Kami mengunjungi pusara bonda

Sunyi pagi disinari suria

Wangi berseri puspa kemboja

Menyambut kami mewakili bonda.

 

Tegak kami di makam sepi,

Lalang-lalang tinggi berdiri

Dua nisan terkapar mati

Hanya papan dimakan bumi.

Usman Awang, 1956

 

Membaca rangkap di atas ketika saya berusia 10 tahun, saya menjadi keliru. Apakah ini sajak, syair atau pantun? Hendak dikatakan sajak, bentuknya tidak bebas. Jika dikatakan pantun, mana pembayangnya? Andai dikatakan syair, rima hujungnya masih mempunyai perbezaan. Namun, kata Cikgu Zation Dahari, guru Bahasa Melayu kami, rangkap tersebut ialah sajak “Ke Makam Bonda” karangan Sasterawan Negara (SN) Usman Awang. Setelah itu, kami berlatih membaca dan menulis sajak. Lalu, lahirlah sajak yang saya karang untuk guru bertajuk “Dian”.

Ketika berada di sekolah menengah, saya mencari-cari juga nukilan tokoh ini, seandainya ada yang berbentuk antologi cerpen atau novel. Saya hanya menjumpai novel Tulang-tulang Berserakan. Tamat sesi persekolahan, tiada kenangan lain antara saya dengan tokoh ini.

Pada 10 Mac 2001, saya melaporkan diri di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N9 (Sambilan). Sesuatu yang wajib bagi kami, staf lantikan baharu lakukan ialah menganggotai Kumpulan Koir DBP. Melalui kumpulan ini, kami diajar dan dilatih menyanyikan lagu korporat dan patriotik untuk majlis rasmi DBP. Di sinilah saya mengenali lagu Dewan Bahasa yang dicipta oleh Saiful Bahari dan liriknya ditulis oleh SN Usman Awang. Indah! Kami nyanyikan lagu ini dengan bersemangat. Malah, walau saya tidak lagi menganggotai Kumpulan Koir DBP sekarang, pada setiap kali acara rasmi dan lagu ini berkumandang, saya pasti menyanyikannya dengan penuh semangat.

Lirik lagu Dewan Bahasa ditulis dengan sangat baik. Baris “tenaga jiwa bangsa/…/api dari suatu zaman/kesaktian lidah rakyat/…/nyala membakar semangat rakyat/…/obor semangat nan abadi” benar-benar memberi tenaga, dan membugarkan semangat warganya supaya kami berbangga akan organisasi ini, dan setia berkhidmat untuknya. Apatah lagi, ditegaskan bahawa kewujudan DBP bukanlah kewujudan yang biasa. DBP ialah “obor kebangsaan”, yang diwujudkan untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DBP mendapat “restu dari jiwa pahlawan”, berikutan nama “Dewan Bahasa dan Pustaka” yang menggantikan nama “Balai Pustaka”, dicadangkan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung pada 16 – 21 September 1956. Kobaran jiwa para pengarang dan penyair yang mewakili suara rakyat Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, dijelmakan oleh SN Usman Awang secara padat, tepat dan indah dalam empat rangkap lagu rasmi ini.

1 November 2001. Saya memulakan khidmat sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N9. Kali ini berjawatan tetap dan ditempatkan di Bahagian Peristilahan. Pada bulan yang sama, SN Usman Awang menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Tarikh 2 Februari 2018 merupakan tarikh yang amat bermakna bagi saya. Pada tarikh ini, saya dilantik sebagai Perancang Bahasa S41 sekali gus mengisi posisi editor Dewan Sastera (DS), kerusi yang pernah diduduki SN Usman Awang. Apabila kami memutuskan untuk menjadikan tokoh ini sebagai fokus DS Bil. 7 2018, saya dapatkan beberapa naskhah buku yang menghimpunkan catatan kenangan teman-teman beliau termasuklah naskhah Usman Awang yang Saya Kenali (2004) yang diselenggarakan oleh Anwar Ridhwan dan Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh: Biografi Usman Awang (2017) tulisan Muhammad Haji Salleh.

Kedua-dua naskhah ini benar-benar membuka mata saya. Setiap catatan dalam naskhah ini mengungkap peribadi SN Usman Awang sebagai seorang yang pengasih. Beliau kasih akan teman-temannya, perjuangannya dan penggiat seni dalam kalangan generasi muda. Kasih ini yang menyebabkan beliau menyediakan rumahnya sebagai tempat teduhan rakan-rakan, mengusahakan sambungan hayat pekerjaan bagi rakan-rakan yang terkesan oleh Mogok Utusan, dan menyediakan ruang berkarya bagi anak-anak muda menonjolkan bakat seni yang dipersembahkan melalui deklamasi puisi, pameran lukisan, pertunjukan tarian, pementasan teater dan gabungan kesemua bakat ini.

Selain itu, saya juga melihat keterbukaan SN Usman Awang terhadap masyarakat berbilang bangsa terutama kaum Cina. Puisi-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang (1995) memuatkan enam buah sajak yang ditulis khusus untuk masyarakat Tionghoa. Sajak “Sahabatku” dalam antologi ini pula merupakan penghargaan beliau kepada rakan karibnya yang juga doktor yang merawatnya, iaitu Dr. M.K. Rajakumar. Penegasan beliau terhadap hubungan antara kaum ini dicatatkan dalam sajak tersebut seperti yang berikut:

 

Bilakah semua warganegara mendapat hak

layanan dan keadilan yang sama

dikenal dengan satu rupa nama:

Bangsa Malaysia?

 

Tidak hairanlah maka jasa dan sumbangan tokoh ini tertanam kukuh dalam sanubari sahabatnya hingga tertubuhnya Yayasan Usman Awang (YUA). Menerusi YUA, semangat perpaduan dan perjuangan kemanusiaan beliau diteruskan, malah disebarluaskan melalui pelbagai kegiatan kerjasama antara YUA dan pelbagai organisasi.

Secara peribadi, usai membaca sekian banyak makalah tentang SN Usman Awang, saya paling terkesan oleh peranan yang beliau mainkan sebagai editor DS. Selama berada di kerusi ini, beliau tidak jemu membimbing pegawai bawahan menerusi sifatnya yang tegas, serius, tetapi mesra. Beliau juga meraikan setiap penulis yang berkunjung dan sentiasa memberikan dorongan kepada penulis dan pengkarya muda sama ada secara melorongkan ruang berkarya atau meniupkan semangat dan menzahirkan sokongan lewat tintanya. Saya berazam mencontohi susuk ini, melangsungkan hayat dian yang pernah beliau nyalakan, dan memastikan dian ini tidak padam.

Pada kesempatan ini juga, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Encik Azmi Ibrahim, Ketua Editor Bahagian Majalah yang menamatkan perkhidmatan beliau mulai 9 Jun 2018. Perkongsian ilmu dan pengalaman beliau selama dua tahun 10 bulan saya berkhidmat di bawah seliaannya sangat bermakna dan menjadi pendorong peningkatan kerjaya saya kelak. Terima kasih, tuan!

Selamat berkarya.

 

Dewan Sastera Bil.7/2018

Be Sociable, Share!