagai guru – murid bermula dan berterusan. Sebelah pagi, dia memenuhi persekolahan formal. Bimbingan bahasa dan asuhan puisi untuknya pula adalah di celah-celah waktu rehat, waktu pulang tengah hari dan sebelah petang. Namun, sejurus loceng pulang, waktu awal petang adalah lebih banyak untuk puisi. Kadang-kadang sehingga lewat petang.

Pagi atau petang hari minggu pula – Jumaat dan Sabtu – kami masih berjanji bertemu di mana-mana kedai kopi di Kubang Kerian, tempat tinggal saya. Begitulah, setiap hari, minggu, bulan, dan berganti tahun, sepanjang dua tahun: 1986 – 1987 itu, ketika dia bersekolah di tempat saya.

Masih jernih dalam ingatan saya, kata-kata pertama saya kepadanya, mengasuhnya menulis puisi, “Apabila kau dikurniakan ilham – Kau jangan pentingkan apa yang ingin kautulis. Pentingkan, bagaimanakah cara untuk kau menuliskannya?”

Sebahagian besar draf puisi dahulu yang awal dibawakannya kepada saya, tidaklah sebagaimana pengucapan dalam keseluruhan puisinya yang dapat kita baca dan nikmati sekarang. Sangat jauh berbeza. Draf awalnya lebih hampir kepada pengucapan sebagaimana puisi Dharmawijaya, Shamsuddin Jaafar dan penyair lain yang seangkatan mereka. Pengaruh ini tidak menghairankan kerana Dharmajiwaya adalah antara penyair yang sangat masyhur ketika itu dan puisi dalam teks pelajar pun lebih banyak didominasi oleh angkatan penyair tersebut.

Malah, Rahimidin meminati sekali pada puisi Dharmawijaya. Bahkan, beberapa draf awalnya, ada berupa penulisan semula atas puisi Dhamarwijaya, bagai pengubahsuaian. Apabila saya mengesan, dia mengelak dengan kata-kata, “Sahaja ingin menguji kepandaian guru.” Untuk itu, saya akan membidasnya, “Loyar buruk, kau ini.” Tergelaklah dia.

Sesetengah puisi draf awalnya itu, meski dengan nada pengucapan sarat bunga bahasa sebagaimana puisi Dharmawijaya, namun ada juga yang memikat hati. Cuma, dia tidak begitu berkebolehan untuk mencipta puisi dalam relatif panjang, sebagaimana Dharmawijaya dan Shamsuddin Jaafar. Itulah sebabnya kebanyakan puisi awalnya relatif pendek. Kebanyakannya sekitar satu dua rangkap kecil sahaja.

Hal ini dapat saya fahami kerana (a) usia serta pemikirannya masih muda dan (b) dia sedang baharu mulai berkembang bakatnya. Kerelatifan puisi pendeknya ini, dapat diteliti dalam beberapa buah kumpulan puisi awalnya, misalnya Lakaran Kampung dan Sajak Kecil Sekitar Tengah Malam (juga diterbitkan sendiri, 1994).

“Kautulislah menjadi diri kau sendiri, bukan untuk menjadi orang lain,” itulah antara nasihat saya, ketika dia pernah melahirkan kecewanya tidak berupaya memanjang-manjangkan puisinya. Sejak itu, dia bertungkus lumus, bagai berhempas-pulas, berusaha menyahut cabaran dan asuhan saya supaya mencipta puisi dalam relatif lebih panjang, melebihi satu atau dua rangkap yang biasa dituliskannya.

Malah, tidak lama selepas itu, saya masih ingat, dia menggeleng-geleng kepala apabila mendapati ada puisi saya berjudul Akhir Senja” dan Sekiranya Wang Logam Itu yang saya tulis mengenai Copernicus dengan teori Langit Baharunya itu agak panjang tersiar dalam Dewan Sastera. Juga kemudian, “Ligabue” dalam Dewan Sastera, yang jauh lebih panjang. Dua halaman, kalau tidak silap ingatan saya.

Itulah sebabnya dalam kumpulan Lakaran Kampung yang memuatkan 30 buah puisi, dapat ditemukan puisinya yang terdiri daripada beberapa rangkap, setelah diperbaiki oleh Rahimidin dalam usaha saya mengasuhnya untuk mengembangkan pemikiran, olahan dan pecahan rangkap pengucapan puisinya. Suatu cabaran dan usaha yang tidak mudah dilaluinya, ketika itu.

Malah, saya masih ingat, sebuah puisinya berjudul “Lakaran Kampung” itu sendiri asalnya tidak mudah, bertungkus-lumus diperbaiki untuk dikembangkannya, berhari-hari, kerana lebih 10 kali saya memaksanya – “panjangkan, kembangkan, lebarkan” – dengan beberapa panduan imaginasi, semata-mata untuk mengasaknya agar dapat beranjak kepada bentuk puisi yang tidak lagi berelatif pendek.

Akhirnya, puisi “Lakaran Kampung”nya benar-benar berupaya diungkapkannya dengan agak panjang, malah lebar pula bentuknya. Puisi ini lalu dijadikannya tajuk bagi kumpulan sulungnya itu. Agaknya kerana dia bangga pada hasil jerih payah kreativiti puisinya ini, mampu berkembang panjang dan lebar demikian, maka diutamakan sebagai tajuk kumpulannya.

Namun demikian, dalam kumpulannya, Sajak Kecil Sekitar Tengah Malam (1997) yang juga dengan sejumlah 30 buah puisi, meski diterbitkannya lewat tujuh kemudian, dapat diperhatikan dengan jelas akan sejumlah besar puisi yang dihimpunkannya itu kebanyakannya memang masih bersifat puisi pendek, meskipun berangkap. Justeru, berasal daripada hasil kreativiti awalnya sepanjang lima tahun sekitar tahun 1986 – 1991 itu.

Dalam usaha mengajar dan mengasuhnya mencipta serta membaiki puisinya, saya berterus terang kepada Rahimidin bahawa saya tidak dapat membimbingnya untuk menulis seperti gaya pengucapan penyair Dharmawijaya yang diminatinya, atau penyair lain. Justeru, saya sendiri pula lebih menyenangi dan mencuba gaya pengucapan biasa, bersahaja, tanpa keindahan bunga bahasa yang lebat-lebat. Lain daripada kebanyakan angkatan terdahulu. Saya memberikan alasan, dari sisi saya, yang penting ialah pembaca mudah memahami, namun tetap mengandungi keindahan.

Saya masih ingat, berkerut dahinya, dengan kata-kata (lebih kurang begini), “Itu lebih payah daripada puisi bunga bahasa – sebab kata-kata biasa, tetapi bagaimana boleh dan mesti indah?”

Oleh hal yang demikian, terpaksalah dia beralih kepada cara dan gaya pengucapan saya, bersahaja sahaja, namun berusaha menimbulkan keindahan, meski tanpa bunga bahasa yang lebat-lebat. Terpaksalah dia bertungkus-lumus kerana hal itu tidaklah mudah. Bahkan, bagai suatu perkara baharu pula bagi dirinya.

Sampai kini, jika saya merenung kembali, saya tidak pasti adakah sebenarnya saya tersilap mendidik dan mengasuh Rahimidin demikian, kerana saya sedar bahawa dia pun tentu akan cukup berkebolehan, seandai pada awalnya dia ingin terus mencipta puisi, sebagaimana pengucapan indah-indah oleh Dharmawijaya, Shamsuddin Jaafar dan seangkatan mereka. Lagipun, puisi Dharmawijaya dan lain-lain yang berwibawa itu juga masih tetap indah dan tinggi mutu pengucapannya.

Akhirnya, itulah sebabnya pengucapan puisi Rahimidin lebih mendekati kepada cara dan gaya pengucapan puisi saya.

Namun, setidak-tidaknya, pada waktu awal itu, saya mempunyai alasan – sukar bagi saya untuk membimbing, menerangjelaskan, berbincang dan mengembangkan minat serta bakatnya berasaskan puisi oleh penyair lain. Berbezalah pula, seandainya berasaskan puisi saya sendiri, tentulah akan menjadi lebih mudah bagi perbincangan dan tunjuk ajar untuk difahaminya.

Tidak terkeluar kata-kata persetujuan daripada lidahnya. Namun, mulailah dia menyalin, meminjam, memfotostat, membawa pulang dan menyimpan kebanyakan draf puisi saya. Termasuk sebahagian puisi dari seawal usia 16 tahun saya yang masih terselamat dalam simpanan, ketika itu.

Malah, sehingga baru beberapa tahun lepas, saya pernah menanyakan kepadanya, kemungkinan dia masih menyimpan draf sebuah puisi saya berjudul “Puisi Romantik Bulan Mei” yang ingin saya gunakan untuk sebuah kumpulan bernada romantik, meski belum terbit. Dia segera mengirimkannya melalui e-mel kepada saya. Saya terharu kerana dia masih menyimpan draf puisi itu, walhal sudah kira-kira 30 tahun berlalu.

Demikian juga suatu waktu lalu, ketika guru dari Kelantan, Suhaimi Mohamad ingin menyiapkan tesis peringkat M.A. di Universiti Putra Malaysia, mengenai puisi saya. Dialah yang menyerahkan untuk guru itu – sejilid agak tebal, naskhah mengandungi agak lengkap puisi saya yang pernah tersiar. Rupa-rupanya, semua puisi itu tekun dicari, dikumpulkan dan ditaipkannya, dari semasa ke semasa.

Tanpa susah payah usahanya, meski secara kebetulan, tentulah tidak mudah bagi calon sarjana itu menyiapkan tesisnya. Sayangnya, jilid naskhah puisi itu akhirnya musnah oleh anai-anai, ketika dalam simpanan saya sendiri. Suatu yang sudah dirungutkan awal oleh Rahimidin, ketika dia keberatan untuk diambil simpan oleh saya.

Salah satu antara cara saya membimbing dan mengasuhnya ialah, dia harus menulis semula puisi saya, berasaskan pemikiran yang diungkapkan, namun haruslah menjelma sebagai puisinya sendiri pula. Kami istilahkan sebagai “refleksi”.

Itulah sebabnya, dari awal sehingga akhir hayatnya, Rahimidin begitu terkesan dan meminati persoalan bayang, usia, kematian, dan tanah perkuburan dalam sebahagian puisinya. Banyak persoalan demikian, memang selalu tampil dalam pengucapan saya.

Malah, dia gemar juga pada beberapa diksi yang saya gunakan seperti huruf usia, oleng-oleng, jejulok (tumbuhan) dan memang diambiljelmakan ke dalam puisinya. “Pinjam sampai mati,” katanya, ketawa panjang. Namun, saya melarang keras tidak membenarkannya menggunakan diksi yang saya sayangi, antaranya juring (sudut) dan temikar (tembikar). Sekali, ketika mengajarnya tentang diksi, dia menampilkan kata bayam peraksi (tumbuhan). Kagum saya kerana menarik sekali.

Selain itu, penerokaan pemikiran keislaman dan kebudayaan. Namun, keislaman dan kebudayaan ialah pemikiran dan pengucapan lazim dalam kebanyakan penyair Kelantan. Sejak dulu, Kelantan terkenal sebagai “Serambi Mekah” di samping sebagai negeri yang masyhur dengan khazanah seni budayanya.

Sejak itu, dalam masa agak singkat, puisinya tidak menyerupai Dharmawijaya lagi. Saya menganggap dia genius – bukan kerana puisi saya – tetapi kebolehannya: pantas dan pintar mencerap, menghayati dan merubah sama sekali ciri dan unsur kreativitinya, malah dapat mencecah kematangan dalam penciptaan puisi, semuda usia 18-19 tahunnya itu, sebelum usia kematangan, kebolehan dan kehalusan kreativitinya semakin meningkat.

Saya mempunyai kenangan yang sangat “klasik” sebagai hubungan guru–murid dalam asuhan, tunjuk ajar, mengkritik dan memberi komen terhadap puisi Allahyarham – iaitu tidak pernah menconteng puisinya.

Semuanya secara lisan berasaskan apa-apa yang difokuskan sahaja pada puisinya, atau apa yang dibincangkan umum. Jika dikenang kembali, saya berasa sangat terharu, teringat pernah disebutnya, meski secara tertawa, “Sombongkah?” Namun, saya menjawab, hakikatnya ialah supaya dia menjadi lebih cerdas, lebih peka untuk mengingat, tanpa sangat bergantung pada corengan dan contengan, dan lebih berkembang imaginasi untuk membaiki puisinya sendiri.

Saya ingat lagi, beberapa kali, dia membawa pen bersama-sama dengan puisinya. Pernah sekali, dia membawa pen agak mahal harganya. “Sudah berisi dakwat merah,” katanya. Saya lupa jenamanya, meski bukan Parker, namun berharga RM45 pada masa itu tentulah agak besar wang untuk dibelinya. Lebih-lebih lagi kerana dia masih pelajar. Entah berapa lama, agaknya, dia mengumpul wang untuk membeli pen itu.

Sungguh, tergenang air mata saya, jika saya mengenang kembali – pen yang dibelikannya itu. Namun, saya tetap mengabaikan pen, dan sejak itu asuhan, tunjuk ajar, pembaikian dan perbincangan adalah tetap tanpa pen.

Sebahagian besar draf puisi awal Rahimidin adalah tanpa tajuk. Saya selalu tergelak oleh segala rencam alasannya, “Tajuk sedang bermain-main dalam kepala”, “Tajuk masih malu-malu untuk menjelma”, dan “Tajuk sedang mencari tajuknya.” Dia selalu pintar dengan pelbagai alasan jenaka. Bahkan, kadang-kadang sehingga dicadangkannya tiga, empat tajuk sekali gus, walau hanya sebuah puisi. Tajuk boleh datang kemudian, ujarnya. Namun, betul juga kata-katanya itu. Saya ingat lagi, mengajarkannya lima teknik untuk mengemukakan tajuk. Namun, hal ini tentulah tidak sesuai dihuraikan di sini.

Saya sudah lupa, tidak pasti, sama ada puisinya, “Batu-batu di Laman” yang mula-mula mencatat kejayaan dalam kreativiti awalnya memenangi hadiah DBP itu, antara draf yang pernah diunjukkan dan diperbaiki bersama-sama saya atau tidak, kerana banyak draf awalnya tidak terlebih dahulu mengutamakan tajuk. Namun begitu, tidak mustahil, mungkin juga bukan diperbaiki oleh saya kerana kreativiti, kematangan dan kesungguhannya cepat meningkat.

Saya ingat benar, sewaktu puisinya, “Batu-batu di Laman” itu berjaya memenangi hadiah DBP, saya berusaha, meski agak sukar awalnya,

Rosli K. Matari dan Rahimidin Zahari bersama-sama Tok Selampit, Pak Da Nor.

Rosli K. Matari dan Rahimidin Zahari bersama-sama Tok Selampit, Pak Da Nor.

untuk diulas dalam rancangan Sudut Sastera di radio RTM Kelantan. Tidak lain, tujuan saya untuk memperkenalkannya kepada khalayak yang lebih luas, di samping terus merangsang minat dan kreativitinya. Namun, tidak mudah juga, sebenarnya. Penerbit rancangan, saya sudah lupa – sama ada Nor Jaafar, Wan Alimi Wan Mahmood (Allahyarham), atau lain – tercengang kerana yang saya kupas hanyalah berupa sebuah puisi, bukan sebuah buku sebagaimana sepatutnya.

Meski begitu, beliau bersimpati dan turut menaruh harapan tinggi kepada penyair muda ini. “Calon penyair,” gelar beliau, berkelakar dengan istilah itu terhadap Rahimidin. “Selepas rancangan, nanti tentu akan banyak dering telefon, merungut – sebuah puisi, bukan sebuah buku,” ujarnya, awal-awal lagi menjangka demikian. Malah, saya masih ingat akan jenakanya, “Silap-silap hari bulan, sebab sebuah puisi ini, aku pula yang kena tukar.” Saya terdiam, sedar bukanlah mustahil, walaupun itu kata-kata jenaka. Namun ternyata, seminggu kemudian, beliau meluluskan esei kupasan saya untuk rancangan itu.

Demikianlah juga halnya, apabila terbit pula kumpulan pertamanya, Lakaran Kampung itu. Sebagai gurunya, saya tetap berusaha melakukan yang terbaik untuk Rahimidin, walaupun sekadar mampu melalui udara radio sahaja. Terpaksa dua kali naik kereta sewa, empat kali kalau pergi balik, jika untuk ke RTM, kerana saya tiada kenderaan. Namun, tentang kupasan ini, saya ingat benar penerbit rancangannya – Wan Alimi Wan Mahmood. Beliau tergelak, sengaja berkelakar, “Buku zaman batu mana, kauulas ini?” Mengingat bahawa bentuk buku Rahimidin itu berkulit kad manila dan isi dalamnya berfotostat.

Namun, Alimi sebenarnya sudah pun mengenali Rahimidin, kerana Alimi juga turut aktif dalam penulisan dan persatuan penulis. Wan Alimi Wan Mahmood inilah kemudiannya terkenal sebagai penerbit dan pengulas sukan RTM, dianggap umum setanding dengan Dato’ Hasbullah Awang (Allahyarham).

Semua puisinya yang terhasil pada tahun 1986-1987 dalam kumpulannya, Lakaran Kampung (1987), puisi 1987-1992 dalam Cemara (1992), dan puisi 1986-1991 dalam Sajak Kecil Sekitar Tengah Malam (1994) adalah ketika zaman kreativiti awalnya bersama saya.

Lakaran Kampung sebagai kumpulan pertamanya itu, diterbitkannya sendiri, menjelang sebelum hujung tahun 1987, ketika sudah naik belajar dalam tingkatan 6 atas. Demikianlah kegeniusan dan kehebatan awalnya kerana ketika baru berusia 19 tahun, dia sudah memikirkan dan dapat menerbitkan kumpulan puisi sulungnya. Bahkan, tidak dapat dinafikan, sebagai kumpulan yang sudah dapat dipuji terserlah tinggi mutu pengucapan puisinya.

Tentulah hal ini kerana dia sangat terangsang, justeru setahun sebelumnya sudah pernah memenangi hadiah DBP, atas bakat besarnya itu, di samping kreativitinya yang sudah mulai semakin berkembang. Namun, dalam pengetahuan saya, adalah juga lebih terangsang oleh rasa untuk memiliki dan menunjukkan kumpulan puisinya ini kepada kekasihnya. Dia sudah mempunyai kekasihnya di sekolah, pada waktu itu – anak tauke tembakau. Maklum, lumrah alam remaja.

Apa-apa pun, kumpulan pertamanya ini cukup membanggakan kerana sudah mulai terserlah kematangan dan kehalusan pengucapan puisinya. Bahkan, penyair lebih berusia pada masa sekarang belum tentu dapat menandingi mutu pengucapan Rahimidin sewaktu masih dalam usia 18 tahun itu.

Saya tetap ingat, sewaktu dia menzahirkan hasrat ingin menghasilkan kumpulan pertamanya. Sudah tentulah tidak mudah bagi saya menolongnya untuk diterbitkan oleh mana-mana penerbit. Sementelahan pula, saya sendiri pun bukanlah penyair masyhur. Namun, saya tidak ingin mengecewakan impiannya. Walaupun saya tahu benar, lebih sebagai manifestasi untuk kekasihnya.

Saya memberikan jalan kepadanya supaya semua sajak untuk kumpulan itu ditaip, (waktu itu kami belum mengenal komputer), kemudian difotostat kulit (kertas warna, kad manila) dan isinya, justeru hasratnya sangat besar ingin memiliki sebuah kumpulan puisi sendiri. Dengan demikian, jika dilipat, dapatlah menjadi sebuah buku, walau nipis.

Selepas saya memilih dan mengasingkan keluar luahan sejumlah puisinya yang menyuarakan ruapan cinta, saya memberikan juga nasihat agar cuba mendapatkan bantuan daripada beberapa orang penyair mapan, yang sudah pun mulai dikenali dan digauli rapat olehnya, agar boleh menolongnya untuk turut memperhalus puisi dan menghasilkan terbitan kumpulan itu. Lakaran Kampung ini kemudiannya dibantu urus cetakan oleh penyair Lim Swee Tin, meski rupa bentuk isi dalamnya dengan huruf mesin taip biasa kerana harga cetakan dan typesetting masih sangat mahal pada waktu itu.

Berjayalah Lakaran Kampung itu muncul merealisasikan bakat besarnya dan memenuhi impian yang terlakar dalam hatinya. Kumpulan ini, jika diamati sampai sekarang, cukup menarik dengan pelbagai pemikirannya tentang renungan diri, kerinduan pada desa, kepekaan dan imaginasi tentang laut dan nelayan, keindahan dan kemusnahan alam, keinsafan pada kematian dan ketakwaan kepada Tuhan.

Oleh itu, dapatlah direnung akan pengucapan dan kematangannya, meski sebagai kumpulan terawalnya, tidaklah melulu bergegas terhadap tema cinta, meskipun ketika itu Rahimidin merupakan penyair muda yang belum begitu jauh berengsot dari usia remajanya.

Satu-satunya puisi yang benar-benar dirayunya, pada awal itu, agar tidak diasingkan keluar oleh saya ialah – “Nota Kepada Seorang Gadis, Bakal Isteri”. Lucu terasa pada hati saya, kata-kata “Bakal Isteri” itu, kerana usianya baru 18 tahun. Saya melembutkan hati, menerima rayuannya dengan senyuman, bagi puisi yang satu ini. Kekallah puisi ini dalam kumpulan ini, justeru saya memahami jiwa dan impian remajanya. Puisi inilah untuk kekasihnya – anak tauke tembakau itu yang bernama Asiah, meski tidak dicatatkan nama untuk didedikasikannya.

Namun, usianya terus meningkat, berubah lagi cintanya, dan gadis itu dahulu tidaklah menjadi bakal isterinya – kerana usia mereka masih terlalu jauh, berliku dan bersimpang, untuk sampai ke jinjang pelamin. Alam remaja memang akan seperti itu, sekadar seindah mimpi.

Suatu perkara mengagumkan, sewajarnya diketahui umum, berkaitan Lakaran Kampung ini ialah tentang puisi yang dimuatkannya berjudul “Anak Laut”, pernah tersiar dalam Dewan Siswa. Selepas lebih 20 tahun kemudian, puisi ini telah terpilih menjadi salah sebuah puisi untuk teks KOMSAS bagi pelajar SPM. Malah, judul puisi inilah dijadikan tajuk bagi buku teks berkenaan. Digunakan sebagai teks pelajar selama kira-kira lima tahun, sehingga tahun lepas. Bayangkanlah kegeniusannya kerana puisi ini dicipta ketika hanya berusia 19 tahun.

Selepas Lakaran Kampung (1987), Rahimidin meneruskan lagi usaha menerbitkan sendiri kumpulan puisinya, Cemara (1992), dan Sajak Kecil Sekitar Tengah Malam (1994) – dalam rupa bentuk buku yang mudah, iaitu secara fotostat, menggunakan kad manila sebagai kulit. Sebuah lagi kumpulan puisinya ialah Piama, namun saya lupa tahun terbitannya kerana naskhah simpanan saya rosak oleh anai-anai. Usaha ini tentu sahaja kerana dia ingin mempertingkatkan lagi kelangsungan kreativitinya, walaupun dengan rupa bentuk buku semudah demikian.

Selepas Sekepal Tanah, Ketua Satu GEMA, Zainal Abidin Muhamad melalui persatuan itu prihatin membantu Rahimidin menerbitkan kumpulannya, Matahari Berdoa (1998). Tajuk kumpulan ini dicadangkan oleh sahabatnya, penyair Nassury Ibrahim. Manakala, kumpulannya terdahulu, Cemara, meski dalam rupa bentuk cetakan mudah, dibantu kos penerbitannya oleh sahabat baik saya, Cikgu Ilmin Abdullah, yang turut sangat akrab dengannya. Nama Ilmin diabadikannya dalam kata pengantar kumpulan ini sebagai menghargai budi besar itu. Pada tahun 2005, DBP menerbitkan lagi sebuah kumpulan baharunya, Di Kebun Khatulistiwa. Selepas diterbitkan bercetak oleh GEMA dan DBP, tiadalah dia perlu menerbitkan kumpulannya, semudah seperti cara dan bentuk awal itu lagi.

Di samping kebanyakan masa harian dia bersama saya, pada hari minggu, kami bersama-sama bertemu di Kota Bharu pula. Lazimnya, pada petang Sabtu – bertemu, berkumpul dan bersembang bersama-sama dengan para sahabat penulis dan penyair, sambil minum di “kedai merpati”, terletak di tengah-tengah lokasi antara gelanggang seni, stadium dan Hotel Perdana.

Antara kami – yang selalu hadir ialah Ilmin Abdullah, Wadi Leta S.A., Mustapha Jusoh (Allahyarham), Abdul Hadi Yusoff, dan Ahmad Zawawi – bagai ahli tetap di warung itu. Sesekali hadir juga Haron A.H. (Ketua Satu PPK), Zainal Abidin Muhamad (Ketua Satu GEMA), Nurzailani Nuzi, Talib Y.K. (Allahyarham), Maarof Seman SR, Norhisham Mustaffa, Wan A. Rafar, Darma Mohamad dan Abdulhadi Muhammad. Jika tidak untuk bersembang, minum, maka sudah tentulah bagi apa-apa acara sastera di gelanggang seni oleh beberapa persatuan penulis dan budaya.

Rahimidin menjadi semakin matang, menimba pengetahuan, pengalaman, rangsangan dan kreativiti bersama-sama kalangan tokoh penyair, deklamator puisi, dan penulis Kelantan terkemuka secara lebih meluas. Dia turut melibatkan diri dalam teater bersama-sama dengan Rosli Mohd Nor, Salleh Yacob dan M. Arif melalui badan Teater Saadong yang ditubuhkan dan digerakkan bersama, sejak seawal tahun 1985.

Jika kembali ke sekolah, selain bersama saya, Rahimidin berpeluang juga bergaul akrab dengan Ustaz Mujahid Adil (Allahyarham) yang turut mengajar di sekolah saya. Awalnya dahulu pernah menjadi guru saya, ketika saya masih belajar. Beliau ulama yang berasal dari Pattani. Malah, beliau juga merupakan penyair Pattani terkemuka. Sesekali, saya dan Ustaz Mujahid saling tergelak. Justeru, beliau sebagai guru agama bagi saya dan sebaliknya, saya dahulu muridnya, kemudian menjadi guru pula bagi penulisan puisinya.

Saya bersyukur dapat menyemai pula minat Rahimidin untuk mendalami agama dan “menadah kitab” dengan Ustaz Mujahid. Pada masa terluang, selain saya, Rahimidin dapat ikut bersama mempelajari fikah, hadis, al-Quran, tasawuf, dan beberapa kitab yang dibimbing oleh Ustaz Mujahid. Bahkan, semasa sudah bertugas di Istana Budaya, setiap kali pulang, dia tidak akan lupa mengunjungi, walau sekadar sesempat masanya untuk masih terus belajar ilmu agama dengan tokoh ini.

Panjang sekali hubungannya dengan Ustaz Mujahid ini, bayangkanlah, sejak dari usia remajanya, sehinggalah tokoh ulama dan penyair Pattani terkenal ini kembali ke rahmatullah beberapa tahun lepas. Malah, sekalipun sudah menetap di ibu kota, minatnya mendalami ilmu agama dan “menadah kitab” ternyata tidak luntur, masih diteruskannya menghadap beberapa orang profesor dan tokoh ulama terkenal lain.

Mengenai Ustaz Mujahid Adil, dalam kreativiti mutakhir Rahimidin, memang terdapat beberapa buah puisinya yang terilham berdasarkan persahabatan dan menziarahi ulama itu di kediamannya di Lubok Jambu, Mulong, Kelantan. Malah dalam laman blognya, Rahimidin pernah memuatkan sebuah puisi saya bertajuk “Kasihku Pada Pattani”, pernah tersiar dalam Dewan Sastera, yang saya dedikasikan pada Ustaz Mujahid.

Untuk menyemai dan memperluaskan lagi minat Rahimidin dalam warisan budaya, ketika masih usia remajanya, saya membawa dan mendedahkannya untuk mengenali secara lebih dekat dengan warisan selampit. Dapatlah dia mengenali dan membimbingnya menyelidik serta mendokumentasikan tradisi selampit itu bersama-sama saya.

Saya membawanya bertemu Pak Da Nor (Allahyarham) di Kg. Bekelam, Bukit Marak dan juga Pak Leh Selampit (Allahyarham) di Kg. Wakaf Aik, Tawang. Malah, sebenarnya, dapat saya rumuskan, inilah dua tokoh tukang selampit yang tulen masih tinggal dalam warisan terakhir budaya selampit di Kelantan pada waktu itu.

Ada kenangan lucu dan sedih kami berkenaan hal ini. Oleh sebab tiada kenderaan, saya meminjam motosikal kawan. Rahimidin jadi pemandu, saya jadi pembonceng. Di pertengahan jalan pulang, kami disaman polis kerana tiada lesen memandu dan kemudian bocor tayar pula. Terpaksalah dituntun, berbatu-batu, bergilir-gilir. Semua kedai motor pula tutup kerana cuti hari Jumaat.

“Kita ini – seperti pencuri tarik lembu,” katanya, tersengih malu kerana jalan pulang masih jauh lagi.

Selain itu, saya membawa Rahimidin bertemu dalang wayang kulit yang paling terkemuka di Kelantan, Dollah Baju Merah (Allahyarham), kerana saya sudah lama akrab dan mengkaji tentang tokoh dalang tersohor ini dan wayang kulitnya. Peristiwa kunjungan ini pernah saya abadikan menjadi sebuah cerpen.

Namun begitu, cerpen “realisme” berbentuk rakaman ini sebenarnya merupakan suatu eksperimentasi supaya turut dapat dianggap sebagai esei. Pernah tersiar dalam majalah Spektra, namun saya lupa tahun terbitannya. Belakangan tahun kemudian, disiarkan semula oleh Rahimidin dalam majalah Pentas yang dikelolanya. Tujuan Rahimidin adalah supaya karya berubah lagi konsepnya sebagai “karya naskhah” dan boleh digunakan untuk bentuk “Teater Bercerita”, atau mungkin monolog. Namun, tidak pula pernah memikat hati sesiapa untuk cuba dipentaskan.

Dalam cerpen-esei itu, saya kemukakan dengan jelas, dialog yang saya jujurkan kepada dalang hebat itu, “Abang Lah, anak muda ini adalah sebagai ganti saya untuk menyelidik tentang diri Abang.” Akan tetapi, ternyata bahawa Rahimidin mampu melangkah lebih jauh. Bukan sekadar akrab, mengambil berat dan meneruskan kajiannya terhadap dalang besar itu, bahkan Dollah Baju Merah itulah menjadi Tok Guru Dalang bagi dirinya, justeru Rahimidin sendiri akhirnya dapat turut menjadi dalang wayang kulit.

Lebih jauh daripada sangkaan saya dahulu – bukan sekadar selampit dan wayang kulit, bahkan Rahimidin meneruskan lagi minat budayanya terhadap warisan makyung. Selain buku koleksi esei makyung yang diselenggarakannya bersama-sama dengan Sutung Umar RS, kesenian makyung ini turut dijelmakannya menjadi salah sebuah skrip teaternya, “Rebab Berbisik” – salah satu pementasan teater yang amat masyhur di tanah air.

Setelah usia Rahimidin semakin beranjak menjadi muda belia, sekembali dia daripada menuntut Seni Kreatif (Seni Halus) di Universiti Sains Malaysia, oleh sebab masih menganggur, saya cuba mencarikan pekerjaan yang sesuai untuknya. Melalui jasa baik sahabat saya, Cikgu Ariffin Harun (adik kepada tokoh veteran UMNO, Tan Sri Hassan Harun), dapatlah dia menjadi guru swasta – mengajar bahasa dan sastera – di Sekolah Kadir Adabi, Kota Bharu.

Pada tahun 1992, ketika usianya 24 tahun – berjayalah dia dalam peperiksaan dan temu duga untuk menjadi Pegawai Kebudayaan (Kementerian Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Malaysia), ditempatkan bertugas di Pahang. Saya juga pernah berjaya untuk jawatan yang sama, selang selepas itu dan ditempatkan di Negeri Sembilan. Namun, akhirnya saya menolak, dan kembali menjadi guru semula.

Meskipun Rahimidin sudah berada jauh di Kuantan, namun sesekali pulang, dia masih membawa puisinya untuk diamati dan ditegur ajar oleh saya. Sangatlah saya ingat, dia masih merendah diri ketika meminta ditelitikan, dipilih dan diasingkan sejumlah karya yang ingin dimasukkannya ke dalam kumpulan untuk menyertai sayembara Darul Iman. Padahal ketika itu, dia sudah pun begitu matang dalam kreativiti puisinya.

Berdasarkan salah sebuah puisinya berjudul “Sekepal Tanah” yang dimuatkan, maka saya cadangkan agar puisi itu dipilih menjadi tajuk kumpulannya. Justeru, saya memang meminati pemikiran tentang usia, maut dan tanah perkuburan.

Juga, saya ingat lagi, beberapa bulan kemudian, sewaktu meneliti kembali salinan manuskrip kumpulan itu yang dibawanya pulang, saya terkejut mendapati masih ada tiga buah puisi – berjudul “Di Kebun Mawar”, “Kecaian Bunga”, dan “Kemerdekaan” di dalamnya. Sedangkan, ketiga-tiga buah puisi itu asalnya adalah antara yang sudah saya asingkan keluar.

Bukan kerana mutu pengucapannya. Tetapi kerana pada tanggapan saya – misalnya, penghormatannya kepada Pak Sako dalam puisi “Kemerdekaan” itu – kurang sesuai, berbanding puisi lain dalam kumpulannya itu, justeru bernafaskan keislaman.

Pucat mukanya, berkerut dahi, kerana kumpulan itu memanglah sudah dikirimkannya, beberapa bulan lalu untuk sayembara. “Silap besar. Macam mana saya boleh tersasau? Agaknya dulu, saya sendiri tersilap letak, silap ambil, bercampur,” getusnya. Saya tergelak, “Semasa longgok susun dulu, angin yang tolak masuk tiga sajak itu, agaknya.” Tetapi dia tidak ketawa. Kesalnya bukan main.

Saya tidak ingin dia dicengkam oleh rasa sesal dan dihantui oleh rasa mungkin tidak akan berpeluang menang apa-apa, sekalipun hadiah sagu hati, walaupun tidaklah dia menaruh harapan besar. Puas juga cuba berfikir agar dia tidak berasa sangat kecewa.

Akhirnya, pada ketika lain, saya terfikir, dan terus mendail telefon. “Kemerdekaan dan hormat pada pejuang adalah juga suatu kemuliaan dalam nilai Islam. Ada hadis menyuruh kita mencintai watan,” ujar saya. Namun, tiadalah saya dapat melihat wajahnya, sama ada sudah berair muka tenang atau masih gundah bergelora.

Oleh hal yang demikian, dia terkejut besar, di luar sangkanya akan benar-benar berjaya menggondol Hadiah Utama melalui Sekepal  Tanah. Namun hakikatnya, benarlah sebagaimana dicatatkan Kemala dalam kata pengantarnya itu – “Dia cepat ‘mendewasa’ dan menemukan pengucapannya.” Ulasan Panel Penilai pula, tentang kekuatan kumpulan ini, antara lainnya, “berjaya menguasai subjek dan unsur-unsur di sekitar peribadi, luaran dan pengalaman religusnya hingga menjadikan kumpulan ini bertenaga.”

Untuk sepanjang hayat, saya akan selalu terkenang – peristiwa tidak membenarkannya untuk membanggakan, menyebut-nyebutkan saya sebagai “guru puisi”nya.

Tidak lama selepas majlis kenduri kesyukuran di rumah desanya, Bechah Keranji, Rahimidin memaklumkan kepada saya bahawa dia dipelawa oleh Dewan Sastera untuk menuliskan pengalaman diri dan kreativiti kepenyairannya. Saya sempat meneliti tulisannya sebelum dikirimkannya. Terdapat perenggan menceritakan sedikit sebanyak, menganggap saya sebagai guru dalam kreativiti puisinya.

Namun, justeru sangat terkenang akan segala sinis oleh sesetengah sahabat dan kawan, maka saya seikhlas hati dan merendah diri, meminta ditiadakan nama saya. Sementelah, saya tidak masyhur dan tiada apa-apa kumpulan puisi pun diterbitkan. Saya tidak ingin imejnya ditertawakan orang disebabkan kekecilan saya.

“Oleh itu, guru saya – siapa?” tercengang dia.

Termenung, lambat-lambat saya menjawab, “Semua – siapa yang pernah kaupelajari puisi daripada mereka, walaupun sebaris. Semua – siapa sahaja yang pernah menunjuk ajar, menconteng puisimu, walau sepatah, walau setitik noktah. Buku yang kaubaca, alam yang kautemui, termasuk kaca yang pernah menusuk kakimu dan petir yang kautakuti – adalah gurumu.”

Sejenak, termenunglah dia pada kata-kata itu. Saya terpaksa berterus terang kepadanya bahawa saya harus merendah diri, tidak ingin mengecilkan hati sesetengah sahabat dan kawan, malah dia harus berterima kasih kepada sekian ramai sahabat dan kawan yang menunjuk ajar.

Apabila tulisannya tentang pengalaman dan kreativiti kepenyairannya tersiar dalam Dewan Sastera – perenggan itu benar-benar telah diubaha. Saya tahu benar bahawa dia tidak akan menderhaka apa-apa pada kata-kata, permintaan dan nasihat saya – dari awal sehingga selama-lamanya.

Dalam perenggan itu, maka disebutkanlah olehnya akan sekian ramai guru yang dia terhutang budi. Namun, tiada seorang pun daripada nama yang didakwanya sebagai gurunya itu terdiri daripada kalangan sahabat dan kawan – para penyair Kelantan, termasuklah saya sendiri pun. Agaknya, seperti saya, dia pun tidak ingin mengecilkan hati sesiapa.

TG

Tuan Guru Rosli K. Matari – catatan tulisan tangan terakhir Rahimidin Zahari kepada guru dihormatinya.

Sebaliknya, dalam seperenggan besar itu, para gurunya – disebutkan nama-nama pujangga, pengarang besar, tokoh ulama terkemuka yang sebenarnya berasal daripada buku mereka yang pernah dibacanya. Saya tidak ingat semuanya, tetapi antaranya ialah Jalaluddin Rumi, Jamaluddin Al-Afghani, Hamka dan lain-lain. Yang tidak seorang pun pernah ditemuinya. Juga beberapa orang sasterawan besar di tanah air, yang sebenarnya bagai sekali setahun sahaja ditemuinya.

Saya tersenyum lebar membaca perenggan itu.

Malah, sehingga kini, sungguh saya tidak tahu kalau kemungkinan ada mana-mana tokoh, guru atau individu lain yang lebih komited dan berperanan besar kepada Rahimidin. Dari sisi saya, hanya sekadar dapat diringkaskan secara tujuh garis berikut sahaja:

(1)  Menjadi guru pendidikan formalnya – subjek Kesusateraan (STPM).

(2)  Membimbingnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (SPM – BM Julai), daripada Pangkat 7 berjaya kepada Pangkat 2.

(3)  Mendidik dalam penulisan puisi selama kira-kira tujuh tahun, dari 1985 – 1992, dari usianya 17 – 24 tahun.

(4)  Membetulkan kumpulan puisinya bermula daripada kumpulan pertama, Lakaran Kampung (1987) [usianya 18 tahun], Cemara (1992) [usianya 24 tahun], Sajak Kecil Sekitar Tengah Malam (1994) [puisi dari tahun 1986-1991, meski diterbitkan ketika usianya 26 tahun] dan terakhir ialah Sekepal Tanah (1995) [usianya 27 tahun].

(5)  Menyemai minatnya “menadah kitab” dan ke arah mendalami Islam bermula sejak usianya 18 tahun.

(6)  Menyemai minatnya ke arah menyelidiki warisan kebudayaan – bermula dengan tradisi selampit dan wayang kulit sejak usianya 18 tahun.

(7)  Adakah gaya pengucapan puisinya amat jauh sama sekali, berbeza daripada puisi saya?

Saya tidak pernah menceritakan apa-apa kepada Allahyarham tentang peristiwa segala kata sinis oleh segelintir sahabat terhadap saya dahulu. Yang saya pesan ialah – jangan kecilkan hati mana-mana sahabat dan kawan. Saya sedar, ramai yang sangat berasa bahawa dirinyalah yang berjasa menunjuk ajar puisi kepada Rahimidin. Memang mereka ialah guru kepada Rahimidin. Tinggal lagi, adakah sebagai guru tempelan, guru sekali-sekala masa, atau guru sebesar-besar masa – sekalipun jika dalam mengasuh puisi.

Sehinggalah pada akhir hayatnya, Rahimidin tidak pernah mengetahui tentang peristiwa segala kata sinis, sindiran, tempelakan, dan penafian terhadap diri saya.

Justeru, esei ini bukanlah sebagai suatu biodata mengenai Rahimidin Zahari, tiadalah perlu saya menyenaraikan segala jujukan tulisan dan buku yang telah dihasilkan, hadiah dan anugerah yang pernah dimenangi, penglibatan aktiviti sastera dan seni budaya di dalam dan luar negara, serta merumuskan jasa dan sumbangan besar Rahimidin dalam perkembangan kesusasteraan mutakhir dan warisan kebudayaan tanah air. Sejarah sudah lama mengetahui akan hal ini.

Sungguhpun demikian, kata-kata oleh penulis muda terkenal, Hafizah Iszahanid, baru-baru ini sangat menarik, walau mungkin mengharukan hati, untuk kita renungi dengan mendalam, “Sesuatu yang mungkin perlu diambil iktibar selepas pemergian Rahimidin Zahari adalah bagaimana kita selalu gagal menilai permata, meskipun cahayanya terang di hadapan mata.” (Berita Harian, 18 Mei 2015).

Namun, sejarah yang berlalu akan tetap berlalu. Seandainya Rahimidin Zahari sebagai tokoh penyair, pengarang, budayawan, dan editor yang cukup terkemuka ini masih panjang usianya, saya sangat yakin dan percaya, jika dari Kelantan – nescaya masa akan datang dapat menyaksikan, dialah yang akan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kedua selepas S. Othman Kelantan.

Esei ini diakhiri, dengan rasa sangat terharu, meminjam dan mengulangi doa penulis terkenal Kelantan, Norhisham Mutaffa melalui facebooknya, “Allahu Akbar. Alangkah besarnya kudrat-Mu, ya, Allah. Alangkah sempurnanya Iradah-Mu, ya, Allah. Telah Engkau kembalikan adik kami pulang ke sisi-Mu, ya, Allah. Dari-Mu kami datang, kepada-Mu kami berpulang, kerana demikian itulah ketentuan-Mu, ya, Allah. Maka letaklah ruh Rahimidin bin Zahari di samping para kekasih-Mu, ya, Allah. Al-Fatihah.”

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks