Pada masa kita menikmati ketenangan dan keamanan, bebas berkarya tanpa apa-apa sekatan, bebas menghantar karya kepada mana-mana penerbitan, dan bebas mengkritik karya penulis lain tanpa peduli tujuan, rakan penulis di wilayah bergolak yang ditonjolkan dalam ruangan fokus kali ini, terpaksa mengerah seluruh daya fikirnya untuk memastikan karyanya boleh diterbitkan; boleh menyampaikan luahan perasaan, taakulan dan pemikirannya; dan seterusnya, boleh disampaikan kepada pembaca sasaran. Hal yang demikian ini menyebabkan rakan penulis ini sangat berhati-hati memilih perkataan, laras bahasa dan bentuk persembahan karyanya supaya tujuan karya itu ditulis tercapai. Keterbatasan, menyebabkan karya mereka lebih mendalam maksudnya, lebih menyentuh emosi dan lebih mencabar pemikiran.

Apakah penulis kita menyedari hal ini?

 

“…

Tugas kita bukan kecil

kerana mengisi kemerdekaan

rupanya lebih sukar dari bermandi

keringat dan darah menuntutnya. …”

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996.

 

Memperjuangkan kemerdekaan tidak mudah. Mengisi kemerdekaan, jauh lebih payah. Beberapa wilayah bergolak di dunia seperti Selatan Thailand, Myanmar, Syria dan Palestin sudah menunjukkan betapa mahalnya harga sebuah kemerdekaan. Setiap kelompok minoriti di wilayah ini (minoriti dari segi kuantiti warganya atau kekuasaan pentadbirannya) berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada pihak majoriti. Kekejaman fizikal bukanlah sesuatu yang asing. Mengekalkan jati diri menjadi “dosa”. Hak asasi manusia, termasuklah hak mendapatkan keamanan, hak mendapatkan pendidikan, dan hak memperoleh kemudahan kesihatan dinafikan. Kelompok ini merana, malah berusaha mendapatkan penghidupan yang lebih baik dengan cara meninggalkan tanah air yang mereka cintai itu.

Mujurlah sebahagian kecil daripada mereka yang dianugerahkan bakat, berusaha menuliskan harapan dan perjuangan mereka ke arah keamanan dan kedamaian menerusi pelbagai genre karya. Karya mereka ini ditulis dengan sangat berhati-hati, dipastikan siapakah pihak penerbitnya dan sebanyak manakah serta sejauh manakah edaran terbitannya supaya kita, pembaca dapat mendengar jeritan dan rayuan yang terbungkam selama ini.

 

“Kemerdekaan menghendaki kita bekerja lebih keras.

Banyak perkara yang mesti diperbaiki.”

Ishak Haji Muhammad, Budak Beca (2014:90)

 

Sehubungan dengan itu, semangat kemerdekaan yang tumbuh subur selama lebih enam dasawarsa ini haruslah dijelmakan sebaik-baiknya. Semangat kemerdekaan yang disesuaikan sebagai semangat kebangsaan ini harus berkobar dalam setiap dada rakyat Malaysia dengan penuh kebanggaan. Semangat kebangsaan ini haruslah bercirikan jati diri bangsa Malaysia yang terpamer melalui penguasaan bahasa Melayu yang baik dan tingkah laku yang santun. Apatah lagi dalam kalangan penulis, semangat kebangsaan ini perlu ada dalam setiap karya yang dihasilkan. Hal yang demikian inilah yang menambah nilai budaya dan ekonomi kepada karya kita, yang membezakan penghasilan karya kita dengan karya negara luar kerana identiti kebangsaan itu unik dan berbeza.

Laman web POINT Editions yang memaparkan puisi dari pelbagai negara menunjukkan perbezaan identiti kebangsaan penyair. Sebagai contoh, situasi perang yang menjadi latar puisi penyair dari Bosnia, Goran Simic yang berjudul “Segala-galanya Boleh Bermula Semula” menunjukkan kedukaan rakyat negara itu yang masih belum sembuh, meskipun Perang Bosnia sudah berlalu lebih daripada 20 tahun. Bagi H.S. Shiva Prakash yang menulis tentang kelahiran semula menerusi puisinya yang berjudul “Penantian”, serta-merta pembaca dapat mengenalnya sebagai penyair dari India kerana kepercayaan ini terkandung dalam ajaran Hindu, salah satu agama tertua di dunia. Malah, puisi Mahaya Mohd. Yassin yang berjudul “Yang Ada, Hanya Sebuah Nama Sebagai Pusaka” menunjukkan keakraban penyair dengan pantai, antara bentuk muka bumi negara kita.

Lalu, sebagai penulis Malaysia yang bebas berkarya, apakah wujud identiti kebangsaan dalam karya kita? Mampukah karya kita menonjolkan jati diri bangsa?

Demikianlah Dewan Sastera membuka seluas-luas peluang kepada semua penulis menghantarkan karya yang menonjolkan identiti kebangsaan dan jati diri bangsa dengan menjadikan kualiti karya sebagai sempadan pemilihannya. Peluang berkarya ini diharapkan digunakan sepenuhnya memandangkan tidak banyak medium penerbitan karya sastera dalam negara kita. Apatah lagi, kaedah penghantaran semudah melalui e-mel, dan wujud ruang interaksi dua hala antara penulis dan editor.

Pertemuan singkat dengan Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini mencetuskan kata-kata ini dari bibir beliau, “Dewan Sastera merupakan ikon DBP dan penyambung hayat sastera Malaysia”. Oleh sebab itu, kami menyeru penulis sekalian untuk mengimarahkan ruang pengkaryaan dalam majalah ini dan sama-sama memastikan hayat sastera Malaysia tidak terputus.

Karya sastera lambang peradaban dan ketamadunan bangsa. Selamat berkarya! Sayangi Malaysiaku.

Dewan Sastera Bil.8/2018

Be Sociable, Share!