HSPM 03PENDAHULUAN

Pada tahun 2015 dan 2016, panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) bagi Penilaian Peringkat Akhir Kategori Cerpen menerima sebanyak 93 buah buku kumpulan cerpen bagi Kategori Kumpulan Cerpen, dan sebanyak 871 buah cerpen bagi Kategori Cerpen Eceran. Secara umumnya, karya yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang bermutu dari segi idea, pemikiran, bahasa dan strategi naratif masing-masing. Cerpen-cerpen yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang bersifat kontemporari dalam menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran. Cerpen-cerpen yang dipertandingkan juga didapati memaparkan pelbagai subjek seperti perkembangan sosial, pendidikan, politik, budaya setempat, dan hal-hal yang menyentuh isu-isu semasa pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Meskipun penilaian mengambil kira semua karya cerpen (kumpulan dan eceran) yang diterbitkan sepanjang tahun 2015 hingga 2016, namun karya-karya yang lolos penilaian awal kebanyakannya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Mingguan Malaysia dan Berita Harian. Penilaian tertumpu kepada aspek idealisme, pemikiran dan pengolahan karya dalam menyampaikan mesej melalui penggunaan pendekatan ataupun aliran tertentu. Kebolehan menggarap bahasa dilihat sebagai keupayaan istimewa pengarang dalam mengolah subjek hingga menyerlahkan keindahan karyanya. Keharmonian strategi naratif pula terpancar melalui kesatuan struktur intrinsik dengan ekstrinsik hingga membangkitkan kesan estetik karya, sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah hasil seni sastera.

KRITERIA PENILAIAN

Laporan Panel Penilai HSPM 2015/2016 membuat pemilihan cerpen mengikut beberapa kriteria yang meliputi pemikiran, kreativiti, gaya bahasa dan keseimbangan antara ketiga-tiga kriteria itu. Panel mengambil kira kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan sama ada persoalan yang bersifat semasa ataupun mengangkat sejarah atau persoalan lampau tentang masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. Karya mampu mengerakkan pemikiran dan menyentuh emosi pembaca, dan dalam masa yang sama mementingkan moral serta etika yang tinggi. Dalam konteks bahasa, karya haruslah memperlihatkan bahasa yang indah, kreatif, imaginatif, berkesan; kuat menunjang tema; bukan sahaja membawa makna cerita, bahkan bahasa itu sendiri merupakan idea, pemikiran dan ideologi. Seterusnya karya harus mempunyai kekuatan kesatuan organik dalam pengarangannya.

ULASAN KESELURUHAN

Umumnya, cerpen-cerpen yang dikemukakan untuk penilaian akhir ini menampilkan pelbagai subjek, namun subjek berkaitan jati diri, politik, dan kehidupan sosial dalam sebuah keluarga merupakan subjek pilihan kebanyakan pengarang. Selain itu, terdapat cerpen yang memaparkan subjek keagamaan, tetapi dihubungkan dengan isu-isu semasa yang melanda masyarakat tempatan dan antarabangsa pada masa kini. Kemudian, sebahagian lagi cerpen mengemukakan subjek berbentuk kearifan tempatan, khususnya tentang budaya dan sejarah masyarakat.

Dari segi pengolahan teknik, didapati pelbagai teknik penulisan cerpen telah dimanfaatkan pengarang. Teknik naratif yang berasaskan maklumat sejarah, budaya dan politik setempat didapati mendominasi penghasilan kebanyakan cerpen. Sebahagian besar pengarang memilih untuk menggunakan pendekatan realisme dan pendekatan tipa induk dalam menyampaikan mesej karya. Idealisme tentang prinsip kemanusiaan dipilih dengan memaparkan teknik naratif melalui pendekatan simbolisme dan satira. Bagaimanapun teknik monolog dalaman yang memanfaatkan aliran kesedaran merupakan teknik yang banyak digunakan dalam karya.

Terdapat sebahagian cerpen yang ceritanya disampaikan tanpa plot yang jelas. Bagaimanapun, sebahagian besar cerpen masih mempamerkan cerita melalui penggunaan plot biasa yang menghubungkan satu peristiwa dengan satu peristiwa lain melalui hukum sebab akibat. Cerpen yang menyampaikan idea tentang kehidupan realiti manusia kontemporari umumnya menggunakan pendekatan realisme. Sebahagian karya yang lain disampaikan melalui penggunaan simbol, naratif absurd dan pendekatan realisme baru. Plot dijalin melalui peristiwa realiti dengan peristiwa mistikal hingga menyebabkan watak-watak mengalami pelbagai rentetan peristiwa yang bercampur baur antara realiti, ilusi dan imaginasi.

Setelah melalui perbincangan, Panel Penilai telah menyenarai pendek enam buah kumpulan cerpen seperti senarai di bawah:

  1. Pascasejarah, Fahd Razy, 2015. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
  2. G.P.S., Salina Ibrahim, 2015. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
  3. Rindu Kedua, Baharuddin Kahar. 2015. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  4. Perempuan Berambut Merah, Hafizah Iszahanid, 2015. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
  5. Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo, Jasni Matlani, 2015. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
  6. Telus Untuk Dia, Siti Jasmina Ibrahim, 2016. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

 

17 buah cerpen dibawa kepada penilaian seterusnya yang lebih rinci seperti senarai di bawah:

  1. “Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang”, Mawar Safei. Berita Harian 20 September 2015.
  2. “Di dalam Baruk”, Jais Sahok. Berita Harian, 4 Oktober 2015.
  3. “Desibel Iman”, Nisah Haron. Berita Harian,11 Oktober 2015.
  4. “Rumah ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya,” Siti Jasmina Ibrahim, Berita Harian, 11 Oktober 2015.
  5. “Ikan Puyu di dalam Akuarium”, Amelia Hashim, Mingguan Malaysia, 17 Mei 2015.
  6. “Rumah”, Rebecca Ilham, Mingguan Malaysia, 8 Mac 2015.
  7. “Pascasejarah X Negeri Tanpa Matahari”, Fadh Razy, Dewan Sastera. September 2015.
  8. “Posmen dalam Televisyen”, Roslan Jomel. Dewan Sastera April
  9. “Cerita-cerita Tentang Lidah”, Hafizah Iszahanid, Dewan Sastera April
  10. “Kemuncak Pauh Janggi”, Zainol Idris, Dewan Sastera, Oktober.
  11. “Isteriku Jadi Kopiah Putih”, Hamed Ismail, Dewan Sastera, September.
  12. “Air”, Malim Ghozali PK, Mingguan Malaysia, 6 Mac 2016.
  13. “Musim Monyet Mabuk”, Zainal Rashid Ahmad, Berita Harian, 3 April 2016.
  14. “Matinya Si Pembosan”, Zainal Rashid Ahmad, Dewan Sastera, November.
  15. “Rumah Kupu-kupu”, SM Zakir, Berita Harian, 21 Ogos 2016.
  16. “Anggerik Vanila di Laman Kami”, Adibah Abdullah, Dewan Sastera, November.
  17. “Apis Dorsata” karya Fudzail terbitan Dewan Sastera, Oktober.

Cerpen remaja yang telah dipilih adalah seperti senarai di bawah:

  1. “Pisang”, Mohamad Kholid Hamzah, Berita Harian, 13 September 2015.
  2. “Trisonomi Dua Puluh Satu”, Zulaikha Adam, Mingguan Malaysia, 1 Mac 2015.
  3. “Sesar Unjur Kampung Belawai”, Amaruszati Noor Rahim, Mingguan Malaysia, 24 Mei 2015.
  4. “Seekor Burung di Luar Sangkar”, Saifullizan Yahaya, Berita Harian, 6 Ogos 2015.
  5. “Nusrah, Penyerahan Segugus Tawakal”, Sammaituha Najwa, Antologi Cerpen Remaja, DBP, 2015.
  6. “Khabar dari Kota Metafisika”, Ishaq Hanis, Antologi Cerpen Remaja, DBP, 2015.
  7. “Kisah Tiga Cerita” A. Muziru Idham, Tunas Cipta, Jun 2016.
  8. “Tumit”, Adnie Bahiah, Tunas Cipta, April 2016.
  9. “Kancil, X-Trail dan Sebuah Bengkel”, Abang Median Abg Said, September 2016, Dewan Siswa.

Setelah melalui perbincangan yang rinci melalui perdebatan, penghujahan dan penolakan yang panjang, Panel Penilai mencapai kata sepakat memperakukan sebuah karya kumpulan dan 10 buah cerpen eceran iaitu:

Pemenang karya kumpulan Cerpen

Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo karya Jasni Matlani terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015.

Pemenang Cerpen Eceran

  1. “Air” karya Malim Ghozali PK terbitan Mingguan Malaysia, 6 Mac 2016.
  2. “Apis Dorsata” karya Fudzail terbitan Dewan Sastera, Oktober.
  3. “Cerita-cerita Tentang Lidah” karya Hafizah Iszahanid terbitan Dewan Sastera, Januari 2016.
  4. “Desibel Iman” karya Nisah Haron terbitan Berita Harian, 11 Oktober 2015.
  5. “Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang” karya Mawar Safei terbitan Berita Harian, 20 September 2015.
  6. “Musim Monyet Mabuk” karya Zainal Rashid Ahmad terbitan Berita Harian, 3 April 2016.
  7. “Pascasejarah X Negeri Tanpa Matahari” karya Fadh Razy terbitan Dewan Sastera, September 2015.
  8. “Rumah” karya Rebecca Ilham, terbitan Mingguan Malaysia, 8 Mac 2015.
  9.  “Rumah ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya” karya Siti Jasmina Ibrahim terbitan Mingguan Malaysia, 4 Januari 2015.
  10. “Rumah Kupu-Kupu” karya SM Zakir terbitan Berita Harian, 21 Ogos 2016.

Cerpen Remaja

  1. “Kancil, X-Trail dan Sebuah Bengkel” karya Abang Median Abg Said terbitan Dewan Siswa, September 2016.
  2.  “Seekor Burung di Luar Sangkar” karya Saifullizan Yahaya terbitan Berita Harian, 6 Ogos 2015.
  3. “Trisomi Dua Puluh Satu” karya Zulaikha Adam terbitan Mingguan Malaysia, 1 Mac 2015.

 

ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU KUMPULAN CERPEN

 

CERITA MONYET, ANJING DAN POHON GINKGO

 

Buku kumpulan cerpen Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo mempunyai 20 buah cerpen. Hampir keseluruhan cerpen yang dibukukan ini pernah tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar, termasuklah Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, dan Utusan Borneo. Subjek yang dikemukakan dalam buku kumpulan cerpen Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo ini memperlihatkan kompleksiti sisi-sisi kehidupan masyarakat desa dan kota baik dalam negara mahupun luar negara. Pengarang menafsirkan erti kemanusiaan melalui kehidupan masyarakat biasa di luar bandar dengan menyorot kehidupan seorang sahabat, pegawai kerajaan, masyarakat pribumi, tokoh agama, tokoh masyarakat dan ahli politik dalam hubungannya dengan penduduk kampung, serta pelbagai kisah lagi melalui beberapa sketsa kehidupan. Di samping itu, sebahagian cerpen menyelitkan tafsiran pengarang terhadap peristiwa semasa yang relevan dengan pelbagai budaya masyarakat di Malaysia. Kearifan tempatan terserlah dalam cerpen-cerpen tertentu.

Unsur kreativiti yang istimewa tergambar pada cerpen Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo . Kebanyakan cerpen dalam buku kumpulan cerpen ini disampaikan pengarang melalui pelbagai nada seperti romantis, sinis dan naturalis. Hal ini menunjukkan dalam berkarya, pengarang berpegang kepada pelbagai aliran penceritaan hingga menyebabkan ceritanya menjadi begitu alami dan berseni. Penghayatan pengarang terhadap nilai sejarah dan budaya yang kukuh tercermin melalui cerpen menyorot kisah nostalgia kegemilangan Melayu, manakala garapan tentang nilai-nilai budaya dihidangkan pengarang melalui seperangkat maklumat bersifat etnografikal dalam cerpen hingga karya ini seolah-olah sebuah pembentangan kajian ahli antropologi dan sosiologi. Kekuatan gaya penulisan sedemikian menjadikan buku kumpulan cerpen ini penuh dengan ilmu pengetahuan tentang hubungan manusia Melayu dengan alam sekitarnya yang alamiah. Bagaimanapun data-data daripada pungutan sumber etnografi itu bukanlah suatu himpunan fakta yang kaku kerana kebanyakannya disampaikan secara santai dan subtle, lantas menjadikan karyanya begitu menarik dibaca. Garapan cerita menjadi lebih indah kerana penerapan unsur-unsur humor yang teradun dalam kebanyakan cerpennya.

Dari segi teknik penceritaan, karya ini menampilkan keupayaan versatiliti pengarang dalam pengkaryaannya. Gaya bahasa yang digarapkan pengarang mudah. Kekuatan garapan bahasa yang sedemikian telah mengukuhkan ciri-ciri bersahaja (simplistik) dalam teknik pengarapan cerita semua cerpen. Hal ini menyebabkan isu-isu besar tentang kepelbagaian ciri kehidupan masyarakat Malaysia dan antarabangsa menjadi lebih terserlah apabila disampaikan secara bersahaja melalui lambang-lambang tertentu dalam naratif kecil. Lantaran disampaikan secara simplistik, maka kesan idea pengarang itu sampai ke penerimaan khalayak pembaca secara lebih natural, rasional, dan terbuka. Selain itu, kekuatan subjek kumpulan cerpen ini juga terletak kepada cara pengarang menggambarkan kehidupan watak-watak orang biasa dalam kehidupan sehari-hari mereka melalui pelbagai peristiwa dan perilaku masyarakat berbilang kaum, pada ruang dan lorong waktu tertentu.

 

Ulasan Beberapa Cerpen Pilihan

“Mencari Kaki Langit” menyoroti peristiwa 9/11 apabila watak “aku” dan Irene berdebat mengenai dalang yang melakukan perbuatan tersebut yang melibatkan kematian lebih 3000 orang. Aku merupakan seorang sasterawan; Irene pula warga Amerika yang mengajar Bahasa Inggeris di Bangkok. Misi Irene ialah untuk “mencari kaki langit”, sebuah misi yang difahami oleh Aku sebagai percubaan untuk mencari kejujuran. Irene cenderung mencari jawapan selepas berlakunya 9/11 kerana peristiwa itu menyebabkan pandangan Irene terhadap Islam menjadi serong dan prejudis, “Islam selalu muncul dalam bentuk yang hitam dan tidak ada sesuatu yang putih mengenainya, walaupun hanya settik selepas peritiwa itu” (hlm. 3). Watak Aku memberi beberapa teori konspirasi mengenai keterlibatan Amerika sendiri dalam tragedi ini. Aku memberi beberapa hujah seperti Presiden Amerika Syarikat telah memberi bayangan mengenai pesawat yang bakal melanggar bangunan, peningkatan saham United Airlines dan American Airlines beberapa hari sebelum 9/11, kaedah bagaiman bangunan itu runtuh bukan disebabkan oleh pelanggaran tetapi bahan letupan yang diletakkan di beberapa tepat strategik, merupakan persoalan yang diajukan kepada Irene. Namun, pendirian Irene masih tidak berubah dan menganggap Islam sebagai agama yang menghalalkan pembunuhan. Namun, Aku dipertemukan semula dengan Irene pada tahun berikutnya. Kali ini, Irene telah berubah perspektif mengenai peristiwa 9/11, dan hasil dari analisisnya, beliau bersetuju bahawa Amerika sendiri mempunyai peranan dalam tragedi tersebut. Irene, akhirnya, berjaya menjejaki kaki langit dengan kepercayaannya mengenai tragedi 9/11.

Karya ini menggunakan sudut pandangan orang pertama iaitu “aku” yang merujuk kepada seorang pencinta seni yang mengikuti hal-ehwal semasa. Watak “aku” ini dihidupkan melalui dialog yang berlaku antaranya dan Irene, yakni dua sahabat yang berlainan bangsa, agama dan budaya. Teori demi teori diajukan oleh “Aku” untuk menunjukkan konspirasi Amerika, namun perbincangan mereka tidak menemui penyelesaian. Jalan cerita ini kemas dengan memberi ruang untuk perincian mengenai dinamik dua sahabat yang membayangkan perhubungan dua hala, Timur dan Barat. Jalinan gaya bahasa yang komunikatif pula dapat menyelami subjek dan membuahkan kesan pemikiran yang tinggi.

“Cerita Cinta di bawah Pohon Gingko” merupakan cerita menarik mengenai Suria, seorang pelajar Melayu di negara China. Wanita itu mencari Fitri, rakan yang tidak dapat dijejaki di tanah air sehingga ke Sydney. Dalam cerpen ini, Suria menjadi pemandu pelancong kepada Sharifah Damia dan Abdul Karim yang menziarahi kota Beijing. Mereka melawat Masjid Jiujie yang mempunyai sejarah gemilang sebagai masjid terbesar di Beijing yang berumur ribuan tahun. Reka bentuk Masjid Niujie, menurut Abdul Karim, “mencerminkan penghormatan masyarakat Cina terhadap nilai budaya sendiri, meskipun peradabannya sentiasa bertembung dengan peradaban lain masyarakat dunia di sekelilingnya” (hlm. 31). Penyataan ini sekali gus menunjukkan kekaguman watak-watak tersebut menghayati sejarah masjid itu.

Karya menyentuh dan meninggalkan kesan yang kuat kepada pembaca khususnya mengenai keutuhan agama Islam dan cara-cara masyarakat Islam di sana mengamal adab wasatiyyah, yakni sifat toleransi yang didukung secara konsisten. Teknik penceritaan lebih menjurus kepada dialog dan pemberian fakta untuk menekankan pandangan Islam sebagai agama yang tidak menindas kepercayaan lain, dan perbezaan “tidak harus menghalang kerjasama” dengan agama dan bangsa yang lain. Mesej ini memberi peringatan kepada masyarakat Islam supaya sentiasa mengutamakan kedamaian.

Penggunaan pokok gingko dalam cerpen ini menunjukkan simboliknya usia pokok serta misteri yang tersirat. Cinta tidak kesampaian Suria dan Fitri merupakan salah satu misteri kehidupan, seperti juga rahsia pokok gingko yang tidak dipastikan bagaimana pokok ini wujud di bumi China. Simbol pokok gingko digandingkan dengan Masjid Niujie – kedua-duanya utuh seperti juga Tembok Besar China yang masih kukuh kewujudannya. Yang tidak bertahan hanyalah cinta Suria dan Fitri tetapi situasi ini tidak melemahkan semangat Suria yang semakin menebal kepatuhannya terhadap agama Islam.

“Cerpen Alif Ba Ta” mengangkat subjek kemanusiaan, iaitu kita tidak seharusnya menghina kelemahan orang lain kerana setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya. Karya ini menampilkan watak remaja lembam bernama Osama. Kerana sikapnya yang lurus bendul dia sering kali menjadi bahan jenaka dan usikan penduduk kampung. Namun, usikan tersebut tidak menimbulkan kegusaran kepada Osama, yang tampil sebagai remaja yang berbudi pekerti dan sering menolong sesiapa sahaja yang memerlukan. Dia juga sering membantu Imam Rawatib menjaga dan membersihkan surau. Meskipun tekun dan berusaha gigih untuk membaca Al-Quran, Osama hanya dapat membaca alif, ba, ta sahaja dan hal tersebut turut menjadi bahan sendaan penduduk kampung. Sendaan penduduk kampung supaya Osama berjalan merentasi sungai untuk ke seberang telah menyedarkan penduduk kampung tentang kesilapan mereka apabila remaja tersebut berjaya berjalan merentasi sungai.

Mengambil iktibar daripada isi al-Quran dan sejarah para nabi merupakan perutusan cerpen ini. Dengan nada yang sinikal pengarang mengkritik sikap prejudis manusia terhadap kelemahan orang lain. Membaca karya ini mengingatkan kita tentang kisah Nabi Musa yang berjaya membelah lautan dengan tongkat semasa dikejar Firaun apabila menamatkan cerita dengan kebolehan Osama merentasi sungai secara berjalan di atasnya. Dengan penyelesaian karya yang sedemikian, manuskrip ini menganjurkan pemikiran yang kritis, khususnya kepada khalayak remaja apabila berdepan dengan sesuatu fenomena yang menakjubkan dengan meletakkan kesedaran bahawa Allah Maha Besar terhadap semua kejadian yang dikehendaki-Nya. Dengan yang demikian, cerpen ini menyarankan kematangan berfikir serta pegangan teguh kepada syariat sebagai dasar dalam kehidupan.

 

ULASAN PENILAIAN PEMENANG CERPEN ECERAN

  1. Air – Malim Ghozali PK

Cerpen “Air” karya Malim Ghazoli mengisahkan peranan air dalam kehidupan. Cerita dimulakan dengan seorang bapa yang menceritakan tentang peranan air kepada anak-anaknya tentang “air yang membentuk pulau-pulau”. Bapa tersebut mewarisi cerita tentang air itu daripada bapanya sewaktu beliau kecil dahulu. Walau bagaimanapun, cerita air versi bapa disesuaikan dengan zaman dan tahap pemikiran anaknya agar unsur logik terus dipelihara dan cerita itu tidak ditolak oleh anaknya yang hidup di zaman serba canggih, maklumat di hujung jari.

Cerpen ini bersifat falsafah. Pengarang mengambil air sebagai falsafah kehidupan. Peranan air cukup besar seperti alirannya membentuk pulau-pulau, air juga sebagai unsur “sejuk” dalam kehidupan seperti tulis pengarang, “airlah yang memberi kesejukan berbanding unsur-unsur lain”. Cerpen ini diperkuatkan oleh ganda makna yang dibawa oleh pengarang. Bertolak daripada air, pengarang mengangkat persoalan kekeluargaan, perpaduan dan kehidupan. Dengan gaya bahasa yang mudah, perlambangan ini jelas dan mudah difahami oleh khalayak pembaca.

  1. “Apis Dorsata” – Fudzail

Cerpen ini mengutarakan tentang fenomena pemanasan global akibat tindak-tanduk manusia. Kesan itu mencetuskan kemarau dan banjir. Menariknya, pengarang mengangkat subjek koloni apis dorsata atau lebah yang semakin pupus. Bersesuaian dengan tajuk cerpen, pengarang mengemukakan dialog antara dua watak bersahabat, Amit Joyo dan Mihat yang runsing akibat penternakan lebah yang semakin meruncing. Plot cerita yang mudah ditanggapi pembaca menampilkan idea yang sarat dengan fakta tentang khasiat lebah serta hubung kaitnya dengan flora yang menjadi sumber makanan dan penghasilan madu. Sistem ekologi ditampilkan pengarang secara kemas menerusi hujahan dan dialog memberi input berguna kepada pembaca tanpa menghilangkan nilai keindahan karya sebagai sebuah karya imaginatif.

Di samping itu, pengarang turut menyelitkan faedah teknologi maklumat jika digunakan dengan sebaiknya. Pengakhiran cerpen yang memaparkan tentang sumbangan Amit Joyo dalam penggunaan racun serangga merupakan sindiran tajam pengarang terhadap masyarakat sendiri yang menjadi pemusnah alam.

  1. “Cerita-cerita Tentang Lidah” – Hafizah Iszahanid

“Cerita-cerita tentang Lidah” sebagai tajuknya menggambarkan tentang fungsi dan peranan lidah manusia. Pengarang mengangkat lidah sebagai satu subjek yang mampu dicerakinkan menjadi satu pemikiran yang harus difikirkan betapa lidah bukan sahaia berfungsi sebagai deria rasa tetapi juga mampu menjadi sejarah dan merubah sejarah yang telah tercipta, malah mampu merubah masa depan manusia. Betapa fungsi lidah diangkat pengarang jauh menerobos pada sejarah bangsa yang runtuh akibat bahana lidah tidak bertulang dan lidah juga mampu memusnahkan masa depan bangsa.

Kekuatan cerpen ini bukan sahaja terpamer menerusi bahasa pengarang yang berkias ibarat tetapi mesej yang disampaikan cukup jelas tentang lidah. Cerpen ini dilihat menarik kerana bukan sekadar memperlihatkan isu semasa, tetapi juga menyelar dengan tajam kebobrokan sikap manusia yang hidup dengan tujuan dan kepentingan masing-masing dan sering lupa tentang apa yang diperkatakan mereka menerusi analogi “lidah bercabang” dan “tidak bertulang”. Lidah sebagai pemikiran pengarang harus menjadi kebenaran mutlak yang kamu secara personal akan restui. Sebab lidah ialah otot utama dalam ruang rasa yang tidak terikat dengan kalbu. Lidah seharusnya digunakan untuk mengungkapkan kebenaran kerana lidah benar-benar mengangkat fungsinya apabila tiba hari pembalasan.

  1. “Desibel Iman” – Nisah Haron

“Desibel Iman” oleh Nisah Haron mengutarakan isu bising dari masjid berdekatan dengan kawasan perumahan. Isu ini sensitif dan mudah membuatkan orang Islam marah kerana dilihat sebagai mempermainkan agama Islam jika azan dan ceramah diperlahankan kelantangannya. Isu ini dibicarakan dengan penampilan watak utamanya, seorang peguam serta kliennya, seorang penulis skrip yang ingin memfailkan permohonan injunksi terhadap masjid kerana bunyi kuat yang mengganggu ketenteraman pemilik rumah tersebut. Oleh itu, “Desibel Iman” memaksa kita menyoal kembali apakah perlu penceramah agama menggunakan alat pembesar suara serta bercakap dengan suara lantang dan kasar sehinggakan mengganggu penduduk sekitar masjid tersebut.

Watak peguam itu sendiri sebenarnya pernah menduduki rumah tersebut, dan terpaksa dijualnya kerana anaknya yang autistik terganggu dengan desibel alat pembesar suara setiap kali azan dan ceramah agama. Untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik, peguam tersebut telah berjumpa dengan ahli masjid serta menyatakan hasrat untuk tidak menyaman masjid tersebut. Sebaliknya, peguam, penulis skrip dan rakan-rakan lain memberi sumbangan untuk alat pembesar suara kedap bunyi yang lebih moden supaya kelantangan azan dan hak kejiranan dihormati. Kekuatan cerpen ini terletak pada subjek yakni perjuangan seorang Muslim profesional mempertahankan hak kejiranan. Cerpen ini bukan mempersoalkan sama ada azan atau ceramah itu salah, tetapi memberi kesedaran bahawa budaya Melayu sebenarnya halus dan penuh adab. Penggunaan metafora hujan di permulaan dan akhir cerpen ini memberi ekspresif sesuai dengan subjek yang dibincangkan dan berjaya menyampaikan mesej yang terkandung dalam cerita. Hujan membawa kepada makna pembersihan jiwa katarsis peguam yang berjaya mendamaikan semua pihak. Nilai keprihatinan tinggi cerpen ini terhadap hal semasa menjadi salah satu kekuatan kepengarangannya.

  1. “Dia Yang Berlari Kencang dalam Debu Perang” – Mawar Safei.

Cerpen “Dia Yang Berlari Kencang dalam Debu Perang” karya Mawar Shafie mengangkat persoalan kepimpinan dalam masyarakat. Pengarang menampilkan watak Umar seorang pemimpin negara yang jatuh sakit dan dirawat di hospital. Dalam situasi itu Umar banyak merenung tentang kehidupan sebagai penguasa yang dilalui beliau. Juga tentang penyelewengan dan kepincangan ekonomi yang berlaku dalam negara semasa pemerintahnya. Dia mulai menyesal kerana gagal mentadbir dengan baik dan dalam waktu yang sama teringat kepimpinan Rasulullah SAW dan Sayidina Umar dahulu yang memerintah negara dengan baik dan lancar. Berani di medan tempur sedangkan dia gagal dan penakut untuk menegur.

Cerpen ini diperkuatkan dengan teknik penulisan yang membandingkan dua situasi pemerintahan negara masa kini dan pentadbiran negara di bawah penguasaan Rasulullah SAW. Perbandingan ini menarik kerana penggunaan gaya bahasa yang kemas dengan pemilihan kata dan perlambangan yang sesuai untuk kedua-dua zaman. Pengarang melahirkan protes sosialnya terhadap pemimpin negara yang gagal mentadbir negara dengan baik.

  1. “Musim Monyet Mabuk” – Zainal Rashid Ahmad

Cerpen ini secara sinikal mengkritik situasi negara yang memperlihatkan masyarakat sakit dan mabuk akibat isu dan spekulasi politik yang keterlaluan. Sungguhpun pemikiran cerpen ini agak biasa namun menarik kerana diadun dengan bahasa yang segar, sinikal serta sindiran tersebut dinyatakan menerusi adunan latar peristiwa dan watak manusia dan haiwan, iaitu monyet. Situasi politik dikias dan dianalogikan dengan perubahan cuaca dan iklim mencetuskan fenomena alam yang menimpa. Musim kemarau yang melampau kesan el-nino menyebabkan buah-buahan masak di tangkai dan menjadi tapai. Monyet yang termakan buah-buahan tersebut mabuk dan tidak keruan. Ia sama dengan manusia yang ditimpa penyakit kebingungan dan tekanan kesan percaturan politik. Dialog antara pesakit dengan Dr. yang dipaparkan pengarang mengungkapkan dilema yang ditanggung oleh negara. Kebobrokan politik yang dikaitkan dengan isu dan spekulasi keterlaluan bukan sahaja memberi muak kepada orang dewasa malah kanak-kanak yang tidak mengerti tentang politik juga.

Dari segi teknik penceritaan, pengarang menggunakan lapan segmen yang mengemukakan latar penceritaan langsung tentang situasi negara dan keadaan alam yang menggugah persekitaran. Pengarang secara berselang seli menggunakan dialog yang menunjukkan bagaimana watak doktor dan pesakit yang berinteraksi tentang situasi politik negara sehingga pesakit sering kali memerlukan suntikan penenang. Mabuk politik dikaitkan dengan mabuk yang dialami monyet akibat termakan buah-buahan yang telah menjadi tapai.

Kekuatan cerpen ini terletak pada bahasa, mesej dan perlambangan pengarangnya. Makna karya menonjol pada lapis kedua melalui penggunaan gaya bahasa yang bersifat metafora. Kesan makna yang tersirat dapat dihubungkan dengan perkembangan kehidupan sosial dan politik masyarakat kini.

  1. “Pascasejarah X Negeri Tanpa Matahari” – Fadh Razy

“Pascasejarah X Negeri Tanpa Matahari” oleh Fadh Razy merupakan cerpen spekulatif kerana latarnya dianjak ke suatu tempat yang tidak disinari matahari. Dua watak yang terdiri daripada pengawal muda dan banduan tua membincangkan kewujudan matahari di negeri tersebut. Banduan tua telah dipenjarakan berpuluh tahun, silih diganti oleh pelbagai pengawal. Pengawal muda ini diberi gelaran “Pahlawan Celik” kerana derianya seolah-olah tidak diganggu oleh kegelapan. Perbualan antara banduan tua dengan pengawal muda berkisar tentang adanya matahari, walaupun pengawal muda sangsi dengan dakwaan tersebut. Semenjak lahir, kata pengawal tersebut, dunianya gelap gelita, dan “tidak pernah melihat matahari” (hlm. 78). Namun, banduan tua menegaskan bahawa matahari “tetap di tempatnya. Mengikut perjalanan yang selama ini menjadi rutin.” Banduan tersebut menceritakan bagaimana negeri tersebut menjadi gelap akibat kezaliman Tuan Penguasa dan kegelojohan rakyat memakan pisang gergasi lebih daripada had tertentu. Ujar banduan tua tersebut bahawa pisang itu bersaiz gergasi kerana telah tercemar dan sesiapa yang memakan lebih daripada satu biji sehari akan menjadi buta. Pengawal muda tersebut terselamat daripada menjadi buta kerana dia alah dengan pisang tersebut, “sejak kecil, lidahku akan lecur jika tersentuh getahnya.” Oleh itu, berbekalkan nasihat banduan tua, pengawal muda itu berdiri di atas batu di pinggir tasik dan berjaya melihat matahari tersebut. Sebenarnya, matahari itu tidak pernah hilang. Seperti kata banduan tua tersebut,, “Hakikatnya matahari tidak pernah padam, tapi sebenarnya penglihatan mereka yang terpadam” (hlm. 78).

Fahd Razy menjadikan tema krisis sosial sebagai bahan penceritaan. Jalan ceritanya mendorong pembaca untuk meneliti maksud di sebalik pemaparan watak muda yang telah diasuh untuk mempercayai sesuatu yang tidak benar sebagai fakta. Banduan tua itu menjadi pakar rujuk sejarah bahawa kebenaran boleh didapati. Berpuluh tahun banduan tersebut menjaja cerita mengenai kewujudan matahari yang tidak pernah padam sinarannya, namun dia sentiasa dimomokkan. Oleh itu, cerpen ini memberi sindiran mengenai kebenaran dan pendustaan, dan bagaimana ideologi pemerintah mampu mengelirukan rakyat sehinggakan fakta sejarah boleh diselewengkan.

  1. “Rumah” – Rebecca Ilham

Cerpen “Rumah” muncul dengan dua makna yang tersurat dan tersirat. Secara tersuratnya cerpen ini memaparkan konflik yang dihadapi oleh sebuah firma yang menjalankan perundingan pengubahsuaian bangunan apabila diminta pelanggan agar meruntuh dan membina rumah baru yang di luar daripada bidang kepakaran firma. Hal ini menimbulkan konflik antara syarikat dengan firma lebih-lebih lagi projek ini bertentangan dengan kredibiliti firma. Secara tersirat pula, cerpen ini melahirkan kebimbangan terhadap runtuhnya sesebuah organisasi ekoran perbuatan mereka yang bertentangan.

Makna ganda ini memberi kekuatan kepada karya ini. Pembaca perlu menaksir apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh pengarang. Cerpen ini memperlihatkan keseimbangan antara isi dan bentuk. Cerpen yang membawa persoalan yang besar ini disampaikan dengan langgam bahasa yang mudah dan plot yang konvensional.

  1. “Rumah ini Dindingnya Kalis Cahaya” – Siti Jasmina Ibrahim

“Rumah ini Dindingnya Kalis cahaya” membawa persoalan jati diri masyarakat Malaysia. Cerpen ini antara lain mengisahkan satu keluarga yang tinggal di sebuah rumah berdinding cermin. Dari dalam rumah mereka boleh melihat apa yang berlaku di luar. Pengarang melontarkan kritikan terhadap segelintir masyarakat yang meragui keupayaan bangsa. Sikap ini akan menyebabkan terhakisnya identiti budaya yang diwarisi selama ini.

Karya ini memiliki keistimewaan apabila persoalannya dilontarkan secara perlambangan dan kilatan makna ganda. Sebuah rumah baru yang berdindingkan cermin kalis cahaya melambangkan keperibadian individu dan sebuah masyarakat yang bersifat tertutup. Isu-isu yang tercetus di luar menggugat identiti bangsa tidak dapat ditangani dengan baik. Situasi ini menyebabkan pihak luar mengambil kesempatan.

Cerpen ini diperkuatkan dengan unsur perlambangan yang digunakan. Lambang sebuah rumah yang berdinding cermin kalis cahaya memantulkan permasalahan pengujaran subjeknya. Hal ini telah memberi makna yang mendalam terhadap persoalan yang dikemukakan dan ini telah mengerakkan daya penaksiran pembaca.

  1. “Rumah Kupu-kupu” – SM. Zakir

“Rumah Kupu-kupu” mengutarakan soal kemiskinan bandar yang biasa disebut sebagai kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah daripada taburan pendapatan dengan purata RM2,537 (Laporan RMK11). Cerpen ini menggambarkan dua watak, Azli dan Wazir. Kedua-duanya menghuni flat kos rendah di Lembah Klang. Dalam cerpen ini, Azli digambarkan sebagai warga kota yang terdesak dengan pendapatannya. Dengan kerjanya sebagai seorang pegawai di bahagian operasi syarikat pengilangan berpendapatan RM2,800 sebulan, Azli merasakan kesusahan ketidakcukupan wang selepas potongan pelbagai kemudahan seperti sewa rumah, ansuran motosikal, bil utiliti serta bantuan kepada keluarga. Wazir pula ialah seorang lelaki berkeluarga dan mempunyai tiga anak kecil. Selepas kehilangan pekerjaan di kilang kerana digantikan dengan pekerja asing, Wazir bertukar-tukar pekerjaan sehinggalah mendapat kerja sementara sebagai penjaga stor dengan gaji RM2000 sebulan. Wazir, seperti juga Azli, mengeluh dengan kesempitan hidup di kota. Namun, walaupun kedua-dua menghuni di flat yang sama, mereka tidak mengenali satu sama lain. Cuma kegelisahan dan masalah mereka serupa.

SM Zakir menjalin plot cerita dengan memberi dua situasi penghuni flat yang masing-masing mengelamun mengenai belon dan kepompong. Strategi naratif berjaya menampilkan persoalan genting mengenai nasib warga kota yang dihimpit kemiskinan seperti tiada penyelesaian kepada permasalahan mereka. Bersesuaian dengan tajuk cerpen iaitu “Rumah Kupu-kupu”, karya ini menyedarkan pembaca jumlah rakyat di bawah kemiskinan yang keluar mencari nafkah seperti “kupu-kupu demi kupu-kupu”. Seperti di akhir cerpen, masa hadapan penghuni-penghuni ini kelam, “berterbangan ke udara membawa impian-impian yang berwarna-warni dan kemudian pecah menjadi debu udarakasa merewak hilang dalam asap udara dunia yang kelam dan gelap.” Secara tersirat cerpen ini memaparkan kepada khalayak pembaca bahawa kemiskinan bandar yang tidak terkawal bakal merosakkan pembangunan modal insan.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG CERPEN REMAJA

Tiada ruangan khusus untuk cerpen remaja dalam media tempatan. Penilaian sebagai cerpen remaja mengambil kriteria tertentu seperti cerpen remaja berkisar kepada kehidupan dan permasalahan remaja. Watak utama seeloknya remaja namun sekiranya watak utama orang dewasa masih boleh diterima dengan syarat persoalan dan kehidupan remaja yang dominan begitu juga sekiranya persoalan dewasa masih diterima dengan syarat dilihat daripada sudut pandangan remaja. Untuk kategori ini tidak dihadkan siapa penulis sama ada penulis mapan, penulis baharu, penulis dewasa mahupun penulis muda. Penilaian melihat sejauh manakah konsep jati diri dipertahankan oleh penulis, pembinaan minda dan perilaku yang baik dalam kalangan pembaca remaja.

Secara umumnya, penghasilan cerpen remaja sepanjang tahun 2015 hingga tahun 2016 cukup menggalakkan. Walau bagaimanapun pun kebanyakan cerpen yang disiarkan masih bersifat klise dengan tema percintaan dan moral remaja. Pengolahan yang lemah dan bersifat popular menjadikan karya itu agak rendah dari sudut mutunya. Dilihat dari sudut tema, cerpen remaja yang disiarkan sepanjang tahun 2015 dan tahun 2016 memperlihatkan tema dan persoalan yang berbeza. Terdapat kecenderungan pengarang untuk mengolah persoalan warisan, agama dan kepercayaan serta pendidikan. Kehidupan orang kurang upaya dan permasalahan kehidupan remaja terus mendapat tempat di hati penulis.

 

ULASAN PENGHAKIMAN

  1. “Burung di Luar Sangkar” karya Saifullizan Yahaya

“Burung di Luar Sangkar” ialah sebuah karya satira tentang kebebasan. Cerpen ini mengangkat persoalan kebebasan yang dicari oleh golongan remaja. Secara tersurat cerita berkisar kepada seekor burung yang terkurung dalam sangkar dan mendapati tuannya lupa menutup pintu. Melihat pintu yang terbuka menimbulkan keinginan burung tersebut melarikan diri dan hidup bebas di dunia luar. Namun akhirnya burung tersebut menyedari bahawa kehidupannya lebih selesa di sangkar itu. Secara tersirat, cerpen ini memaparkan sikap manusia yang mahu bebas.

Kekuatan cerpen ini terletak pada persoalan yang diangkat, iaitu “kebebasan”. Sesuai dengan kumpulan sasaran, remaja yang sering menuntut kebebasan, karya ini menyedarkan pembaca bahawa hidup bebas itu kadangkala tidak semanis hidup yang terkawal. Golongan remaja harus berfikir dua kali sebelum mengambil tindakan dan harus menyedari megapa kebebasan tidak diberi hak mutlak kepada mereka.

  1. “Kancil, X-trail dan Sebuah Bengkel” karya Abang Median Abang Said

“Kancil, X-trail dan sebuah bengkel” pula menampilkan watak seorang guru yang berhadapan dengan dua bekas pelajarnya. Pelajar pertama ialah pelajar kesayangan kerana bijak dalam pengajiannya. Namun, apabila kereta guru itu rosak di tengah jalan, bekas pelajarnya yang bijak itu yang kebetulan lalu tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Situasi sebaliknya berlaku apabila pelajar kedua yang merupakan pelajar lemah dan tidak disukai oleh guru itu yang menghulur bantuan.

Dilihat dalam konteks remaja, karya ini memberi pengajaran kepada remaja, pentingnya menghormati guru yang membimbing kita agar menjadi orang yang berguna. Jasa guru amat besar dalam kehidupan kita menuju kejayaan. Pendidikan yang diberi guru bukan sahaja secara formal tetapi juga secara tidak formal misalnya melalui hukuman yang dikenakan oleh guru. Inilah yang dipelajari oleh wataknya, hukuman guru dianggap sebahagian daripada didikan untuk berjaya. Kemunculan karya ini sesuai dengan situasi sekarang dalam era rasa hormat pelajar kepada guru yang semakin terhakis.

  1. “Trisomi Dua Puluh Satu” karya Zulaikha Adam

“Trisomi Dua Puluh Satu” mengangkat subjek kemanusiaan yang bertolak daripada isu kehidupan anak-anak istimewa yang mengidap penyakit sindrom down. Karya menggambarkan situasi yang dihadapi oleh individu yang mengalami penyakit tersebut sejak dia lahir sehinggalah meningkat usia 22 tahun.

Karya menyentuh dan meninggalkan kesan yang kuat kepada pembaca khususnya kesan simpati kepada wataknya. Teknik penceritaan yang memaparkan sudut pandangan orang pertama berupaya menimbulkan simpati khalayak terhadap penceritaan yang digalurkan. Sudut pandang orang pertama yang merupakan penghidap sindrom down mengundang rasa sedih dan empati terhadap watak. Walaupun subjek keagamaan yang agak berat dibawa dalam cerita ini, namun naratif yang dibina dengan gaya bahasa yang komunikatif berupaya mengungkapkan subjek yang ingin disampaikan. Teks ini berupaya memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak memandang rendah kepada mereka yang kurang bernasib baik.

KESIMPULAN

Secara umumnya, cerpen-cerpen yang dipilih memenangi hadiah HSPM 2015/2016 mempunyai keistimewaan dan kelebihan. Selain menghiburkan, cerpen-cerpen ini mencetuskan kemurnian nilai insani. Subjek yang diungkap sesuai dengan remaja dan mampu memperkasakan jati diri dan sahsiah mereka. Perkembangan sihat begini diharap akan berterusan lantaran pendedahan kepada latar kehidupan yang luas dalam kalangan remaja. Pengalaman di dunia realiti serba maju yang mengubah pemikiran remaja wajar dirakam dan dianalisis dalam karya sebagai satu petanda sejarah pemikiran yang bermakna.

Panel Penilai:

Datin Prof. Dr. Ruzy Suliza Hashim

Prof. Madya Dr. Asmiaty Ahmad

Encik Che Abdullah Che Ya

Be Sociable, Share!