HSPM 02PENDAHULUAN

Penerbitan karya novel dalam tempoh penilaian tahun 2015-2016 menyaksikan tiada peningkatan jumlah novel berbanding daripada tahun sebelumnya, iaitu 44 buah novel untuk tempoh setahun penilaian (2014). Dalam tempoh dua tahun penilaian ini Panel Penilai telah menerima sebanyak 85 buah novel, tetapi kemudiannya 5 buah novel digugurkan. Hal ini memandangkan 1 buah daripadanya dihasilkan oleh penulis bukan warganegara Malaysia, 2 buah novel merupakan karya cetak ulang, dan 2 buah novel merupakan karya kategori novel remaja. Dengan pengguguran 5 buah novel tersebut, menjadikan keseluruhan novel yang dinilai adalah berjumlah 80 buah. Novel-novel tersebut diterbitkan oleh beberapa buah penerbit, termasuklah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (36), ITBM-PENA (37), Utusan Publications (1), NB Kara Sdn Bhd (1), UUM Press Kreatif (1), Studio Anai-Anai (1), Gerakbudaya Enterprise (2), GreenBee Press (1) Karya Publishing House (1), dan JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn Bhd (1). Pada umumnya penerbitan novel di Malaysia masih didominasi oleh dua agensi penerbitan utama khususnya, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia-PENA. Kedua-dua rumah penerbitan ini terus menerajui penerbitan karya-karya bermutu tinggi, seterusnya menyediakan bahan bacaan yang bermanfaat kepada masyarakat, di samping dapat memartabatkan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan.

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian ditumpukan kepada kekuatan dalam penghasilan aspek penampilan watak positif dan bersifat dinamik dalam lingkungan masyarakat. Penilaian juga diberikan kepada aspek persoalan dan penampilan watak dalam novel dengan penerapan nilai pemikiran, etika dan visi hidup yang positif. Pengiktirafan karya yang menggambarkan pencapaian unggul, memuatkan nilai pemikiran tinggi, berupaya memberikan gagasan yang besar dan mencabar daya intelektual pembaca. Persoalan dikemukakan juga harus relevan dengan masyarakat dan memancarkan semangat zaman dengan nilai dan memberikan penanda aras cenderung kepada isi teks yang memberi manfaat dan tidak sekadar eksperimen estetika dan artistik semata-mata.

Dalam aspek keindahan estetika, karya seharusnya mempunyai nilai kesatuan yang utuh, kompleksiti dan mempunyai keseimbangan yang menjadi dasar ciptaan karya. Kreativiti pengarang dalam memanfaatkan aspek latar, watak, bahasa, plot, sudut pandangan, dan persoalannya perlu disebatikan antara satu dengan lain. Khalayak tanpa batasan zaman akan dapat pengalaman estetik dan intelektual daripada unsur-unsur ini. Kesan yang diperoleh pula tidak mendatar, sebaliknya dapat mencerakinkan pemikiran pembaca. Di sinilah nilai karya tersebut menjadi amat tinggi. Keupayaan pengarang memanfaatkan penggunaan teknik kepengarangan yang bervariasi bagi menyerlahkan tema dan persoalan yang dikemukakan turut diambil kira. Aspek keseimbangan, keindahan moral dan kemanusiaan antara penilaian yang turut diberi perhatian.

Unsur intelektual yang digarap tanpa meninggalkan nilai emosi dalam sastera, di samping aspek makna atau lambang yang diperteguh secara langsung dan tidak langsung akan memberikan kekuatan kepada makna sesebuah karya. Kaedah kajian dan pemerhatian tajam turut menyerlahkan kekuatan karya. Unsur intelektual dalam konteks ini bermaksud keupayaan karya menggugah daya fikir pembaca untuk merenungi pengertian baharu berdasarkan imej dan unsur yang terkandung dalam karya. Ia juga secara tidak langsung dapat berfungsi sebagai medium penyebaran ilmu secara kreatif untuk dinikmati khalayak. Oleh sebab itu, karya yang kurang ditunjangi aspek pemikiran, mengemukakan kisah yang ringan, simplistik pemikirannya, serta dibumbui unsur-unsur picisan, tidak wajar dijadikan sebagai penanda aras zamannya. Aspek intelektual dan keseriusan pemikiran dapat menjadikan karya tersebut bersifat indah dan ampuh.

Karya sastera yang baik juga mampu menggugah sifat manusiawi dengan terapan nilai emosi secara halus dan tulus. Aspek ini akan memberikan pengalaman rasa dan jiwa pembaca untuk menelusuri karya dengan mendalam daripada aspek kejiwaan dan batiniah. Kejayaan pengarang membawa masuk nilai emosi ke sanubari pembaca akan menghidupkan watak dan peristiwa secara segar. Teknik naratif yang baik akan menguatkan unsur-unsur ini.

Panel Penilai menggunakan asas penilaian tersebut sedapat mungkin bagi memilih karya terbaik dalam kalangannya. Barangkali matlamat tersebut tidak dicapai sepenuhnya, namun itulah harapan yang ditetapkan agar pemilihan karya pemenang nanti dapat diterima secara konsensus oleh khalayak yang celik sastera. Panel Penilai menyedari bahawa keputusan penilaian tidak sepenuhnya objektif, tetapi yang lebih utama daripada keputusan adalah proses pemilihannya yang rapi dan tepat.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel Penilai pada peringkat saringan telah membaca 85 buah novel dan kemudian 5 buah novel ditolak menjadikan yang dinilai berjumlah 80 buah novel terbitan pada tahun 2015 dan 2016 daripada pelbagai penerbit. Panel Penilai mendapati sebahagian besar novel ini mengemukakan tema yang lazim dikemukakan oleh para penulis. Persoalan yang dikemukakan antaranya ialah isu kerohanian, politik Melayu, kasih sayang, konflik kekeluargaan, sejarah dan warisan, alam sekitar, dunia mistik, kepercayaan etnik, pensejarahan baharu, cintakan tanah air, dan persoalan pergolakan hidup. Kebanyakannya terungkap dalam gaya persembahan atau teknik penulisan yang biasa, kurang terdapat percubaan memperagakan teknik baharu, khususnya pemikiran yang lebih mendalam dan menarik yang sesuai dengan perkembangan minda, pendidikan dan ilmu pengetahuan pembaca zaman kini.

Kebanyakan karya tersebut dihasilkan dengan gaya konvensional dan kurang melakukan eksperimen dalam penciptaan bentuk, manakala terdapat karya yang berunsur eksperimen dalam gaya penulisan, tidak diimbangi dengan isi karya yang memiliki nilai-nilai positif dan negatif. Kurangnya usaha pembaharuan pemikiran, subjek, dan teknik, membayangkan seolah-olah kekayaan kebudayaan tanah air kurang berkembang dalam ciptaan genre novel. Kelemahan bahasa juga kadangkala banyak ditemui. Karya yang sarat dengan ideologi tidak pula diikuti dengan gaya kepengarangan yang berkesan.

Terdapat sejumlah pengarang menggunakan sumber sejarah dan kearifan tempatan bagi memperlihatkan sarwajagat acuan tempatan. Aspek-aspek tersebut diolah dengan gaya imaginasi yang tinggi dan daya kreativiti yang wajar dalam mengungkap dan menganyam peristiwa sehingga terasa seperti seolah-olah benar-benar terjadi; karya sebegini memberikan kesan kepada khalayak pembaca kerana pengolahannya yang kelihatan segar dan asli. Terdapat juga sebahagian karya memaparkan aspek kualiti sastera yang dapat dianggap memberikan kesan dalam dunia pemikiran sastera, dengan menggarap persoalan besar dan sarat dengan ilmu pengetahuan. Peragaan karya sebegini memperlihatkan tahap keilmuan dan pengetahuan yang dimiliki oleh pengarangnya. Kelebihan seumpama ini, sebahagiannya dapat dikesan pada enam buah novel yang disenaraipendekkan untuk pertimbangan peringkat akhir. Novel-novel tersebut ialah :

BIL. JUDUL PENGARANG PENERBIT
1.  Bubuhela Dahiri Saini Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015
2.  Bukan Orang-orang Hafizah Iszahanid Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015
3.  Penenun Cinta Ahmad al-Khurawai Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016
4.  Sarjana Bangsa Hassanudin Isa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015
5. Mahligai Syurga Sardah Appalasamy Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015

 

ULASAN KARYA KE PERINGKAT AKHIR

  1. Bubuhela

Novel Bubuhela mengangkat persoalan “matinya” tradisi permainan rakyat di daerah Samarahan Sarawak, iaitu Bubuhela lantaran ketiadaan pewaris khususnya generasi baharu untuk meneruskannya. Melalui naratif ini, diperlihatkan bagaimana generasi baharu yang diwakili oleh Tengku Ikram yang melakukan kajian terhadap permainan rakyat yang hanya terdapat di negeri Perlis dan Sarawak sahaja. Kaedah kajian berbentuk pemerhatian ikut serta (participation observation), iaitu dengan tinggal bersama-sama keluarga pengamal bubuhela di Samarahan, Sarawak mengheret Tengku Ikram ke dalam dunia mistik permainan tersebut yang menyebabkan kematian teman wanitanya, Sara kerana melanggar pantang dengan membakar bubu kesayangan ayahnya. Perlanggaran pantang oleh adik Sara, iaitu Suri pula menyebabkan dirinya dirasuk oleh makhluk halus dalam jangka masa yang agak panjang. Usaha pemulihannya melibatkan permainan bubuhela yang disertai bacaan mantera dan komunikasi pemainnya dengan makhluk halus, serta semah yang menyebabkan kematian bapanya.

Walau bagaimanapun, subjek yang dikemukakan oleh novel ini bersifat setempat dan latarnya bersifat khusus, iaitu di Samarahan, Sarawak. Meskipun ceritanya menarik dan mengujakan pembaca, tetapi karya ini tidak memuatkan nilai pemikiran tinggi, tanpa gagasan yang besar dan mencabar daya intelektual pembaca.

  1. Bukan Orang-orang

Bukan Orang-orang mengemukakan subjek semasa tentang perhubungan antara kaum di negara ini, yang juga disertai dengan pelbagai isu semasa termasuk isu Islammophobia, kebebasan akhbar, kebobrokan politik, dan hubungan kekeluargaan. Naratif dalam “Bukan Orang-orang” dikemukakan berdasarkan kesesuaian peristiwa dan konteks sosialnya. Watak Qi dan Zara mewakili generasi kini yang terdedah kepada konflik, manakala Mo dan Lin serta Midah pula mewakili generasi zaman silam yang hidup dalam keharmonian dan perpaduan. Sebagai sebuah naratif, konflik dan kompleksiti watak dipaparkan secara jelas, dengan menonjolkan kehidupan dan realiti pada setiap zamannya. Dengan penggunaan gaya penulisan kewartawanan dan kaedah penyampaian yang memperlihatkan konsistensi dari segi teknik penggarapan, memperkuatkan struktur binaan cerita ini. Persoalan yang dikemukakan relevan dengan masyarakat dan memancarkan semangat zaman dengan nilai dan cenderung kepada muatan teks yang menguggah pemikiran pembaca dan memberi manfaat kepada generasi hari ini.

  1. Penenun Cinta

Novel ini memaparkan subjek hubungan manusia dengan Tuhan (hablun minallah) dan hubungan manusia sesama manusia (hablun minanas) yang digarap melalui paparan kesedaran Islam ketika watak utamanya, Imam Tua berada di bawah sedar, iaitu ketika watak terlantar di hospital dalam keadaan koma. Pengalaman kehidupan yang dilewati sebelumnya diceritakan oleh watak melalui masa lalunya, yang berhubung dengan keluarga, dan teman-temannya. Rasa kedekatannya terhadap Tuhan dijelmakan secara indah dengan anyaman bahasa yang halus dan menyusup ke dalam hati, sekali gus berupaya menjelmakan keinsafan dan kesedaran dalam kalangan pembaca tentang peri pentingnya manusia mempertingkatkan kualiti hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan. Manifestasi ini diungkapkan sedari awal penceritaan sehingga ke akhir cerita, yang menyaksikan watak yang sedang koma tersebut akhirnya kembali sedar dan kembali ke surau yang telah ditinggalkannya sekian lama.

Bagaimanapun subjek novel ini lebih berpusat kepada isu dalaman diri individu manusia, yang menjadikan gagasannya tidak bersifat besar dan relevan dengan isu-isu semasa tanah air.

  1. Sarjana Bangsa

Novel ini mengangkat subjek gagasan pembinaan jati diri bangsa berteraskan kesyumulan Islam. Melalui watak seorang pensyarah muda, Isyraf Eilmy, yang lahir daripada keluarga yang berilmu, bapanya Cikgu Hassan adalah seorang sasterawan terkenal dan ibunya, seorang ustazah terkenal – mewajarkan idea tentang pembinaan peribadi dan peneguhan jati diri bangsa berteraskan Islam, bahasa dan budaya dibahaskan. Selain menekankan pentingnya Islam sebagai teras pembinaan peribadi dan jati diri bangsa Melayu, naratif ini turut menekankan aspek bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, peranan sastera sebagai wadah pemikiran bangsa (melalui watak cikgu Hassan sebagai sasterawan tanah air), cabaran-cabaran terkini terhadap bangsa Melayu, dan menampilkan dialog antara agama (Islam-Buddha) yang berlangsung secara harmonis dan akhirnya membawa kepada pengislaman sekeluarga Cina, Papa Lee Kam Seng. Wacana ilmiah yang dikemukakan melalui novel ini turut menampilkan kaedah penulisan semi-ilmiah dengan penggunaan teknik nota hujung yang menyebut sumber rujukannya berhubung gagasan idea pengarang, iaitu sumber daripada al-Quran, Hadis dan kitab-kitab.

Walau bagaimanapun, dikesan beberapa kelemahan pada novel, antaranya terdapat penggunaan istilah dan perkataan yang tidak tepat dan tidak wajar, meletakkan nota hujung, tetapi tidak dinyatakan sumber rujukan, ayat-ayat istighfar Arab yang dirumikan, kesilapan pada penggunaan kata sendi, dan sebagainya. Kelemahan tersebut menjejaskan merit bagi novel ini.

  1. Mahligai Syurga

Novel ini mengetengahkan persoalan konflik dalaman antara anak dengan bapa dalam masyarakat India di negara ini. Konflik yang tercetus di antara anak-ayah tersebut menyebabkan si anak berpindah ke London kerana menolak kehendak ayahnya. Pembinaan watak, susunan plot, penggunaan latar dan sudut pandangan diolah secara meyakinkan melalui gaya bahasa yang objektif, tidak bermain dengan perasaan yang berlebihan. Pengolahan oleh penulis bukan Melayu didapati baik dan berpotensi. Walau bagaimanapun, subjeknya berada dalam skop yang kecil, iaitu seputar konflik keluarga yang bersifat dalaman dan ini menjadikan penceritaan berada dalam skala yang kecil dan terhad.

ULASAN PENILAIAN NOVEL PEMENANG

Bukan Orang-orang mengangkat subjek perhubungan di antara kaum di Malaysia dengan menekankan aspek perpaduan sebagai landasan penting dalam memperkukuhkan keharmonian dan kestabilan tanah air. Semangat perpaduan dan hubungan akrab dalam kalangan generasi awal masyarakat Tionghua dengan orang Melayu diperlihatkan sebagai cukup indah, dalam usaha membina perpaduan yang kukuh melalui watak Mo, seorang lelaki Tionghua yang tinggal di kampung Khantan Baru, Chemor, Perak, dan jirannya keluarga Melayu, iaitu Midah sekeluarga. Walau bagaimana pun, perpaduan tersebut mulai meretak pada jaringan generasi baharu, terutama semasa zaman reformasi, iaitu ketika mereka mula saling berprasangka dan membenci atas pelbagai sebab dan isu, seperti yang dipamerkan oleh watak Qi (anak Mo) dan Zara (anak Midah). Watak Qi dan Zara asalnya kawan sekelas dan berkawan baik sejak zaman persekolahan.

Melalui naratif ini, diperlihatkan keretakan hubungan di antara Qi dengan Pa, bapanya dan dendamnya terhadap orang Melayu atas beberapa sebab. Konflik Qi dengan Pa berlaku apabila Pa menampar Qi di kawasan perkuburan adiknya, Lulu kerana sikap Qi yang dianggap biadap terhadap Ustaz Zamri, bekas guru sekolahnya sendiri. Kebencian Qi terhadap Ustaz Zamri bermula apabila lelaki tersebut tidak mengizinkan anaknya yang jadi pengikrar menderma organ jantung setelah meninggal, tidak diizinkan oleh keluarganya, sekali gus menyebabkan kematian adik kesayangannya, Lulu. Sejak itu persepsi Q terhadap keluarga Ustaz Zamri yang dahulunya dihormati bertukar menjadi pendendam.

Paparan gejolak jiwa Qi yang marah terhadap bapanya dan Ustaz Zamri dileraikan dengan cara meninggalkan tanah air, iaitu menyambung pengajiannya ke Britain dalam bidang komunikasi massa, dengan tajaan biasiswa seorang dermawan Tionghua. Protes senyap Qi dilanjutkan dengan bekerja di Britain selepas menamatkan pengajiannya, iaitu berkhidmat dengan akhbar The Freedem New di London. Melalui kerjaya sebagai wartawan yang bertugas di Britain, Qi dilatih dengan pelbagai pengalaman terutama tentang keganasan, penindasan dan ketidakadilan lelaki Islam terhadap wanita dengan melakukan “pembunuhan terhormat” seperti yang banyak berlaku dalam kalangan warga Britain berketurunan Bangladesh, Pakistan, India, Kenya dan Yaman, yang beritanya dimanipulasi dan diprovokasi sehingga tercetus Islamofobia.

Dengan menggunakan dialog perdebatan melalui kiriman e-mel antara Qi dan Ayob, sahabatnya dari Malaysia, naratif ini menganjurkan pentingnya kefahaman terhadap agama dan budaya kaum lain untuk saling menghargai dan menghapus rasa curiga antara satu sama lain. Kembalinya Qi untuk bertugas sebagai wartawan di Malaysia, mendedahkan dia kepada isu-isu semasa yang berlegar dalam kalangan rakyat negara ini, termasuklah soal peningkatan bilangan pengikrar penderma organ, perjuangan tokoh politik yang mementingkan peribadi dan parti sendiri, pemaju yang merampas tanah rakyat dengan pampasan tidak setimpal, peranan media massa dalam mempengaruhi pembaca dalam sesuatu isu tanah air, peri pentingnya wartawan menjaga etika kewartawanan dan sebagainya. Dialognya dengan Ayob melalui e-mel dan kemudian dengan Zara, sahabat lamanya yang ditemui kembali, sedikit demi sedikit mulai mengubah persepsi Qi terhadap tanah air dan kaum lain.

Cerita disampaikan melalui susunan plot berjajar dengan penceritaan disampaikan secara berselang-seli antara bab-bab kisah zaman kini dengan kisah zaman silam. Cerita pada zaman kini digerakkan melalui watak Qi dan Zara, manakala cerita pada zaman silam digerakkan melalui watak Mo dan Midah, menyatukan rangkaian peristiwa dan pengalaman yang akhirnya membentuk satu kesatuan cerita yang lengkap dan menyeluruh. Kesatuan cerita ini melengkapi keperluan plot seperti timbulnya konflik, perumitan, klimaks dan peleraian cerita. Latar dua zaman yang digunakan ialah zaman rusuhan kaum 13 Mei 1969 dalam paparan cerita Mo dan Midah dan situasi semasa melalui kisah watak Qi dan Zara yang berusaha untuk mengembalikan keharmonian dalam konteks perhubungan antara kaum di negara ini.

Watak dalam Bukan Orang-orang dikemukakan berdasarkan kesesuaian peristiwa dan konteks sosialnya. Dalam situasi semasa, Qi dan Zara mewakili generasi kini yang terdedah kepada konflik, manakala Mo dan Lin serta Midah pula mewakili generasi zaman silam yang hidup dalam keharmonian dan perpaduan. Setiap watak mempunyai peranan yang berlainan antara satu sama lain, tetapi saling melengkapi. Sebagai sebuah naratif, kompleksiti watak jelas, menonjolkan kehidupan dan realiti setiap zamannya, dan membuktikan adanya konsistensi dari segi teknik penggarapan.

Gaya bahasa karya ini impresif dengan gaya penulisan kewartawanan, berupaya mengangkat cerita menjadi padat, menarik dan segar. Cerita dibangunkan daripada dialog dan monolog dalaman yang mendeskripsikan peristiwa, latar dan emosi serta psikologi watak. Sudut pandangan orang ketiga digunakan dalam penggarapan. Dengan memberikan fokus kepada watak utama, pengarang memberi tumpuan kepada watak Mo, Qi, dan Zara, di samping watak Midah. Sorotan setiap watak ini dilakukan berdasarkan kaedah bahagian demi bahagian, dengan setiap bahagian menyorot pandangan setiap watak utama tersebut.

Penganjuran nilai moral dan pengajaran mengukuhkan penggarapan novel ini. Nilai perpaduan, perhubungan kaum, kesedaran terhadap isu-isu semasa, kemanusiaan, moral, dan falsafah dalam karya adalah tinggi. Novel bertemakan perpaduan kaum dan isu-isu berkaitan dengannya memupuk rasa kecintaan tanah air dan keharmonian hidup dalam masyarakat yang kompleks. Dalam konteks tersebut, dimunculkan saranan, contoh, anjuran nilai moral dan pengajaran seperti kejujuran, keikhlasan, sedia berkorban, toleransi, keberanian, cintakan tanah air dan warisan bangsa. Semua anjuran nilai moral dan pengajaran tersebut diterapkan di sepanjang kisah berasaskan sejarah dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

PANEL PENILAI

Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan

Dr. Norhayati Ab. Rahman

Tuan Haji Hamzah Hamdani

Be Sociable, Share!