Judul : Kumpulan Cerpen Sepi Makin Memanjang
Penulis : Azizi Haji Abdullah
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka (2013)
Harga : RM23
Pengulas : Syafiq Azli Mohd Salleh

SepiMengujakan dan penuh dengan permasalahan serta persoalan yang berlegar-legar dalam pemikiran seorang sasterawan bergelar Azizi Haji Abdullah. Itulah ringkasan dan rangkuman yang dapat digambarkan setelah menelaah dan membaca dengan penuh kepuasan, kumpulan cerpen arwah Azizi, Sepi Makin Memanjang.

Dalam kumpulan cerpen ini, Azizi berjaya merekodkan segala perasaan yang bermain di jiwanya dan diterjemahkan secara prosaik serta bertema ke dalam cerpen. Segala emosi, perasaan dan pemikiran dicurahkan dalam 20 cerpen beliau yang membawa pelbagai tema. Antaranya termasuklah permasalahan kes pembuangan bayi yang makin berleluasa di Malaysia dalam cerpen “Jangan Bunuh Kami”, kenangan beliau bersama-sama arwah Tan Sri A. Samad Ismail menerusi “Inalilah hi Wainahirajun, Isu Tanah Pusaka” dan nilai tradisi yang diangkat dalam “Harga Sebuah Maruah” dan erti cinta pasangan tua yang semakin hari meniti usia dalam “Nilai Cinta Kami”. Azizi berjaya menimbulkan debar dan resah pembaca untuk mengulit ceritanya walaupun tema yang dibawanya hanyalah tema yang biasa digunakan oleh penulis yang lain. Namun demikian, dengan garapan bahasa dan ceritanya yang padat dengan dialog secara tanpa sedar membawa para pembaca ke dimensi pemikiran beliau.

Secara jujur, cerpen “Nilai Cinta Kami” pada mata penulis merupakan cerpen yang ringkas, namun memberikan impak yang mendalam selepas membacanya. Penulis sampai sekarang masih terbayang-bayang kasih Pak Cen pada Mak Cen, walaupun sudah berkahwin sekian lama, namun cinta terhadap isterinya masih kekal utuh, terpahat dalam sanubari. Hayatilah petikan terakhir cerpen ini seperti yang berikut:

“Tanda cinta. Macam orang muda-muda jugaklah.”
“Ya lah … apa dia?”
“Dulu, awak selalu tokak dan gigit tengkuk kita. Baru kita boleh lena.”
“Ah, lupa aku,” kata dia lalu bingkas bangun seperti kucing lena terkejut ular.”
“Tengok tu. Kita suruh tokak dan gigit tengkuk, dia bangkit pula. Nak ke mana tu?”Bini jadi getik.”
“Tunggulah sayang. Aku nak ambil gigi palsu yang aku rendam di dapur. Kalau tidak, macam mana nak tokak!”.
Bini ketawa terkekeh-kekeh sampai bergembak-gembak rumah dibuatnya.
Malam itu, dua laki bini lelap dengan nilai cinta yang tinggi!

Apabila membaca petikan cerpen ini, para pembaca akan disuakan dengan dialog yang sarat dengan emosi, bukan setakat prosa kosong tanpa pemikiran. Di sini kita melihat betapa tajamnya Azizi menilai kasih sayang dan menterjemahkannya dalam bentuk cerpen yang indah. Ternyata Ustaz Azizi Haji Abdullah memilih untuk tidak “mati”, dengan meninggalkan karya untuk dicerna, dihadamkan dan difahami kepada generasi demi generasi untuk menatapnya. Semoga arwah tenang di sana, menerima surat amalan dengan sebaik-baiknya.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks