APABILA meneliti perjalanan pengalaman kepengarangan Jasni Matlani, terdapat dua perkara yang dapat dipelajari oleh penulis muda. Pertama, dengan usaha yang bertungkus-lumus, Jasni membuat pilihan untuk menghasilkan karya dalam pelbagai genre, khususnya dalam puisi, cerpen, kritikan, kajian, dan novel. Semangat dan daya ketahanan beliau tentu tinggi kerana berjaya menghasilkan pelbagai genre karya yang sebegitu banyak dan baik dalam masa yang begitu singkat. Sikap Jasni yang hendak mencuba sesuatu yang baharu, segar dan mencabar dirinya sendiri mungkin sudah sedikit jarang-jarang berlaku dalam kalangan penulis semasa. Keghairahan sebegini hanya dapat dilihat menular pada era 1970-an, dengan Sasterawan Negara A. Samad Said sebagai contoh terbaik. Jasni sanggup melakukan hal ini kerana mempunyai kepercayaan tinggi terhadap “citra sebenar pengarang” yang benar-benar dapat diserlahkan apabila berani menguji dirinya sendiri terhadap pelbagai percubaan dan pengalaman dalam penghasilan karya. Sikap optimisme yang tinggi dalam diri Jasnilah yang terus menggerakkan beliau untuk berjaya pada tahap ini.

Kedua, Jasni memahami citra Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam menyerlahkan lagi wajah sebenar seorang pengarang yang bergerak pada landasan sastera kebangsaan. Jasni percaya, menyebatikan unsur besar sastera kebangsaan (kemanusiaan, sarwajagat, penggunaan bahasa Melayu standard) dengan unsur sejarah dan budaya tempatan, menampilkan keunikan profil seseorang pengarang. Dalam karya Jasni sendiri, Islam digunakan sebagai nilai pemikiran yang membuka banyak persoalan dan hujah kemanusiaan dan kemasyarakatan, yang dapat dicapai oleh sesiapa pun apabila membacanya. Dengan ini, Jasni membina “nama”nya. Karyanya menjadi unik dan tersendiri. Tahniah buat Jasni sekali lagi. Semoga karyanya yang seterusnya menjadi tingkap dunia Malaysia yang dapat dikongsi kepada pembaca antarabangsa seterusnya.

Mac 2016

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks