MENURUT PENGARAH Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Dr. Hazami Jahari, orang Melayu menggunakan bahasa berkias dan berlapis dalam kehidupan seharian untuk menyampaikan perasaan dan tujuan hati. Dengan cara ini, perasaan dan fikiran mereka dapat disampaikan dalam bahasa yang terhormat, bersopan santun dan tidak menggores jiwa orang lain. Sifat eufemisme inilah yang jelas tertuang dalam kebanyakan karya klasik orang Melayu serata Nusantara, baik dalam bentuk lisan seperti pantun atau tulisan seperti hikayat dan historiografi. Perhubungan kias ibarat dengan bahasa orang Melayu seperti “lagu dengan irama”. Jalinannya menjadikan karya sastera Melayu indah dan mempunyai akal budi yang tinggi. Bahasa merupakan jiwa bangsa, maka percakapan berkias dan berlapik ini sudah menjadi semacam bumbu dalam jiwa dan jati diri orang Melayu sejak dahulu lagi.

Oleh sebab itu, hanya unsur asing yang kelihatan memberi sokongan padu dan bertimbal balik pada kepercayaan dan kefahaman makna diri Melayu yang diterima oleh orang Melayu. Justeru, agama Islam mudah meresap sebati dalam jiwa dan kepercayaan orang Melayu. Ajaran dan kepercayaan Islam sangat mendekati akal budi dan keluhuran adat orang Melayu. Malah, terdapat kias dan ibarat dalam dunia Islam turut dipinjam dan diguna pakai oleh orang Melayu, mengindahkan lagi pantun, teromba, hikayat, epik sejarah, serta bahasa orang Melayu.

Kini, kita didedahkan dengan kerencaman budaya serta pemikiran asing dan baharu dari pelbagai penjuru dunia. Kita harus memelihara tradisi kias dan ibarat yang diwariskan kepada kita, namun tidak menolak dinamisme perubahan zaman sekarang. Tuangkanlah kias dan ibarat kita dalam bentuk sastera yang lebih canggih dan sesuai dengan zeitgest sekarang. Carilah kias dan ibarat baharu yang sesuai dengan zaman ini tetapi masih menurut jiwa dan akal budi kita. Dengan itu, jati diri kita terpelihara tetapi tetap dapat mendepani perubahan dunia.

Disember 2016

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks