PADA ISU Karyawan Bulan ini, Dewan Sastera memaparkan seorang penyair yang menyerlah tetapi jarang-jarang diperkatakan, Saudara Rudi Mahmood. Rudi seperti disembunyikan oleh zaman serba laju dan kehadiran pelbagai pengarang bersilih ganti. Namun begitu, terdapat suatu kesegaran bahasa, pesona pemikiran, dan lenggok alam Rudi yang perlu dibawakan kepada pengetahuan umum agar mutiara yang tersembunyi ini mendapat tempat yang sepatutnya.

Begitu juga dengan pilihan fokus kali ini oleh Ramzah Dambul yang membicarakan keunikan karya dan kearifan geografi tempatan penulis Sabah. Hasil karya penulis Sabah jarang-jarang sekali dikenali umum, khususnya pembaca dari Semenanjung. Namun sebenarnya, terdapat pemikiran dan kematangan yang tersulam dalam karya mereka, menampilkan keunikan tempatannya tetapi masih dapat berkomunikasi secara universal.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah apabila pengarang Sabah yang prolifik, Jasni Matlani berjaya menjadi penerima S.E.A. Write Award pada tahun ini. Sidang editorial cukup berbangga dengan kemenangannya dan mengucapkan syabas kepadanya.

Suatu lagi berita yang menggembirakan ialah kejayaan Dato’ Dr. Zurinah Hassan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara untuk tahun ini, pertama kali untuk seorang pengarang wanita Malaysia. Kemenangan Dato’ Dr. Zurinah memaparkan kewibawaan pengarang wanita yang sebenarnya sama hebat dan mengancam dengan pengarang lelaki dalam menyulam pemikiran dan kritikan sosial dalam penulisan. Kemenangan beliau juga merupakan suatu lagi bukti bahawa Malaysia sudah mula berani memerhatikan mutiara-mutiara yang dahulunya tersembunyi, kini menyinar untuk dijadikan sebagai dokumentasi dan bicara sumbangannya kepada persuratan bangsa.

Disember 2015

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks