Apabila telefilem Srengenge dinobatkan sebagai Telefilem Terbaik dalam Anugerah Telenovela 2018, saya berasa bangga. Apatah lagi, telefilem ini turut dianugerahi Pengarah Terbaik dan Penulis Skrip Terbaik. Kejayaan ini, bukan kejayaan Syarikat Arca Creative House Sdn. Bhd. semata-mata. Kejayaan ini menunjukkan karya sastera negara, apatah lagi Sasterawan Negara (SN) boleh diangkat ke layar yang berbeza. Negara kita mempunyai kekuatan dari segi penulis skrip, pelakon dan pengarah untuk menjelmakan karya sastera kepada satu bentuk yang lain.

Dalam Sidang Media Supertelefilem Srengenge yang diadakan pada 2 Ogos 2018 di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, terlontar pertanyaan, apakah telefilem ini akan dikomersialkan? Apakah telefilem ini akan dijual ke luar negara?

Pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memegang hak penerbitan telefilem ini menyatakan, RTM selaku agensi kerajaan mempunyai keterhadan menyebabkan kedua-dua perkara itu tidak dapat dilaksanakan. Namun begitu, pihak RTM mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana syarikat yang mahu berbuat demikian berhubung dengan mereka.

Situasi inilah yang memerlukan ejen pemerdagangan sastera bertindak. Ejen ini bukan sahaja memperdagangkan telefilem tersebut, tetapi turut membawa bersama-sama karya asal, iaitu novel Srengenge. Hak penerbitan karya ini boleh dijual dalam bentuk yang lain seperti terjemahan ke pelbagai bahasa. Bawalah kedua-dua karya ini (novel dan telefilemnya) dan dagangkannya ke mana-mana pesta buku antarabangsa. Cara ini tentu lebih menarik perhatian penerbit luar. Tayangan telefilem tersebut akan membantu penerbit memahami karya itu seterusnya segera melaksanakan terjemahan adikarya ini.

Kewujudan ejen pemerdagangan sastera di luar negara bukanlah sesuatu yang asing. AP Watt merupakan agensi sastera terulung yang ditubuhkan pada tahun 1875 di Britain. Antara penulis yang bernaung di bawah agensi ini termasuklah Arnold Bennet, penulis The Grand Babylon Hotel, dan Kate Saunders yang terkenal dengan karyanya, Wild Young Bohemians dan The Little Secret. Pada laman web agensi ini, turut disenaraikan ejen mereka yang dikhususkan kepada “buku”, “hak cipta luar negara”, dan “media”.

Pengkategorian pasaran buku antarabangsa pula menyebabkan agensi pemerdagangan sastera yang ditubuhkan menjurus kepada kategori penerbitan tertentu. Pada tahun 2017, Sinead Heneghan Literary Agency ditubuhkan untuk menjadi ejen karya bercorak fiksyen seram dan romantik. Tin-Can Telephone Literary Agency menumpukan karya fiksyen dewasa dan kanak-kanak; manakala The Rupping Agency memberikan fokus kepada karya fiksyen dan bukan fiksyen dewasa, khususnya yang menyuarakan komuniti yang tidak diwakili.

Kita tentu tidak dapat melupakan novel sulung Harper Lee, To Kill A Mocking Bird (1960) yang diadaptasi dalam bentuk filem pada tahun 1962. Novel ini telah diterjemahkan oleh DBP dengan judul Enggang Lalu Ranting Patah (1990). Novel Memoir of Geisha (1997) tulisan Arthur Golden juga diadaptasi ke dalam bentuk filem pada tahun 2005 oleh Steven Spielberg. Novel ini diterjemahkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara dengan tajuk Kenang-kenangan Seorang Geisha (2006).

Novel A Beautiful Mind (1998) karya Sylvia Nasar pula diangkat ke bentuk filem dengan judul yang sama pada tahun 2001, dan diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan tajuk A Beautiful Mind – Kisah Hidup seorang Genius Penderita Sakit Jiwa yang Meraih Hadiah Nobel (2005). Novel yang diterjemahkan ini diterbitkan oleh Gramedia Pustaka Utama.

Kegiatan adaptasi dan terjemahan ini dijalankan oleh ejen pemerdagangan sastera tersebut. Sama ada ejen itu bertindak di bawah label agensi atau secara individu, peranan yang dimainkan mereka sangat besar demi menyebarluaskan karya sastera ke pelbagai bentuk di seluruh dunia.

Malaysia juga tidak ketinggalan dan telah pun memiliki beberapa agensi pemerdagangan sastera. DBP sendiri memperdagangkan karya tempatan menerusi peranan yang dimainkan oleh Bahagian Harta Intelek. Artikel fokus tulisan Aliff Basri menyebut beberapa agensi pemerdagangan sastera tempatan. Nisah Haron pula mengemukakan pengalaman penulis, Hanna Alkaf yang mendapatkan khidmat agensi antarabangsa memasarkan karya fiksyennya yang pertama. Pengalaman ini sangat penting didokumenkan, sebagai perkongsian maklumat kepada penulis yang lain. Setiap penulis perlu membakar semangat diri untuk melihat karyanya bertebaran di persada antarabangsa. Yang penting ialah merancang bentuk karya dan memilih ejen yang sesuai serta menyediakan jadual pengkaryaan. Pada masa kini, berkarya tidaklah bergantung pada bakat dan minat semata-mata, tetapi juga perancangan strategik demi memastikan pemikiran yang tertulis tidak terperangkap dalam helaian kertas.

Karya sastera lambang peradaban dan ketamadunan bangsa. Selamat berkarya!

Dewan Sastera Bil.9/2018

Be Sociable, Share!