PEMBACAAN merupakan suatu proses penghayatan teks yang menyemai interpretasi makna daripada keseluruhan teks yang dibaca. Pembacaan juga, sebenarnya, merupakan suatu kerja yang serius dan membebankan, ditelusuri dengan akal yang tajam dan kritikal untuk mengesan, menganalisis, menghadamkan, dan akhirnya memahami sesebuah teks yang ditelaah.

Oleh sebab itu, daripada suatu pembacaan yang tekun dan panjang, kita dapat menilai “mutu” dan “kekuatan” sesebuah teks. Mutu yang dinilai selalunya timbul daripada suatu kesedaran si pembaca bahawa teks yang sudah dibaca itu memberikan suatu “makna” dan “rasa” yang berbeza daripada pembacaan biasa. Pengalamannya seakan-akan memberikan suatu kepuasan dan keharuan yang jauh bergetar dalam jiwa. Makna yang timbul dan dicerap daripada teks itu, selalunya mula membuka minda si pembaca untuk merenung persoalan dan ilmu yang dihujahkan dan dibincangkan, membuatkan si pembaca “berfikir” dan membina suatu kefahaman segar yang mengujakan.

Daripada rasa dan makna yang baik dan berguna itulah, kita dapat menilai kekuatan mutu sesuatu pembacaan karya. Srengenge dan Salina merupakan contoh novel yang diiktiraf sebagai “adikarya malar segar” kerana setiap generasi zaman yang menemuinya mendapati suatu pengalaman rasa dan makna yang luar biasa. Namun begitu, generasi pembaca yang sofistikated dan terbuka dengan pelbagai jenis pembacaan sekarang mula menemui beberapa “klasik bermutu” yang jarang-jarang dipandang oleh pembaca era dahulu. Kini, puisi kabur yang susah difahami pada era 1970-an sudah mula dinikmati oleh pembaca muda. Novel Di Negeri Belalang (1989) karya Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan didapati baru-baru ini oleh penulis muda, Wan Nor Azriq, sebagai novel pascamoden terawal yang pernah dihasilkan di Malaysia. Malah, dalam kalangan pembikin filem muda, mereka mula mendapati Chuchu Datok Merah (1963) karya M. Amin sebuah adikarya yang jauh lebih genius dan mantap dari segi kandungan dan teknik pembikinannya daripada filem klasik Melayu yang selalu disebut orang.

Hal ini menunjukkan, zaman yang berganjak akan melahirkan pembaca dan peneliti yang lebih dinamik dan berbeza dengan zaman karya tersebut diterbitkan. Dalam sepuluh tahun nanti, pelbagai lagi adikarya klasik yang akan ditemui, mendekati keinginan dan kepuasan pembaca masa hadapan, sekali gus mengisi pembacaan rasa dan makna yang lebih baharu dan segar.

Julai 2015

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks