Oleh Hamzah Hamdani

Dia sering muncul di pentas baca puisi bulanan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) selaku pengacara dan sekali gus deklamator. Puisinya menjadi pernyataan sikapnya terhadap isu-isu bangsa, terutama tentang orang Melayu. Oleh sebab pandangannya yang tajam terhadap isu semasa, dia menjadi perhatian pihak berkuasa. Namun, gayanya berpuisi masih lembut, hanya persoalan dan pandangannya yang tajam menikam sasaran.

Nama sebenarnya ialah Ibrahim Dolgapor @ Ghaffar. Menggunakan nama pena Adiputra. Beliau dilahirkan di Lubuk Pusing, Bagan Terap, Sabak Bernam, Selangor, pada 2 Ogos 1950. Mendapat pendidikan awal di Bagan Terap, kemudian ke Madrasah al-Yassiniah Addiniah di Sungai Batang, Perak. Meneruskan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Khir Johari, Bagan Datoh, Perak. Kemudian menyambung pendidikannya di Institut Goon,

Petaling Jaya, sehingga lulus Sijil Tinggi Pelajaran. Kemudian beliau meneruskan pengajian di Maktab RIDA (kini Universiti Teknologi Mara atau UiTM) dalam bidang Art and Design pada tahun 1968. Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, dalam bidang sains kemasyarakatan. Beliau memperoleh ijazah sarjana di Universiti Berlin, Jerman Barat, pada tahun 1984. Pada tahun 1990 hingga 1994, beliau meneruskan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Sains Politik (Pentadbiran Awam) di Pacifi c Western University, State of Hawaii, Amerika Syarikat.

Ibrahim Ghaffar menjalankan perniagaan dalam bidang hartanah, pertanian, kontraktor, serta menjadi pensyarah sambilan di beberapa universiti tempatan seperti UiTM dan Management and Science University (MSU) di Shah Alam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks