FOKUS Dewan Sastera (DS) kali ini memperkatakan cara pengarang lama di rantau kita memilih sumber luar dan menyesuaikannya dengan pegangan dan kefahaman tempatan. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun lamanya, dengan pemilihan unsur dan cerita yang teliti dan sesuai dengan latar dan jati diri yang wujud waktu itu. Apabila suatu cahaya kebenaran datang berkunjung ke ruang rantau ini, pengarang era lama ini akan menelitinya sebelum menerimanya. Setelah menyedari kebaikannya, mereka sekali lagi akan melakukan “pengarangan semula”. Mereka menambah baik dengan istilah baharu yang lebih kontekstual dan praktikal, membuang unsur pegangan dan nilai yang tidak lagi bersesuaian, dan menyesuaikan teks dengan jati diri yang sedia ada.

Dalam hal ini, kita dapat merenungi betapa bijaknya para pengarang lama memilih istilah tertentu dalam teks sastera klasik apabila Islam datang menyebarkan cahayanya ke rantau ini. Perkataan Sanskrit yang menyentuh hal akidah dan keagamaan yang tidak sesuai dibuang. Beberapa perkataan Arab yang menjadi asas pegangan agama Islam dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu, manakala beberapa perkataan Sanskrit pula dikekalkan atau disesuaikan dengan kefahaman agama Islam, seperti “sembahyang”, “neraka” dan “pahala”. Dengan itu, pengarang lama mengimbangi tradisi warisan yang sudah ditampung beberapa ratus tahun sebelumnya dengan kebenaran baharu yang membawa manfaat kepada kemajuan kehidupan dan peradabannya. Hal inilah yang membezakan sikap plural sudah sedia wujud dalam alam Melayu, dengan pluralisme moden yang menerima segala-gala unsur dan nilai luar tanpa apa-apa penelitian dan saringan. Inilah pedoman yang sebenarnya sudah lama teresap dalam darah kita tetapi tidak diendahkan. Mungkin kita perlu kembali merenungi hal ini agar tidak terburu-buru menerima segala-galanya tanpa suatu perhitungan akan akibatnya terhadap jati diri dan agama.

April 2016

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks