MUNGKIN NADA Nisah Haron dalam fokus Dewan Sastera kali ini amat berbeza daripada suara kreatif dan pintar bahasa yang biasa ditulisnya dalam esei-eseinya. Kali ini, Nisah sangat serius, dingin dan teknikal. Hal ini dikatakan demikian kerana ton dan tema persoalan yang dibawanya kali ini menuntutnya bersikap seperti seorang inspektor polis yang sedang menangani kes pembunuhan.

Siapakah mangsa pembunuhan ini? Mangsanya ialah kejahilan. Hal ini ditambah pula dengan sikap tidak peduli penulis tentang hak cipta dan haknya dalam pengkaryaan. Masuk alaf 21 ini, masih ada kes penulis tidak dibayar royaltinya oleh penerbit dan pelanggaran pelbagai hak penulis oleh segelintir penerbit. Malah, hal ini seperti berlaku setiap masa sehingga membina perspektif yang tidak sihat dalam kalangan penulis bahawa Akta Hak Cipta 1987 yang sudah dikemas kini pada tahun 2012 tidak menyebelahi golongan penulis. Hal inilah yang perlu dijelaskan agar perkara yang disalah tanggap dibetulkan. Akta hak cipta yang dimaktubkan sudah tentu memberikan keutamaan untuk melindungi hak dan karya penulis. Itulah agenda utama mengapa akta itu disediakan pun pada awalnya.

Mungkin masalah mengapa akta ini dilihat dengan sudut negatif sedemikian adalah kerana interpretasi yang berbeza-beza daripada kalangan penerbit tempatan. Satu lagi faktor ialah kekurangan pendedahan tentangnya dan sikap penulis sendiri yang kurang sensitif pada detik awal mengirim karyanya kepada penerbit. Hal ini bukan sahaja menghantui dunia kesusasteraan negara, tetapi juga bidang perfileman apabila sehingga hari ini, hak dan royalti penulis skrip masih diperlekehkan oleh penerbit televisyen mahupun filem. Amalan kurang sihat ini tidak sepatutnya berlaku pada ketika Malaysia sedang melangkah ke arah negara berpendapatan tinggi. Mungkin sudah tiba masanya para penulis pelbagai bidang bersatu hati dan mencari jalan untuk memberikan tekanan kepada pihak penerbit agar hak pencipta karya benar-benar dihormati dan dilindungi.

Mac 2017

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks