KITA PATUT BERASA BERSYUKUR kerana kita masih mempunyai para negarawan yang masih cakna akan nasib hidup mati bahasa dan persuratan kita. Di Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas selaku Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang merupakan seorang negarawan yang tidak pernah henti-henti berjuang dan memberikan sokongan pada kelangsungan riwayat sastera kebangsaan. Keutuhan Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas datang daripada suatu tradisi pendidikan yang lama dan bersejarah, di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Beliau mengikuti kursus perguruan sewaktu Tanah Melayu di ambang memintal tali-tali kemerdekaan (1955-1958).

Sudah tentu banyak peristiwa politik yang penting dan suara berkobar nasionalisme para pendidik era itu menusuk dan tertanam kukuh dalam urat selirat dan jiwanya. Transisi bersejarah dengan realiti masyarakat Melayu waktu itu banyak menginsafkannya, lantas memberikannya ilham terbaik untuk dipintal menjadi kata-kata bermanfaat. Malahan, kata-kata inilah yang membarisi rangkap dan perenggan karya-karyanya, baik berbentuk cereka mahupun sajak.

Dalam kehidupan masyarakat kini yang dihambat dengan permintaan material dari segi kemampuan sains dan teknologi, kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama sangat bererti. Dengan berdirinya beliau di tengah-tengah gelombang peralihan zaman sekarang, sastera dilihat masih dapat memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan minda masyarakat dan mampu membentuk bangsa yang berperadaban tinggi. Semoga kita terus menyahut semangat murni Tuan Yang Terutama agar sastera terus progresif dan berdaya saing, setaraf dengan masyarakat berminda kelas pertama.

Januari 2017

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks