PENDAHULUAN

Pada tahun 2014, panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) bagi Penilaian Peringkat Akhir Kategori Cerpen menerima sebanyak sembilan buah buku Kumpulan Cerpen bagi Kategori Kumpulan Cerpen, dan sebanyak 30 buah cerpen bagi Kategori Cerpen Eceran. Secara umumnya, cerpen-cerpen yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang bermutu dari segi idea, pemikiran, bahasa dan strategi naratif masing-masing. Cerpen-cerpen yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang bersifat kontemporari dalam menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran. Cerpen-cerpen yang dipertandingkan juga didapati memaparkan pelbagai subjek seperti  perkembangan sosial, pendidikan, politik, budaya setempat, dan hal-hal yang menyentuh isu-isu semasa pada peringkat antarabangsa.

Buku kumpulan cerpen yang dinilai pada peringkat akhir ini adalah hasil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, dan Nusabuku Enterprise. Sementara itu, cerpen-cerpen eceran pula diterbitkan dalam majalah dan akhbar seperti Dewan Sastera, Utusan Borneo, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Budaya, dan Utusan Sarawak.

Penilaian tertumpu kepada aspek idealisme, pemikiran dan pengolahan  karya dalam menyampaikan mesej melalui penggunaan pendekatan ataupun aliran tertentu. Kebolehan menggarap bahasa dilihat sebagai keupayaan istimewa pengarang dalam mengolah subjek hingga menyerlahkan keindahan karyanya. Keharmonian strategi naratif  pula terpancar melalui kesatuan struktur intrinsik dengan ekstrinsik hingga  membangkitkan kesan estetik karya, sesuai dengan fungsinya  sebagai sebuah hasil seni sastera.

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian panel terhadap sembilan buah buku kumpulan cerpen dan 30 buah cerpen eceran yang berjaya ke peringkat akhir ini adalah berdasarkan kepada kriteria penilaian yang telah digariskan oleh pihak urus setia HSPM 2014. Penilaian panel adalah bersandarkan kepada kriteria-kriteria berikut, iaitu:

a)    Karya mengemukakan idealisme tertentu.

b)    Karya mampu mengolah dengan sempurna strategi naratif.

c)    Karya mempunyai kekuatan dari segi kesatuan organik

d)    Karya menampilkan keseimbangan dari segi estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan yang digarapkan

e)    Karya mempunyai keindahan moral serta mampu memberi kesan dari segi nilai kemanusiaan  dan Ketuhanan.

f)      Karya mempunyai kekuatan dari segi keaslian persoalan dan  ditampilkan secara matang.

g)    Inovasi dan kreativiti dalam berkarya.

Berikut adalah senarai sembilan buah buku kumpulan cerpen yang telah disaring dalam pertandingan akhir HSPM ini:

a)    Antara Katana dan Sundang oleh Serunai Faqir

b)    Bukan Bintang Tidak Mengerlap oleh Zaharah Nawawi

c)    Empayar, Intermezzo dan Oren oleh Ariff Mohamad

d)    Empunya Hikayat oleh  Zainal Rashid Ahmad

e)    Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim oleh Malim Ghozali PK

f)      Madani oleh Mohd Fadzil Yusof

g)    Nyonya Tembikai oleh Dahiri Saini

h)    Pencatat Mimpi oleh Mohd Fadzil Yusof

i)      Tembok Masih Tinggi oleh Osman Ayob

Sementara itu, sebanyak 30 buah cerpen eceran yang terpilih masuk ke saringan pada peringkat akhir ini ialah:

  1. “Leluhur” oleh Haniff Yusoff
  2. “Cerita Sebuah Bukit” oleh Salina Ibrahim
  3. “Negeri Empat Belas” oleh Ana Balqis
  4. “Maraton Kampung” oleh Rebecca Ilham
  5. “Alkisah Ratu Kebaya & Walhal Naga” oleh Zainal Rashid Ahmad
  6. “Ulang Tahun Bonda” oleh Hafizah Iszahnid
  7. “Hingkayu” oleh Ratna Laila Shahidin
  8. “Bara Sang Suri” oleh Zaniffa Azzura Abdullah
  9. “Infithaar di Taman Salju” oleh Mawar Safie

10. “Selimut” oleh Maskiah Haji Masrom

11. “Pahlawankah Kucing Kami” oleh Saifullizan Yahya

12. “Delusisma 2.0 (Denggi)” oleh Fadh Razy

13. “Psiko”  oleh Fudzail

14. “Obama Datang ke Kampung Kami” oleh Ana Balqis

15. “Suara” oleh Tiras R

16. “Pesanku pada Hujan” oleh Malim Ghozali PK

17. “Lelaki Sembilan Siulan” oleh Hashim Latiff

18. “Banglo Segi Lima dan Telaga Merah Bata” oleh Saadiah Hj. Ibrahim

19. “Nira Nipah Pak Alang” oleh Nordin Saad

20. “Bara yang Terus Menyala” oleh Jaya Ramba

21. “Seru” oleh Jais Sahok

22. “Erangan” oleh Azmah Nordin

23. “Cekur” oleh Lee Keok Chih

24. “Si Pengukir Keris” oleh Sayuthi Yusuf

25. “Ekskavansi Tanah Pusaka”  oleh Rebecca Ilham

26. “Saat Guruh di Rumah Coklat” oleh Mawar Safie

27. “Sebutir Pasir di Hujung Jari” oleh Jasni Matlani

28. “Seri Seramik” oleh Norhidayah Ismail

29. “Cendawan Sawit Hidangan Tengah Hari” oleh Muhammad Amin Bacho

30. “Pindah” oleh Jais Sahok

Umumnya, cerpen-cerpen yang dikemukakan untuk penilaian akhir ini menampilkan pelbagai subjek, namun subjek berkaitan jati diri, politik, dan kehidupan sosial dalam sebuah keluarga merupakan subjek pilihan kebanyakan pengarang. Selain itu, terdapat cerpen-cerpen yang memaparkan subjek keagamaan, tetapi dihubungkan dengan isu-isu semasa yang melanda masyarakat tempatan dan antarabangsa pada masa kini. Kemudian, sebahagian lagi cerpen mengemukakan subjek berbentuk kearifan tempatan, khususnya tentang  segi budaya dan sejarah masyarakat.

Dari segi pengolahan teknik, didapati pelbagai teknik penulisan cerpen telah dimanfaatkan pengarang. Teknik naratif yang berasaskan maklumat sejarah, budaya dan politik setempat didapati mendominasi penghasilan kebanyakan cerpen. Sebahagian besar pengarang memilih untuk menggunakan pendekatan realisme dan pendekatan tipa induk dalam menyampaikan mesej karya. Idealisme tentang prinsip kemanusiaan dipilih dengan memaparkan teknik naratif melalui pendekatan simbolisme dan satira. Bagaimanapun teknik monolog dalaman yang memanfaatkan aliran kesedaran adalah teknik yang banyak digunakan dalam karya.

Terdapat sebahagian cerpen yang ceritanya disampaikan tanpa plot yang jelas. Bagaimanapun, sebahagian besar cerpen masih mempamerkan cerita melalui penggunaan plot biasa yang menghubungkan satu peristiwa dengan satu peristiwa lain melalui hukum sebab akibat.  Cerpen-cerpen yang menyampaikan idea tentang kehidupan realiti manusia kontemporari umumnya menggunakan pendekatan realisme. Sebahagian karya yang lain disampaikan cerita melalui penggunaan simbol, naratif absurd dan pendekatan realisme baru. Plot dijalin melalui peristiwa realiti dengan peristiwa mistikal hingga menyebabkan watak-watak mengalami pelbagai rentetan peristiwa yang bercampur baur antara realiti, ilusi dan imaginasi.

SENARAI  KEPUTUSAN

Kategori A: Buku Kumpulan Cerpen

  • Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim, karya Malim Ghozali PK terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2014.

Kategori B: Cerpen Eceran

1)    “Alkisah Ratu Kebaya dan Walhal Naga”, karya Zainal Rashid Ahmad, terbitan Berita Harian, 14 September 2014

2)     “Bara Sang Suri”, karya Zaniffa Azzura Abdullah, terbitan Mingguan Malaysia, 20 Julai 2014

3)    “Cekur”, karya Lee Keok Chih, terbitan Dewan Sastera, September, 2014

4)    “Delusisma 2.0 (Denggi)”, karya Fadh Razy, terbitan Mingguan Malaysia, 16 Februari  2014

5)    “Hingyaku”, karya Ratna Laila Shahidin, terbitan Mingguan Malaysia, 31 Ogos 2014

6)    “Infithaar di Taman Salju”, karya Mawar Safei, terbitan Berita Harian, 3 Ogos 2014

7)    “Pesanku Pada Hujan”, karya Malim Ghozali PK, terbitan Mingguan Malaysia, 13 Julai 2014

8)     “Psiko”, karya Fudzail, terbitan Mingguan Malaysia, 08 Jun 2014

9)     “Selimut”, karya Maskiah Haji Masrom, terbitan Mingguan Malaysia, 12 Januari 2014

10)“Seru”, karya Jais Sahok, terbitan Dewan Sastera, April, 2014

ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU KUMPULAN CERPEN

LANGIT TIDAK BERBINTANG DI ULU SLIM

Buku kumpulan cerpen Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim mempunyai 20 buah cerpen. Hampir keseluruhan cerpen yang dibukukan ini pernah tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar termasuklah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Sinar Dakwah, Dewan Tamadun Islam, dan Mingguan Siasah. Tarikh siaran cerpen-cerpen pilihan berkenaan adalah sekitar tahun-tahun 2009 – 2013, kecuali sebuah cerpen berjudul ”Nak Jadi Pelakon Hollywood” yang dinyatakan pengarang telah diterbitkan dalam buku kumpulan cerpen Ini Chow Kit Road Sudilah Mampir pada tahun 2008.

Subjek yang dikemukakan dalam buku kumpulan cerpen Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim ini memperlihatkan kompleksiti sisi-sisi kehidupan masyarakat kerdil di desa yang jauh di pedalaman. Pengarang menafsirkan erti kemanusiaan melalui kehidupan masyarakat biasa di luar bandar dengan menyorot kehidupan seorang sahabat, pegawai kerajaan, masyarakat orang asli, tokoh agama, tokoh masyarakat dan ahli politik dalam hubungannya dengan penduduk kampung, serta pelbagai kisah lagi melalui beberapa  sketsa kehidupan. Di samping itu, sebahagian  cerpen menyelitkan  tafsiran pengarang terhadap peristiwa-peristiwa semasa yang relevan dengan pelbagai budaya masyarakat di Malaysia. Kearifan tempatan terserlah dalam cerpen-cerpen tertentu, antaranya nilai budaya masyarakat desa di negeri Perak.

Pengarang telah merungkai nostalgia kehidupannya sendiri pada tahun-tahun sebelum dan selepas kemerdekaan melalui kisah-kisah yang berlatarbelakangkan  tahun-tahun 60-an dan 70-an dengan menggambarkannya kembali melalui memori watak-watak pilihannya. Walaubagaimanapun, memori berkenaan bertujuan menampilkan masa kini melalui masa lalu secara retrospektif  berkaitan nilai-nilai murni pada masa lalu yang perlu dilestarikan sebagai landasan kehidupan masa kini. Antara cerpen yang mengungkapkan subjek di atas ialah cerpen “Dongeng Seberang Sungai” dan “Gulai Tempoyak Ikan Sebarau”. Subjek kehidupan desa ini membantu khalayak untuk bersama-sama meneroka keindahan kehidupan di desa yang penuh dengan nilai-nilai akal budi penghuninya.

Unsur kreativiti yang istimewa tergambar pada cerpen ”Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim.” Cerpen ini disampaikan secara gabungan antara cerita dengan grafik oleh kartunis terkenal Lat dengan tujuan menggambarkan kenangannya tentang realiti semasa. Malahan, watak Lat hidup bersama-sama dengan beberapa watak realiti  lain dalam karyanya ini. Kebanyakan cerpen dalam buku kumpulan cerpen ini disampaikan pengarang melalui pelbagai nada seperti romantis, sinis dan naturalis. Hal ini menunjukkan dalam berkarya, pengarang berpegang kepada pelbagai aliran penceritaan hingga menyebabkan ceritanya menjadi begitu  alami dan berseni.

Penghayatan pengarang terhadap nilai sejarah dan budaya  yang kukuh tercermin melalui cerpen “Oh, Di Mana Radenku?” dan “Jangan Menangis, Ana.” Cerpen “Oh, Di Mana Radenku?” menyorot kisah nostalgia kegemilangan Melayu melalui tokoh-tokoh Sang Nila Utama, Tun Seri Lanang, Raden Mas Ayu,  Kereta Api Tanah Melayu, dan tanah milik Malaysia  di Tanjung Pagar, Singapura. Manakala garapan tentang nilai-nilai  budaya dihidangkan pengarang melalui seperangkat maklumat bersifat etnografikal dalam cerpen “Jangan Menangis, Ana” hingga karya ini seolah-olah sebuah pembentangan kajian ahli antropologi dan sosiologi. Kekuatan gaya penulisan sedemikian menjadikan buku kumpulan cerpen ini penuh dengan ilmu pengetahuan tentang hubungan manusia Melayu dengan alam sekitarnya yang alamiah. Bagaimanapun data-data dari pungutan sumber etnografi itu bukanlah suatu himpunan fakta yang kaku kerana kebanyakannya disampaikan secara santai dan subtle, lantas menjadikan karyanya begitu menarik dibaca. Garapan cerita menjadi lebih indah kerana penerapan unsur-unsur humor yang teradun dalam kebanyakan cerpennya.

Dari segi teknik penceritaan, karya ini menampilkan keupayaan versatiliti pengarang dalam pengkaryaannya. Gaya bahasa yang digarapkan pengarang mudah, dan kadangkala diselitkan dengan dialek Perak atau dialek-dialek antara etnik, bagi  mengukuhkan lagi makna kehidupan masyarakat  di desa seperti di daerah Slim River ataupun bandar-bandar lama lain di Tanah Melayu. Kekuatan garapan bahasa yang sedemikian telah mengukuhkan ciri-ciri bersahaja (simplistik) dalam teknik pengarapan cerita semua cerpen. Hal ini menyebabkan isu-isu besar tentang kepelbagaian ciri kehidupan masyarakat Malaysia menjadi lebih terserlah apabila disampaikan secara bersahaja melalui lambang-lambang tertentu dalam naratif kecil.  Lantaran disampaikan secara simplistik,  maka kesan idea pengarang itu sampai ke  penerimaan khalayak pembaca secara  lebih natural, rasional, dan terbuka. Selain itu, kekuatan subjek  kumpulan cerpen ini juga terletak kepada cara pengarang menggambarkan kehidupan watak-watak orang biasa dalam kehidupan sehari-hari mereka melalui pelbagai peristiwa dan perilaku  masyarakat berbilang kaum,  pada ruang dan lorong waktu tertentu.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG KATEGORI CERPEN ECERAN

Sebanyak 10 buah cerpen telah dipilih sebagai pemenang bagi kategori cerpen eceran. Pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada kemantapan subjek dan idealisme yang diungkapkan pengarang. Cerpen-cerpen yang menang juga menunjukkan nilai seni dan daya kreativiti yang sesuai dengan pendekatan serta aliran cerita yang dipilih. Kekuatan cerpen juga dilihat dari segi kesan keindahan, pembaharuan, kebijaksanaan olahan dan strategi naratif pengarang hingga menjadikan cerpen-cerpen tersebut tampil  harmonis, terutamanya dari segi muatan makna. Selain itu, terdapat juga sebilangan cerpen terpilih yang berupaya membuka ruang terhadap kesan makna ganda.  Ulasan  cerpen-cerpen yang menang adalah seperti berikut:

“Alkisah Ratu Kebaya & Walhal Naga” oleh Zainal Rashid Ahmad terbitan Berita Harian, 14 September 2014

Kisah ini menampilkan ciri-ciri interteks apabila pengarang mempertalikan kisah-kisah semasa dengan kisah-kisah zaman dahulu melalui beberapa watak. Misalnya melalui watak Tukang Pojok sebagai tukang cerita atau pencatat kerana watak  seumpama ini ibarat penglipur lara dalam cerita rakyat atau tukang tulis cerita dalam cerita-cerita istana dahulu kala. Kemudian, diwujudkan watak Si Nyonya Ratu Kebaya dengan kecantikan yang luar biasa hingga menjadi kegilaan ahli-ahli masjid, ahli politik dan cendikia. Gambaran watak Si Nyonya Ratu Kebaya ini pula ibarat  puteri dahulu kala yang cantik jelita hingga mampu mempesonakan sesiapa sahaja yang memandangnya. Maka, kecantikannya telah digunakan oleh Si Nyonya Ratu Kebaya untuk menyebarluaskan fahaman Islam liberal yang didukung olehnya. Lantaran itu, dia tidak perlu bertudung untuk berdakwah, dan perkara yang diperkatakan pengarang ini memang berlaku pada hari ini. Sementara itu, watak cendikia yang mewakili golongan bijak pandai pula ibarat watak Si Luncai yang cerdiknya tidak dapat diikut, dan bodohnya pula tidak dapat diajar.  Berikutnya, ditampilkan pula oleh pengarang watak para politikus yang digambarkan sebagai orang yang suka mengambil kesempatan ke atas sesiapa sahaja dan terhadap setiap peluang yang ada demi menanjakkan lagi kedudukan diri sendiri. Akhirnya, watak budak kecil yang menelefon ke stesyen televisyen untuk bertanyakan soalan kerana mahu mempertikaikan pandangan cendikia dalam rancangan yang dikendalikan oleh Si Nyonya Ratu Kebaya itu adalah gambaran watak Hang Nadim, kanak-kanak bijak dalam kisah Singapura dilanggar todak.

Justeru, cerpen ini dilihat menarik kerana bukan sekadar memperlihatkan isu semasa, tetapi juga menyelar dengan tajam kebobrokan sikap manusia yang hidup dengan tujuan dan kepentingan masing-masing. Ibarat enau dalam belukar, masyarakat masa kini dilihat memburu kehidupan untuk memenuhi impian dan kepentingan sendiri, bukannya untuk kemaslahatan hidup manusia sejagat. Pengarang dilihat berjaya menggarap dan memanfaatkan dengan cermat teknik interteks dengan memaparkan situasi masa kini dalam keterkaitannya dengan situasi yang pernah terjadi pada masa lalu itu.

“Bara Sang Suri”, karya Zaniffa Azzura Abdullah, terbitan Mingguan Malaysia, 20 Julai 2014

Cerpen “Bara Sang Suri” mengangkat subjek psikologi manusia yang tertekan akibat perang. Wajda @ Suri adalah lambang kemarahan dan dendam mangsa-mangsa perang yang membara. Kekejaman  perang menyebabkan manusia hilang ahli keluarga dan menanggung kesan kejiwaan yang mendalam hingga  mereka berasa tidak dapat menanggung lagi seksa perasaan itu. Kemarahan dan kebencian watak-watak ditunjukkan melalui siri peristiwa luar biasa tangan watak Wajda yang terbakar secara spontan sebaik sahaja perasaannya terkesan melihat kematian akibat perang.

Karya ini menggunakan pendekatan realisme magis. Peristiwa antara realiti dan irrealiti berbaur antara satu sama lain. Kebakaran tangan Wajda adalah simbol terbakarnya hati manusia yang tidak berupaya lagi menanggung akibat kekejaman perang. Perang dianggap tidak pernah menghargai nyawa manusia. Karya dapat menghantar mesej kemanusiaan secara subtle tentang peperangan yang tidak berperikemanusiaan. Malahan anak kepada Wajda yang baharu dilahirkan juga digambarkan mewarisi perasaan marah ibunya melalui imej bermain bola api di tapak tangannya. Secara tidak langsung perlakuan ini adalah simbol kemarahan mangsa perang yang tidak berkesudahan.

“Cekur”, karya Lee Keok Chih, terbitan Dewan Sastera, September, 2014

“Cekur” oleh Lee Keok Chih mengisahkan hubungan ibu dan anak perempuannya. Seperti kelaziman cerita ibu yang tinggal di kampung dan anak yang berhijrah ke bandar, E Liang menjemput ibunya berpindah ke bandar setelah ayahnya meninggal dunia. Setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya si ibu mengalah dan bersetuju tinggal bersama-sama dengan anaknya dengan syarat dua boleh membawa sepasu pokok cekur. Walaupun mereka tinggal di pangsapuri, cekur ini tumbuh dengan subur, dan ibu membuat pelbagai juadah dengan cekurnya. Namun, perhubungan ibu dan anak semakin renggang; anak tidak tahan dengan perangai ibu yang selalu merajuk dan bermasam muka. Suatu hari, E Liang pulang dari kerja dan melihat ibunya terbaring. Barulah dia tahu ibunya telah lama mengidap penyakit barah. Dalam keadaan kesuntukan masa itu barulah E Liang sedar bahawa ibunya lebih penting daripada kesibukan kerjaya. E Liang pulang ke kampung bersama-sama ibunya setelah memahami bahawa cekur itu merupakan memori “seluruh kehidupan kampung” untuk wanita tua itu.

Keunikan cerpen ini terletak kepada penggunaan simbol pokok cekur. Idiosinkrasi ibu yang menggembur tanah serta memilih baka cekur yang baik, didokong di atas riba sepanjang perjalanan, dan kemudian diletakkan pasu cekur di dalam bilik tidur memaparkan keakraban hidup kampung yang menjadi identiti ibu E Liang. Pembaca dapat mendalami emosi E Liang yang menjadi semakin bingung dengan perangai ibunya. Pengarang memberi gambaran tepat mengenai jurang generasi dari segi umur dan tradisi. Namun, pengarang memberi harapan bahawa konflik ini dapat diatasi jika pihak anak mengambil berat mengenai kebajikan ibubapa masing-masing. Dalam garapan yang simplistik, pengarang memberi impak kepada isu masa kini dengan penceritaan yang diatur konflik dan penyelesaiannya secara sistematik.

“Delusisma 2.0 (Denggi)”, karya Fadh Razy, terbitan Mingguan Malaysia, 16 Februari 2014

Cerpen “Delusisma 2.0 (Denggi) adalah teks kritikan mengenai  tahap ketaksuban para intelektual yang langsung tidak percaya kepada ubat-ubatan Barat. Watak tidak bernama dalam cerpen ini melihat pengamal perubatan moden sebagai “anai-anai kapitalis yag membusutkan pemikiran masyarakat”. Oleh itu, anaknya tidak dibenarkan bercermin mata, vaksin dikatakan sebagai racun sehingga anak-anaknya sendiri menjadi mangsa kepada penyakit measles dan congenital Rubella. Malah, watak ini sendiri mengalami penyakit kencing manis kronik dan occult bleeding kerana menghidapi penyakit denggi. Walaupun watak ini seorang intelektual, memegang dua ijazah dan fasih dalam Bahasa Inggeris dan Arab, namun sebagai seorang Islamis moden, mindanya terlalu curiga dengan komplot Barat sehingga dia merosakkan dirinya sendiri, keluarganya dan pengikut-pengikutnya.

Cerpen ini mendedahkan bagaimana intelektual Melayu tidak dapat mengimbangi ilmu Islam dengan ilmu Barat. Terdapat ilmu Barat yang menjadi cara halus pihak Barat untuk menjajahi minda Timur, manakala al-Quran pula diyakini dapat menyembuhkan penyakit. Namun, apabila agama Islam diperalatkan untuk menyesatkan orang ramai, seperti menolak ilmu perubatan Barat yang telah dibuktikan boleh mengubati penyakit seperti diabetes, denggi dan kanser, maka perlakuan ini tidak menunjukkan kepercayaan terhadap teknologi terkehadapan yang memang didokong oleh agama Islam sendiri. Watak tidak bernama dalam cerpen ini akhirnya diselamatkan oleh pakar doktor yang pernah dicurigainya sebagai konspirator Barat. Naratif ini menyarankan agar ilmu dari al-Quran dan ilmu manusia dijalin untuk membentuk simbiosis yang positif.

“Infithaar di Taman Salju”, karya Mawar Safei, terbitan Berita Harian, 3 Ogos 2014

Cerpen “Infithaar di Taman Salju” mengambil pengajaran dari Surah 30 Infithaar dari al-Quran di mana protagonis meluahkan fikirannya mengenai balasan Allah SWT setelah seseorang itu meninggal dunia. Dari bumi Tanah Selandia Baru, protagonis wanita menilai rakannya, Riz, seorang wanita Islam yang telah berhijrah ke negara itu kerana tanah kelahirannya telah dijajah. Dengan menggunakan aksi jurukamera Riz sebagai metafora lensa kehidupan, protagonis melihat sepohon pokok yang telah terbelah tetapi akarnya masih mencengkam bumi sebagai refleksi kepada kehidupan Riz di negara angkatnya. Riz masih utuh semangatnya walaupun terpisah dengan ibunya yang merelakan anaknya meninggalkan tanah tumpah darahnya, sedangkan ibu tua itu  mahu hidup mati ditempatnya sendiri.

Kekuatan cerpen ini terletak pada bahasa, mesej dan perlambangan pengarangnya. Bahasa indah dan puitis memberi kontras kepada semangat membara iman dan perjuangan yang masih belum tamat. Dari segi mesej, pengarang mengajak pembacanya untuk menyelami maksud surah Infithaar. Adakah keaiban seseorang itu akan dibuka setelah kematiannya? Perlambangan dua wanita yang bertemu di bumi bersalju memaparkan paduan cita-cita umat Islam sejagat yang mengimpikan pulangan “hak di Tanah yang Dilupakan”. Dalam satu lokasi dan masa yang singkat, cerpen ini menyerlahkan kesengsaraan umat Islam yang dirasai bersama-sama dan menunggu masa untuk dihukumi Allah SWT terhadap pelaku zalim “genocide”. Naratif ini menyerlahkan kekuatan mental umat Islam yang ditindas.

“Hingyaku,” karya Ratna Laila Shahidin, terbitan Mingguan Malaysia, 31 Ogos 2014

“Hingyaku” mengungkapkan subjek penganiayaan etnik Rohingya. Cerpen ini mengkritik masyarakat antarabangsa yang tidak memperdulikan nasib etnik yang sentiasa dizalimi oleh penguasa. Imej jiran disimbolkan sebagai orang yang tidak ambil peduli terhadap penderaan, walaupun insiden itu berlaku berdekatan dengan rumahnya. Sikap dingin dan tidak ingin mencampuri urusan jiran tetangga menyebabkan penganiayaan dialami oleh jirannya tanpa disedari.

Cerpen ini memanfaatkan simbol dan analogi terhadap peristiwa yang melambangkan makna tersirat di sebalik naratif. Teknik suspen digunakan sebagai unsur binaan plot sehingga ke puncak naratif. Maksud “Hingyaku” disembunyikan sebagai mewakili makna konteks sebuah isu kontemporari, iaitu isu kezaliman terhadap etnik Rohingya. Susunan peristiwa tentang gadis misteri yang didera dari segi fizikal dan mentalnya sejak awal sehinggalah ke akhir cerita dirungkaikan melalui gadis yang bernama “Rohingya”.

“Pesanku Pada Hujan”, karya Malim Ghozali PK, terbitan Mingguan Malaysia, 13 Julai 2014

“Pesanku pada Hujan” oleh Malim Ghozali PK mengisahkan tiga lelaki,  Datuk S, Kiai Mutalib dan watak “aku” yang ditahan kerana ideologi politik mereka. Datuk S ditahan kerana tuduhan rasuah, Kiai Mutalib kerana menentang penularan LGBT dan Aku kerana menyoal kejumudan ISA. Ketika  menjadi banduan, Aku mula mengenal sikap sebenar ahli politik, juga tentang siapa sebenarnya rakan dan siapa pula lawan. Semangat nasionalisme Aku sangat tebal, namun semangat inilah juga yang menjerat dirinya.

Dari segi teknik penceritaan, pengarang menggunakan dialog yang menunjukkan  bagaimana watak-watak berinteraksi dalam situasi curiga mencurigai. Umpamanya, Aku memberi nama Datuk S yang membawa makna mendalam kerana perwatakan Datuk bagai seekor sesumpah yang secara alaminya mampu bertukar-tukar warna bergantung kepada keadaan dan persekitarannya. Datuk S merupakan ahli politik yang cakapnya berubah-ubah, serta tidak tetap pendirian berbanding dengan watak  Kiai dan  Aku. Oleh itu, tajuk cerpen ini mempunyai makna mendalam kerana watak Aku berpesan kepada hujan sebagai metafora tentang harapannya untuk bangsanya.

“Psiko”, karya Fudzail, terbitan Mingguan Malaysia, 8 Jun 2014

Cerpen “Psiko” mengutarakan kisah seorang ekspatriat Melayu di Dubai yang profesionnya adalah sebagai penggodam dan penganalisis sekuriti. Ironisnya, data mengenai dirinya pula digodam dan digunakan untuk merosakkan keperibadian Melayu. Dengan menggunakan tipu helah, Baba Joy dan Mehboob berjaya menggoyah jiwa Bahaman tentang konsep jihad dan menjebaknya untuk bersama-sama mereka  bergelumang dengan maksiat.

Cerpen ini dibahagikan kepada lima segmen. Tiap satu segmen memaparkan bagaimana Bahaman diperdayakan dan  dihimpit dengan teori konspirasi. Sebagai seorang yang licik IT, Bahaman sendiri tidak dapat meleraikan kekusutan mindanya. Oleh itu, persoalan siapa yang psiko terserlah melalui penggunaan pelbagai nama samaran  di alam maya dan di alam fizikal. Cerpen ini menunjukkan ciri ambivalens, sesuai dengan sifat Bahaman yang terperangkap di antara dunia realiti dan dunia ilusi.

“Selimut” oleh Maskiah Haji Masrom, terbitan Mingguan Malaysia, 12 Januari 2014

Tajuk cerpen ini dilihat sesuai sekali kerana memberi impak yang kuat terhadap isi ceritanya. Hal ini demikian kerana pengarang bercerita tentang sesuatu yang samar-samar, tidak jelas pada pandangan, ataupun terlindung seumpama sesuatu yang terjadi di sebalik sehelai selimut. Kisahnya berkisar tentang perbicaraan di mahkamah kerana Tuan Shiekh (Abdullah bin Saba’) dari Iran, seorang pemilik gedung kain dan isteri yang baharu sehari dinikahi secara mut’ah, iaitu Fatimiyah bt. Muntanshir yang berusia 25 tahun telah mati terbunuh. “Saya” (berusia 17 tahun) iaitu bekas isteri Tuan Shiekh yang juga dikahwini secara mut’ah telah dituduh membunuh Tuan Shiekh dan isteri baharunya itu. “Saya” tertuduh kerana dia berada di dalam almari di tempat kejadian.

Teknik naratif cerpen ini cukup menarik untuk mengangkat cerpen ini sebagai karya yang baik. Selain itu, pengarang bijak menjalin ceritanya dengan menggunakan selimut sebagai “objek” yang menggerakkan keseluruhan subjek ceritanya. Selimut yang sehelai itu bukan sekadar mendukung metafora kasih sayang dan kekeluargaan, tetapi juga metafora untuk mengkritik dengan tajam ajaran sesat, ketepersonaan manusia kepada harta kekayaan dan eksploitasi agama demi memenuhi nafsu serakah seseorang. Selimut itulah juga yang menyebabkan jalan cerita cerpen ini terikat dalam satu kesatuan yang jitu. Impak cerita ini juga kuat kerana masalah aqidah adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng.

“Seru” oleh Jais Sahok, terbitan Dewan Sastera, April, 2014

Cerpen ini mengisahkan kepercayaan primitif yang masih menebal dalam kalangan masyarakat peribumi Salako di Sarawak. Mereka percaya akan kuasa ghaib yang dianggap boleh membantu mengatasi masalah pertanian yang tidak menjadi di kampung dan masalah anak muda peribumi Salako yang telah meninggalkan kampung halaman untuk berhijrah dan bekerja di bandar-bandar besar.

Pada dasarnya, cerpen ini memberikan impak yang baik dalam memahami akar budaya dan kearifan tempatan  suatu kumpulan etnik yang mendiami negeri Sarawak. Lebih penting dari itu, ada falsafah agama yang tergarap dalam cerpen ini, iaitu tentang maksud “kun fayakun.” Hal ini bermakna jika Allah hendak merubah sesuatu, maka akan terjadilah sesuatu itu. Dalam cerpen ini, Allah diperlihatkan pengarang telah menunjukkan kehendak-Nya sehingga Dah Joh, dukun yang sepanjang hayatnya mengendalikan semua kepercayaan nenek moyang untuk kaumnya, mati dalam keadaan  menerima Islam.

KESIMPULAN

Cerpen-cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 menggarap subjek yang signifikan dalam bidang sosial, politik, keagamaan dan pendidikan. Repertoire cerpen luas termasuklah pertembungan pemikiran antara parti-parti politik, isu keagamaan di arena tempatan dan antarabangsa serta perhubungan kekeluargaan mendapat perhatian kebanyakan karya. Nilai-nilai kemanusiaan diwacanakan menggunakan pelbagai teknik naratif yang menunjukkan keunikan setiap penulis yang diangkat sebagai pemenang. Dengan menggunakan ungkapan Viktor Shlovsky, pengarang berjaya menggarap teknik defamiliarasi yakni teknik seni yang menyampaikan kepada khalayak perkara yang biasa dengan cara unik bagi meningkatkan persepsi yang biasa.

Dari segi strategi naratif, ditemukan karya yang memanfaatkan simbolisme, satira dan alegori secara meluas. Idealisme karya ditekankan melalui urutan peristiwa yang dianalogikalkan. Kesan penggunaan imej yang bersatu dalam struktur karya muncul di permukaan melalui olahan naratif segar lagi harmonis. Karya berupaya menyediakan ruang yang terbuka untuk dihayati dan dinilai dari penggunaan simbol yang secara tidak langsung membawa makna ganda di sebalik sesebuah peristiwa yang tersurat. Melalui proses pembayangan semula, intertekstualiti, penggunaan masa dan ruang yang linear dan bukan linear, pengarang-pengarang mengadunkan persoalan berat dengan teknik penceritaan yang pelbagai.

Semua yang terhampar dan tergambar tidak mungkin hidup dan segar tanpa penggunaan bahasa yang efektif. Dari aspek ini, garapan bahasa, sama ada santai ataupun puitis dan kompleks, dengan pemilihan kata yang menuju laras bahasa wacana merupakan strategi pengarang untuk menunjukkan ketrampilan kaya kreatif mereka. Oleh sebab kebanyakan cerpen beraliran simbolisme, setiap lambang yang digunakan adalah dalam rumpun makna imej lambang tersebut. Ayat-ayat yang berbentuk wacana atau dialektik memberikan kesan retorik serta kebijaksanaan dalam proses penghayatan karya. Nilai estetika sesebuah karya dapat diikuti setelah makna-makna yang ditafsirkan dapat dirangkaikan dengan olahan strategi naratif. Justeru karya yang menang adalah karya yang terserlah dengan kebijaksanaan naratifnya, dan secara tidak langsung turut membijaksanakan pembaca.

Disediakan oleh:

Profesor Dr. Ruzy Suliza Hashim

Profesor Madya Dr. Rahimah A. Hamid

Profesor Madya Dr. Hashim Ismail

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks