BANGSA MELAYU tahu bangsanya mempunyai khazanah persuratan yang tidak ternilai, namun hanya segelintir sahaja yang pernah membacanya. Apabila kita mengubah sistem tulisan daripada Jawi kepada Rumi, kita hanya terpesona menatap nama-nama besar pengarang Melayu era persuratan Melayu klasik, seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Muhammad al-Banjari, Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdus Samad al-Palimbani dan Shamsudin al-Sumatrani, tetapi tidak pernah benar-benar menatap dan mendalami karya mereka sepenuhnya. Kebanyakan manuskrip tulisan Jawi yang tersimpan dalam pelbagai pustaka di serata Nusantara hanya simpanan dokumen semata-mata. Manuskrip tersebut ditatap oleh orang hanya pada majlis rasmi tertentu. Duduklah manuskrip itu di majlis itu, dengan lembarannya yang terbuka di dalam gelas kaca, seperti burung cenderawasih yang terkurung di dalam sangkar. Habis sahaja majlis, disimpanlah manuskrip itu kembali di dalam almari kebuknya. Begitulah fungsi utamanya setiap bulan, setiap tahun, sekarang.

Tragedi ini berlaku kerana hari ini, tidak ramai yang dapat membaca tulisan Jawi, apatah lagi membaca tulisan Jawi lama era Melayu klasik. Sebenarnya, terdapat sekumpulan manusia yang ahli dalam pembacaan manuskrip lama. Anak-anak didik sekolah pondok, khususnya pondok tradisional di Selatan Thai, Malaysia dan Indonesia, masih mahir membaca tulisan Jawi era Melayu klasik. Kebanyakan “kitab kuning” dan pilihan buku pengajian mereka masih mengekalkan, malah mewarisi lenggok dan langgam bahasa Melayu era persuratan Melayu klasik. Hal ini ditambah pula dengan kemahiran mereka yang mendalam terhadap ilmu nawhu (tatabahasa) dan sorof (morfologi) Arab yang perlu dihafal, yang menjadi kerangka mewajahkan bahasa Melayu persuratan klasik. Oleh sebab itu, setiap kata Melayu yang dipilih dan dikarang mengikut ketentuannya yang jelas dan adil seperti bahasa Arab, tidak digunakan secara semberono. Contohnya, terdapat perbezaan yang jelas untuk penggunaan kata “makna” dengan “erti” dalam kefahaman anak didik pondok.

Institusi yang bertanggungjawab untuk perkembangan transliterasi manuskrip lama Melayu perlulah mengambil prakarsa untuk melakukan sinergi padu antara para pengkaji manuskrip kesusasteraan dengan golongan didik pondok yang pakar membaca manuskrip lama. Pembangunan dana untuk membiayai sinergi murni ini juga patut difikirkan sekarang. Mungkin dengan cara inilah, bukan sahaja nyawa manuskrip lama dapat “dihidupkan” kembali, tetapi kita dapat meneruskan kesinambungan sumbangan dan kebijaksanaan raja-raja Melayu lama yang berusaha menghidupkan institusi “penyalin” dan “karang-mengarang” golongan pengarang cerdik pandai era dahulu untuk kebaikan masa hadapan kita.

November 2016

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks