Judul : Wira Tani
Penulis : Zailani Taslim
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka (2013)
Harga : RM20
Pengulas : Khairil Aman

WiraTaniMasyarakat Barat menganggap yang merekalah bangsa yang paling berwibawa dan berkebolehan untuk mentafsir budaya tempatan. Ketika zaman penjajahan, tujuan utama British menjajah Tanah Melayu kerana mereka mahu menguasai kekayaan bumi yang ada di Tanah Melayu. Mereka juga beranggapan bahawa mereka merupakan golongan berwibawa dan bertanggungjawab membimbing bangsa lain di dunia ini. Itulah yang terjadi dalam novel remaja terbaharu Zailiani Taslim, Wira Tani.

Novel ini mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu yang berlatarbelakangkan zaman penjajah British pada tahun 1920-an. Peristiwa ini berlaku di Kampung Menjing, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Novel ini mengisahkan masyarakat Kampung Menjing yang hidup sebagai petani dan menghadapi kesulitan apabila datangnya campur tangan Brirtish dalam pentadbiran negeri Terengganu. Watak utama dalam cerita ini iaitu Embong dan Adiknya, Endut yang tidak berpuas hati dengan sistem cukai tanah yang diperkenalkan oleh pentadbiran British. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa mereka, Pak Senik telah ditangkap oleh polis kerajaan kerana membuka tanah untuk pertanian secara haram. Penangkapan Pak Senik menimbulkan rasa tidak puas hati Embong dan adiknya. Hal ini demikian kerana menurut Haji Abdul Rahman Limbong, tanah ialah milik Allah SWT. Sesiapa pun boleh menerokainya.

Oleh hal yang demikian, Embong bertemu dengan Setapa dan Lias berbincang cara melepaskan bapanya. Denda sebanyak lima ringgit menyulitkan mereka mencari wang sebanyak itu. Namun begitu, mereka membatalkan niat membebaskan Pak Senik kerana berwaspada dengan tipu helah British yang pasti menyalahkan mereka sebagai penderhaka kerana tidak bersetuju dengan cukai tanah yang diperkenalkan Beritish.

Akhirnya, tiga hari kemudian, Pak Senik muncul di rumah mereka dan menimbulkan tanda tanya kepada Embong. Pak senik dibebaskan dengan bersyarat, iaitu dia tetap dianggap penceroboh kerana menerokai hutan tanpa kebenaran pejabat tanah. Pak Senik dibebaskan kerana Haji Abdul Rahman Limbong sudah membayar denda lima ringgit. Pembebasan bapanya bukanlah penamat kepada ketidakpuasan hati terhadap penjajahan Inggeris sebaliknya Embong dan kawan-kawannya terus berusaha menentang sistem cukai yang dianggap menganiaya penduduk kampung Menjing yang diperkenalkan oleh British. Mereka mahukan kebebasan dan mentadbir negeri mereka sendiri.

Embong dan kawan-kawannya tidak bersetuju apabila Inggeris menjadi pentadbir di tanah air mereka. Dia bersama-sama bapa, adik dan kawan-kawannya menyertai gerakan menentang British yang diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Mereka mengumpulkan petani dari Hulu Terengganu, Dungun, Pasir Nering, Jerung dan Kuala Nering untuk bergabung mengumpul kekuatan bertujuan menentang British.

Kebangkitan rakyat menentang British menyebabkan mereka takut dan lebih berwaspada. Pihak British meminta bantuan polis dari Kuala Lumpur. Akhirnya tercetuslah pemberontakan. Balai Polis Kuala Berang berjaya dipatahkan. Kejayaan ini menaikkan lagi semangat penentang kerajaan. Siapakah sebenarnya Wira Tani? Apakah yang terjadi kepada Embong dan kawankawannya? Berjayakah mereka menentang penjajahan British? Dapatkah mereka mentadbir negeri itu nanti?

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks