BULAN INI, Dewan Sastera (DS) mempersembahkan suatu wawancara menarik dengan John H. McGlynn, pendiri dan penggerak Yayasan Lontar yang telah berjaya membawa Indonesia ke Pesta Buku Frankfurt sebagai tamu kehormatnya tahun lepas. Untuk ruangan fokus pula, Ummi Hani Abu Hassan menulis tentang sejarah, prinsip, ciri kandungan dan masa depan komoditi pasaran novel popular Islam Malaysia. Kedua-duanya mempunyai wacana yang amat penting dan sangat diperlukan untuk memacu penerusan industri perbukuan Malaysia sekarang – peluasan pemasaran dan kesedaran antarabangsa.

Kedua-dua hal ini tidak dapat digerakkan jika tiga perkara tidak dilaksanakan secepat mungkin – peningkatan mutu dan kuantiti terjemahan, penubuhan dan gerakan aktif ejen sastera, dan penyaluran dana khas. Sesuatu harus dilakukan jika industri buku kita benar-benar jujur untuk mencari jalan pencerahan ke arah kemajuan. Umpamanya, dalam hal dana, mana-mana badan pelaksana perlu memikirkan cara untuk sama-sama menumpukan usaha membina sebuah dana khas bersama yang digerakkan bagi menyalurkan bantuan dalam memacu mekanisme penterjemahan buku dan pemasaran.

Jika terdapat dana khas yang tidak aktif, mungkin sebahagian daripada peruntukannya dapat disalurkan ke dalam dana khas tersebut. Begitu juga dengan idea ejen sastera yang jarang-jarang sekali kita sedari, merupakan individu utama, semacam duta sastera atau orang tengah, yang merancang dan melaksanakan kerja pemasaran dan pemilihan buku di dalam dan luar negara. Ejen sasteralah yang menyedari permintaan sebenar pasaran di luar negara dan merancang suatu “produk jenama” untuk diperkenalkan kepada pembaca/pelanggan baharunya. Dana khas tersebutlah yang digunakan agar ejen sastera dapat bergerak ke mana-mana pesta buku di serata dunia, membuat pemilihan dan perkenalan judul buku negaranya, berkongsi buku, berkongsi sastera. Malaysia mungkin sudah kaya dengan pengiktirafan sasteranya yang berupa hadiah dan anugerah. Seeloknya, judul sastera yang dilimpahi anugerah dan hadiah ini turut mengembara ke sempadan yang berbeza, dengan cara yang lebih inovatif dan tidak pernah difikirkan.

Mei 2016

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks