PRAKARSA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA untuk mengaplikasikan pantun sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran seawal sekolah rendah memang amat dipuji. Pantun merupakan satu-satunya bentuk puisi lama Melayu yang unggul dan dinamis. Puisi lama ini berperanan dalam pelbagai jenis kegiatan seharian masyarakat Melayu tradisional, menyampaikan pelbagai aspirasi, pandangan, falsafah dan perasaan pemantunnya. Pantun dapat diucapkan dengan semudah-mudah bahasa bagi hiburan kanak-kanak, seromantis untaian bagi golongan remaja yang bercinta, dan serius dan berfalsafah bagi golongan dewasa yang ingin menyampaikan ilmu, selalunya ilmu agama dan adab.

Pemecahan pantun yang terpecah kepada pembayang maksud dan maksud menyampaikan suatu pandangan alam Melayu yang tersendiri. Pembayang maksud pantun yang selalunya bersendikan imej alam, bukan sahaja berfungsi sebagai petunjuk bandingan pada baris maksud pantun yang seterusnya. Pembayang maksud mesti mempunyai kaitan dengan maksudnya. Maka kadangkala, metaforanya agak esoterik dan perlu diinterpretasikan dengan lebih mendalam untuk merasai keindahannya. Pecahan ini seperti memaparkan bahawa “pembayang” beriringan dan bersama-sama dengan “maksud”, tidak pernah terpisah. Hal ini amat penting untuk memahami betapa orang Melayu dahulu tidak memecahkan hal yang esoterik dengan hal yang nyata (realiti) dalam kebenaran hidup. Agama Islam tidak terpisah daripada ilmu dunia. Kematian tidak terpisah daripada kehidupan. Spiritual tidak terpisah daripada fizikal. Kewujudan Tuhan tidak terpisah daripada kewujudan dan peranan manusia. Hal ini menampilkan, orang Melayu jauh daripada mengamalkan sekularisme, lebih-lebih lagi penolakan agama dan Tuhan dalam kehidupan seharian. Pandangan ini seperti sudah dikodkan dengan bestari sekali oleh orang dahulu kita. Baris awal pantun yang meletakkan pembayang maksudnya dahulu sebelum makna turut menampilkan, betapa orang Melayu mendahulukan Tuhan, alam akhirat dan hakikat keagamaan daripada hal dunia dan material. Ya Tuhan, begitu halus dan indahnya falsafah yang tersirat dalam pantun Melayu jika diteliti keseluruhannya!

Julai 2016

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks