SEBENARNYA, jika diperhatikan betul-betul, sastera kontemporari Malaysia memang sedang mengorak ke arah suatu perubahan. Fenomena perubahan itu dinamakan oleh S.M. Zakir dalam fokus bulan ini sebagai “era transisi”. Era merujuk zaman tertentu atau suatu jangka waktu yang bermula dari peristiwa atau waktu yang tertentu. Transisi pula merujuk suatu peralihan daripada suatu keadaan.

Dalam fokus S.M. Zakir, beliau menyatakan bahawa “era transisi” itu berlaku sewaktu Malaysia sedang di ambang era abad ke-21, dengan kebimbangan terhadap pepijat berteknologi tinggi yang kononnya akan menghentikan semua fungsi dan gerakan algoritma elektronik satu dunia, Y2K. Namun begitu, Y2K tidak berlaku. Manusia terus hidup tenteram, namun dalam dunia penulisan arus perdana, muncul para penulis muda dengan kandungan, gaya, persembahan dan kecenderungan yang sedikit berbeza, malah, menyambung kesinambungan bereksperimen dengan karya, seperti yang pernah dibuat dalam karya absurdisme dekad 1970-an, karya eksperimen dekad 1990-an, dan penghujung abad ke-20.

Hanya, S.M. Zakir sengaja tidak menyentuh, suatu adikarya yang menjadi jambatan atau penghubung era eksperimen penghujung abad ke-20 dengan para penulis dan pembaca sastera muda alaf ke-21, yakni novel atau kumpulan cerpen (kategori ini pun sudah disamarkan), Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan. Novel ini ditulis berdasarkan ilham daripada kemelut krisis kewangan dan politik kebangsaan yang melanda Malaysia pada tahun 1998. Kemelut dan krisis sememangnya membawa petanda dan arus perubahan terhadap riak dan luahan masyarakatnya. Dalam masa yang sama, para karyawan dan seniman turut memberikan tindak balas dan suara yang tersendiri dalam merenungi perubahan nadi negaranya. Kemungkinan itu, Naratif Ogonshoto menjadi semacam suatu karya yang bukan sahaja reaktif terhadap arus perubahan negara tetapi juga kepada landskap sasteranya. Beberapa genre dan gaya penulisan dicampur aduk, digaul sehingga sebati. Orang susah hendak menyatakan jika novel itu kumpulan cerpen, satira politik, fiksyen sains, fantasi, surealis, atau kesemuanya. Semangat inilah yang terus-terusan, menjadi rujukan, kekaguman, dan aspirasi generasi seterusnya untuk bertungkus-lumus mengubah padang hijau sasteranya.

Dalam hal inilah, S.M. Zakir mendapati, sudah ada sekumpulan penulis yang berjaya menyahut cabaran Naratif Ogonshoto, dalam memberikan nilai baharu dalam konteks pemikiran dan estetika mewakili zaman mutakhir sastera kontemporari Malaysia. Lutfi Ishak, Saharil Hasrin Sanin, Ridzuan Harun, Roslan Jomel, Rebecca Ilham, Ruhaini Matdarin, Wan Nor Azriq, dan Fahd Razy mengisi tampuk barisan paling hadapan dalam hal ini, mewarnakan era transisi dengan beberapa karya yang penting dan berjaya meletakkannya dalam sejarah sastera negara yang akan dirujuk pada masa hadapan.

Oktober 2015

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks