FOKUS DEWAN SASTERA kali ini cuba mendalami sastera tradisional yang selalunya menjadi ruang marginal dalam dunia sastera kita, iaitu cerita lisan orang asli. Dalam fokus ini, Dr. Mohamad Luthfi Abdul Rahman mendokumentasikan sebilangan besar cerita lisan dan cerita lipur lara orang asli, khususnya suku Jakun dan Che Wong. Cerita-cerita lisan ini masih diperturunkan secara tradisi dan diceritakan semula oleh orang tua-tua dalam keluarga suku besar tersebut, penglipur lara atau pawang, walaupun bilangan penceritanya tidak sebanyak zaman dahulu. Walaupun tradisi ini kelihatan hendak pupus, namun masih hidup dan seakan-akan diberikan nafas yang lebih kontemporari. Cerita-ceritanya mungkin cerita-cerita yang datang dari era beratus tahun, kelihatan selapis dan berbentuk dongeng, namun gaya penceritaannya sudah moden dan mudah disampaikan kepada khalayak setempat yang pelbagai umurnya. Malahan, tema dan citranya, seperti yang diteliti secara ilmiah oleh Mohamad Luthfi, tetap menampilkan isi nurani dan harapan mutakhir orang asli dalam dunia sekitarnya yang serba berubah dan membangun.

Sikap sosial dan citra kontemporari ini menarik kerana menjelaskan jati diri orang asli secara sarwajagat menghadapi masa hadapan yang tidak menentu dengan penuh cekal dan kematangan. Namun begitu, kandungannya masih kuat menghiris kritikan terhadap realiti dan hubungan mereka dengan orang di luar ruang setempat mereka. Kita menunggu supaya usaha korpus cerita lisan yang bernilai ini dapat dihimpunkan dalam sebuah koleksi yang komprehensif. Semoga pada masa hadapan nanti, kisah saudara terpinggir kita dari pedalaman ini bukan sahaja menjadi kebanggaan warisan mereka, tetapi turut menjadi renungan untuk kita melihat alam, impian dan citra hati nurani orang asli.

Februari 2017

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks