PENDAHULUAN

Bagi Kategori Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan, Buku Biografi/Autobiografi, dan Esei/Kritikan Eceran, penilaian bagi HSPM 2014 dilakukan berdasarkan kepada karya-karya yang melepasi saringan awal, yang diadili secara berasingan oleh barisan panel penilai yang berbeza. Judul-judul karya yang memasuki peringkat akhir ini rata-rata diterbitkan oleh badan penerbitan yang sudah sedia terkenal dalam penerbitan sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) & PENA, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Penerbit Universiti Malaya, Penerbit Universiti Malaysia Sarawak, Penerbit Universiti Sains Malaysia dan Penerbit Nusabuku. Manakala, esei dan kritikan eceran pula kebanyakannya terbit dalam majalah Dewan Sastera dan majalah Tunas Cipta, selain sejumlah kecil makalah yang terbit sebagai bab dalam buku-buku bertema dan jurnal ilmiah Secara keseluruhannya, panel pada peringkat menerima pencalonan 3 judul bagi Kategori Buku Kajian Sastera, 2 judul bagi Kategori Autobiografi/Biografi, dan 23 judul bagi Kategori Esei/Kritikan Eceran. Tiada pencalonan diterima bagi Kategori Kumpulan Esei/Kritikan Sastera kerana kesemuanya tidak melepasi saringan awal.

KRITERIA PENILAIAN

Merujuk kepada peringkat akhir, penilaian terhadap judul-judul yang diterima dilaksanakan berasaskan kriteria-kriteria penilaian yang telah digariskan, iaitu:

  1. Terarah dan jelas perbincangan
  2. Pendefinisian sesuatu topik jelas
  3. Menyerlahkan penemuan yang boleh memancarkan unsur-unsur kekuatan sebagai sebuah esei kritikan atau kajian ilmiah

Berdasarkan kriteria-kriteria ini, setiap panel mengemukakan pandangan tentang kekuatan dan kelemahan setiap judul yang dinilai, dan seterusnya membahaskan pandangan-pandangan yang dikemukakan itu sehingga kata putus tercapai.

HURAIAN PENILAIAN

Secara umumnya, karya-karya yang dinilai pada peringkat akhir kali ini mempamerkan minat serta kesungguhan dalam memperkatakan dan meneliti isu dan topik berkaitan kesusasteraan. Merujuk kepada penulisan buku ilmiah, fokus kajian rata-rata mencakupi tradisi kesusasteraan Melayu khususnya tradisi lisan dan moden terutamanya genre novel dan cerpen. Dalam meneliti genre-genre sastera ini, rata-rata buku ilmiah didapati menerapkan teori dan konsep tertentu rata-rata yang dicetuskan di Barat. Dengan kata lain, kajian-kajian dikemukakan lebih bersifat aplikasi teori dan konsep tertentu.

KATEGORI: BUKU DAN KAJIAN SASTERA

Bagi kategori Buku dan Kajian Sastera, sebanyak 3 judul diterima untuk penilaian akhir. Berikut adalah senarai yang disusun mengikut kronologi abjad pada pangkal judul:

i)           Oksidentalisme dalam Sastera Melayu Sebelum Merdeka hingga Era Mahathir Mohamad oleh Mohammad Saleeh Rahamad (Kuala Lumpur: ITBM & PENA, 2014)

ii)         Pura Taman Warisan Penglipur Lara Jakun oleh Mohamad Luthfi Abdul Rahman (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2014)

iii)        Semiotik dalam Novel Anwar Ridhwan oleh Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014)

ULASAN PENGHAKIMAN

i) Oksidentalisme dalam Sastera Melayu Sebelum Merdeka hingga Era Mahathir Mohamad oleh Mohammad Saleeh Rahamad (Kuala Lumpur: ITBM & PENA, 2014)

Buku ini membicarakan persoalan Oksidentalisme berasaskan beberapa karya sastera Melayu yang dihasilkan sebelum dan selepas kemerdekaan negara Malaysia. “Oksidentalisme” dalam buku ini dijelaskan sebagai suatu bentuk pemikiran masyarakat peribumi yang mewacanakan semula pemikiran “Orientalisme” sebagaimana yang diungkapkan oleh Edward Said. Buku ini bertujuan untuk meneliti fenomena Oksidentalisme dalam kesusasteraan Melayu dalam dua era, iaitu era sebelum merdeka yang merangkumi era kolonial, era kesedaran sosio-ekonomi dan politik di ambang kemerdekaan dan era selepas merdeka iaitu berdasarkan peralihan kepimpinan negara bermula daripada Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj hingga ke era Mahathir Mohamad. Pengkonsepsian Oksidentalisme dalam buku ini didasarkan kepada ideologi dan amalan Orientalisme/Kolonial, dan ideologi dan amalan Pasca-Kolonialisme yang relevan bagi memahami konsep dan wacana Oksidentalisme.

Oleh kerana Oksidentalisme (sebagai aliran pemikiran yang bersifat kontras kepada Orientalisme) secara esensinya melibatkan persepsi dan sikap Timur/subjek terhadap Barat/objek, maka buku ini turut memanfaatkan teori perhubungan Timur-Barat oleh Todorov. Persepsi terhadap the object dianggap turut dipengaruhi oleh pandangan alam Timur (China) dan Islam (gerakan Islah/Nahda) yang kadang kala menyamarkan binari perhubungan Timur-Barat, Subjek-objek yang tajam. Oleh kerana fenomena Oksidentalisme berlangsung dalam konteks sejarah, sosio-budaya, tasawur yang mempengaruhi sikap dan persepsi pengarang, maka buku ini juga memanfaatkan pendekatan Sosiologi Sastera.

Buku ini meneliti fenomena Oksidentalisme dalam karya-karya sastera Melayu melalui satu garis pensejarahan sastera berdasarkan peralihan dari sudut sosio-politik dan sejarah yang berbeza. Peralihan ini menyaksikan lahirnya karya-karya yang menampilkan kecenderungan Oksidentalisme yang berbeza-beza, pun kadang-kadang bercampur baur dan bertentangan, sesuai dengan sikap Timur-Barat yang dicirikan oleh mimikri/meniru/penerimaan; ambivalen/hibriditi/neutral dan penentangan/penolakan. Pemilihan korpus dan skop kajian rata-rata dianggap relevan dalam usaha melihat kerencaman dan peralihan wacana Oksidentalisme dalam bentuk teks (textual Occidentalism). Kegigihannya mencakup satu era pensejarahan sastera yang panjang dan menggarap dan menganalisis satu korpus teks yang besar patut dihargai, dan menjadikan buku ini sebagai satu ensiklopedia sastera abad kolonial dan pasca kolonial yang menarik. Ini diperluaskan melalui sistem nota kaki yang informatif yang membuka kepada rujukan-rujukan tambahan yang luas yang dapat membantu pembaca menelusuri isu-isu dalam buku dengan lebih lega. Pun yang paling wajar dihargai ialah keupayaan penulis untuk mengawal fokus hujahan supaya tidak terseliuh daripada landasan teorinya. Hasilnya, buku ini tampil sebagai satu kajian yang segar dan memberikan sumbangan yang signifikan terutamanya dalam bidang sosiologi sastera.

ii) Pura Taman Warisan Penglipur Lara Jakun oleh Mohamad Luthfi Abdul Rahman (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2014)

Sebuah buku yang meneroka dan mengetengahkan seorang ahli penglipur lara masyarakat orang asli kelompok Jakun di Kampung Sungai Mok, Kuala Rompin, Pahang. Ahli penglipur lara yang dimaksudkan bernama Pura Taman yang dikatakan memiliki kemahiran dalam menyampaikan cerita-cerita lipur lara dalam kalangan masyarakat orang asli setempat, dengan menggunakan perantaraan bahasa Melayu. Buku adalah hasil penyelidikan lapangan yang dilakukan penulis secara terus dengan penutur cerita yang menuturkan beberapa buah cerita lipur lara masyarakat Jakun, yang dikatakan masih belum diketahui sebelum ini. Perbincangan terhadap tradisi lipur lara dilakukan dalam konteks pembahagian peranan penglipur lara sama ada sebagai “dalang” (penghibur) atau “dagang” (pemberi nasihat), dan memanfaatkan konsep Idea of the Book oleh G.L. Koster dan Idea of the Canon oleh V.I. Braginsky. Konsep the Book dan Canon memang boleh diserasikan untuk memahami konvensi (hukum pengarangan), puitika (struktur komposisi) dan kategori sastera Melayu tradisional, namun kedua-duanya bertolak atas dasar yang amat berbeza.

Hal ini kerana the Book berdasarkan sastera abad Pertengahan Eropah, manakala the Canon berdasarkan pandang alam sufistik. Justeru, penggunaan kedua-duanya memerlukan pengubahsuaian yang bijak. Konsep the Book (Book of Universe, Book of Exegesis, Book of Tradition/Book of the Kerajaan Order) dan saling kaitnya dengan sfera fungsi sastera dan kedudukannya dalam kategori karya dalam Idea of the Canon wajar diperhalusi. Dapatan buku ini antara lain menunjukkan dalam konteks masyarakat orang asli, Pura Taman memainkan kedua-dua peranan sebagai “dalang” dan “dagang” kepada masyarakatnya melalui cerita-cerita lipur lara yang disampaikannya. Sumbangan buku ini terletak pada usahanya mengumpul dan mendokumentasikan teks lisan, terutama dalam kalangan suku etnik minoriti seperti Jakun.

iii) Semiotik dalam Novel Anwar Ridhwan oleh Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014)

Buku ini bertolak daripada kajian dalam ilmu linguistik Semiotik iaitu satu ilmu yang mengkaji tentang tanda), yang kemudiannya diperluaskan menjadi teori bacaan sastera. Buku ini berusaha menjadikan karya sastera sebagai satu komunikasi/sistem tanda yang dapat difahami melalui model semiotik bahasa (act of communication). Berdasarkan andaian-andaian linguistik dan teori tentang tanda, Semiotik menjadi teori bacaan yang diterapkan bagi menganalisis teks-teks yang tercerai  dengan menghubungkannya kepada unsur-unsur/kod yang berbeza. Setelah membuat penghuraian yang panjang lebar tentang sejarah, konsep-konsep Semiotik (sebagai glosari) dan model semiotik, buku ini mengambil pakai dan menggabungkan dua model semiotik yang dianggapnya berwibawa dan wajar untuk memahami teks sastera (sebagai satu komunikasi), iaitu Model Pierce dan Segi Tiga Semiotik Morris. Terutama yang diberikan keutamaan dalam gabungan itu ialah tiga unsur penting dalam Model Morris iaitu Sintaksis (tanda – ikon, indeks, lambang/simbol,  dalam struktur ayat), Semantik (makna segala tanda) dan Pragmatik (perhubungan antara pengarang dan khalayak dan situasi).

Buku ini meneliti fungsi komunikatif teks-teks Anwar Ridhwan, kebanyakannya berdasarkan analisis intrinsik. Oleh kerana keberkesanan komunikasi juga dianggap melibatkan fungsi pragmatik, maka dilakukan juga analisis ekstrinsik untuk melihat terutamanya persekitaran dan sosio-budaya yang melingkungi ujaran. Kajian semiotik memang diketahui sebagai kaedah yang baik untuk membangunkan keterampilan pentafsiran (interpretive skill), dan merupakan analisis yang sistematik untuk menonjolkan ciri-ciri teks. Buku ini memperlihatkan kegigihan penulis menerapkan satu teori sastera yang rumit ke dalam kritikan sastera Melayu. Namun, kerumitan teori ini membataskan khalayaknya, sekali gus menjarakkannya daripada pemahaman terhadap teks-teks sastera yang dianalisis. Sesuatu teori itu harus boleh diperjelaskan secara lebih mudah dan menjauhi penggunaan istilah-istilah yang terlalu rumit bagi mengelakkan kekeliruan pemahaman khalayak pembaca.

KEPUTUSAN KATEGORI BUKU KAJIAN SASTERA

Setelah menimbangkan kekuatan dan kelemahan karya-karya di atas, panel bersetuju untuk memilih Oksidentalisme dalam Sastera Melayu Sebelum Merdeka hingga Era Mahathir Mohamad oleh Mohammad Saleeh Rahamad (ITBM dan PENA, 2014) sebagai pemenang bagi kategori Buku dan Kajian Sastera.

KATEGORI KUMPULAN ESEI DAN KRITIKAN SASTERA

Bagi kategori kumpulan esei dan kritikan sastera, sebanyak 4 judul diterima untuk saringan awal. Walau bagaimanapun, keempat-empat judul ditolak oleh panel pada peringkat saringan awal. Oleh itu, kesemua judul itu tidak dinilai oleh panel peringkat akhir. Berikut adalah senarai yang disusun mengikut kronologi abjad pada pangkal judul:

i)           Dahsyatnya Kesusasteraan Memerihalkan Kehidupan oleh Sohaimi Abdul Aziz (Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2014).

ii)         Inilah Karangan Saya: Narasi Penciptaan Cerpen oleh Mawar Shafie (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2014).

iii)        Laboratorium oleh S.M. Zakir (Kuala Lumpur: Penerbit Nusabuku, 2014).

iv)        Sastera, Politik dan Masyarakat oleh Abdul Rahman Embong (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014).

ULASAN PENGHAKIMAN

Ditolak oleh panel saringan, dan oleh itu penilaian pada peringkat akhir tidak dilakukan.

KATEGORI: BUKU AUTOBIOGRAFI/BIOGRAFI

Bagi kategori Buku Autobiografi/Biografi, dua judul diterima untuk penilaian akhir, dan kedua-duanya merupakan buku biografi. Berikut adalah senarai yang disusun mengikut kronologi abjad pada pangkal judul:

i)           Biografi Ishak Shari Pejuang Bumi Semua Manusia oleh Mohamed Salleh Lamry (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2014)

ii)         Permata Yang Terpendam: Hasbie Sulaiman oleh Jeniri Amir (Kota Samarahan: Penerbit Universiti Malaysia Sarawak, 2014)

ULASAN PENGHAKIMAN

i) Biografi Ishak Shari Pejuang Bumi Semua Manusia oleh Mohamed Salleh Lamry (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2014)

Buku ini merupakan sebuah penulisan biografi Allahyarham Dr. Ishak Shari, seorang ahli akademik yang banyak menyumbangkan jasanya dalam arena intelektual awam. Buku biografi ini dimulakan dengan penceritaan serba sedikit tentang zaman yang melatari latar belakang keluarga Allahyarham yang mengambil tempat di Muar, Johor, berlanjutan hingga ke kelahiran beliau, zaman kanak-kanak dan remajanya di Kuala Lumpur, zaman pelajarnya di luar negara, zaman kerjayanya di Universiti Kebangsaan Malaysia, sehingga Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir pada 30 Jun 2001. Dalam latitud penceritaan yang sedemikian, buku ini diisi dengan peristiwa dan sejarah penting berkaitan keluarga, diri serta keperibadian Allahyarham Dr. Ishak Shari, dan lebih penting lagi ialah idealisme serta pemikiran ilmiah beliau.

Cabaran besar dalam penulisan biografi ini terletak pada tuntutan untuk menobatkan ketokohan seorang insan yang telah meninggal dunia. Hal ini kerana penulis tidak lagi dapat bergantung kepada tokoh sebagai sumber maklumat, melainkan harus berusaha menggumpulkan bahan-bahan yang relevan melalui sumber-sumber lain. Lebih mencabar lagi, tokoh yang ingin dinobatkan itu bukan merupakan seorang ahli politik atau figura arus perdana, sebaliknya seorang ahli akademik tulen yang ketika hayatnya hidup dengan menjunjung idealisme kemasyarakatan, dan secara aktif pula memberikan sumbangannya dalam arena intelektual, iaitu satu arena yang asing daripada kilauan kamera media serta kerdipan glamor budaya popular. Dalam konteks cabaran inilah, buku biografi ini menyerlahkan keupayaan penulisnya yang terserlah pada kelancaran naratif yang dibangunkan secara sofistikated, melalui pembahagian fragmen-fragmen kehidupan tokoh yang diatur secara jelas, sistematik dan berkesan. Selain itu, turut menarik perhatian ialah kecekapan penulis dalam menyulamkan persepsi serta interpretasinya terhadap bahan-bahan yang ditangani, dan kelebihan ini sekali gus menjadikan penceritaannya begitu hidup dan menarik sehingga pembaca boleh terlupa bahawa tokoh yang sedang diperkatakan itu pada hakikatnya sudah pun meninggal dunia. Penulis dengan kemampuan bahasa Melayu yang begitu baik terutamanya dari lenggok dan langgam bahasanya, berupaya menampilkan ketokohan seorang intelektual awam (bukannya seorang figura pop dalam arus perdana) dengan cara yang begitu menarik dan kreatif, tanpa mengurangkan penghormatan yang selayaknya dikalungkan kepada Allahyarham Dr. Ishak Shari.

Sesungguhnya, keupayaan buku biografi ini tampil secara begitu berkesan juga dimungkinkan oleh profil serta sumbangan Allahyarham Ishak Shari sendiri dalam dunia intelektual, terutamanya peranan intelektual dalam pembangunan masyarakat. Dengan kata lain, tokoh yang dinobatkan itu sendiri ketika hayat beliau, sudah sedia mengukir nama yang harum dan penuh wibawa di peringkat nasional dan antarabangsa. Dengan kelebihan serta kekuatan ini, selayaknya buku biografi ini diberikan penghargaan.

ii) Permata Yang Terpendam: Hasbie Sulaiman oleh Jeniri Amir (Penerbit UNIMAS, 2014)

Buku biografi ini mengisahkan tentang ketokohan seorang wartawan, pengarang, seniman dan ahli sejarah serta adat budaya masyarakat Sarawak yang selama ini terpendam daripada pengetahuan umum. Buku disampaikan oleh Jeniri Amir secara bercerita yang diselang-selikan dengan pelbagai maklumat tentang sejarah dan budaya Sarawak. Sejarah hidup dan ketokohan Hasbie Sulaiman diserlahkan melalui sumbangan beliau sebagai wartawan, penulis buku sejarah Sarawak, penulis buku-buku agama dan adat budaya Sarawak, kegiatan dalam bidang bangsawan dan kumpulan kesenian tarian Sarawak Sri Tarina, selain bidang seni lukis dan penulisan pantun. Kawalan bahasa yang diperlihatkan dalam buku ini adalah baik, selain buku dianggap menarik kerana turut mengandungi sisipan gambar yang bernilai sejarah.

Buku biografi ini berupaya tampil sebagai rakaman pengalaman, liku-liku kehidupan yang dilalui serta peranan dan sumbangan tokoh terhadap keluarga, masyarakat, negara dan agama. Hakikat bahawa tokoh yang kisah hidupnya ditulis ini pernah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam beberapa peristiwa penting berkaitan sejarah negeri dan masyarakat khususnya di Sarawak, memungkinkan buku ini sarat diisi dengan fakta-fakta yang penting dan menarik. Dalam konteks ini, usaha gigih penulis dalam menghasilkan buku biografi ini wajar dihargai. Selain mengetengahkan ketokohan Hasbie Sulaiman, buku ini juga bermanfaat untuk tujuan pengkajian dan memperoleh pengetahuan terutamanya yang berkaitan dengan sejarah dan perkembangan Sarawak.

KEPUTUSAN KATEGORI BIOGRAFI/AUTOBIOGRAFI

Setelah menimbangkan kekuatan dan kelemahan kedua-dua karya di atas, panel bersetuju untuk memilih buku Biografi Ishak Shari Pejuang Bumi Semua Manusia Oleh Mohamed Salleh Lamry (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2014), sebagai pemenang.

KATEGORI: ESEI/KRITIKAN/KAJIAN SASTERA ECERAN

Bagi kategori Esei/Kritikan/Kajian Sastera Eceran, sebanyak 23 judul telah disenaraipendekkan untuk penilaian akhir. Setelah perbincangan dibuat dengan mempertimbangkan beberapa perkara, panel akhirnya bersetuju supaya 7 judul diberikan hadiah penghargaan. Berikut ialah judul-judulnya yang disusun mengikut kronologi abjad pada judul:

i)           “Menilai Semula Makna Estetik” oleh A. Halim Ali (Dewan Sastera, April 2014)

ii)         “Penciptaan Drama Metasejarah: Suatu Hasil Eksperimental” oleh Mana Sikana (Dewan Sastera, Mac 2014)

iii)        “Pembinaan Mercu Tanda Sastera Malaysia: “Sastera Sebagai Budaya Tinggi” oleh S.M. Zakir (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM, 2014)

iv)        “Pembinaan Mercu Tanda Penulisan Malaysia: Yang Dipelajari Adalah Secara Saka (Perennial)” oleh Ibrahim Bajunid (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM, 2014)

v)          “Perhubungan Sastera dengan Wayang: Meneliti Genre dalam Perspektif Budaya” oleh Norman Yusoff (Dewan Sastera, Oktober 2014)

vi)        “Sastera Profetik: Kaffah dalam Revolusi Yang Ditangguhkan” oleh Saifullizan Yahaya (Dewan Sastera, Mei 2014)

vii)       “Teknoteks Menyepadukan Sastera, Teknologi dan Kritikan” oleh Sohaimi Abdul Aziz (Dewan Sastera, Julai 2014)

ULASAN PENGHAKIMAN

i) “Menilai Semula Makna Estetik” oleh A. Halim Ali (Dewan Sastera, April 2014)

Sebuah penulisan esei yang menggarap sebuah tajuk yang luas berdasarkan bacaan yang rapi dan kefahaman isu-isu/idea yang dibicarakan. Esei ini merupakan satu penilaian semula, teori estetika (Barat-Islam/Melayu), menghujah kelemahan dan kekuatannya, untuk akhirnya membawa kita kepada tujahan premis hujahannya bahawa Islam/Quran harus dijadikan landasan teori estetika seni. Esei ini dapat dianggap sebagai satu sumbangan dalam penilaian tentang dasar dan ciri-ciri “keindahan” dalam sastera/seni.

ii) “Penciptaan Drama Metasejarah: Suatu Hasil Eksperimental” oleh Mana Sikana (Dewan Sastera, Mac 2014)

Esei ini menampakkan penguasaan tentang bidang yang dibicarakan. Susunan hujahannya meyakinkan, dengan lengkap rujukan dan rapi. Walaupun esei agak sarat dengan jargon-jargon daripada gagasan pemikiran pascamodenisme, tetapi mungkin ini diperlukan bagi menjelaskan konsep metasejarah yang ingin dikedepankan sebagai tujahan hujahannya. Bahan perbincangan baru dan segar dalam penghayatan pembaca, dan disampaikan dalam kupasan pemikiran yang berstruktur dan kritis.

iii) “Pembinaan Mercu Tanda Sastera Malaysia: ‘Sastera Sebagai Budaya Tinggi’ ” oleh S.M. Zakir (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM, 2014)

Esei ini mengajukan idea “sastera sebagai budaya tinggi” yang dijadikan sebagai mercu tanda kemajuan sastera di Malaysia. Untuk itu, perbincangan dimulakan dengan menjelaskan konsep “masyarakat pascatamadun” iaitu masyarakat yang telah kehilangan nilai serta pemikiran dan terperangkap dalam kemiskinan ilmu, sebagaimana diperikan oleh Malik Bennabi. Kemiskinan tamadun ilmu ini dikaitkan pula dengan sindrom mediokriti yang menyaksikan masyarakat tidak lagi berani mencabar diri untuk mencapai yang terbaik, melainkan berpuas hati dengan tahap pekerjaan yang bersifat permukaan. Sindrom mediokriti ini melahirkan budaya rendah yang pada hari ini dianggap mendominasi kegiatan seni dan sastera. Dominasi ini antaranya dimanifestasi dengan sambutan terhadap sastera popular yang bertunjangkan materialisme, dan akhirnya membenamkan “budaya tinggi” dalam kesusasteraan. Sambutan ini mengundang kemunculan bidang Pengajian Budaya Baru (New Cultural Studies), yang terarah terhadap fenomena semasa masyarakat termasuklah yang dianggap sebagai “budaya rendah”, dan sekali gus memalingkan perhatian daripada “budaya tinggi”. Dalam konteks perkembangan semasa yang sedemikian, esei ini berpendapat bahawa cabaran yang mendepani usaha pembinaan mercu tanda sastera Malaysia ialah tentangan terhadap sindrom mediokriti, dan usaha untuk menghidupkan dan mempertahankan “budaya tinggi”. Dalam menyahut cabaran ini, kegiatan sastera di Malaysia dianggap harus dipersiapkan dengan apa yang diungkapkan sebagai “prasarana intelektual”. Dengan itu, kegiatan penulisan karya sastera wajar memberikan keutamaan terhadap idea dan pemikiran, dan bukan lagi ghairah mengekplorasi bentuk dan teknik. Esei ini menggalaskan cabaran tersebut ke bahu barisan para penulis muda yang dianggap mesti dipersiapkan dengan kemampuan intelektual serta epistemologi.

iv) “Pembinaan Mercu Tanda Penulisan Malaysia: Yang Dipelajari Adalah Secara Saka (Perennial)” oleh Ibrahim Bajunid (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM, 2014)

Esei ini membicarakan tentang pencapaian kegiatan penulisan di Malaysia. Pembicaraan topik ini disandarkan terhadap perkembangan-perkembangan semasa yang melanda tanah air, yang kesemuanya dijalinkan sebagai cabaran getir yang perlu dilalui oleh bangsa Malaysia pada era globalisasi ini. Dalam konteks cabaran ini, pembicaraan tentang kegiatan penulisan di Malaysia dikaitkan dengan tanggung jawab untuk memperjuangkan ilmu pengetahuan serta nilai-nilai universal, selain mencetuskan pemikiran baru yang didasarkan kepada falsafah serta kerangka pemikiran yang jelas. Dalam merealisasikan tanggungjawab ini, kegiatan penulisan mesti dibangunkan berasaskan budaya ilmu yang antaranya tercermin melalui kecanggihan pusat rujukan ilmu, tabiat membaca dan menulis yang tinggi serta dipusatkan kepada matlamat untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada bangsa. Dengan tanggung jawab ini, makalah ini mengajukan konsep “penulis sebagai pemimpin fikir” yang dianggap sebagai aset yang mampu membantu negara dalam mendepani cabaran-cabaran getir di era globalisasi.

v) “Perhubungan Sastera dengan Wayang: Meneliti Genre dalam Perspektif Budaya” oleh Norman Yusoff (Dewan Sastera, Oktober 2014)

Sebuah esei yang mengupas persoalan hubungan erat antara bahan sastera dengan penghasilan wayang atau filem, termasuk dari sudut penilaian budaya semasa. Banyak filem hebat antarabangsa yang terhasil daripada karya sastera, dan hal ini juga berlaku dalam konteks Malaysia. Perbincangan turut mengimbau kembali pelbagai filem klasik Melayu tersohor yang terhasil berasaskan hikayat-hikayat klasik Melayu yang lestari sepanjang zaman. Esei ini bersifat informatif dan disampaikan melalui bahasa yang senang tetapi ilmiah, dan justeru menarik untuk dibaca. Susunan idea jelas, memperlihatkan kejelasan serta kejernihan fikiran penulis. Dalam garapan yang komprehensif ini, esei tetap terkawal dan jitu. Esei ini dapat dianggap memberikan sumbangan yang signifikan terhadap bidang sastera bandingan terutamanya berkaitan genre filem dan genre sastera.

vi) “Sastera Profetik: Kaffah dalam Revolusi Yang Ditangguhkan” oleh Saifullizan Yahaya (Dewan Sastera, Mei 2014)

Esei ini menjadikan fenomena sastera Islam sebagai kanvas yang melatari kehadiran gagasan “Sastera Profetik” oleh Kuntowijoyo dan novel Revolusi yang Tertangguh karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Merujuk kepada gagasan “Sastera Profetik”, esei ini mengutarakan 3 etika penting dalam gagasan ini, yang diungkapkan sebagai epistemologi strukturalisme transendental, kegiatan sastera sebagai satu ibadah, dan hubungan manusia dengan Allah s.w.t. dan hubungan manusia dengan manusia. Dalam konteks ketiga-tiga etika ini, esei ini membangkitkan konsep kaffah (diterjemahkan sebagai “keseluruhan”) yang difahami oleh Kuntowijoyo sebagai pengabdian manusia kepada Pencipta secara keseluruhannya. Seterusnya, esei ini menerapkan konsep kaffah sebagaimana yang difahami oleh Kuntowijoyo, dalam bacaannya terhadap novel Revolusi yang Ditangguhkan (2009) karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Selain konteks penghasilan yang dikaitkan dengan fenomena “sastera Islam”, penerapan gagasan Kuntowijoyo ini turut diasaskan kepada kesedaran Shahnon sendiri, yang secara jelas menyatakan hasrat untuk berdakwah kepada pembaca melalui novel tersebut. Esei ini membangkitkan kritikan Shahnon dalam novel yang dikaji itu terhadap aspek kelemahan, kebodohan dan kepincangan manusia. Kritikan-kritikan dianggap memenuhi tuntutan “nahi mungkar”. Selain itu, esei ini turut mengenalpasti paparan tentang keinsafan makhluk-makhluk selain manusia seperti gunung-ganang, bukit-bukau dan rimba-belantara kepada Allah s.w.t. Paparan-paparan ini pula dianggap memenuhi tuntutan “amar makruf”. Dengan terlaksananya kedua-dua tuntutan ini, Revolusi yang Tertangguh dianggap sebagai sebuah novel yang menyampaikan dakwah kepada pembaca.

vii) “Teknoteks Menyepadukan Sastera, Teknologi dan Kritikan” oleh Sohaimi Abdul Aziz (Dewan Sastera, Julai 2014)

Esei ini mengemukakan sebuah pandangan baharu tentang kesepaduan antara sastera dan teknologi dalam perkembangan pengajian sastera Melayu mutakhir. Pengajian sastera teknoteks semakin mendapat tempat dewasa ini dengan membuka ruang-ruang baharu kajian sastera yang melibatkan pelbagai prasarana yang baharu dan bersifat rentas ilmu dan disiplin. Teknoteks merupakan suatu genre baharu dalam sastera yang memperlihatkan kemunculan sastera elektronik yang berasaskan penggunaan teknologi komputer, media baharu dan literasi digital. Sastera elektronik memiliki ciri-cirinya yang tersendiri dan memerlukan kaedah kritikan yang tersendiri bagi menanganinya, antara lain meliputi juga kemahiran dalam cereka hiperteks dan cereka interaktif. Esei ini mengangkat sastera dalam konteks dunia siber semasa yang menyebarluaskan sastera dalam bentuk-bentuk baharu dan berdaya saing di pentas globalisasi, sekali gus membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada khalayak sastera melibatkan diri dalam arus perkembangan industri kreatif negara. Dalam masa yang sama, teknoteks diyakini dapat mengembangkan peranan sastera dalam konteks transformasi pengajian tinggi negara yang kian mencabar masa kini dengan harapan khusus agar “sastera digunakan untuk memanusiakan teknologi”.

KESIMPULAN

Sehubungan itu, karya yang tidak terpilih sebagai pemenang rata-rata  disebabkan kelemahan tertentu. Antara yang ketara ialah kelemahan dari segi garapan idea. Terdapat karya tidak meyakinkan dari segi penghujahan rata-rata disebabkan pengolahan subjek yang tidak terfokus. Pemilihan skop kajian yang terlalu luas dan kemudiannya tidak ditangani secara berkesan juga menjadi kelemahan karya. Dalam hal ini, fakta dan contoh yang dikutip tidak dapat membantu memantapkan penghujahan, selain terdapat juga sumber rujukan yang tidak dikemas kini. Selain itu, terdapat juga segelintir karya yang tidak memperlihatkan kepekaan terhadap perkembangan ilmu dan memberikan kesan bahawa perbincangan sudah terkebelakang dari segi idea dan fakta. Satu perkara yang terkesan dengan jelas ialah kualiti karya-karya yang dinilai, yang rata-rata menampakkan ruang yang agak luas bagi tujuan pemantapan serta penambahbaikan.

Berhadapan dengan realiti ini, laporan ini menyarankan supaya pemilihan karya bagi tujuan penilaian pada masa hadapan diperluaskan lagi kepada buku-buku sastera yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan persendirian. Selain itu, trend penerbitan ilmiah di institusi pengajian tinggi pada masa kini yang lebih cenderung kepada jurnal-jurnal akademik turut menuntut kepada mekanisme baru yang lebih efisien dalam mengesan artikel-artikel ilmiah yang bermutu dan patut dicalonkan bagi tujuan penilaian. Sehubungan itu juga, wajar sekali dipertimbangkan satu kategori baru yang dapat menampung perbezaan tuntutan antara artikel ilmiah yang terbit dalam jurnal akademik, dengan esei sastera yang termuat dalam majalah yang lebih bersifat semi akademik. Sejajar dengan usaha memartabatkan kesusasteraan Melayu, laporan ini juga mencadangkan supaya kriteria penilaian bagi kategori ini diperhalusi bagi mempertingkatkan lagi mutu karya-karya yang bertanding dan sekali gus mengekalkan prestij sayembara ini.

Panel Penilai:

Prof. Madya Dr. Noriah Taslim

Prof. Dr. Jelani Harun

Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani 

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks