MALAYSIA nampaknya seiring dengan dunia apabila pada tahun 2015, Malaysia dan Panel Hakim Hadiah Nobel Kesusasteraan memilih wanita sebagai penerima anugerah kesusasteraan yang layak. Tindakan panel yang melakukan pemilihan ini agak berani menongkah arus, membuat perubahan positif terhadap sumbangan sasterawan wanita dalam menjana pembangunan peradaban negara.

Setakat tahun 2015, Hadiah Nobel Kesusasteraan hanya pernah dirangkul oleh 14 sasterawan wanita sejak diperkenalkan pada tahun 1903. Antaranya termasuklah, Selma Lagerlöf (penerima wanita pertama dari Sweden pada tahun 1909), Pearl S. Buck (1938), Gabriela Mistral (1945), Nadine Gordimer (1991), Toni Morrison (1993), Doris Lessing (2007), dan Svetlana Alexievich (2015). Hal ini menunjukkan, bilangan pemenang sasterawan lelaki sebenarnya jauh lebih ramai daripada sasterawan wanita. Fakta ini nampaknya menyamai realiti kita melihat mutu dan kemampuan sastera dalam tangan para wanita. Malah, mungkin dilihat sebagai suatu diskriminasi jantina oleh golongan wanita dan feminis. Persoalan yang sarwajagat dan walaupun klise, tetapi masih menyengat ialah, adakah kita masih waswas dengan kemampuan karya wanita dan melihatnya tidak mampu menyaingi hasil karya lelaki?

Kalau diperhatikan, hal yang menarik untuk difahami tentang penganugerahan Hadiah Nobel Kesusasteraan ialah, panel hakimnya selalu memilih sasterawan yang jarang-jarang dilihat sebagai calon popular atau amat dikenali di dunia kesusasteraan Inggeris. Nama besar sastera sekarang seperti Roberto Bolano, Salman Rushdie, Peter Carey, Haruki Murakami, dan Philip Roth selalunya disebut-sebut sebagai pemenang tetapi hal ini tidak pernah terlaksana sehingga hari ini. Hal ini disengajakan kerana mereka ingin membuat suatu kenyataan: sastera kekal dilestarikan bukan daripada populariti pengarangnya semata-mata tetapi pembaharuan identiti dan suara unik yang dibawa oleh seseorang pengarang. Malah, pemilihan panel membuatkan nama pengarang yang kurang didedahkan oleh media supaya mendapat pendedahan yang sewajarnya atas sumbangan besarnya untuk sastera dunia. Jika hal inilah yang dibuat oleh panel hakim untuk memilih Zurinah Hassan sebagai Sasterawan Negara ke-13, hal ini dikira wajar untuk memecahkan beberapa stereotaip dan kelaziman yang membelenggu sastera kita dewasa ini.

Januari 2016

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks