HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA (HSPM) sudah mengorak sumbangan sejarah yang panjang terhadap persada kesusasteraan kita. Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran menjelaskan bahawa, sehingga tahun 2015, HSPM sudah berusia 44 tahun. HSPM bermula dengan nama Hadiah Karya Sastera pada tahun 1971, idea yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, dan kemudian bertukar kepada Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1981, dan akhirnya, mulai tahun 1996, bertukar lagi kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Sejak kemunculannya, sudah banyak karya yang memenangi HSPM terus gah diuji zaman, termasuklah novel Daerah Zeni, Tunggul-tunggul Gerigis, Patriach, Empangan, dan Imam; kumpulan cerpen Yuda, Merengkuh Langit, Sang Tahanan, dan Naratif Ogonshoto; kumpulan puisi Piramid, Titir Zikir, Pujangga Tidak Bernama, Mim, Salju Shibuya, dan Kristal di Laut Bulan; dan buku drama Hikayat Qaziq, Gelanggang Tok Wali, Lantai T. Pinkie, Yang Menjelma dan Menghilang, dan Peran. Sehubungan dengan itu, terdapat suara-suara yang melihat kemenangan karya sastera melalui HSPM ini tidak mendapat sambutan dan minat masyarakat. Seolah-olah, kemenangannya tidak meningkatkan minat khalayak untuk membaca semula buku yang menang sekali gus meningkatkan permintaan di pasaran.

Sebenarnya, mekanisme acara HSPM tidak patut dipersoalkan jika karya yang menang tidak mendapat sambutan masyarakat. Majlis dan acara datang dan pergi setiap hari, setiap bulan. Hal yang lebih penting selepas sesuatu acara ialah mekanisme penghebahan dan apresiasi, yang sehingga hari ini, tampak kurang difokuskan oleh mana-mana pihak yang menangani sesuatu acara anugerah.

Seperti HSPM yang sudah melalui suatu sejarah yang panjang, senarai pencalonan dan pemenangnya sepatutnya didokumentasikan secara dalam talian. Masyarakat berhak “diingatkan” akan senarai karya pemenang. Hanya dengan cara itu, masyarakat akan mula mencari dalam pasaran dan membuat pesanan. Dalam ruang bercetak pula, majalah Dewan Sastera dan akhbar lain hanya bersifat berkala, amat payah untuk “mengingatkan” masyarakat akan kemunculan HSPM sepanjang tahun. Penerbitan sebuah buku atau risalah yang menyenaraikan calon dan pemenang secara almanak, yang mungkin dapat membuat sedikit analisis pada setiap tahun, mungkin dapat menambahkan lagi apresiasi terhadap acara kebangsaan sastera yang selalu ditunggu-tunggu ini, agar bukan sahaja melonjakkan kerelevanannya, tetapi menguatkan peranannya sebagai pengisi tonggak peradaban.

Februari 2016

Be Sociable, Share!