PENDAHULUAN

Sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia atau HSPM menerima banyak karya baik dalam bentuk kumpulan puisi mahupun secara eceran, sepanjang tahun penilaian 2015-2016. Kumpulan puisi diterbitkan banyak penerbit di merata-rata tempat di Malaysia. Antara lain oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta beberapa lagi. Manakala puisi eceran pula tersiar dalam majalah, akhbar, dan tidak terkecuali yang terkumpul dalam antologi (yang turut diperakui sekretariat sebagai tergolong dalam kategori eceran).

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian bagi karya meliputi:

Penilaian Umum
(a)  Kekuatan kesatuan organik karya.
(b)  Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang.
(c)  Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan.
(d)  Keindahan moral.
(e)  Inovasi dan kreativiti.
Penilaian Puisi
(a) Hasil dan kesan daripada renungan dan penghayatan yang mendalam, serta sebuah hasil kesenian yang harmonis.
(b) Puisi yang menimbulkan kepekaan terhadap sensitiviti, persepsi, inovasi dan daya imaginasi, penghayatan dan daya sublimasi.

KUMPULAN PUISI

Sekretariat menerima sebanyak 148 buah kumpulan puisi yang diterbitkan sepanjang tahun 2015-2016. Kumpulan puisi ini, setelah melalui proses penyaringan oleh pasukan panel yang dilantik oleh sekretariat, mengesyorkan 43 kumpulan dibawa ke perbincangan seterusnya. Panel penilai menggunakan kayu ukur dalam kriteria penilaian bagi membincangkan kesemua kumpulan puisi yang diperakukan ini. Daripada jumlah tersebut, 10 kumpulan dipilih untuk dibawa ke penilaian akhir iaitu:

  • Jelita Seorang Aisyah oleh Sahara Jais, terbitan ITBM, 2016.
  • Dondang Pembukaan oleh Lutfi Ishak, terbitan ITBM, 2016.
  • Perjalanan Sang Zaman oleh SM Zakir ITBM, 2015.
  • Nyut Nurani oleh Naapie Mat, ITBM, 2015.
  • 77 Tuju oleh Zaen Kasturi terbitan ITBM, 2015.
  • Kekasih Hujan oleh Teratai Abadi, terbitan ITBM, 2015.
  • Metamorfosis Kimchi oleh Lim Kim Hui, ITBM 2015.
  • Taman Insaniah oleh Shamsudin Othman, DBP, 2015.
  • Serindit Merah Mohamad Saleeh Rahamad, ITBM, 2016.
  • Matahari Itu Jauh oleh Abdullah Awang, terbitan ITBM 2016.

Panel penilai memutuskan 77 Tuju oleh Zaen Kasturi, terbitan ITBM 2015 sebagai pemenang kategori kumpulan puisi.

ULASAN PEMENANG KUMPULAN PUISI 77 Tuju oleh Zaen Kasturi

 77 Tuju, kumpulan puisi Zaen Kasturi (ITBM PENA, 2015) ialah kumpulan puisi mutakhir Zaen Kasturi yang boleh dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 bagi Kategori A: Kumpulan Puisi. 77 Tuju memuatkan 77 puisi membawa tema kehidupan manusia yang mengejar impian dan cita-citanya yang tidak dapat melarikan dirinya daripada dogma, nilai tradisi, terumbang-ambing antara sikap pasif dengan cita-cita yang berkobar-kobar, tetapi kadangkala terbentur kepada cabaran dan dugaan. Penyajak yang terbawa-bawa kepada pengalaman masa-silamnya tak dapat melupakan “sungai kenangan”, “kelopak kenangan”, “kenangan tegar” dan “kekar kenangan”.  Kenangan yang berantaian ini tersemat kejap dalam Ingatan. Inilah yang menjadi judul kepada setiap sajaknya yang 77 itu, daripada Ingatan kepada Kawan “1” hinggalah kepada “Ingatan kepada kawan “lxxxvii”.

Walau pun tajuknya seolah-olah untuk kawannya satu demi satu, tetapi dalam sajaknya itu terkandung pesan, nasihat agar melihat kehidupan yang penuh dugaan dan cubaan ini secara berhikmah, kerana kehidupan ini sarat dengan makna lahir dan batinnya. Kehidupan individu ada masa sulit dan payahnya sebelum dapat mencapai cita-citanya. Begitu juga setiap percintaan tidak semestinya berakhir dengan kejayaan dan kebahagiaan. Kesulitan yang dapat diatasi dengan sabar dan pasrah kepada takdir Tuhan boleh memberikan erti kebahagiaan yang sejati. Dalam sajak pertama “Ingatan kepada Kawan “I” misalnya, dia mengakrabkan filsafat “bunga teratai” yang memberikan keindahan dan makna batiniah walaupun dia terapung-apung di dalam air dan tumbuh dalam perkelilingan yang kotor. Kata penyair “kupetik teratai itu dari kolam yang dasarnya penuh selut..” Selut atau pupuk itu ialah baja yang menyuburkan dan memberikan keindahan, yang tak menjemukannya untuk terus terjun ke kolam memetik teratai. Hidup yang sementara kembang dan layu tidak sama dengan kembangnya teratai-teratai yang lebih abadi.

Perpisahan (keasingan) akan terjadi kerana kedukaan dalam hidup. Justeru “kau terlebih dahulu memancung kenangan antara kita..” Perpisahan berlaku kerana permintaan Kau yang tidak mahu lagi dibelenggu waktu. Mereka “lebur” dalam suara (krisis atau beza pendapat dan inginkan kebebasan). Imejan “pisau” dan “belati” digunakan penyair untuk menyatakan rasa dendam yang akan menghunjamkan keharmonian, bagi penyair “orang telah mabuk dengan dendam” (Ingatan untuk Kawan “iv”) Ironi penyair mengungkapkan “tak ada suara yang medu dari bisikan dendam”…dan kini, “suara menjelma darah – sebilah belati berkilau cinta di matanya.” Penyair terus mengingatkan kita (kawannya), dalam konteks ini masyarakat seluruhnya:

“dengarkah kau guruh yang menyelinap di antara denyut nadi..”

“dengarkah kau ringkik kuda angkuhmu..”

Penyair menjawab bahawa dia mendengar dan menyatakan:

Kudengar kau mengguman tentang nasib

Yang ditewaskan takdir

Kudengar kau berbisik tentang janji

Yang dileburkan ikrar.

(ingatan kepada kawan xl)

Sifat ketidaksetiaan dan durhaka terhadap ikrar dan sumpah membawa padah yang negatif. Inilah yang ditekankan dalam sajak ini. Dia tidak lepas juga menggunakan imejan “balam” yang digunakan oleh Yassin Makmur dan Latiff Mohidin. “di sisiku seekor burung balam/ terbang melintasi malam/mencari diam”. Kesepian dan kekecewaan membuat individu mencari ruang untuk merenungi nasibnya atau bermuhasabah. Penyair secara introspektif menyatakan dengan sebuah permohonan tulus:

Jika aku setompok debu

Singkirkanlah aku dari dari hujung sepatumu

–mohon…

(ingatan kepada kawan lxxii)

 

Sebelumnya, dia menyatakan jika dia gambar, tetaplah dalam album hatimu; dan jika sehelai kain/pakailah “di susuk tubuhmu”, kalau dia sekuntum “kembang” tetaplah harum di sudut hatimu; kalau dia “awan”, kalau tak cucurkan “hujan” cukuplah dengan “gerimis harapan”. Kita dapati ada unsur paradoks yang dikemukakan Zaen dalam sajak ini: gambar, kain, kembang, awan dan tiba-tiba muncul “debu”.

Membaca kumpulan 77 Tuju ini kita merasakan kepenyairan Zaen Kasturi yang sudah memasuki dunia kematangan. Puisinya kaya dengan metafora yang hidup dan segar, personifikasi yang baru, tautan yang koheren, dan juga falsafah yang [penuh dengan tenaga hidup baru dan ingatan kepada kekuasaan Ilahi. Dia juga hadir dengan kreasi kata-kata baharu dan tidak kurang juga mengembalikan diksi-diksi archivistik yang masih boleh digunakan seperti mengewangi, merinding, si luman, lepu dan lain-lain. Teknik perulangan yang diaplikasikan menjadi efektif apabila dia menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan “langit 12 Rabiulawal” dan “ seorang manusia”.

Langit 12 Rabiulawal

Menguak rasa kudus

 

Langit 12 Rabiulawal

Menenar sinar mulus

 

Langit 12 Rabiulawal

Merungkaikan cinta tulus

(ingatan kepada kawan “vii”)

 

Ya kekasih kami

Tuhan telah mengutusmu

 

Ya kekasih kami

Dari belukar memanjang sepanjang lorong hayat

 

Ya kekasih kami

Dengan apakah dapat kami ucapkan

 

Ya kekasih kami

Tuhan telah menurunkan kepada kami

(Ingatan kepada kawan “vi”)

 

Pencariannya kepada ungkapan baharu, menjadikan ekspresinya unik dan menjadi milik kepenyairannya yang sedikit mujarad tapi menyegarkan. Jelas 77 tuju adalah naskhah yang layak untuk memenangi Hadiah Sastera Perdana 2015-2016 bagi Kategori Kumpulan Puisi.

KATEGORI B: PUISI ECERAN

Sekretariat menerima sejumlah 3 456 karya, sepanjang tahun penilaian.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 148 buah karya dibawa ke sesi selanjutnya. Daripada jumlah ini sebanyak 27 buah karya, setelah melalui proses penilaian, diperakukan panel penilai untuk dibawa ke sesi perbincangan akhir. Hasilnya 10 karya yang berikut ini diangkat sebagai pemenang.

  1. “Puisi Perang di Semerah Padi”, Raihani Mohd Saaid, Dewan Sastera, Februari 2016.
  2. “Berbalah dengan Kata”, Rudi Mahmood, Dewan Sastera, Disember 2015.
  3. “Sengaja Aku Memilih Beza”, Ratna Laila Shahidin, Dewan Sastera, April 2016.
  4. “Peniup Seruling Merionette”, Muzaf Ahmad, Mingguan Malaysia, 9 0gos 2015.
  5. “Walau Belum Pernah Tepat”, Rosli K. Matari, Berita Harian, 14 Ogos 2016.
  6. “Di dalam Sebuah Kolam Naluri”, Adinata Gus, Berita Harian, 21 Ogos 2016
  7. “Bahasa”, Teratai Abadi, Dewan Sastera, Oktober 2015
  8. “Mujahadah Takdir dalam Kesturi Syukur”, Sahara Jais, New Sabah Times, 2 April 2015
  9. “Melati”, Roslan Jomel, Dewan Sastera, Disember, 2015.
  10. “Di Luar Bingkai Sejarah”, Hilmi Rindu, Dewan Sastera, Oktober 2016

 

ULASAN KARYA PEMENANG

  1. Sajak “Melati” karya Roslan Jomel

Sajak “Melati” membawa semangat kecintaan kepada tradisi. Rasa kecintaan ini dikemukakan secara berlambang. Nilai yang ada di desa dianggap oleh protagonis jauh lebih mulia dan berharga berbanding nilai di kota. Perpindahan dari desa ke kota selalu dianggap sebagai tanda kemajuan, tetapi karya ini melihat peristiwa itu dari sudut lain. Tinggal di kota dianggap pengasingan diri daripada tradisi yang murni. Sajak ini mencapai kesenian yang memuaskan dengan kehadiran frasa-frasa yang kedengaran baharu dan asli. Frasa “silauan terik bandar dan tipuannya” di pertentangan dengan “daun pokok rambutan bersentuhan pucuk betik”. Pertentangan begini menimbulkan kerinduan pada desa. Kerinduan dikaitkan dengan kebiasaan rakyat Malaysia yang tinggal di kota untuk pulang ke desa pada setiap musim perayaan, “aku ingin melihat kau/setahun sekali ketika Aidilfitri”.

  1. “Mujahadah Takdir dalam Kesturi Syukur” oleh Jahara Jais

Sajak “Mujahadah Takdir dalam Kesturi Syukur” tebal dengan pemikiran keagamaan. Tumpuan penyair terhadap tema ketuhanan terbukti dengan banyaknya penggunaan istilah keagamaan misalnya tasbih, munajat, kausar, dan lain-lain. Susunan citra keagamaan itu amat padat, dan ini menyebabkan keseluruhan karya menjadi kemas dan berwibawa. Tiga baris terakhir ini ialah bukti nyata:

kerana keyakinan saujana

kelembutan mahabah-Mu

dalam relung-relung ujian-Mu.

 

  1. “Puisi Perang Semerah Padi” oleh Raihani Mohd Saaid

Sajak ini menyebutkan “perang” sebagai pengalaman dalam kehidupan. Perang juga dikaitkan dengan pengalaman peribadi dan pengalaman dalam bidang perpuisian itu sendiri. Disebutkan “selamanya puisi ini tidak akan sempurna”, dan ini dikaitkan dengan ketidaksempurnaan manusia. Bagi penyair perang tidak menentukan kuasa, tetapi akan berakhir dengan sisa. Kata-kata ini secara tersirat membawa maksud bahawa proses pengkaryaan hendaklah terus berlangsung. Jika penyair kekurangan kesungguhan, segala usaha akan sia-sia.

  1. “Di luar Bingkai Sejarah” oleh Hilmi Rindu

Sajak “Di Luar Bingkai Sejarah” membawa kesedaran tentang jasa bakti yang tidak diberi perhatian. Judul sajak ini sudah pun menyarankan makna pengetepian insan berbudi, manakala kandungannya menyebutkan golongan yang dipinggirkan. Kata-kata yang digunakan bersifat langsung, tetapi berupaya membangkitkan perluasan makna. Golongan yang terpinggir itu terdiri daripada pelbagai kaum. Penyair menyebutkan golongan ini “Merekalah pejuang, merakalah pahlawan”.

  1. “Bahasa” oleh Teratai Abadi

Persoalan bahasa dikemukakan oleh penyair secara tidak langsung melalui sajak “Bahasa”. Sajak ini mencoret citra yang imaginatif. Kata ganti “aku” ialah bahasa, dan frasa “dicumbu bayu dari pulau ke pulau” ialah gambaran perkembangan bahasa. Frasa “anak warisanku dibayang harum tulip” pula ialah gambaran pengetepian tamadun sendiri oleh anak bangsa.

  1. “Sengaja Aku Memilih Beza” oleh Ratna Laila Shahidin

Tema perbezaan antara manusia ini disampaikan dengan berkesan melalui sajak “Sengaja Aku Memilih Beza”. Perbezaan ialah hakikat dalam kehidupan. Sajak ini menyarankan bahawa tidak semestinya yang manis itu lebih baik daripada yang pahit. Gaya bahasa sajak ini bersahaja, tetapi menyarankan mesej yang amat bermakna bahawa perbezaan hendaklah diraikan, bukan dijadikan punca konflik.

  1. “Di dalam Sebuah Kolam Naluri” oleh Adinata Gus

Naluri diimaginasikan sebagai ikan yang berada di dalam kolam. Sajak “Di Dalam Sebuah Kolam Naluri” ini membawa tema intuisi dan hasrat hati yang pelbagai. Penyair bermaksud menyatakan bahawa segala yang berada dalam naluri perlu disekat daripada meluahkannya secara bebas lepas. Sajak ini kemas kerana citra ikan gergasi yang melambangkan naluri.

  1. “Berbalah dengan Kata” oleh Rudi Mahmood

Tema pengutamaan pemikiran rasional dan kebijaksanaan disampaikan melalui sajak “Berbalah dengan Kata”. Sajak ini menyarankan sikap demokratik dalam hubungan. Pertentangan pendapat hendaklah diterima baik dan pertentangan itu hendaklah dipaparkan dalam perbahasan yang matang. Penyair mengakhirkan puisinya dengan mengatakan dia tidak rela menghadapi perbezaan pendapat yang akan berakhir dengan sengketa.

  1. 9. “Peniup Seruling Merionette” oleh Muzaf Ahmad

Gangguan sekeliling atau persekitaran selalu menimbulkan rasa rimas. Sajak “Peniup Seruling Merronette” membawa tema ini dengan mewakilkan perasaan demikian pada komposer lagu. Ketika komposer menukarkan tembaga dengan emas, lilin cair menyeliputi emas. Penyair menyampaikan tema ketergangguan ini melalui ciptaan karya seni. Penyair mengakhirkan puisinya dengan pertanyaan:

bagaimana harus

mengasingkannya kembali?

 

  1. “Walau Belum Pernah Tepat” oleh Rosli K. Matari

Sajak “Walau Belum Pernah Tepat” membawa tema hayat makhluk di alam. Imej kalendar ialah penanda usia. Penyair menyampaikan tema dan mesej sajak ini dengan gaya bahasa yang sederhana, tetapi amat menginsafkan. Bahagian akhirnya menimbulkan kesan yang kuat:

Sungguh, kau tidak tahu,

Kalender itu tidak pernah mengenal permainan lain yang lebih                                             mengasyikkan.

 

PENUTUP

Para pemenang HSPM puisi ini memperlihatkan kreativiti dan penghayatan yang tajam dan ini boleh menjadi petanda yang baik dalam puisi Melayu mutakhir.

Disediakan oleh:

SN Dato’ Ahmad Khamal Abdullah

Dato’ Rahman Shaari

Dr. Lim Swee Tin

Be Sociable, Share!