KATEGORI A: BUKU SASTERA DEWASA

  1. Buku Kajian Sastera
  2. Kumpulan Esei/Kritikan
  3. Biografi dan Autobiografi

KATEGORI B: KARYA ECERAN

  1. Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah)
  2. Esei/Kritikan (Makalah Separa Ilmiah)

PENDAHULUAN

Laporan ini ditulis berasaskan penilaian terhadap karya-karya yang dicalonkan untuk memenangi dua kategori iaitu Kategori A: Buku Sastera Dewasa dan Kategori B: Karya Eceran. Kategori A meliputi Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan, dan Biografi & Autobiografi. Manakala, Kategori B pula meliputi Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah), dan Esei/Kritikan (Makalah Separa Ilmiah). Karya-karya yang dicalonkan untuk kedua-dua kategori di atas telah terlebih dahulu melalui saringan awal yang dikendalikan oleh pihak urus setia hadiah sastera. Setelah dilakukan saringan awal itu, panel penilai akhirnya menerima sejumlah judul bagi kategori Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan, Autobiografi/Biografi, Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah), dan Esei/Kritikan (Makalah Separa Ilmiah). Ulasan umum berkenaan karya-karya yang tersenarai untuk penilaian akhir akan diberikan mengikut kategori seperti di bawah.

KRITERIA PENILAIAN

Untuk Kategori A: Buku Sastera Dewasa, dan Kategori B: Karya Eceran, penilaian berpandukan pada kriteria asas yang digariskan oleh penganjur hadiah sastera, dan disesuaikan pula dengan takrif asas bagi setiap bentuk penulisan yang dinilai. Merujuk kedua-dua kategori tersebut, rata-rata karya yang dinilai merupakan tulisan ilmiah serta separa ilmiah yang secara konvensinya terikat dengan tuntutan-tuntutan tertentu. Justeru, penilaian antaranya turut mengambil kira aspek-aspek seperti kemantapan permasalahan atau justifikasi penulisan, matlamat serta skop perbincangan yang jelas serta terarah, huraian atau analisis yang mencukupi, dan penemuan atau kesimpulan yang menyerlahkan keaslian idea serta pemikiran. Selain itu dan tidak kurang pentingnya ialah bahasa yang baik, kecanggihan stail serta kerapian penulisan, sesuai dengan keperluan bentuk penulisan yang dihasilkan. Berikut ialah ulasan umum terhadap kategori-kategori yang dipertandingkan.

 

KATEGORI A: BUKU SASTERA DEWASA

  1. Buku Kajian Sastera

Ulasan Umum:

Bagi kategori Buku Kajian Sastera, sebanyak 15 judul disenaraikan untuk penilaian akhir. Daripada jumlah itu, terdapat 2 buah buku dipindahkan oleh pihak urus setia ke kategori Biografi dan Autobiografi kerana ciri-ciri penulisan yang dianggap lebih condong pada kedua-dua genre itu. Daripada jumlah buku kajian sastera yang layak dinilai itu, sebahagiannya merupakan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, selain penerbit-penerbit universiti awam, Institut Terjemahan Buku Malaysia, dan sebuah penerbit persendirian. Rata-rata buku yang dinilai itu diasaskan pada kajian serta pengamatan ilmiah terhadap bidang berkaitan kesusasteraan, khususnya kesusasteraan Melayu. Berdasarkan penilaian, panel bersependapat bahawa rata-rata buku kajian sastera yang dinilai mencakupi pelbagai skop dan fokus. Dengan skop serta fokus yang berbagai-bagai-bagai itu, sebahagian buku berusaha menangani bahan kajian serta sumber rujukan yang agak ekstensif. Walau bagaimanapun, usaha ini dihakis oleh satu kelemahan yang ketara, iaitu kurangnya keaslian dari segi idea dan pemikiran. Sehubungan dengan itu juga, rata-rata buku yang dinilai dilihat hanya sekadar menyoroti kajian-kajian ilmiah sedia ada yang relevan dengan topik, skop serta fokus penulisan. Sorotan ini pula sekadar mendeskripsikan tujuan, metode, bahan kajian dan terutamanya hasil penemuan, tanpa adanya keberanian untuk menilai semula secara kritis sumbangan kajian-kajian ilmiah yang disoroti itu. Kecenderungan ini lah yang menyebabkan rata-rata buku kajian sastera yang dinilai lebih bersifat deskriptif, dan tidak menjangkau tahap argumentatif atau penghujahan. Sifat deskriptif ini yang rata-rata menyukarkan untuk tercetusnya idea serta pemikiran yang baharu serta asli. Tidak dinafikan bahawa kajian-kajian yang bersifat deskriptif tetap memberikan sumbangan yang tersendiri. Akan tetapi, penulisan yang deskriptif itu juga menjadikan sesebuah buku kajian sastera itu begitu sederhana sifatnya, dan sekali gus sukar untuk dianggap sebagai tulisan ilmiah yang berkualiti tinggi dan patut diberikan hadiah sastera. Harus dicatatkan bahawa terdapat buku kajian yang mempamerkan gaya penulisan bersifat argumentatif, namun kekurangan beberapa aspek seperti jumlah bahan penelitian yang agak terhad, dan sumber rujukan serta sokongan hujah yang tidak begitu rapi yang kedua-duanya merupakan kriteria yang tidak kurang penting dalam penulisan ilmiah, menjejaskan secara signifikan kekuatan hujah yang diutarakan itu.

Dalam kelemahan-kelemahan di atas, seperkara yang dapat dianggap menarik ialah kurangnya ketaasuban terhadap teori-teori Barat. Sebahagian besar buku kajian sastera yang dinilai, didapati tidak lagi cenderung menerapkan teori atau konsep sastera yang dicetuskan di Barat secara “membuta tuli”, iaitu tanpa justifikasi serta kerelevanannya dengan isu serta permasalahan yang dihadapi oleh kesusasteraan Melayu khususnya. Hal ini agak melegakan kerana ia sekurang-kurangnya dapat memberikan harapan atau sekurang-kurangnya petanda terhadap masa depan sastera Melayu yang lebih munasabah, terutamanya dari segi memahami masalah serta keperluan dunia kesusasteraan dan kesarjanaan sendiri. Terlepas daripada harapan itu, panel penilai bersependapat bahawa buku-buku kajian yang dinilai pada peringkat akhir ini rata-rata belum mencapai tahap yang melayakkannya untuk diumumkan sebagai pemenang kategori Buku Kajian Sastera.

Keputusan:    Tiada pemenang.

  1. Kumpulan Esei/Kritikan Sastera

Ulasan Umum:

Bagi kategori Kumpuan Esei/Kritikan pula, sebanyak 5 judul disenaraikan untuk penilaian akhir. Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya diterbitkan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), dan selebihnya ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Rata-rata buku kumpulan esei/kritikan yang dinilai merupakan himpunan esei yang rencam dan mengamati pelbagai isu, fenomena serta topik yang berlegar sekitar dunia sastera dan seni kreatif. Esei-esei ini juga sebahagiannya telah terlebih dahulu terbit secara eceran dalam wadah-wadah penerbitan lain. Sesungguhnya, latar belakang esei yang sedia ditulis sebagai satu karya eceran, selain kerencaman isi kandungannya ini yang kemudiannya menjadi cabaran, terutamanya dalam menerbitkan sebuah kumpulan esei. Cabaran ini pada dasarnya terletak pada kemampuan dalam menjustifikasikan penerbitan buku kumpulan esei ini secara mantap serta meyakinkan. Ertinya, himpunan segala esei yang rencam dari segi topik pengamatan serta perbicaraannya itu, harus dapat diharmonikan di bawah satu judul yang mendukung tema tertentu, selain diikat dengan mukadimah serta bahagian penutup yang mampu menyimpulkan secara jitu objektif serta hala tuju pembicaraan demi pembicaraan yang dibawakan oleh esei-esei yang dihimpunkan itu.

Tidak terkecuali juga ialah aspek organisasi serta hubung silang fakta, isi dan pembicaraan antara satu esei dengan esei yang lain. Dalam konteks ini, panel penilaian bersependapat bahawa buku kumpulan esei/kritikan yang dinilai rata-rata menyerlahkan kelemahan. Apa yang ketara ialah kecenderungan sebahagian buku yang kelihatan seakan-akan “melonggokkan” sahaja esei-esei di bawah satu judul yang begitu umum sifatnya, tanpa arah serta hala tuju tertentu yang jelas dan konklusif. Lebih melemahkan ialah isi kandungan esei-esei itu sendiri yang kebanyakannya lebih bersifat popular, yang begitu rimbun dengan pernyataan umum dan prasangka kerana tidak disokong dengan analisis atau pembuktian yang kritis dan meyakinkan. Demikian juga stail penulisan bombastik yang jelas menghakis keseriusan isu, fenomena serta topik yang dibicarakan. Dengan kelemahan ini, secara keseluruhannya, panel penilai bersependapat bahawa judul-judul yang dinilai pada peringkat akhir rata-rata belum mencapai tahap yang melayakkannya untuk dipilih sebagai pemenang kategori Buku Kumpulan Esei/Kritikan.

Keputusan:    Tiada pemenang.

  1. Biografi & Autobiografi

Ulasan Umum:

Bagi kategori Biografi dan Autobiografi, sebanyak 16 buah judul disenaraikan untuk penilaian akhir. Jumlah ini termasuk 2 buah judul yang pada awalnya dicalonkan untuk kategori Buku Kajian Sastera, tetapi kemudiannya dimasukkan dalam kategori ini. Daripada jumlah itu, hampir separuh buku biografi dan autobiografi yang dinilai merupakan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, dan selebihnya penerbit-penerbit universiti awam, Institut Terjemahan Buku Malaysia, serta syarikat penerbitan persendirian. Berdasarkan penilaian, panel sependapat bahawa sebahagian besar buku biografi dan autobiografi yang disenaraikan untuk penilaian akhir rata-rata mengangkat riwayat hidup tokoh serta kisah yang menarik dan berbaloi untuk dijadikan tatapan umum. Malah, ada buku yang menceritakan kisah-kisah di sebalik beberapa segmen penting dalam catatan sejarah negara, selain memerihalkan kisah hidup tokoh ilmuwan yang berjasa termasuk pemimpin dan legenda seni tanah air. Selain isi kandungannya yang informatif serta berfakta, kekuatan beberapa buah buku yang dinilai turut terletak pada persepsi dan interpretasi penulisnya termasuk perasaan serta pergelutan emosi mereka, sama ada terhadap tokoh atau kisah yang diceritakan itu. Lebih canggih apabila ada penulis yang mampu mencetuskan persepsi dan interpretasinya secara kreatif, termasuklah mempersembahkan informasi serta fakta tentang tokoh atau peristiwa dengan gaya penceritaan yang dramatik, selain menimbulkan elemen suspens yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu pembaca. Sememangnya ciri-ciri sedemikian juga yang lazimnya menjadi ukuran dalam menilai kelebihan sesebuah penulisan biografi atau autobiografi.

Secara khusus, aspek yang diberikan penekanan ialah sejauh manakah sesebuah karya biografi atau autobiografi itu mampu mengadunkan secara berkesan antara fakta serta realiti, dengan persepsi serta interpretasi si penulis biografi/autobiografi – dua perkara yang lazimnya memisahkan antara karya ilmiah dengan karya kreatif. Dalam penulisan biografi/autobiografi, adunan antara fakta/realiti dengan persepsi/interpretasi penulis menjadi cabaran yang dapat menentukan kekuatan sesebuah penulisan. Ternyata, dalam konteks ini, beberapa judul buku biografi dan autobiografi yang dinilai, didapati menawarkan kelebihan sedemikian. Akan tetapi, sebagai satu sayembara, penilaian ini terikat dengan syarat-syarat teknikal tertentu yang ditetapkan oleh penganjur, yang akhirnya tidak melayakkannya untuk diberikan hadiah penghargaan. Daripada jumlah yang layak pula, beberapa aspek penting yang menjadi tuntutan asas dalam penulisan biografi dan autobiografi rata-rata tidak dipenuhi dengan berkesan, selain beberapa judul yang mempamerkan tahap penulisan yang begitu sederhana dan tidak setanding dengan prestij hadiah sastera yang dianjurkan. Berasaskan pertimbangan terhadap pelbagai aspek terutamanya syarat kelayakan, selain tahap serta mutu karya itu sendiri, panel penilai akhirnya bersetuju supaya tiada pemenang diumumkan untuk kategori Biografi dan Autobiografi.

Keputusan: Tiada pemenang.

KATEGORI B: KARYA ECERAN

  1. Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah)

Ulasan Umum:

Bagi kategori Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah), sebanyak 9 judul makalah yang disenaraikan untuk penilaian akhir. Hampir separuh daripada makalah itu terbit secara eceran dalam jurnal ilmiah dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, dan selebihnya jurnal-jurnal ilmiah terbitan universiti awam. Dengan mengambil kira anggaran jumlah jurnal ilmiah yang menerbitkan makalah ilmiah dalam bahasa Melayu dan meneliti subjek-subjek berkaitan bahasa dan kesusasteraan, maka dapat dikatakan bahawa jumlah yang sampai ke peringkat akhir adalah rendah. Kegusaran terhadap jumlah yang layak sampai ke peringkat akhir ini semakin terasa apabila panel penilai bersependapat bahawa rata-rata makalah yang disenaraikan itu belum mencapai tahap serta kualiti akademik yang layak untuk diberikan hadiah.

Walau bagaimanapun, penilaian secara keseluruhan termasuk kategori-kategori lain dapat diambil kira untuk diketengahkan. Hal ini kerana terdapat beberapa makalah yang disenaraikan untuk kategori Esei/Kritikan (Separa Ilmiah), tetapi didapati mengutarakan penelitian yang lebih substantif. Makalah-makalah ini terbit sebagai bab dalam buku-buku ilmiah terbitan penerbit-penerbit universiti awam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, dan Institut Terjemahan Buku Malaysia. Buku-buku ini menghimpunkan sejumlah makalah ilmiah di bawah satu tema tertentu. Kedudukannya sebagai sebuah buku ilmiah yang bertema, sekali gus menjelaskan soal kualiti beberapa makalah (atau bab) yang terhimpun di dalamnya, yang didapati lebih layak dinilai untuk kategori Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah). Daripada beberapa judul makalah ilmiah yang dikenal pasti itu, panel penilai akhirnya bersetuju untuk memilih makalah oleh Mohd. Taufik Arridzo bin Mohd. Balwi bertajuk “Pemikiran Kontemporari dalam Unsur Kejenakaan Sastera Melayu Islam” (2016) sebagai pemenang Kategori Eceran: Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah). Makalah ini pada asasnya menilai semula kewujudan cerita jenaka, peranan dan kedudukannya dalam konteks sastera Melayu Islam.

Perbincangan dibuat secara tersusun dan ilmiah serta pernyataan sumber rujukan yang jelas. Makalah ini menjelaskan cerita jenaka bukan sahaja wujud dalam budaya hidup masyarakat Melayu, tetapi juga merupakan sebahagian daripada unsur yang terdapat dalam Sirah Nabawiyah. Makalah ini menghujahkan tentang wujudnya syarat-syarat tertentu yang membataskan cerita jenaka mengikut perspektif ajaran Islam bersandarkan beberapa pandangan ulama. Dalam konteks ini, cerita jenaka dijelaskan terbahagi kepada tiga kumpulan mengikut keutamaannya iaitu cerita jenaka Melayu Islam, cerita jenaka Melayu berunsur Islam, dan cerita jenaka Melayu sahaja.

Penjelasan tentang persoalan tersebut diperkukuhkan dengan mengambil empat buah cerita jenaka sebagai contoh. Cerita jenaka tersebut ialah “Orang Cerdik dan Orang Bodoh” oleh Tuk Kenali yang digolongkan sebagai cerita jenaka Melayu Islam, “Syair Lebai Guntur” oleh Raja Ali Haji sebagai cerita jenaka Melayu berunsur Islam, “Cerita Lebai Malang” sebagai cerita jenaka Melayu, dan “Qissah Gharamiyah” yang dinamakan juga sebagai “Syair Abd al-Rahim Jenaka” sebagai cerita jenaka Melayu Islam. Selain itu, makalah ini turut menyerlahkan penggunaan bahasa Melayu yang baik termasuk keselarasan dalam merumikan perkataan Bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu.

Keputusan:

  1. “Pemikiran Kontemporari dalam Unsur Kejenakaan Sastera Melayu Islam” oleh Mohd. Taufik Arridzo bin Mohd. Balwi. Pengajian Melayu Kontemporari. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2016.
  2. Esei/Kritikan (Makalah Separa Ilmiah)

Bagi kategori Esei/Kritikan (Separa Ilmiah) pula, sebanyak 437 judul esei yang disenaraikan untuk penilaian akhir. Sebahagian besar esei ini terbit secara eceran dalam wadah-wadah penerbitan kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti majalah Dewan Sastera, Tunas Cipta, Dewan Budaya dan Pelita Bahasa. Selain itu, terdapat juga esei yang tersiar dalam akhbar dan buletin seperti Utusan Borneo, Jendela Sabah dan Jendela Selatan.

Begitu juga majalah terbitan badan-badan tertentu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam, Istana Budaya dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Tidak kurang penting ialah esei (atau antaranya lebih tepat dipanggil makalah) yang terbit sebagai bab dalam buku-buku ilmiah bertema yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit universiti, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, dan Institut Terjemahan Buku Malaysia. Antara makalah ini, ada yang antaranya didapati menepati kualiti sebuah tulisan ilmiah dan dianggap lebih layak dinilai untuk kategori Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah), seperti yang telah dijelaskan di atas. Daripada judul-judul esei yang disenaraikan untuk penilaian pada peringkat akhir, panel penilai akhirnya bersetuju untuk memilih lima esei sebagai pemenang. Berikut merupakan senarai esei berserta ulasan yang disusun mengikut kronologi abjad pada pangkal judul karya:

  1. “Antara Anugerah Sastera dengan Prestij Seorang Penulis” oleh Roslan Tunas Cipta Januari 2016.

Ulasan:

Esei ini mengetengahkan beberapa persoalan semasa yang berlaku dalam dunia sastera tanah air terutamanya yang melibatkan konflik generasi baharu dalam mendepani sastera arus perdana. Pelbagai anugerah sastera masih didominasi oleh penulis mapan, sedangkan penulis muda terasa tersisih lantaran masih belum dikenali di pentas arus perdana, walaupun telah menghasilkan karya yang dirasakan bermutu tinggi. Lantas, esei ini mengemukakan pandangan bahawa kekuatan karya yang seharusnya perlu mendapat keutamaan masyarakat, dan bukannya personaliti atau populariti seseorang penulis itu. Esei ini ditulis secara kreatif melalui perantaraan pemikiran seorang penulis muda bernama Zamrin, tetapi sarat dengan isu dan persoalan yang menuntut renungan para pembaca dan institusi yang bertanggungjawab dalam usaha melestarikan dan memartabatkan sastera negara.

  1. “Karya Fiksyen di Atas Peta Imaginasi” oleh Wan Nor Azriq, Dewan Sastera September 2016.

Ulasan:

Sebuah esei yang melihat peranan sastera dari sudut ahli kartografi, dalam mana tempat-tempat yang tercatat dalam karya boleh diberikan gambaran akan kedudukannya, terutamanya bagi karya fiksyen yang imaginatif. Konsep pemetaan adalah berasaskan buku Maps of the Imagination: The Writer as Cartographer oleh Peter Turchi (2004). Olahan esei ini diperkukuh oleh penulis dengan mengambil novel Ogonshoto karya Anwar Ridhwan sebagai contoh novel yang banyak mengandungi tempat yang boleh dipetakan kedudukannya melalui kartografi yang imaginasi. Esei ini turut membicarakan masa hadapan sastera di Malaysia yang berkemungkinan akan dipetakan mengikut arus kemunculan golongan penulis muda yang bakal menggantikan penulis mapan yang sedia ada.

  1. “Kolonialisme dan Literary Renaissance Dunia Melayu Abad ke-18/19” oleh Noriah Taslim, Dewan Sastera April 2015.

Ulasan:

Esei ini membahaskan bagaimana pertembungan dengan Barat telah menyebabkan pemikiran pribumi berubah dalam dunia Melayu. Bangsa Barat dilihat lebih sempurna dan bertamadun. Bagaimanapun dari segi penghasilan sastera, pertembungan dengan kolonial dianggap sebagai satu tempoh transisi bagi kepengarangan Melayu. Perbincangan dalam esei ini memanfaatkan perspektif sejarah, terutama memfokuskan tradisi penulisan di istana dan perkembangan sastera rakyat yang lebih meluas dengan adanya teknologi percetakan litografi.

Perbahasan secara pro dan kontra tentang pengalaman beberapa negeri Melayu, termasuk kota besar seperti Singapura, Acheh dan Riau diselidiki dari segi sumber-sumber pengkaji. Akhirnya dirumuskan bahawa pada abad ke-18 dan ke-19, dalam tempoh pengaruh kolonialisme terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu, tidak semua pengarang dan pemerintah Melayu menerima bulat-bulat pemikiran dan teknologi Barat. Acheh dan Riau diberikan sebagai contoh jelas, bagaimana pihak istana memanfaatkan kedatangan Barat untuk memperkukuhkan kesusasteraan tempatan. Kemunculan alat cetak diterima baik, dan alat cetak dijadikan sebagai satu teknologi bagi meningkatkan motivasi kepengarangan Melayu. Pulau Penyengat atau Riau dijadikan sebagai satu contoh kelas, bagaimana Raja Ali Haji yang berpengaruh di dalam istana dan mempunyai hubungan baik dengan Belanda, meneruskan tradisi penulisan dan sastera istana untuk berkembang pesat. Pembuktian ini adalah hujah untuk menyatakan bahawa kepentingan pribumi lebih dijaga oleh pemerintah Riau yang terdiri daripada kaum bangsawan semasa pertembungan dengan kedatangan kolonial. Perkembangan sastera pada abad ke-18 dan ke-19, didapati lebih rancak dan meriah ketika Barat muncul. Alat cetak litografi digunakan semata-mata untuk mencetak risalah dan buku ahli kelab Rusydiyah, di Riau, berbanding dengan daerah-daerah lain di Nusantara, seperti Singapura yang menggunakan alat cetak untuk tujuan penyebaran akhbar dan kitab agama.

  1. “Menyoal Peran Kesusasteraan Kebangsaan Sebagai Penjana Peradaban Bangsa” oleh Abang Patdeli Abang Muhi, Dewan Sastera, Ogos 2016.

Ulasan:

Esei ini bertolak daripada premis bahawa sastera kebangsaan berperanan sebagai rekayasa peradaban bangsa, dan peradaban bangsa itu dalam konteks Malaysia dianggap mencitrakan kesusasteraan kebangsaan. Teknik penghuraian dan penghujahan esei ini adalah berdasarkan citra kebangsaan dan konsep tamadun bangsa. Esei menghujahkan bahawa kesusasteraan kebangsaan adalah salah satu elemen penjana ketamadunan atau peradaban bangsa Malaysia. Namun, kejayaan untuk menjana ketamadunan melalui sastera harus mengikut syarat strategik yang berterusan untuk menyebarluaskan karya bermutu kepada semua lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

Gaya penulisan yang mampu mengemukakan fakta dari segi latar sosiopolitik negara dibahaskan melalui pertembungan konsep sastera Malaysia denagn sastera Melayu. Selanjutnya, esei ini membahaskan bahawa dalam masyarakat yang lebih terbuka kini, peranan para penulis dan sasterawan harus dilihat kembali. Penghujahan yang konkrit tentang kefahaman tentang bahasa Melayu dan bahasa Malaysia, sastera kebangsaan dan sastera etnik turut dikemukakan hujah sebagai bukti kecelaruan fahaman masyarakat. Malah, sastera kebangsaan berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana wujud fahaman dikotomi konsep sastera Melayu dengan konsep kesusasteraan kebangsaan. Bagaimanapun melalui teknik penghuraian dan pencerakinan isu, esei ini berupaya membuktikan bahawa fungsi kesusasteraan kebangsaan adalah penting dalam membentuk dan menjana peradaban bangsa. Sehubungan dengan itu, esei ini merumuskan bahawa kesusasteraan kebangsaan perlu dibina dan dikembangkan secara berterusan dan pragmatik. Peranan para penulis untuk mencipta karya sastera yang bermutu dan pemikiran yang besar selaras dengan aspek keluhuran, kesopanan, kesusilaan, keperibadian dan kesederhanaan untuk diterima oleh semua golongan masyarakat dan pelbagai kaum di dalam negara.

  1. “Penilaian Semula Peranan Sastera Kebangsaan Sebagai Pembina Negara Bangsa” oleh Mohamad Saleeh Rahamad, Dewan Sastera Jun 2016.

Ulasan:

Esei ini membincangkan gagasan konsep untuk mewujudkan Dasar Sastera Kebangsaan. Melalui hujahan yang jelas secara teknik pembuktian dan memetik sumber tentang negara bangsa, idea untuk membina konsep dihuraikan secara objektif. Pemilihan sumber sejarah negara bangsa yang ditakrifkan dikemukakan dengan hujah yang bernas melalui petikan tokoh-tokoh pemikir tentang keperluan pembentukan negara bangsa. Esei ini mampu mengolah idea tentang subjek yang dibincangkan dengan meyakinkan. Hubungan takrif negara bangsa dan bagaimana membina negara bangsa melalui kebudayaan serta hasil kesusasteraan dikemukakan.

Justeru, esei ini berupaya menunjukkan bahawa Dasar Kesusasteraan Kebangsaan dapat diterjemahkan kerana keterikatannya dengan kebudayaan yang memiliki potensi ideologikal, dan mediumnya adalah kesusasteraan. Esei ini membawa teknik penghujahan yang meyakinkan dengan analisis yang tepat dan padat, dan mencerakinkan ideanya dalam bentuk pengembangan idea yang tersusun, dan justeru mampu menyarankan idea dasar Kesusasteraan Kebangsaan harus dibentuk dalam konsep negara bangsa di Malaysia.

Dengan menilai semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan, esei ini turut membahaskan tentang cabaran dari dalam dan luar bagi membentuk bangsa Malaysia yang lebih terbuka. Oleh itu, esei ini menurunkan langkah-langkah yang wajar bagi menyatakan fungsi dan peranan sastera yang penting dalam pembentukan negara bangsa berasaskan pengalaman sejarah, pendidikan dan Perlembagaan Negara. Kekuatan esei ini terletak pada keupayaannya dalam membahaskan subjek, mengemukakan kes dan sumber, serta membuktikan pemikiran yang cuba dilontarkan sebagai sebuah tulisan ilmiah.

 

 

PENUTUP DAN CADANGAN

Secara keseluruhan, karya-karya yang dinilai untuk Kategori A: Buku Sastera Dewasa, dan Kategori B: Karya Eceran rata-rata mempamerkan tahap penulisan yang agak baik. Walau bagaimanapun, untuk beberapa kategori seperti Buku Kajian Sastera dan Kumpulan Esei/Kritikan, tahap penulisan yang dipamerkan didapati belum cukup untuk melayakkan penganugerahan hadiah sastera. Selain itu, bagi kategori Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah) pula, jumlah karya yang disaring untuk penilaian akhir adalah rendah dan dianggap tidak mencerminkan jumlah penerbitan makalah-makalah ilmiah dalam jurnal-jurnal berwasit sedia ada.

Adalah dicadangkan supaya pada masa yang akan datang, pihak urus setia mengambil inisiatif untuk menghubungi ketua-ketua editor jurnal-jurnal berwasit yang menerbitkan makalah-makalah dengan skop penelitian serta bahasa pengantar yang sejajar dengan syarat kelayakan hadiah. Selain itu juga, makalah-makalah yang disaring tidak seharusnya dibataskan kepada makalah-makalah yang terbit dalam jurnal-jurnal ilmiah sahaja. Sebaliknya, wajar juga diteliti makalah-makalah yang terbit sebagai bab dalam buku-buku ilmiah bertema.

Penerbitan buku-buku bertema secara ilmiah ini memungkinkan adanya makalah-makalah (yang terbit sebagai bab) yang mempamerkan mutu serta tahap penulisan yang setanding dengan makalah yang terbit dalam jurnal berwasit. Selain itu, terutamanya untuk dua kategori eceran ini iaitu Esei/Kritikan (Makalah Ilmiah) dan Esei/Kritikan (Makalah Separa Ilmiah), adalah dicadangkan supaya proses penyaringan yang dilakukan itu melibatkan panel pakar dalam bidang. Hal ini kerana jumlah makalah yang dinilai bagi kedua-dua kategori terutamanya Esei/Kritikan (Makalah Separa Ilmiah) adalah begitu banyak, yang sebenarnya lebih wajar disaring melalui beberapa tahap penyaringan secara profesional. Dengan cadangan-cadangan di atas, adalah diharapkan supaya lebih banyak karya-karya yang bermutu dapat dikenal pasti untuk diberikan penilaian secara kritis, sesuai dengan prestij Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu sendiri.

Panel Penilai:

Profesor Dr. Jelani Harun

Profesor Madya Dr. Hashim Ismail

Profesor Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani

Be Sociable, Share!