KITA PERNAH MENEMUI telapak sastera di peta fizikal Malaysia, khususnya Kuala Lumpur dalam esei Nisah Haron, “Membina Laluan Sastera Kuala Lumpur: Sastera sebagai Mercu Tanda Pelancongan” dalam Dewan Sastera Bil. 9 2014. Kali ini, kita diperkenalkan dengan peta imaginasi sastera kita dalam esei Wan Nor Azriq, “Karya Fiksyen di Atas Peta Imaginasi”.

Peta imaginasi dicipta daripada idea cerita sesebuah karya, selalunya novel. Kita yang melakarkan sendiri topografinya, membina bangunan tingginya, menempatkan tanjung dan muara sungainya, menukilkan lembahnya yang subur dan gunung-ganang yang berdiri megah. Latar itu boleh sahaja diilhamkan daripada ruang realiti tempat kita berada sekarang, baik di kampung mahupun di kota. Misalnya, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad melakarkan Banggul Derdap dalam novel dan cerpennya daripada hulu desa dia membesar dan bermain sejak kecil. Dalam persuratan kita, mungkin penciptaan latar serba kreatif ini masih didahului oleh kumpulan cerpen atau novel Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Latar dan suasana tempatnya yang kelihatan seperti berada di Lautan Pasifik seakan-akan hidup dan melata dengan manusia, campuran budaya campuran Jepun, Amerika dan Melayu, tersorok daripada peta realiti.

Apabila meneliti proses kreativiti ini, kita akan menyedari, minda dan imaginasi kita ialah sebuah peta yang tidak ada sempadannya. Segala penciptaan ini berlaku daripada minda kita. Peta minda. Apabila peta minda kita jernih dan tidak dihalang oleh sempadan-sempadan yang mengganggu perjalanan idea, kita sendiri dapat membina suatu peta negara imaginasi sebaik Ogonshoto. Bagaimanakah kita membina sikap “membuka” sempadan-sempadan yang menghalang tersebut? Dengan banyak membaca, khususnya bacaan dari luar negara. Apabila kita banyak membaca karya luar, kita memecahkan sempadan yang menghalang. Penulisan kita menjadi lebih segar, kaya dan kreatif. Penulisan kita akan berubah. Dan, mungkin suatu hari nanti, pembaharuan karya kita dapat mengubah landskap kolektif peta imaginasi sastera kita pula.

September 2016

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks