Pendahuluan

Panel menerima 14 buah buku drama pentas bagi tahun penilaian 2015/2016, dengan pecahan seperti berikut:

Kategori A: Buku

  1. Kain Bendera Kain karya Ladin Nuawi (ITBM, 2015)
  2. Saya dari Tanjung Penaga karya Marzuki Ali (DBP, 2015)
  3. Setanggi Piatu karya Norhisham Mustaffa (DBP, 2015)
  4. Budak Joget karya Wan Ahmad Ismail (DBP, 2015)
  5. Gambus Maulana Ibnu Rahman karya Awang Karim Kadir (ITBM, 2015)
  6. Penyu Menangis Siapalah Tahu karya Awang Abdullah (ITBM, 2015)
  7. Kena Main karya Khalid Salleh (ITBM, 2015)
  8. OTG karya Hatta Azad Khan (DBP, 2015)
  9. Permata Hitam karya Rahmah Bujang (DBP, 2015)
  10. Diskusi Malam karya Moh Azam Rezali (DBP, 2015)
  11. Buai karya Norhisham Mustaffa (UUM Press, 2016)
  12. Mimpi Presiden karya Joe K.A.S (ITBM, 2016)
  13. Payung Iram-iram karya Rahimah Muda (ITBM, 2016)
  14. Ini Rumah Kita karya Aina Nabila Ahmad (ITBM, 2016)

 

Berdasarkan semakan panel penilai, sebahagian daripada buku kumpulan drama yang diterima ini tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk dinilai. Antaranya termasuklah kumpulan drama berkenaan memuatkan majoriti atau kesemuanya naskhah drama lama yang sudah dipentaskan atau pernah diterbitkan dalam bentuk eceran melebihi tempoh 10 tahun sebagaimana yang dijadikan peraturan. Sementara sebuah buku mengandungi skrip drama yang pernah memenangi HSPM sebelum ini.

 

KATEGORI B: DRAMA ECERAN

Bagi kategori eceran, panel menerima 22 buah skrip yang terbit pada tahun 2015 dan 17 buah skrip yang terbit pada tahun 2016, sama ada yang sudah dipentaskan, diterbitkan dalam majalah atau yang diterbitkan dalam buku sebagai antologi (lebih daripada seorang penulis), seperti berikut:

  1. “Tangan-tangan yang Tinggal” karya Siti Jasmina Ibrahim (Dewan Sastera, Januari – April 2015)
  2. “Buang” karya Roziah Adama (Dewan Sastera, Mei-Jun 2015)
  3. “Puteri Kayangan Maya Sofana” karya Mohamed Ghouse Nasaruddin (Dewan Sastera, Julai-September 2015)
  4. “Bangsawan Tujuh Gong Sakti” karya Rohani Md. Yousoff (Dewan Sastera, Oktober-November 2015)
  5. “Dasila Racau Satwaluka Rima Tropika” karya Marzuki Ali (Dewan Sastera, Disember 2015)
  6. “Dalang-dalang” karya Marzuki Ali (Pentas, Januari-Julai 2015)
  7. “Dejavu dari Langit” karya Dahiri Saini (Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching, 7 November 2015)
  8. “Wira Samudera” karya Rahimah Muda (Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor, 24-26 April 2016)
  9. “Tangan Ajaib Melayu” karya Nazri Mohamad Salleh (Dewan Sastera, Jun-Julai 2016)
  10. “Pulau Tanpa Cinta” karya Abd. Karim Ghulam (Dewan Sastera, Mac-Mei 2016)
  11. “Dialisis” karya Mohamed Ghouse Nasaruddin (Dewan Sastera, Ogos-November 2016)
  12. “Hang Tuah” karya Abdullah CR (Dewan Sastera, Disember 2016)
  13. “Monolog Cinta” karya Fairul Pujangga (Konklusi, ITBM, 2016)
  14. “Pertembung Dua Penyesalan” karya Ayudez Fia (Konklusi, ITBM, 2016)
  15. “Hikayat Kesuma Dewata” karya Fairul Pujangga (Konklusi, ITBM 2016)
  16. “Canggah” karya Fairul Pujangga (Konklusi, ITBM 2016)
  17. “Belenggu Waktu” karya Fairul Pujangga (Konklusi, ITBM, 2016)
  18. “Wabak” karya Ayudez Fia (Konklusi, ITBM, 2016)
  19. “Gila” karya Fairul Pujangga (Konklusi, ITBM, 2016)
  20. “Jual Orang” karya Fairul Pujangga (Konklusi, ITBM, 2016)
  21. “Sejadah Ilmu” karya Ayudez Fia (Konklusi, ITBM, 2016)
  22. “Restu Mimpi” karya Fairul Pujangga (Konklusi, ITBM, 2016)
  23. “Roh Pejuang” Fairul Pujangga (Auditorium DBP, 2016)

 

KRITERIA PENILAIAN

Untuk genre drama, beberapa kriteria telah disenaraikan sebagai panduan penilaian dan pemilihan pemenang

  • Tema yang dipaparkan harus bersifat sejagat dengan pemaparan subjek yang berwajah setempat;
  • Menepati segala kriteria genre drama sama ada tragedi, komedi, melodrama atau gabungan tragedi komedi dengan jelas;
  • Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang;
  • Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan;
  • Penulis arif memanipulasi aspek teaterikal (lakonan, set, kostum, audio, pencahayaan, dan pancaran multimedia) sebagai salah satu bahasa (komunikasi visual) pementasan;
  • Memaparkan kreativiti pengarang mengemukakan pelbagai teknik penulisan bagi menyerlahkan tema, persoalan dan protagonis yang dikemukakan.

Selain itu, panel juga sentiasa mahu melihat dasar-dasar penulisan skrip drama pentas yang lazim dipatuhi, seperti pembinaan struktur dramatik (plot) berasaskan urutan eksposisi, konflik, klimaks dan peleraian. Aspek inilah antara ciri penting yang membezakan genre drama dengan genre sastera yang lain. Drama sebagai satu bentuk penulisan dramatik juga merupakan karya kreatif yang berpusat atau bertumpu pada watak (khususnya watak utama). Oleh sebab itu, aspek pembinaan dan pengembangan watak yang berfokus juga penting diberikan perhatian dan penekanan oleh penulis bagi menghasilkan naskhah yang benar-benar kuat dan mantap. Satu lagi aspek yang sering dicari oleh panel ialah sejauh manakah sesebuah naskhah memperlihatkan potensi sebagai sebuah drama yang berkualiti dan berkesan untuk dipentaskan.

Panel juga tidak menafikan perkembangan dunia drama terkini yang kelihatan semakin beragam, terutamanya pada era pasca-moden ini. Dalam hubungan ini, panel sentiasa cuba melihat kelainan yang cuba diperlihatkan oleh setiap karya, khasnya dari segi bentuk, teknik, pendekatan dan pemikiran. Hal seperti ini tidak terkecuali berlaku pada karya penulis muda, kerana panel turut dapat mengesan kehadirannya pada naskhah penulis mapan.

ULASAN KESELURUHAN

Sebahagian daripada buku drama dan drama eceran yang diterima dihasilkan oleh penulis muda yang baharu mengenali genre ini dan masih belum memperlihatkan kematangan dalam menulis karya drama pentas. Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka yang menunjukkan bakat dan potensi sebagai pengarang drama yang baik pada masa akan datang. Karya mereka perlu diperhatikan dan sekiranya penulis muda ini berterusan menekuni bidang ini, dipercayai drama yang lebih bermutu akan terhasil daripada mereka, dari semasa ke semasa.

Ada antara buku drama dan drama eceran yang dinilai, walaupun merupakan hasil karya penulis mapan, skrip-skrip yang terkandung di dalamnya tidak memperlihatkan kekuatan yang sewajarnya. Malah sesetengahnya lebih mirip drama radio atau sekadar sketsa/situasi yang lemah, tanpa unsur-unsur dramatik yang dituntut dan tidak terbina atas struktur dramatik yang kukuh.

 

 

ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Kategori A: Buku

Saya dari Tanjung Penaga oleh Marzuki Ali (DBP, 2015).

Dekon bermaksud deklamasi lakon. Dekon bukanlah satu bentuk drama baharu. Dekon dipelopori oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Bentuk drama ini dicipta oleh beliau dengan tujuan seperti katanya supaya dapat “membantu mereka (pelajar sekolah) menghayati novel ini (Daerah Zeni) secara lebih akrab. Dengan dekon, saya sendiri dapat menyampaikan semangat dan inti sari kehidupan Daerah Zeni melalui deklamasi dan lakon – secara saya.” Dekon pertamanya berjudul Dekon Lazri Meon (1992), yang diadaptasi daripada novelnya sendiri, Daerah Zeni. Usia genre dekon kini sudah melebihi 25 tahun. Teks dan teater dekon berkembang secara serentak kerana pada ketika perkembangan awalnya, banyak teks terpaksa dihasilkan untuk pementasan dekon. Buku kumpulan dekon Saya dari Tanjung Penaga oleh Marzuki Ali ialah buku pertama yang menghimpunkan teks drama dekon oleh penulis berkenaan.

Panel penilai berpendapat, buku Saya dari Tanjung Penaga oleh Marzuki Ali ini merupakan kumpulan teks dekon yang sempurna sifatnya sebagai naskhah sastera dekon yang berpotensi diangkat sebagai pementasan teater. Selain itu, kehadiran buku ini dalam dunia penulisan drama Melayu memperjelaskan makna dan bentuk dekon itu sendiri. Walaupun ada sebilangan penulis telah menghasilkan naskhah dekon sebelum ini, namun kebanyakan mereka masih kabur dengan bentuk tersebut.

Buku Saya dari Tanjung Penaga oleh Marzuki Ali menghimpunkan tujuh (7) buah drama dekon. “Keranamu Azizah”, “Seri Panggung”, “Saya dari Tanjung Penaga”, “Apologi Sang Panitera”, “Ponen Si Bayan”, “Villa di Bukit Bendera Atawa Permata Bonda”, dan “Banglo No. 410” ialah tajuk-tajuk teks dekon dalam buku ini. Sesuatu yang menarik mengenai kumpulan drama ini ialah kesemua tujuh naskhahnya sama ada berlatarbelakangkan negeri Pulau Pinang, mengisahkan watak yang berasal dari negeri tersebut, atau menjadikan budaya serta seni persembahan asal negeri tersebut sebagai subjeknya.

Secara umum, buku ini menepati format penulisan drama yang jelas dari segi genre dan pembinaan protagonis atau watak utamanya. Buku ini cenderung mengangkat tokoh, budaya atau isu sebenar sebagai subjek perbincangan teks dekonnya. Misalnya, “Keranamu Azizah” tentang riwayat seniman Agung P.Ramlee; “Seri Panggung” tentang Mak Minah tokoh teater bangsawan; “Saya dari Tanjung Penaga” tentang Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan; dan “Villa di Bukit Bendera atawa Permata” tentang Bukit Bendera, Pulau Pinang. Penulis telah menghasilkan teks-teks dekonnya secara kreatif dengan kebenaran konteks zaman, tanpa mengabaikan hukum-hakam penulisan drama.

Terdapat juga unsur interteks dalam kumpulan dekon Saya dari Tanjung Penaga ini. Misalnya terdapat bahagian dalam teks “Keranamu Azizah”, “Seri Panggung” dan “Saya dari Tanjung Penaga” yang dibina berdasarkan cerita dari filem, skrip pentas atau biografi tokoh sebelumnya. Aspek ini menimbulkan nostalgia pembaca terhadap masa dan suasana zaman yang diperkatakan, serta secara tidak langsung pemikiran pembaca dibawa ke sumber yang mendasari detik dramatik atau tokoh yang dipaparkan. Namun begitu, kecekapan dan kaedah pengolahan bahan secara kreatif menampilkan aspek ini sebagai interteks dan bukannya cedokan dari sumber asal secara total.

Kesemua teks dekon dalam buku ini berpotensi untuk diangkat sebagai naskah pementasan. Teks-teks ini menuntut set yang amat minimal seperti sebuah kerusi sahaja. Sebahagiannya hanya menggunakan aspek teaterikal seperti pencahayaan untuk membangkitkan suasana pementasan. Kesemua teks dekon ini menyarankan arahan pentas yang jelas untuk diusahakan dalam pementasan.

Dari segi bahasa, rata-rata teks dekon dalam buku ini memuatkan pelbagai bentuk puisi dan lirik, sebahagian daripadanya ialah lagu daripada filem Melayu yang popular dan lagu kanak-kanak. Kehadiran lirik dan puisi seperti ini bukan sahaja mengemukakan bahasa puitis yang indah, malah memaparkan wajah karya dekon yang bertunjangkan khazanah budaya Melayu. Lagu-lagu ini pula bukan sekadar tempelan semata-mata, tetapi menyokong plot cerita melalui detik dramatik dan watak yang menyampaikannya.

Secara keseluruhan buku drama Saya dari Tanjung Penaga menghimpunkan kumpulan teks drama genre baharu dengan kesatuan penulisan drama yang sempurna. Kekuatan buku ini adalah dari aspek pemikiran dan subjek yang diangkat untuk diketengahkan terutamanya yang berkait dengan tokoh kesenian, budaya serta warisan Melayu.

Kategori B: Drama Eceran

  1. “Bangsawan Tujuh Gong Sakti” karya Rohani Md. Yousoff (Dewan Sastera, Oktober-November 2015)

Teks ini ialah sebuah skrip drama bangsawan. Format skrip ini jelas berbentuk bangsawan disebabkan terdapat extra turnnya; kisah tentang golongan aristokrat; kehadiran watak manusia, watak kayangan, dan watak Jin; lagu tarik nasib, elemen tasmat dan banyak aspek kekaguman.

Antara kekuatan teks Bangsawan “Tujuh Gong Sakti” ialah cerita rakyat etnik Dusun Tindal Sabah yang diangkat sebagai subjek teks ini. Walaupun skrip ini mengisahkan cerita rakyat tempatan di Kota Belud, mesej serta pemikiran dalam skrip ini bersifat universal. Pada aras permukaan skrip ini mengisahkan tentang perebutan kuasa yang disimbolkan melalui pemilikan tujuh gong sakti. Namun begitu, skrip ini sarat dengan pelbagai pengajaran termasuklah amanah, jujur, kerjasama, berbaik sangka dan hormat kepada ketua serta orang tua. Skrip ini juga secara tidak langsung memaparkan pandangan hidup, budaya dan warisan suku kaum tempatan Sabah. Aspek ini mencerminkan kekayaan tradisi lisan dan keunikan budaya di Sabah. Penulis dengan kreatif telah mengolah tradisi lisan dan budaya suku kaum Sabah ini dalam bentuk drama bangsawan.

Satu lagi kekuatan “Tujuh Gong Sakti” ialah kesempurnaannya sebagai sebuah teks drama. Kerja mengalihkan sumber sedia ada ke bentuk teks drama bukan mudah. Lazimnya para penulis drama cenderung merakamkan suatu peristiwa mengikut kronologinya sahaja. Penulisan skrip bukan seperti novel atau cerpen, iaitu penyampaian cerita secara kreatif dengan sulaman nilai estetik. Penulisan skrip harus berlandaskan hukum-hakamnya yang khusus. Kegagalan menghasilkan skrip tanpa berlandaskan hukum hakam ini akan menyebabkan suatu skrip menjadi hambar dan mendatar atau hanya bersifat “spectacle” sahaja. Watak protagonis sukar diidentifikasikan, tiada krisis-krisis kecil yang mengarah ke klimaks, dan peleraian cerita serta katarsis di pihak khalayak. Skrip drama pentas teks “Tujuh Gong Sakti” memenuhi semua elemen yang perlu terdapat pada sebuah skrip drama. Dengan kata lain, skrip ini sebuah drama yang sempurna dengan genre melodrama; watak protagonis dan antagonis; elemen lucu untuk merenggangkan adegan tenang, pembinaan krisis yang mengarah ke klimaks; dan akhir sekali peleraian. Penulis telah mengadunkan ilmu penulisan skrip, cerita rakyat Sabah dan format skrip bangsawan dengan jayanya melalui skrip ini.

  1. “Tangan-Tangan yang Tinggal” oleh Siti Jasmina Ibrahim (Dewan Sastera, Januari – April 2015)

Skrip “TTYT” pada dasarnya adalah sebuah drama yang bertema Islamik. Skrip ini mengutarakan aspek filosofi Islam tentang ketua dalam Islam, tauhid dan akidah. Secara ringkasnya skrip ini memaparkan pertentangan antara yang benar dan yang tidak. Pertentangan ini berlaku antara anak kepada mendiang guru agama (Ustaz Haji Al-Rashid) yang terpengaruh dengan ajaran sesat dengan salah seorang anak murid Ustaz Haji Al-Rashid yang telah kembali kepada jalan Allah. Mesej drama ini ialah iman dan ibadah yang betul dalam Islam bukan sesuatu yang boleh diwarisi secara automatik melalui keturunan. Sebagai seorang Islam, iman harus dicari, dihayati dan diamalkan agar memperoleh keredaan Allah. Mesej ini menjadi kekuatan utama “TTYT”.

Selain daripada mesej, “TTYT” ialah sebuah naskhah drama yang sarat dengan simbol. Penulis secara halus dan bijak menjalinkan mesej melalui perwatakan, dialog, lagu dan aspek artistik seperti set, audio dan pencahayaan. Psikologi watak protagonis dan antagonis yang bertentangan antara satu sama lain digarap dengan teliti agar mesej keseluruhan drama ini sampai kepada khalayak dengan baik. Melalui teks ini penulis juga memaparkan kemantapan ilmu penulisan skrip dan teaterikalnya. Elemen-elemen teater turut digunakan dengan baik dan penuh estetik untuk turut menyokong penyampaian mesej drama ini.

Genre melodrama yang mendasari skrip ini memberikan kepuasan kepada khalayak pada pengakhiran plot apabila watak Waris (protagonis) memperoleh kejayaan menundukkan watak antagonisnya (Sali). Sesungguhnya antara sifat drama yang mantap adalah membangkitkan emosi khalayak, membina emosi tersebut secara terarah dan akhirnya meleraikannya agar khalayak mencapai katarsis. Siti Jasmina Ibrahim telah berjaya menggerakkan emosi khalayak dalam konteks tersebut secara halus melalui jalinan mesej dan aspek teaterikal drama “TTYT”.

  1. “Buang” karya Roziah Adama (Dewan Sastera, Mei-Jun 2015)

Drama ini pada dasarnya dilihat sangat sederhana. Namun, dalam kesederhanaannya ia sempurna sebagai sebuah drama pentas dari segi struktur dramatik dan ciri-ciri yang wajar, seperti pembinaan dan pengembangan watak-watak utama, konflik, aksi dramatik dan pengungkapan dialog dramatik. Yang menarik dan menjadi keunikan drama ini ialah wataknya hanya dua, iaitu Buang dan Sabar yang terjebak dalam satu situasi dan konflik berkait dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Naskhah drama ini juga penuh dengan unsur ironi. Dengan judul “Buang” dan salah satu watak utamanya juga bernama Buang, naskhah ini berkisar di sekitar kerjaya “membuang” apa sahaja yang tidak dikehendaki oleh manusia, khususnya mereka yang mempunyai wang. Lebih ironi lagi, watak utamanya – Sabar sendiri ialah seorang “anak pungut”, anak yang dibuang dan dipelihara oleh keluarga angkat. Buang ialah anak yatim piatu yang disabitkan dengan kematian kedua-dua orang tuanya. Latarnya cukup rumit dan berserabut untuk membina kerumitan dan keserabutan jiwa serta urusan hidup kedua-dua watak tersebut. Suatu ciri pembinaan konflik yang baik.

Tugas yang diterima oleh Buang dan Sabar, iaitu membuang seorang bayi yang masih hidup benar-benar menguji kesabaran Sabar. Nilai kemanusiaan yang tinggi dipaparkan di sini sebagai pemikiran pengarang apabila watak Sabar berjaya mempengaruhi kerakusan Buang untuk membatalkan niat membuang bayi berkenaan.

KESIMPULAN

Kategori A: Buku

Kumpulan dekon Saya dari Tanjung Penaga oleh Marzuki Ali (DBP, 2015) dipilih dan diperakukan oleh panel sebagai pemenang Kategori A: Buku bagi Genre Drama.

Kategori B: Eceran

Panel telah memilih dan memperakukan skrip drama berikut sebagai pemenang Kategori B: Eceran:

  1. “Tangan-tangan yang Tinggal” karya Siti Jasmina Ibrahim (Dewan Sastera, Januari – April 2015)
  2. “Bangsawan Tujuh Gong Sakti” karya Rohani Md. Yousoff (Dewan Sastera, Oktober-November 2015)
  3. “Buang” karya Roziah Adama (Dewan Sastera, Mei-Jun 2015)

 

 

KATEGORI C: BUKU SASTERA KANAK-KANAK (DRAMA PENTAS)

Pendahuluan

Panel bagi genre drama menerima sebuah buku drama kanak-kanak untuk dinilai:

  1. Bangau oh Bangau karya Azmizi Zakaria (DBP 2015)

Drama kanak-kanak adalah satu bidang penulisan yang “sunyi” kerana tidak banyak yang terlibat di dalamnya. Hal ini sudah berlaku sejak sekian lama dan seharusnya sesuatu tindakan dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Perkembangan semasa dalam dunia pendidikan seni melihat penubuhan sekolah-sekolah seni dan institusi seni peringkat pengajian tinggi yang banyak memberikan tumpuan terhadap seni persembahan, termasuk teater. Namun “bahan mentah” (naskhah drama kanak-kanak) untuk tujuan tersebut sangat kurang berada dalam pasaran. Dalam hubungan ini, pemberian hadiah kepada karya drama kanak-kanak melalui penghargaan seperti HSPM ini boleh menjadi faktor galakan yang berkesan.

KRITERIA PENILAIAN

Pada umumnya kriteria penilaian bagi buku drama pentas kanak-kanak hampir sama dengan kriteria pemilihan buku drama bagi khalayak dewasa. Bagaimanapun, penekanan perlu diberikan kepada beberapa hal yang berkaitan dengan sifat khalayak sasar berkenaan seperti yang digariskan, iaitu:

  1. Memaparkan citra kanak-kanak yang unggul
  2. Mengandungi unsur pendidikan atau pengajaran

ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Buku Bangau oh Bangau yang mengandungi dua buah drama berjudul “Bangau oh Bangau 2” dan “Bangau oh Bangau” dilihat telah ditulis dengan penuh kesedaran dan sentiasa memikirkan tentang khalayak sasar naskhah berkenaan. Penulis seperti tahu bahawa drama untuk kanak-kanak mempunyai ciri-ciri dan bentuknya yang tersendiri, sesuai dengan peringkat umur khalayak tersebut. Cerita dan watak-wataknya juga harus sesuai dengan perkembangan fizikal, emosi serta psikologi mereka, yang jelas tidak sama dengan khalayak dewasa.

Kedua-dua drama dalam buku Bangau oh Bangau ini mengambil premis yang sama, iaitu isu persahabatan antara beberapa jenis haiwan yang disebut di dalam lagu kanak-kanak/lagu rakyat terkenal, iaitu “Bangau oh Bangau”. Namun, lagu tersebut sekadar dijadikan latar cerita, sedangkan cerita sebenar bukanlah mengenai “bangau yang kurus” atau “kerbau yang sakit perut”. Pengarang menggunakan idea kreatifnya untuk mengemukakan persoalan persahabatan dalam kalangan beberapa jenis haiwan yang tinggal di tepi sungai/hutan. Terdapat watak-watak haiwan seperti Kerbau, Bangau, Katak, Ikan, Monyet, Kunang-kunang dan Ular. Satu watak kanak-kanak juga dimasukkan ke dalam kedua-dua cerita. Konflik kedua-dua cerita dicetuskan oleh watak antagonisnya, iaitu Ular – yang menjadi “musuh” tradisi kepada Katak.

Pemikiran yang mahu diangkat oleh pengarang ialah mengenai nilai persahabatan yang wujud antara watak-watak haiwan dalam drama berkenaan, berpunca daripada tindakan watak Ular yang mahu menjadikan Ikan dan Katak sebagai mangsanya (makanannya). Rakan-rakan kepada Ikan dan Katak telah berusaha dengan pelbagai cara untuk menghalang Ular daripada memakan Ikan dan Katak. Berkat kesepakatan dan kerjasama antara sesama haiwan berkenaan, Ikan dan Katak akhirnya selamat daripada dimakan oleh Ular.

Beberapa hal yang menarik dapat dilihat dalam naskhah drama ini, apabila pengarang bijak memasukkan unsur-unsur lagu rakyat (lirik), pantun, peribahasa dan seumpamanya, menjadikan cerita lebih segar dan “berwarna”. Unsur-unsur seperti ini sememangnya digalakkan, malah dituntut dalam penulisan skrip drama kanak-kanak, selain daripada unsur teaterikal yang lain – muzik, tari, gerak kreatif, tata busana, tata rias, set, props dan pencahayaan. Gabungan segala unsur ini memberikan kekuatan kepada naskhah berkenaan apabila dipentaskan sebagai sebuah teater untuk khalayak kanak-kanak.

KESIMPULAN

Buku drama pentas kanak-kanak berjudul Bangau oh Bangau karya Azmizi Zakaria (DBP, 2015) dengan ini dipilih dan diperakukan untuk diberikan hadiah bagi Kategori C: Buku Sastera Kanak-kanak.

 

KATEGORI D: BUKU SASTERA REMAJA (DRAMA PENTAS REMAJA)

PENDAHULUAN

Untuk kategori ini, Panel menerima sebuah buku berjudul Duta Samudera karya Ladin Nuawi (DBP, 2015).

KRITERIA PENILAIAN

Sama seperti kriteria penilaian untuk genre drama Kategori A: Buku, tetapi perlu disesuaikan dengan kriteria penilaian kesusasteraaan remaja:

  1. Memaparkan citra remaja yang unggul.
  2. Mengandungi unsur pendidikan atau pengajaran.

 

KESIMPULAN

Panel tidak memperakukan buku drama pentas remaja ini untuk diberikan hadiah.

Panel Penilai:

Dr. Abdul Rahman Napiah

Dr. Afifah Vanitha Abdullah

Encik Zakaria Ariffin

Be Sociable, Share!