PADA 21 JUN 2016 YANG LALU, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyambut ulang tahunnya yang ke-60. sebagai institusi yang bertanggungjawab membina, memajukan serta memantapkan bahasa Melayu, DBP menyedari akan cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dan perkembangan kesusasteraan dewasa ini. Oleh itu, DBP telah melancarkan Pelan Strategik DBP 2016-2020, suatu manifestasi DBP untuk terus memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan bersesuaian dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pemersatu bangsa, bahasa ilmu, bahasa tamadun tinggi, serta pembina negara bangsa.

Dalam pelan strategik tersebut, DBP telah menetapkan tujuh Bidang Keberhasilan Utama bagi menggalas misi memperkasakan bahasa Melayu. Antara Bidang Keberhasilan Utama tersebut, termasuk pembinaan dan pembangunan karyawan berketerampilan. Dalam fokus kali ini, Ketua Bahagian Akademi DBP, Abang Patdeli Abang Muhi menggariskan bahawa pemerkasaan peran para penulis dan sasterawan sama pentingnya dalam pemerkasaan peran kesusasteraan kebangsaan. Pemerkasaan ini tidak hanya berlaku dalam pemberian inisiatif berbentuk upah, anugerah ataupun bengkel yang dilaksanakan oleh DBP, tetapi suatu percubaan sendiri oleh para penulis untuk memperkasakan dirinya, sekali gus memperkasakan persada kesusasteraannya. Contoh terunggul dapat dilihat terjelma dalam diri penyair Pujangga Baru, Amir Hamzah. Mungkin ramai yang sudah melupai, penyair agung rohaniah ini pernah menterjemahkan puisi panjang berfalsafah tinggi Hindu, Bhagavad-Gita dan petikan terpilih “Song of Songs” daripada Old Testament. Dalam kata lain, ketajaman karangan, penambahan perbendaharaan kata dan kekuatan pemikiran Amir turut diasah melalui proses penterjemahan. Penulis tidak seharusnya hanya menulis dan membaca, tetapi perlu cuba-cuba menterjemah hasil tulisan besar bahasa dunia. Jika kita perhatikan sejarah, sasterawan hebat era 1970-an, seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Abdullah Hussain, Arena Wati, dan Prof. Muhammad Haji Salleh, pernah menterjemah sejumlah karya sastera antarabangsa yang besar. Daripada penterjemahan, mereka bukan sahaja mempelajari teknik baharu penulisan tetapi meluaskan minda dan menambahkan ilmu. Penterjemahan sememangnya menjadi satu langkah yang mendekatkan penulis kita ke ruang perkembangan penulisan yang serba mungkin.

Ogos 2016

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks