SEMPENA kehadiran Hari Kemerdekaan Malaysia pada bulan Ogos, fokus Dewan Sastera kali ini membincangkan peranan sastera kebangsaan dalam memperkasakan integrasi nasional. Walaupun isu ini mungkin pernah diperkatakan berkali-kali dan dilihat sebagai basi dan ketinggalan pada era sekarang, realitinya masih mewarnakan keadaan curiga dan prasangka terhadap kemampuan sastera kebangsaan untuk menyatukan pelbagai etnik di negara ini, khususnya di Semenanjung Malaysia. Keadaan ini masih terus berlaku kerana kurangnya kewujudan suatu medan pertemuan yang dapat menyatukan pelbagai kelompok dalam satu suasana yang harmoni dan bertamadun. Oleh sebab itu, karya sastera sebenarnya dapat menjadi medan penghubung yang mendamaikan, agar setiap pendapat daripada pelbagai etnik dalam masyarakat diraikan secara sekata.

Namun begitu, pencarian suatu karya sastera dalam bahasa kebangsaan yang “ideal” supaya dapat dikongsi dan dihargai oleh setiap etnik sebenarnya agak susah dan hanya berlaku secara kebetulan pada karya-karya yang tertentu sahaja. Malah, pendirian kebanyakan penulis pelbagai etnik, lebih senang menghasilkan karya dalam bahasa ibunda mereka, dibaca dan diperkatakan dalam kelompok yang tertutup. Memang terdapat usaha baik daripada beberapa pertubuhan yang terus-menerus menterjemahkan karya tersebut ke dalam bahasa kebangsaan, namun usaha ini masih sedikit dan tidak berkembang dengan baik. Segelintir pembaca sastera bahasa Inggeris tempatan pula berpendirian bahawa karya sastera berbahasa Inggeris lebih ampuh dan berdaya untuk menyatukan pelbagai etnik pembaca di dalam negara, malah dapat membawa “sastera Malaysia” ke mata dunia.

Hal sebegini mengancam pelestarian nilai sastera kebangsaan kerana sikap segelintir masyarakat kita yang masih tidak mempercayai kekuatan dan keampuhan bahasa kebangsaan sendiri. Tidak kenal maka tidak cinta. Hanya mereka yang benar-benar mengenali bahasa Melayu lantas menggunakannya pada setiap waktu dengan hati nan ikhlaslah yang dapat mendalami kedinamikan bahasa ini untuk menjelajah pelbagai ruang perkembangan peradaban dan wacana. Kita bersyukur apabila terdapat beberapa penulis Malaysia yang terus-menerus mempercayai keampuhan bahasa kebangsaan dan melahirkan hasil pandangan dan kreativiti melaluinya. Contoh terbaik pada tahun ini ialah novel setebal 718 halaman, Ah Fook nukilan Jong Chian Lai. Novel ini membawa rasa dan pandangan segar akan pemetaan semula identiti bangsa dalam pengalaman latar Sarawak dan imigran Cina sebelum Perang Dunia Kedua sehingga era Malaysia melangkah ke arah kemodenan. Malah, novel ini berjaya merangkul tempat pertama dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH Musim Kedua bagi kategori novel. Kejayaan ini tentu tidak dapat dicapai oleh Jong jika beliau tidak menjiwai “Bahasa Jiwa Bangsa”. Baginya, pembinaan bangsa dan peradabannya bermula dengan bahasanya yang satu, utuh hidup dan terjaga oleh bangsanya yang sedar dan cakna untuk masa depannya.

Ogos 2015

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks