KATEGORI KANAK-KANAK

PENDAHULUAN

Bagi kategori kanak-kanak sebanyak 10 buah novel kanak-kanak, 2 buah kumpulan cerpen, 44 buah buku bergambar dan 5 buah kumpulan puisi telah dinilai. Jumlah semua karya yang dinilai sebanyak 61 buah.

NOVEL KANAK-KANAK

Daripada 10 buah karya yang dinilai sebanyak 5 buah novel telah disenarai pendek. Novel-novel tersebut ialah Rahsia Dhia – Zainun Mustapha, Misteri Di Ladang – Marini Azahiri, Tendangan Tuah – Fauziah Baharudin, Nira Nipah Pak Usu- Nordin Saad dan Anak Yang Berani – Murad Arshad. Setelah diteliti Rahsia Dhia karya Zainun Mustapha memenuhi kriteria yang agak baik dengan karya untuk bacaan kanak-kanak. Berikut penilaian yang dilakukan.

Rahsia Dhia – Zainun Mustapha

Novel ini mengisahkan seorang murid OKU Tahun 5 bernama Dhia, yang tidak mempunyai lima jari tangannya sejak dilahirkan. Dhia seorang murid yang rajin dan pandai. Mendapat kasih sayang secukupnya daripada ibunya. Ayahnya telah meninggal dunia. Pada bulan menyambut kemerdekaan, sekolahnya menganjurkan pertandingan reka cipta bertemakan ‘Cinta akan Negara’. Dhia berusaha bersungguh-sungguh mengumpulkan bahan terbuang seperti bendera dari berbagai saiz yang sudah tidak digunakan lagi. Setelah siap ada kawan yang menyimpan rasa cemburu kerana dikhuatiri rekacipta Dhia akan menang, lalu disabotaj. Kerosakan rekacipta tidak melemahkan semangatnya. Dhia membaikinya dengan mendapat pertolongan dari kawan-kawan yang simpati dengannya. Dalam pertandingan yang dianjurkan rekacipta Dhia telah memenangi hadiah. Murid-murid yang mensabotaj dapat ditangkap dan mereka mohon maaf kepada Dhia. Dhia tidak menyimpan dendam dan memaafkan mereka.

Novel ini mengangkat watak Dhia seorang murid OKU yang mempunyai azam yang kuat, berusaha gigih demi mencapai hasratnya. Selain itu novel ini menampilkan seorang ibu tunggal yang sabar, sentiasa memberi semangat agar Dhia tidak mudah putus asa. Seorang ibu yang penyayang mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Sifat keibuannya begitu ketara sehingga dia tidak pernah memarahi Dhia. Novel ini juga menyelitkan rasa setiakawan dan muhibah apabila rakan-rakan yang berbilang kaum membantu Dhia membaiki rekacipta yang dirosakkan. Pengajaran yang boleh diambil adalah kegigihan dan semangat juang murid  OKU menghadapi dugaan hingga berjaya. Kecacatan tidak menghalang untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang. Di samping itu laras bahasa yang disampaikan adalah sesuai sehingga mudah diikuti oleh pembaca, walaupun terdapat beberapa kelemahan dari aspek persembahan bahasa.

Atas alasan di atas para ahli panel bersetuju mengangkat novel Rahsia Dhia diberi anugerah HSPM 2014.

KUMPULAN CERPEN KANAK-KANAK

Terdapat dua kumpulan cerpen kanak-kanak yang dinilai iaitu Tingko Sunyi karya Siti Aishah Sulaiman dan Bateri Jantung Haiqal karya Maryati Mohd. Amin. Setelah dinilai kedua-dua kumpulan cerpen ini tidak memenuhi kriteria sebagai sebuah kumpulan cerpen kanak-kanak. Tingko Sunyi termasuk dalam kumpulan buku cerita bergambar yang ceritanya agak panjang dan tidak mengandungi beberapa buah cerpen di dalamnya.

Sementara Bateri Jantung Haqal mengandungi tiga buah cerpen yang setiap satu cerpen panjangnya hingga 40 halaman. Ia tidak memenuhi kriteria sebagai sebuah cerpen kanak-kanak yang panjangnya sekitar 5-6 halaman. Di samping itu laras bahasanya lebih sesuai untuk golongan remaja yang agak sukar difahami oleh kanak-kanak. Dengan alasan tersebut para ahli panel menetapkan tiada kumpulan cerpen yang boleh diberikan HSPM 2014.

KUMPULAN PUISI KANAK-KANAK

Sebanyak 5 buah puisi yang diberikan oleh pihak pengurusan. Setelah diteliti 3 buah dinilai iaitu Sakura oleh Mahaya Mohd Yassin, Ayam Berkokok oleh Nawawee Mohammad dan Puisi dan Lagu oleh Zaharah Abd. Manaf. Setelah diteliti kumpulan puisi Sakura karya Mahaya Mohd. Yassin dianggap baik.

SAKURA – MAHAYA MOHD. YASSIN

Kumpulan puisi ini mengandungi 51 buah puisi yang ditulis berlatarbelakangkan negara Jepun. Ia membicarakan berbagai tema yang hampir dengan dunia kanak-kanak. Tema-tema yang diangkat tentang ketuhanan, kasih sayang kepada ibu bapa, negara, persahabatan, kepentingan ilmu, flora dan fauna, kemasyarakatan dan motivasi. Tema-tema yang diangka boleh menambahkan pengalaman dan pengetahuan untuk dijadikan panduan hidup bagi membina jati diri kanak-kanak yang perlu ditanam sejak kecil. Terdapat juga puisi yang membicarakan unsur teknologi maklumat yang menyatakan teknologi ini baik tetapi jangan disalahgunakan.

Kekuatan kumpulan puisi ini juga dibina dalam berbagai bentuk seperti pantun 2 kerat, 4 kerat, gurindam, syair, haiku, ballad, epic, sajak bebas. Selain itu terdapat unsur irama couplet contohnya; ‘apabila berada di negara orang, timba yang baik yang kurang dibuang’. Irama Quatrain contoh, ‘pohon buku/tepu segala/cerita dan ilmu/rencana dan berita’. Terdapat juga sajak Saya harap (I wish poem). Contoh , ‘Rindukan negara ingin pulang segera’, dan ‘terjelma ayah bonda ingin restu dan doa’ perkataan ‘ingin’  atau dalam puisi Inggeris menggunakan perkataan ‘wish’. Kumpulan puisi ini amat baik dan boleh dijadikan bahan pengajaran serta pembelajaran kerana terdapat contoh pelbagai bentuk puisi di dalamnya.

Atas alasan di atas ahli panel berpendapat kumpulan puisi ini wajar diangkat untuk menerima HSPM 2014.

BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK

Sebanyak 44 buah buku bergambar telah dinilai. Daripada jumlah tersebut 3 buah buku disenaraipendekkan. Buku-buku itu ialah Di mana Sebelah Lagi – Razisatul Asyifah Ismail, Angsa Istana Si Jambul Desa – Siti Zainon Ismail, Kuaya Menjadi Burung – Saindim Sadah. Setelah dinilai buku bergambar berjudul Di mana Sebelah Lagi karya Razisatul Asyifah Ismail dan pelukis Mohd Khairul Azman Ismail dianggap baik dari aspek penceritaan dan ilustrasinya. Cerita ini disampaikan dengan mudah namun ada mesej yang hendak disampaikan. Kisah tentang ‘Adik’ yang mencari sebelah seliparnya yang hilang.

Ketika mencari penulis cerita ini cuba memperkenalkan kepada kanak-kanak akan tumbuh-tumbuhan seperti serai, pandan, pokok pisang, kelapa, keladi dan ulam-ulaman.  Dalam proses pencarian beberapa objek ditemui oleh ‘Adik’ seperti peralatan, binatang kecil, jantung pisang dan sebagainya. Penulis cuba memperkayakan pengetahuan kanak-kanak dan perbendaharaan kata kanak-kanak tentang penghidupan persekitaran kanak-kanak. Di samping itu unsur kerjasama ketika mencari selipar mendapat bantuan dari ibu, datuk dan nenek yang akhirnya berjaya ditemui.  Kekuatan buku cerita ini memperlihatkan teks dan ilustrasi sangat sesuai dan berjaya mengimbangi cerita. Teknik memaparkan cerita menerusi sudut pandangan illustrator yang pelbagai dapat menarik minat pembaca untuk berfikir tanpa bantuan teks. Ilustrasi menggunakan warna pastel memberi hasil yang menarik.

Berdasarkan penilaian di atas, ahli panel berpendapat buku bergambar Di mana Sebelah Lagi, diberi anugerah HSPM 2014.

KESIMPULAN

Pada tahun ini jumlah karya yang dinilai begitu mendadak peningkatannya. Ini mungkin disebabkan banyak penerbit dan penulis menghantar karya mereka untuk dinilai. Justeru ahli panel berpendapat perlu diwujudkan satu lagi kumpulan ahli panel untuk menilai khusus  karya kanak-kanak.

KATEGORI REMAJA

PENDAHULUAN

Ahli panel telah dilantik oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menilai dua katergori iaitu kategori sastera remaja dan kategori sastera kanak-kanak. Untuk sastera remaja beberapa genre telah dinilai iaitu novel remaja sebanyak 46 buah kumpulan cerpen remaja sebanyak 13 buah. Kumpulan puisi remaja 12 buah dan cerpen eceran remaja sebanyak 10 buah. Sementara untuk kategori kanak-kanak, panel telah menilai 10 buah novel kanak-kanak, 2 buah kumpulan cerpen, 44 buah cerita bergambar dan 5 buah kumpulan puisi kanak-kanak. Jumlah bagi kategori remaja sebanyak 81 buah, kategori kanak-kanak 61 buah. Jumlah keseluruhan sebanyak 142 yang  telah dinilai terdiri daripada berbagai genre.

Berikut adalah penilaian yang telah dilakukan.

SASTERA REMAJA

Setelah menilai kesemua novel tersebut, sebanyak 5 buah novel telah dipilih yang dianggap baik berdasarkan tema, plot yang meyakinkan, bahasa yang menarik dan mesej positif yang boleh dijadikan teladan hidup kepada pembaca remaja. Novel-novel yang dipilih ialah Gerbang Raudhah karya Rohaidah Yon, Kerikil di Hatinya karya Zainun Mustapha, Anugerah Cinta Paling Glamor karya Raihan Abu Bakar, Perutusan Dari Penjara karya Shaari Isa dan Terima kasih Cikgu karya Awang Abdullah. Setelah diteliti dengan lebih terperinci novel Gerbang Raudhah karya Rohaidah Yon dianggap baik.

Berikut penilaian yang dilakukan.

GERBANG RAUDHAH KARYA ROHAIDAH YON.

Novel ini bertemakan kekeluargaan. Ia mengangkat watak seorang remaja bernama Raudhah. Dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya iaitu Tuk Leman dan Nek Lijah di Melaka. Raudah seorang pelajar tingkatan 5, bercita-cita hendak menjadi petani moden dan akan meneruskan pengajian ke Universiti Pertanian Malaysia dalam jurusan Diploma Pengurusan Perladangan. Walaupun usianya masih muda tetapi dia telah menentukan misi dan visinya dalam kehidupannya. Dia ingin merealisasikan impian dan cita-citanya untuk membangunkan ladang cendawan yang berkonsepkan agro pelancongan yang lengkap dengan infrastruktur seperti restoran, surau, chalet, dewan dan landskap yang menarik.

Satu sifat yang menarik adalah watak Raudhah, walaupun seorang pelajar sains namun cintanya dalam seni dondang sayang amat tinggi.Hal ini dipengaruhi oleh Tuk Leman yang merupakan seorang yang mahir dalam seni dondang sayang. Raudhan seorang yang prihatin terhadap orang tua. Dia dapat membahagiakan Embah Rohmah. Embah Rohmah yang tinggal bersama ibu bapa Raudhah di Parit Sulong, Batu Pahat, sejak kematian  suaminya Haji Basir menjadi murung. Kepulangan Raudhah ke rumah ibu bapanya ketika cuti berusaha menggembirakan Embah Rohmah. Dia berbual dengannya, membawanya keluar berjalan-jalan akhirnya Embah Rohmah menjadi ceria dan menyayangi Raudhah.

Dari sudut intrinsik, perjalanan plotnya dibina secara kreatif dengan unsur sebab akibat yang meyakinkan. Seterusnya penggunaan gaya bahasa yang segar dan lembut mengangkat keindahan novel ini. Gabungan struktur novel seperti tema, plot, watak dan perwatakan serta pengolahan bahasa yang baik menjadi kekuatan novel ini.

Dari aspek ekstrinsik, novel ini banyak pengajaran antaranya novel ini banyak memasukkan unsur ilmu seperti membina rumah tempat pembiakan cendawan, pengawalan suhu, cara menanam cendawan dalam bekas plastik memberi ilmu berguna kepada pembaca. Kedua, seorang gadis yang bijak, lembut tuturkata, tidak pernah menyanggah kata-kata orang tua di samping meminati muzik tradisional dondang sayang walaupun latar belakang pendidikannya aliran sains. Ketiga, Raudhah tidak pernah berasa putus asa. Dia mempunyai misi dan visi yang jelas untuk kehidupannya. Terakhir, adanya unsur muhibah yang memperlihatkan hubungan antara Tuk Leman dengan keluarga peranakan baba dan nyonya, Gan Kim Swan begitu mesra kerana mereka terlibat dengan muzik tradisional dondang sayang.

Demikian pengarang mengolah novel Gerbang Raudhah yang banyak disisipkan nilai murni diadun dengan plot yang mudah dan laras bahasa yang digarap dengan menarik dapat meruntun dan menyentuh perasaan  menerusi hubungan penyatuan kekeluargaan. Perjalanan cerita yang menarik ini membuatkan pembaca terus mengikuti sehingga tamat.

Dengan faktor-faktor yang diberikan di atas ahli panel bersetuju menamakan novel Gerbang Raudhah karya Rohaidah Yon, untuk memenangi HSPM 2014 kategori novel remaja.

KUMPULAN CERPEN REMAJA

TETAMU ISTIMEWA KARYA MOHD HELMI AHMAD

Kumpulan cerpen Tetamu Istimewa mengandungi 15 buah cerpen yang mesejnya berkisar kehidupan keluarga, guru dan masyarakat. Isu tentang masalah ibu bapa dengan anak-anak: anak yang suka berfoya-foya, menghabiskan harta ibu bapa, pengorbanan ibu bapa demi pelajaran anak-anak, bagi keluarga Tionghua, sikap membenci anak perempuan kerana dianggap membawa sial kepada keluarga diolah dengan kreatif dengan memberi penyelesaian yang menginsafkan. Kepentingan pendidikan agama kepada anak-anak ditonjolkan dalam buku ini.

Selain dari itu hubungan antara guru atau pensyarah dengan murid dan pelajarnya juga  menjadi isu yang diangkat oleh pengarang. Kisah seorang guru yang membenci muridnya kerana suka ponteng sekolah akhirnya berasa insaf kerana muridnya yang miskin membantu neneknya yang telah tua. Soal kemiskinan murid juga membawa konflik antara guru dan murid yang tidak bercita-cita tinggi. Akhirnya setelah diselidik didapati murid itu bekerja menangkap ikan haruan membantu ayahnya sehingga murid tersebut selalu ponteng sekolah.

Dalam kehidupan bermasyarakat pengarang juga mengangkat isu ini. Cerpen yang menggambarkan semangat gotong royong di kalangan masyarakat kampung yang telah diwarisi sejak turun temurun, terutama mengerjakan kenduri kahwin. Kumpulan cerpen Tetamu Istimewa seperti yang dinyatakan di atas, menampilkan penceritaan yang boleh dikatakan mantap dengan tema yang pelbagai dan plot yang menarik dan meyakinkan pembaca. Tema yang banyak mendedahkan kehidupan berkeluarga, hubungan guru/pensyarah dan hubungan dengan masyarakat,  pengarang ingin memaparkan manusia yang bertanggungjawab mendidik anak-anak, para pelajar dan masyarakat desa. Jelas bahawa cerpen-cerpen yang dipaparkan banyak  menekankan persoalan pembelajaran dan pendidikan. Institusi pendidikan iaitu ibu bapa, guru dan pensyarah merupakan institusi penting bagi mendidik generasi muda.

Oleh yang demikian ahli panel bersetuju kumpulan cerpen Tetamu Istimewa karya Mohd. Helmi Ahmad menerima HSPM 2014.

CERPEN ECERAN REMAJA

Sebanyak 10 buah cerpen eceran remaja telah dinilai. Penulisannya agak lemah kerana lebih banyak menggambar persoalan orang dewasa yang bernostalgia tentang masa lampau yang disampaikan secara teknik flashback. Persoalan kehidupan kampung dengan dunia kemiskinan, menyambut bulan Ramadhan waktu berbuka, bertarawikh dan sebagainya. Walaupun ada cerpen yang cuba menerapkan unsur keilmuan tetapi seperti diada-adakan seperti penulisan sebuah esei. Penilai cuba mencari tema cerita yang berkaitan dengan persoalan teknologi maklumat, keburukan terlalu banyak meneliti media sosial dan sebagainya tidak ada. Kerana hal yang demikian itu hampir dengan dunia remaja yang rata-rata telah memiliki gadget-gedget tersebut. Selain itu unsur-unsur bertemakan motivasi remaja juga tidak digarap dengan sempurna yang dapat membangkitkan rasa ingin maju di kalangan remaja.

Atas alasan tersebut para ahli panel berpendapat tidak ada cerpen yang boleh diberikan HSPM 2014.

KUMPULAN PUISI REMAJA

Sebanyak 12 buah kumpulan puisi remaja telah dinilai. Sebanyak 5 buah kumpulan puisi telah dinilai iaitu Mimpi Kotaku – Hilmi Rindu, Haruman Kata-kata – Nawawee Mohammad, tidak begitu jauh – Lim Swee Tin, Musim Hujan – Hamir Habeed Mohd dan Nota kepada Penyelik Saku – Pena Mutiara. Setelah diteliti sebuah kumpulan puisi Mimpi Kotaku karya Hilmi Rindu diangkat untuk menerima HSPM 2014 untuk kategori ini.

Kumpulan puisi ini mengandungi 49 buah puisi yang dipecahkan kepada tema besar seperti tumbuh-tumbuhan (Selupat Pucuk), barangan dalam rumah (Rumah), makanan traditional (Sayur Lemak Pucuk Kemudu), dan kemasyarakatan (Mimpi Kota). Puisi-puisi yang dipaparkan banyak membawa kisah lampau pada zaman remaja dan kanak-kanak, namun kaya dengan unsur pengajaran dan nasihat. Pada bahagian ‘Selupat Pucuk’ memperkenalkan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di kampung yang dijadikan sumber pendapatan, seperti puisi,  ‘pokok gereka’, ‘Buah Kemunting’, ‘Daun Mempelas’, ‘Daun Getah’ dan sebagainya. Tumbuh-tumbuhan tersebut begitu bermakna pada kehidupan masyarakat desa dan punca rezeki untuk membesar anak-anak. Pada bahagian ‘Rumah’ puisi-puisinya memaparkan disetiap ruang dalam rumah yang memberi keselesaan hidup sekeluarga. Puisi-puisi seperti ‘Bantal’, Tiang Seri’, ‘Tikar Getah Tikar Mengkuang’, ‘Tudung Saji’, ‘kukuran’ dan sebagainya. Objek-objek yang diangkat memberi makna yang tersembunyi.

Pada bahagian ‘Sayur Lemak Pucuk Kemudu’, penulis mengangkat isu makanan tradisional yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu sejak kecil hingga dewasa. Puisi seperti ‘Sayur Lemak Pucuk Kemudu’, ‘Nasi Dagang’, ‘Tepung Bungkus Mak Cik Jarah’, ‘Gulai Kawah’ dan sebagainya banyak membawa unsur nasihat dan mendidik. Akhirnya bahagian ‘Mimpi Kotaku’ mengangkat gambaran hidup bermasyarakat dalam sebuah Negara atau sebuah desa. Hidup bergotong royong merupakan amalan yang diwarisi oleh masyarakat Melayu yang perlu diteruskan umpamanya puisi ‘Tak Perlu’, ‘Menjadi Semut’ dan sebagainya.

Demikian mesej yang disampaikan melalui kumpulan puisi Mimpi Kotaku banyak mengandungi unsur nasihat dan pendidikan. Banyak yang boleh dipelajari oleh generasi muda. Bahasa penyampaiannya mudah dengan pilihan diksi yang sesuai sehingga tidak menimbulkan ambiguiti. Imej-imej tradisional dan kehidupan masa lalu digarap dengan gaya yang menarik dan membawa pengetahun dan pengajaran yang mendalam.

Atas faktor yang diberikan di atas ahli panel bersetuju kumpulan puisi Mimpi Kotaku diberikan HSPM 2014.

Disediakan oleh:

Dr. Misran Rokimin

Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak

Prof. Madya Dr. Bustam Kamri

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks