KETIKA PENULIS meneliti tema fokus kali ini, penulis mendapat tahu tentang hadiah sastera antarabangsa Tamil yang diadakan di Malaysia. Hadiah sastera ini kelihatan berprestij dan amat besar namanya bagi penutur bahasa Tamil. Hadiah sastera ini dilaksanakan oleh Yayasan Bahasa dan Sastera Tan Sri K.R. Soma yang diasaskan oleh tokoh usahawan terkenal Malaysia, Tan Sri Dato’ K.R. Somasundram.

Terdapat dua jenis hadiah. Pertama, Sayembara Sastera yang mempertandingkan karya eceran cerpen, esei, puisi tradisional, puisi moden dan cerpen pelajar. Kedua, yang lebih berprestij, Anugerah Buku Antarabangsa, yang menghadiahi tiga jenis kategori buku, novel, buku sejarah dan buku kajian. Anugerah Buku Antarabangsa ini terpecah kepada anugerah negara (RM10 ribu bagi pemenang) dan antarabangsa (USD10 ribu bagi pemenang). Anugerah ini bukan sahaja diiktiraf oleh orang Tamil dari India, tetapi juga dari Sri Lanka, Singapura, Eropah, Afrika Selatan,Kanada, Australia, Mauritius, Amerika Utara dan beberapa bahagian kepulauan Caribbean.

Menariknya, sudah terdapat beberapa sasterawan Tamil yang terkenal di seluruh dunia Tamil yang pernah memenangi anugerah ini. Antaranya termasuklah Vairamuthu yang amat dikenali sebagai penyair Tamil terulung dari India. Vairamuthu yang juga amat popular untuk lirik lagunya dalam filem-filem Tamil menerima anugerah ini untuk novelnya, Moondraam Ulga Por (Perang Dunia Ketiga). Malah, Vairamuthu menyatakan, anugerah ini setaraf dengan anugerah kesusasteraan tertinggi India, Anugerah Jnanpith.

Namun begitu, tidak ramai penulis India yang menulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang celik tentang anugerah ini. Malah, jika kita selidiki, penulis India di Malaysia bukan sahaja mekar dalam tiga bahasa yang dinyatakan, tetapi terdapat juga penulis Telegu, Malayalam, Hindi, Benggali, dan beberapa yang lain. Peliknya, setiap kelompok penulis ini semacam tidak mengenali atau tidak mahu mengenali antara satu sama lain. Seakan-akan tidak pernah ada jambatan yang mahu dibina oleh mana-mana pihak untuk menghubungkan antara satu dengan lain. Mungkin sudah tiba masanya untuk Dewan Bahasa dan Pustaka serta kementerian yang berkaitan mencari jalan untuk membina jambatan persefahaman dan terjemahan yang lebih baik antara kelompok persuratan ini. Dalam hal ini, bahasa Melayu bolehlah dijadikan bahasa yang benar-benar berperanan sebagai bahasa penyatu bagi kesemua kelompok ini berkongsi rasa dan suara. Dengan itu, warna dan identiti menarik antara setiap karya sastera ini dapat direnungi untuk mengisi suatu jambatan kesefahaman yang lebih erat antara satu sama lain.

April 2017

s-MFA

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks