DALAM FOKUS kali ini, Mohamad Saleeh Rahamad bercadang mengelaskan sastera sebagai kuasa kelima (the fifth estate) yang berpengaruh untuk mengubah dan mencorakkan landskap minda masyarakat. Melalui tatapan sejarah, terbukti karya sastera tempatan sebelum merdeka menjadi mangkin suara rakyat yang mempengaruhi perubahan sosial dan pendidikan masyarakat pada masa itu. Novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad dan cerpen “Wasiat Orang Bangsawan” serta “Darah dan Air Mata” karya Sasterawan Negara Keris Mas menegaskan semangat nasionalisme rakyat ke arah pembebasan dan kemerdekaan daripada ikatan penjajah luar. Bagi Saleeh, “kuasa kelima” sastera boleh tercapai jika sistem pendidikan memberikan kuasa hegemoni terhadap pembelajaran teks sastera yang padu dan idealogikal terhadap dasar perlembagaan negara.

Sebagai obor utama pembangunan sastera kebangsaan untuk citra negara bangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudah berusia 60 tahun seeloknya bermuhasabah diri jika sastera yang berada dalam tangannya, sudah mampu mengubah persepsi dan landskap minda masyarakatnya melalui pendidikan dan penyebaran karya. Jika diteliti, perjalanan itu dirasakan masih panjang. Masih terdapat beberapa mekanisme penyampaian yang mungkin perlu direkayasa. Antaranya, ketersediaan (availability) dan kebolehcapaian (accessibility) teks sastera kepada rakyat.

Memang, sistem pemasaran DBP sudah mula menampakkan cahayanya apabila DBP mengambil alih daripada Dawama. Pengenalan Kamus Dewan edisi “harga ekonomi”, capaian mudah Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Tatabahasa Dewan edisi sekolah rendah dan menengah, sudah mula mengubah paradigma DBP sebagai penjana pembangunan bahasa yang mesra rakyat. Kemunculan selonggok karya klasik seperti hikayat dengan harga yang sungguh berpatutan di Gerai DBP sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 menampakkan kesungguhan DBP dalam memberikan ketersediaan dan kebolehcapaian yang terbaik kepada masyarakat. Kita mengimpikan agar DBP dapat menerbitkan karya klasik agung, seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin dalam edisi “harga ekonomi”. Penerbitan sebegini seharusnya tekal dicetak tanpa tunda, terus-menerus dibekalkan untuk pembelian massa. Ketersediaan dan kebolehcapaian ini dapat dipertingkatkan lagi jika karya penting sastera kita yang sudah mencapai domain awam turut dimuatkan secara elektronik dan percuma dalam internet. Hal inilah yang dilakukan oleh badan sastera Britain untuk teks drama Shakespeare dan novel Charles Dickens, badan sastera Jerman untuk teks puisi dan drama Johann Wolfgang von Goethe, dan badan sastera China untuk novel klasik agung, Hung Lou Meng dan Romance of the Three Kingdoms. Semoga DBP terus kekal ampuh dengan cabaran semasa dan menjadi obor utama penunjuk jalan kemajuan sastera dan bahasa.

Jun 2016

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks