PADA TAHUN LEPAS, terdapat suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Setiausaha Tetap Panel Hakim Hadiah Nobel Kesusasteraan, Horace Engdahl, yang mencipta kontroversi dalam perjalanan pemilihan penerima Hadiah Nobel. Engdahl seperti menekankan, mengapa pengarang Amerika Syarikat tidak mungkin dapat menerima anugerah persuratan paling berprestij itu. Dengan lantang, beliau berhujah bahawa pengarang Amerika Syarikat tidak akan menerimanya kerana rata-rata para pengarangnya merupakan hasil keluaran sekolah penulisan atau bengkel penulisan yang sudah “mengikut format atau piawai tertentu”, “tercabut daripada masyarakat”, dan “mencipta suatu perhubungan penulis yang tidak sihat dengan institusi (yang menyediakan kelas atau bengkel tersebut)”. Baginya, pengarang sejati merupakan manusia sastera yang tidak mempelajari sastera melalui sesebuah institusi, tetapi menghasilkannya melalui pengalamannya bergelumang dalam masyarakat secara sendiri, baik dia seorang pemandu teksi, kerani, setiausaha, atau pelayan restoran.

Jika kita ambil kenyataan Engdahl secara verbatim, kita juga terperangkap dalam pembinaan “kepulauan sastera” kita sendiri yang terlalu bergantung pada bengkel penulisan untuk menghasilkan penulis dan kurang mencari “suara dan pengalaman sendiri” dalam proses penulisan apabila berinteraksi dengan masyarakat. Adakah ini bermakna peluang untuk kita memenangi Hadiah Nobel tipis? Mungkin, kita hanya dapat berharap kepada ahli-ahli ASAS 50 yang masih hidup untuk memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan kerana mereka sememangnya “pengarang sejati” yang mengikut hujah Engdahl, tidak terlahir daripada mana-mana sekolah penulisan dan bernafas dalam kemelaratan dan keberadaan masyarakat semahu-mahunya.

Namun begitu, apabila kita membaca fokus isu kali ini yang ditulis oleh Nazmi Yaakub, kita sedar bahawa polemik yang berlaku merupakan antara “alasan” yang dicipta oleh panel hakimnya supaya menjustifikasikan pemilihan satu-satu calon pada tahun itu, tanpa mempedulikan pemerhatian dan analisis yang dilakukan oleh khalayak dan pengkritik sastera terhadap beberapa pilihan mereka yang dilihat layak diberikan Hadiah Nobel Kesusasteraan. Seakan-akan, masing-masing hanya membina alasan mereka sendiri.

Namun begitu, ada sesuatu yang kita dapat pelajari daripada pendirian Engdahl, tanpa cuba melihat jika kita berjaya mengorak langkah ke arah perlumbaan Hadiah Nobel dalam satu dekad lagi. Sastera Malaysia hanya dapat diantarabangsakan apabila karyanya sudah diterjemahkan secara berleluasa dan mendapat perhatian khalayak sastera utama dunia. Mungkin sudah tiba masanya Malaysia bukan sahaja dipromosikan oleh kedutaan kita di luar negara dengan makanan dan tarian tempatan sahaja, tetapi karya dan para pengarang Malaysia.

November 2015

Be Sociable, Share!