KITA SUDAH TERLALU BIASA dengan pendekatan konvensional apabila membaca karya sastera. Oleh sebab itu, dalam fokus kali ini, Prof. Dr. Ding Choo Ming menunjukkan dua karya sastera daripada dua sempadan budaya dan bahasa yang berbeza tetap dapat dibandingkan, malah mempunyai persamaan. Kedua-duanya merupakan teks klasik agung; Hikayat Hang Tuah dari Alam Melayu dan Hikayat Tiga Negara dari China.

Ding Choo Ming meneliti dari perspektif disiplin kepimpinan, suatu penelitian yang jarang-jarang dibuat oleh ahli akademik kesusasteraan. Menariknya, bukan sahaja pembacaan ini menjumpai adanya sifat kepimpinan tertentu yang wujud sejak dahulu yang dianggap sebagai suri teladan yang mulia, malahan, sifat kepimpinan itu menyamai kedua-dua ciri impian pemimpin yang mulia daripada dua dunia yang berbeza. Sememangnya, manusia walaupun berbeza lidah dan rasa, tetap berkongsi sekumpulan nilai dan naratif yang sama. Oleh sebab itu, dalam pembandingan teks, kita dapat menyingkap wujudnya unsur dan nilai universal sesebuah teks yang melangkaui bahasa dan penyampaiannya. Hal sebegini sahaja sepatutnya menjadi medan penyatuan dan perpaduan antara dua negara atau bangsa, dan seterusnya sebagai jambatan kesejahteraan semua manusia.

Baru-baru ini pula, Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan memperkenalkan pendekatan pengurusan dalam kritikan sastera. Pendekatan ini boleh dijadikan kaedah baharu untuk mendekati karya sastera. Pendekatan ini memberikan pilihan alternatif kepada ahli akademik, pengkritik dan pelajar melihat karya sastera. Selalunya, kita sudah biasa dengan kritikan kesusasteraan dengan pendekatan formalistik, moral, sejarah, sosiologi, psikologi, stilistik, estetik, dan Islam. Semoga pendekatan baharu untuk kesusasteraan Melayu ini, yang sudah mula disambut oleh sekumpulan pengkritik dan ahli akademik, dapat menjadi tanda aras baharu untuk melangkaui kefahaman teks sastera yang biasa.

Oktober 2016

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks