Oleh Siti Hajar Che Man

Makalah ini akan meninjau secara kritis bagaimana pendekatan eco-feminism (emosi atau citra wanita) cuba mengenal pasti bagaimana emosi wanita diasosiasikan dengan berbagai-bagai unsur alam yang dapat dikesan dalam teks sastera. Pendekatan ini juga pada dasarnya boleh membekalkan satu bentuk kritikan yang jelas terhadap penglibatan dan hubungan simbiosis watak wanita dengan persekitaran alam.

Dalam masa yang sama juga, kritikan ini dapat menjelaskan bagaimana citra wanita sering berada dalam satu situasi yang disebut mismanagement (eksploitasi). Perbincangan ini juga akan memfokuskan kepada aktiviti pemecahan unsur-unsur alam yang memaparkan emosi wanita. Dapatan dan penemuan ini akan diperlihatkan menerusi kajian secara hubungan silang budaya dengan merujuk kepada cerpen “Perempuan” oleh Shahnon Ahmad, pengarang dari Malaysia dan cerpen “Harga Seorang Perempuan” oleh Oka Rusmini, pengarang dari Indonesia.

Maka itu, hasil bacaan dan kajian ini juga akan turut memperlihatkan dua hal utama iaitu aspek lokasi atau latar persekitaran alam di Indonesia dan Malaysia yang melahirkan satu kesamaan emosi wanita dan uniknya kesamaan emosi itu diterjemahkan daripada perspektif pengarang lelaki dan wanita. Perbincangan ini bermula dengan satu kenyataan bahawa seorang sasterawan sebenarnya orang yang paling hampir dengan alam, malah ada waktunya dia menyelami alam, dan ada ketika jiwanya sebati bersama-sama alam. Kerap kali para sasterawan menggunakan kebijaksanaan dan seluruh kapasiti daya fikir, realiti, ilusi, fantasi dan imaginasi dalam usaha berinteraksi dengan alam. Oleh itu, alam dan sastera adalah dua jalinan yang amat erat, saling bertindak balas dan tanpa sentuhan atau jelmaan alam dalam karya atau penciptanya, karya itu menjadi hambar. Dalam memahami situasi alam dan tindakan manusia ini, mari kita teliti pandangan Syed Hoessin Nasr (1976: 18) yang menjelaskan bahawa alam sekitar yakni flora dan fauna ialah:

Moreover, nature has come to be regarded itself as something to be used and enjoyed to the fullest

extent possible. Rather than being a married woman from a man benefits but also towards whom he is responsible, for modern man nature has become like a prostitute…to be benefited from without any sense of obligation and responsibility toward her.

Pandangan Nasr sangat unik dan simbolik sifatnya, yang memperlihatkan bagaimana alam sekitar “diperkosa” dan “memperkosa”, menghambakan dirinya mahupun dirinya diperhambakan demi kepentingan orang lain. Dalam konteks geografi alam sekitar, alam itu sendiri dapat didefinisikan secara umum sebagai “bumi” secara “bumi secara keseluruhan” atau “alam sekitar semula jadi secara keseluruhannya”. Maka itu, bagi ahli geografi, alam sekitar semula jadi merangkumi fenomena di bumi kecuali manusia dengan kerjayanya. Hal ini termasuklah iklim, tanah-tanih, hidupan binatang liar, bentuk muka bumi, atmosfera, mineral dan air (Chan Ngai Weng, 1993: 56).

Berdasarkan kedua-dua pandangan ini dapat dirumuskan bahawa manusia memang berinteraksi dengan alam sekitar semula jadi, menyesuaikan diri kepadanya dan menggunakannya secara berfaedah mahupun menyalahgunakannya. Maka itu, persoalan penting yang timbul ialah bagaimana mewujudkan hubungan harmoni dan mesra alam antara manusia dengan alam telah menjadi isu penting bagi ahli-ahli geografi. Bagaimana pula hubungan antara seorang ahli sastera dengan alam sekitar, khususnya daripada kalangan ahli feminis? Untuk memahami bagaimana ahli feminis berinteraksi dengan alam, menterjemahkan alam dalam karya, menginterpretasikan pemikiran pengarang yang menggunakan unsur alam dalam berkarya, maka telah wujud satu pendekatan yang disebut sebagai eco-feminism.

Eco-Feminism: Definisi dan Konsep

Pada awalnya, terma ini berpunca daripada terma eco-criticism. Pendekatan ini memberi perhatian kepada “representations of nature in literary but also non literary-texts, umpamanya filem, televisyen, teater dan lukisan yang memberi fokus kepada persoalan “how nature is constructed in those presentations?” Sementara itu, eco-feminism atau ecological feminism ialah satu terma yang dicipta pada tahun 1974 oleh Francoise d’Eaubonne. Kritikan ini adalah kombinasi antara pergerakan falsafah pemikiran ekologikal yang menitikberatkan:

i. The belief that the social mentality that leads to the domination and oppression of women is directly connected to the social mentality that leads to the abuse of environment (Thoma-Slayter, B: 1955).

ii. is a connection between the destruction of nature by humans and the oppression of women by men that arises from political theories and social politics in which both women and natures as objects to be owned or controlled (Encyclopedia Britanicca).

Maka itu, bagaimana pula perkaitan alam dengan jiwa raga wanita? Pada asasnya kaedah jiwa raga wanita didasarkan kepada satu pembentukan kaedah bacaan tempatan atau mandiri. Kaedah bacaan ini dibentuk hasil daripada pengubahsuaian dan penstrukturan semula gagasan Elaine Showalter yang telah memperkenalkan kaedah bacaan “women as reader” yang disebut juga sebagai “feminist critique” dan “women as writer” atau disebut beliau sebagai gynocriticism. Oleh itu, untuk memaknakan semula dua gagasan ini, penilaian harus dibuat. Hasilnya menemukan bahawa “women centred criticism” yang berasaskan kepada biologi, psikologi, bahasa dan budaya tidak berupaya untuk menyelami jiwa raga wanita Melayu khususnya.

Hal ini adalah kerana gaya kehidupan wanita Melayu melalui pengalaman, emosi, latar belakang dan persekitaran yang berbeza, apatah lagi pengalaman pahit yang dilalui pada era penjajahan. Secara amnya, feminisme bukan istilah Melayu, maka dasar perjuangan turut berbeza, bahkan bertentangan dengan nilai-nilai Melayu. Amalan feminisme yang meletakkan lelaki sebagai musuh dan secara semula jadi terma wanita bermaksud mengikut arahan tidak boleh diterima. Oleh itu, women centred criticism tidak dapat menyelami jiwa raga wanita.

Jiwa Raga Wanita: Definisi dan Konsep

Apakah yang dimaksudkan dengan frasa jiwa raga wanita? Mengapa dihubungkaitkan dengan wanita? Istilah jiwa raga wanita berhubung kait dengan beberapa konsep yang berkaitan. Jiwa wanita sangat akrab dengan nyawa, roh, emosi, perasaan, fikiran, cita-cita dan berjiwa; kasih, simpati, suka, duka, empati, gembira, sedih, kecewa, marah, geram, meluat, benci, sayang dan pengorbanan. Kesemua aspek bersatu membentuk satu jiwa, manakala raga wanita pula secara literal raga adalah “bakul” yang berkait dengan apa yang patut diisi dan sesuai dalam sebuah “bakul” atau “raga” itu.

Maka itu, analoginya dalam bakul atau “raga” wanita, sudah tentulah ada segala macam elemen perasaan. Terma “raga” sering kali memberikan beberapa tafsiran sama ada secara fizikal mahupun rohaninya. Dalam fahaman umum, “raga” ialah bakul yang diperbuat daripada bilah atau rotan untuk mengisi barang-barang, juga diertikan sebagai bola yang dianyam daripada rotan atau bermain raga dengan menggunakan jaring (Kamus Dewan, 1997: 1085). Dari perspektif lain, raga ialah bahagian luar tubuh atau] badan yang membentuk jasad dan minda dan amat berkaitan dengan jiwa.

Makna jiwa pula ialah bahagian dalaman tubuh sebagai nyawa, roh, pengetahuan mengenai batin manusia dan psikologi. Namun dalam kajian ini, didapati istilah “raga” sebagai “bakul” masih relevan dengan makan jiwa sebagai roh atau jiwa. Hal ini adalah kerana, dengan mengambil kira kesesuaian yang perlu diisi dalam “raga” tersebut. Lazimnya, dalam sebuah “raga” seorang wanita itu akan mengisi pelbagai sayur-sayuran dan ikan, maka tidak boleh dimasukkan barang yang tidak sesuai. Demikian juga dalam raga atau jiwa mesti terangkum dalamnya kepelbagaian emosi dan rasa seperti kasih sayang, rindu dendam, benci, cinta, dan segala macam elemen emosi.

Oleh itu, jiwa raga adalah gabungan fizikal, mental, emosi yang membentuk jati diri. Jiwa raga wajar menjadi benteng perubahan zaman, pergeseran nilai diri dan perubahan masyarakat. Paling nyata, jiwa raga adalah wahana paling asas mendorong wanita untuk membangun diri dan masyarakat. Dalam memantapkan fizikal dan minda, seorang wanita itu wajar memiliki ketenangan batiniah, yang diperolehnya melalui jiwa raga dan kekukuhan sukma mampu membangun martabat, tuah dan maruah diri wanita mencari kesenangan duniawi dan kedamaian batiniah.

Modul jiwa raga wanita yang mantap perlu dilihat dalam tiga aspek:

i. Modal fizikal: Harta berbentuk fizikal seperti wang ringgi, rumah, kereta atau motosikal, anak, jiran tetangga, rakan taulan, jabatan dan sebagainya.

ii. Modal emosional: Rasa bangga, rasa bahagia, rasa kagum, rasa ingin membantu, rasa bertanggungjawab.

iii. Modal spiritual: Rasa aman, percaya diri, integriti, jujur, tanggungjawab, wawasan, disiplin, bantu – membantu, adil dan keprihatinan.

Berdasarkan perbincangan tersebut, dapat dirumuskan inilah bentuk jiwa raga wanita Melayu yang perlu hadir dalam diri wanita. Jiwa raga wanita adalah lambang sama ada secara tersurat atau tersirat akan kegigihan wanita. Keazaman, kekuatan, istiqamah dan iltizam yang bersungguh-sungguh yang wujud dalam sanubari wanita mencerminkan kesetiaan dan tanggungjawabnya memikul dirinya sebagai wanita yang sentiasa perkasa, berkorban untuk kelestarian dan kesejahteraan keluarga.

Bagaimana pula perkaitan jiwa raga wanita dengan alam dan karya? Perbincangan makalah ini cuba memenuhi tiga matlamat perbincangan iaitu:

i. Memahami konsep eco-feminism itu.

ii. Mengenal pasti unsur-unsur flora dan fauna dengan konsep feminisme itu sendiri

iii. Menghalusi jiwa raga wanita yang dialirkan oleh pengarang melalui flora dan fauna.

Maka dengan itu, salah satu cara bagaimana jiwa raga wanita dipersembahkan ialah dengan mengambil atau menggunakan alam sekitar sebagai bentuk perwakilan bagi mewakilkan diri pengarang, juga wanita dan mesej yang ingin diutarakan. Pada awal perbincangan telah dinyatakan bahawa, sesebuah karya sastera tanpa cantuman dan adunan alam, karya itu menjadi hambar, tidak segar dan kering. Lalu, bagaimana agaknya situasi dan fenomena ini dalam karya-karya di tanah air, adakah berlaku seperti dalam tradisi Inggeris yang kerap menggunakan metafora burung (Ellen Moers,1976: 243-264).

Mungkinkah kerana burung ini merupakan haiwan spesies kecil yang turut melambangkan kekerdilan? Atau kerana burung ialah sejenis haiwan yang sering tertekan turut memberikan analogi tentang kedudukan wanita yang tertekan oleh lelaki? Atau burung yang sering menjadi mangsa yang diselarikan dengan nasib wanita? Atau mungkin juga pandangan Moers boleh dinilai semula, beliau menyatakan, “birds are beautiful and exotic creatures, symbols of halfpomised, half-forbidden sensual delights”, mahupun tekaan Moers yang juga menarik untuk dihayati, iaitu mungkinkah, “because birds are soft and round and sensuous, because they palpitate and flutter when held in the hands,and especially bercause they sing, birds are universal emblems of love” (1976: 260). Ungkapan yang sama disebut oleh Christina Rossetti dalam puisinya “A Birthday” (1987), ungkap beliau, “My heart is like a singing bird whose nest is in a watered shoot”.

Melihat dan merenung suasana dan persekitaran alam di Malaysia, dan di Indonesia, jelas bahawa persekitaran kedua-dua negara ini hampir sama. Benarlah kedua-dua negara ini sering disebut negara serumpun. Persekitarannya dipenuhi dengan hutan hujan tropika dan beriklim khatulistiwa. Oleh itu, panorama Malaysia dan Indonesia dipenuhi dengan hutan hijau, hujan, panas, langit yang biru, awan yang kadang kala redup, mendung dan cerah, bukit-bukau, gunung-ganang, sawah nan terbentang sayup mata memandang, laut yang biru, bunga-bungaan, buah-buahan tropika, binatang liar yang dipelihara dengan baik, haiwan ternakan dan belaan, tasik yang jernih, sungai yang bersih, suasana pagi yang diserikan dengan kicauan burung dan kokokan ayam, suasana malam yang ditemani cahaya bulan penuh mengambang dan kerdipan bintang, tiupan angin sepoi-sepoi bahasa dan pohon nyiur yang melambai.

Namun begitu, keindahan ini telah dicacatkan oleh hadirnya jerebu, kemalangan ngeri, runtuhan tanah, letupan, gunung berapi, hakisan dan maksiat dan gejala sosial, sungai yang kotor dan busuk, sampah sarap yang bertimbun, banjir dan bencana alam yang amat menakutkan, tumpahan minyak dan pembuangan sisa bahan kimia, penggunaan plastik yang tiada kawalan dan masyarakat sendiri yang bersikap, “tak apalah”.

Situasi seperti ini disebut oleh Seyyed Hoessin Nasr (1976: 18) sebagai “The harmony between man and nature has been destroyed, is a fact which most people admit. But not everyone realizes that disequilibrium is due to the destruction of the harmony between man and God” (1976:20), manakala dalam kalangan pejuang ekologi dan sahabat alam keadaan seperti ini disebut “abuse of environment”. Namun begitu, di pihak para sasterawan pula, panorama inilah yang menjadi ilham sebagai bahan cerita. Juga dalam kalangan penaung eco-feminis, mereka melihat kedua-dua aspek iaitu wanita dan alam sekitar kedua-duanya dieksploitasi tanpa belas kasihan. Dengan berdasarkan kepada cerpen “Perempuan”, karya Shahnon Ahmad dan “Harga Sebuah Perempuan”, karya Oka Rusmini, makalah ini akan membincangkan bagaimana luahan emosi dan jiwa raga wanita dapat diperlihatkan oleh pengarang melalui unsur-unsur flora dan fauna.

Analisis Cerpen “Perempuan” – Shahnon Ahmad

Menerusi cerpen “Perempuan”, terdapat beberapa elemen alam sekitar diaplikasikan sebagai bahan untuk menyatakan tekanan jiwa yang dialami oleh watak Siti. Shahnon telah memerikan tertekannya jiwa yang ditanggung oleh watak Siti dalam keadaan geram, marah, protes, tidak puas hati, inginkan

kebebasan dari dikongkong oleh ibu bapanya. Bapanya mempunyai kuasa veto tanpa memberi ruang bukan sahaja kepada Siti, tetapi juga pada ibunya. Maka itu, dalam sistem patriarki yang dirujuk sebagai, “social system where the father controls a member of the family property, economy” (Maggie Humm, 1989: 159) yang membenarkan ayahnya boleh membuat “keputusan besar”. Dalam diam-diam, jiwa Siti menentang yang ditunjukkan dengan pelbagai tindakannya yang kasar, berani, geram, marah, sakit hati, tidak puas hati terhadap keputusan yang dimuktamadkan oleh bapanya dalam menentukan masa hadapan Siti.

Bapanya telah menjodohkan Siti dengan Haji Rahmat, seorang kaya yang dihormati kerana baru pulang dari Mekah. Pada tanggapan Siti, Haji Rahmat itu sebaya dengan bapanya. Lagipun, Siti telah pun ada pilihan hati yang menyegarkan hati dan jiwanya! Itulah yang diprotesnya. Namun, yang menarik ialah cara Shahnon mengekspresikan rasa protes Siti. Dalam hal ini, Shahnon menggunakan unsur flora dan fauna secara menyeluruh iaitu alam sekitar biotik, persekitaran sosial yang juga disebut sebagai alam sekitar kemanusiaan dan alam sekitar budaya. Disebabkan sistem masyarakat Melayu yang utuh dan kuat dengan sistem patriarki, tidak mungkin Siti menentang bapanya secara terang.

Maka itu, di sinilah unsur alam memainkan peranan. Telitikan bagaimana tekanan jiwa raga Siti dilepaskan melalui unsur flora dan fauna:

i. Bedebah kucing ini! Siti menghulur jari ke bawah perut comel yang manja, mencubitnya kuat-kuat. Keradangan pantas menjongol lalu bersarang di sanubari. (Kemarahan dan radang Siti terhadap sikap bapanya yang tidak boleh ditentang itu dilepaskan kepada kucing).

ii. Calak berkokok lagi. Balungnya bergetar galak. Mersiknya bertambah. Bedebah ayam ini! Siti menujah anyaman tikar pandan dengan telunjuk kanan. Semuanya bedebah. Semuanya!

Situasi di atas memperlihatkan rasa marah Siti dipindahkan kepada ayam, akibat marahnya itu turut mengganggu tumpuan anyaman tikar. Jiwanya yang marah dan parah itu telah melibatkan semua yang ada di sekeliling. Jiwa dan emosi Siti menjadi resah, gelisah sehingga terpancar di dunia realiti, kegelisahan dan rasa tidak bersetujunya terpancar daripada gaya Siti menganyam tikar apabila bapanya menyatakan, “raya puasa gantung, raya haji jumpa”. Jiwa raga Siti sangat kacau, dia inginkan kebebasan. Shahnon mengeksploitasikan unsur flora dan fauna untuk menyerlahkan kepada khalayak betapa kusutnya perasaan Siti. Darjah kemarahannya tidak terbendung lagi hingga terkeluar kata-kata kesat, “babi” dan “bedebah”. Jiwanya inginkan ketenangan dan kebebasan lalu Siti memikirkan:

i. Kalaulah dia boleh menyelinap di bawah papan pantai dan merayap macam lipas kudung menerusi retak papan dan turun menerusi tiang hingga menempuh tanah. ii. Kalaulah bersayap dia boleh terbang ke atas pucuk kelapa bercanggah angin, di luar bendang terbentang sayup-sayup.

iii. Terus ke angkasa luas berarak dengan awan putih suci.

Shahnon ingin menyatakan bahawa suasana alam seolah-olah turut memahami dan merasai keadaan jiwa raga Siti yang tidak tenteram. Siti menunjukkan tentangan keras terhadap segala yang bernafas. Lalu, Siti “sambar kain panjang di tali regang, hujungnya disimpul sebesar buah nona dan terus diayun-ayun ke udara, menyentak labah yang enak-enak berjemur, terpelanting jatuh ke lantai, dihenyaknya dengan tumit kanan tanpa sebarang niat”. Geram Siti semakin menggila, apa yang dibuatnya adalah “pengganti” kepada suaranya yang tidak boleh berlawan, terpaksa akur dan menerima seadanya. Namun, protesnya tiada siapa yang tahu, dan tindakan ganasnya hanyalah pada haiwan yang sangat kecil. Shahnon memperlihatkan, “Matanya liar mencari makhluk – sebarang makhluk yang terjangkau”. Hinggakan seekor cicak di tiang meluru cabut lari apabila mengesan gelagat Siti, apatah lagi Siti mempunyai niat, “kalaulah dapat, perut akan dipicit, kepala akan diapit, umbi punggung akan dilanyak dengan tumit, biar ekor terkodek-kodek macam cacing kepanasan”.

Rasa marah dan geram Siti dilampiaskan kepada unsur flora pula. Kali ini bawang pula menjadi sasaran kemarahan Siti. “Bedebah!”, Pisau dicapai, bawang besar dicekak tiga ketul sekali gus, dibelah sekali tekan, di cincang, di cincang dan di cincang.

Lebih parah lagi Siti mempamerkan rasa marahnya secara terang-terangan, unsur api menjadi taruhan. Apakah yang Siti lakukan? Siti genggam penumbuk kanan, lalu menujah masuk ke dalam api yang panas, api menyambar daging hidup, melebam kuku, matanya ditutup dan giginya di kancing! Siti mahu bersuara tetapi hanya mampu di hatinya, Siti mahu marah pada bapanya, tetapi hanya mampu ditunjukkan pada haiwan kecil. Siti juga mahukan kebebasan memilih, Siti juga ingin kebebasan daripada terus terpenjara dan terpaksa akur dengan kebisuan. Oleh sebab itu, Shahnon memerikan bahawa kebebasan untuk bersuara dan bebas daripada terus terbelenggu seperti yang diidamkan oleh Siti:

i. “Sawah yang terbentang terasa macam belukar yang amat tebal memagari dunia wanitanya”.

ii. “Banjaran bukit” yang tercongget-congget terasa macam satu lagi “lapisan tabir besi” yang membentengi kebebasan dunia wanitanya. Kebebasan yang diimpikan itu tidak menjadi kenyataan sebab dirinya sendiri dianggap “senduk”, “sudu” dan “sudip”.

Shahnon menggambarkan bahawa unsur alam turut memahami keinginan yang dingin dicapai oleh Siti ,tetapi ada banyak kekangan yang disimbolkan, umpamanya “langit yang terserkup luas mengepung dunia. Tapi awan di atas kepala pun cepat berubah menjadi mendung mengumpul awan”. Lalu bagaimanakah Shahnon mengekspresikan jiwa Siti untuk mencari kebebasan? Sekali lagi Shahnon mengeksploitasi unsur flora dan fauna, umpamanya:

i. “Sungguh dia akan terbang macam burung enggang kalau dianugerahi sayap sertamerta”.

ii. “Matanya menjangkau mendung cuba-cuba mencari kalau-kalau sekawan enggang melintas ruang angkasa”.

Namun kebebasan yang dicari tetap tidak akan muncul kerana Shahnon memperlihatkan bahawa Siti ialah gadis sunti yang diasuh dengan penuh tertib dan sopan dalam rumah. Ekspresi dan simbol alam telah menjelaskan kedudukan Siti, “tetapi bumi sendiri pun jarang-jarang dipijak kecuali ke pangkalan sungai bersama ibu”. Sebab itulah tindakan dalaman Siti gagal, suara hatinya tidak didengari, alam yang memahami malah turut menyertai jiwa raganya tidak berupaya untuk membongkar rasa geram, marah, sedih dan keinginan Siti. Maka itu, salah satu jalan keluar daripada terus terpenjara kebisuan ialah maut yang dianggap sebagai kebebasan yang abadi. Itulah gambaran tekanan emosi yang menjadi beban jiwa raga Siti seorang gadis desa yang tinggal jauh terpencil dari dunia luar, maka itulah tindakan yang terdaya dilakukannya.

Demikianlah Shahnon mengeksploitasi unsur-unsur flora dan fauna semaksimum mungkin. Maka itu, cerpen “Perempuan” telah memenuhi minat dan keinginan golongan pengkritik yang telah mengajukan pendekatan eco-feminism iaitu “represents the interest of women” dan bukannya mengarang atas dasar, “the body of her writing and not the writing of her body”.

Meneliti persembahan Shahnon Ahmad menerusi cerpen ini, dapatlah dirumuskan bahawa apresiasi unsur alam dilakukan secara menyeluruh iaitu:

i. Unsur flora terdiri daripada buah ciku, bawang, daun pandan, pucuk kelapa, sawah padi, daun mengkuang dan buah nona.

ii. Unsur fauna terdiri daripada kucing, ayam, cicak, ayam, semut, burung enggang, babi dan lebah.

iii. Persekitaran sekeliling terdiri daripada ruang angkasa,awan, langit biru, banjaran bukit, belukar, angin dan api.

iv. Benda-benda mati terdiri daripada sudip, sudu, senduk, kayu, tabir besi, gigi, kuku, papan, pisau dan periuk.

Namun yang uniknya tentang eksplorasi unsur-unsur flora dan fauna melalui cerpen ini tidaklah secara menyeluruhnya memperlihatkan abuse of environment seperti yang diperjuangkan golongan yang memperkenalkan kaedah bacaan eco-feminism. Fungsi kaedah bacaan ini membawa maksud kerosakan alam itu pada hakikatnya adalah juga oppression of women by men. Dalam hal ini, Shahnon telah penggemblengan unsur-unsur flora untuk memperlihatkan bagaimana kuasa patriarki telah merosakkan jiwa raga seorang wanita tetapi tidak pula merosakkan alam sekitar.

Analisis cerpen “Harga Seorang Perempuan” – Oka Rusmini

Situasi yang hampir sama dapat dikesan menerusi cerpen “Harga Seorang Perempuan”, karya Oka Rusmini. Beliau ialah angkatan penulis dan wartawan yang digolongkan sebagai pusat perubahan yang memperjuangkan suara-suara terpinggir dari kalangan kaum wanita (Harry Aveling, 2004). Maka itu, komitmen beliau dalam dunia penulisan begitu mendalam sehingga beliau menyatakan, “menulis itu buat saya adalah semacam terapi jiwa”, juga “semacam upacara penundaan kematian” (2007: ix).

Bicara kreatif Oka lebih tertumpu kepada latar budaya Bali, kerana kepada beliau, “saya percaya segala tradisi yang pernah terjadi di Bali kelak akan punah, tergerus zaman” Hasrat murninya ialah untuk menjadikan tulisannya sebagai sebuah dokumentasi untuk rakyat Indonesia, khususnya di Bali. Berdasarkan cita-citanya itu, dapat dikesan bahawa penulisan kreatifnya bukan hanya setakat bermain dengan emosi, tetapi cita-cita dan harapannya cukup besar iaitu untuk warisan dan tatapan generasi Bali secara khusus dan Indonesia seluruhnya. Tidak hairanlah dalam kebanyakan tulisannya, paling utama beliau melihat wanita Bali malah walau di mana sekalipun mereka berada, persoalan budaya dan agama. Maka itu, pada hemat beliau, perempuan itu sendirilah yang paling mengenal dirinya. Selanjutnya beliau berpendapat, “Oleh kerana itu perempuan pulalah yang mesti menulisnya [ibid]. Semangat juang Oka Rusmini untuk meningkat dan mengubah sistem budaya dan sistem nilai wanita Bali terserlah dengan baik menerusi cerpen “Harga Seorang Perempuan”.

Menerusi cerpen ini, Oka Rusmini mengutarakan dua watak utama yang menerajui jalan cerita. Kedua-dua watak ini dibina secara kontradiksi dari segi watak dan perwatakan, gaya hidup, sikap, latar belakang, peranan serta tanggungjawab. Watak utama seorang gadis diberi nama pelayan muda yang bekerja di rumah ibu pembesar. Kedua-duanya cuba mencari identiti diri dengan memerhati gelagat dan gerak laku masing-masing.

Oka Rusmini memperlihatkan bagaimana cir-iciri asal wanita Bali dalam konteks harga seorang perempuan daripada perspektif binary opposition: [i] muda lwn. tua, [ii] kaya lwn. miskin, [iii] cantik lwn. buruk, [iv] kampung lwn. bandar, [v] Timur lwn.  Barat dan [vi] tradisi lwn moden. Yang menarik dan unik adalah pencarian identiti ini dilihat dari sudut persekitaran alam flora dan fauna. Terdapat beberapa elemen alam sekitar digunakan sebagai bahan karya untuk menggambarkan suara hati yang tersirat, keinginan yang terpendam, rasa tidak puas hati, balas dendam, sakit hati dan rasa marah. Dalam hal ini, watak pelayan muda telah mengalirkan luahan emosinya terutama rasa tidak puas hati terhadap layanan dan sikap Ibu Pembesar secara terbuka.

Berlatarbelakangkan panorama Bali, Oka Rusmini telah memanipulasikan persekitaran alam semaksimum mungkin untuk menyerlahkan peranan dan tipikal gaya hidup wanita Bali secara khususnya, dan wanita Indonesia seluruhnya. Umpamanya dapat dikenal pasti unsur flora:

i. Kayu cendana, bau akar-akaran, bau pohon-pohon yang ditebang, pohon ketela, daun-daun,bunga anggerek liar, pohon-pohon besar, aroma hutan, pohon hutan-hutan Indonesia, aroma hutan, bunga kemboja dan bunga melati. Manakala dari aspek persekitaran alam, dapat dirinci, antaranya:

ii. Sepatu, cermin rumah besar, bau parfum yang menyesak dada dan hampir muntah, bau tanah, sofa, musik, [barat dan gamelan], pertunjukan Arja, beg tangan, pakaian [gaun dan kebaya], jendela, kosmetik, patung-patung, busana artis Hollywood, suasana sore.

Juga, Oka Rusmini turut memperlihatkan bagaimana gaya pemakanan turut mempengaruhi gaya hidup wanita Bali, misalnya:

iii. Sambal dan nasi serta makanan tradisional yang lainnya.

Seperti mana watak Siti dalam cerpen “Perempuan”, hal yang sama turut berlaku kepada watak Pelayan Muda. Luahan jiwa raga wanita terpancar dalam keluhannya, “setiap patahan tubuh pohon itu mengundang imaginasinya. Dia berasa dibawa terbang mengelilingi tempat terindah, sebuah taman yang dipenuhi bunga. Taman itu memiliki ratu yang paling cantik. Ratu itu ialah dirinya sendiri” (2001:30). Pelayan Muda secara implisitnya tidak selesa berada dan bekerja di rumah Ibu Pembesar. Watak ini setiap hari berada dalam sebuah kehidupan yang berpura-pura, dia terpaksa berhadapan dengan apa yang tidak diingininya. Umpamanya sikap dan pendirian jauh berbeza dengan orang yang kononnya dianggap moden tetapi hidup dalam kebohongan. Hal ini diperhatikannya apabila melihat kehidupan sekelilingnya:

i. Ibu Pembesar bersama Bapak Pembesar.

ii. Ibu Pembesar bersama Pelayan-pelayan yang lain.

iii. Ibu Pembesar bersama isteri-isteri Pembesar.

iv. Pelayan Muda bersama rakan-rakan pelayan lain yang bekerja dengan Ibu Pembesar.

v. Sikap Ibu Pembesar terhadap dirinya sendiri.

Kesemua sikap, perangai, dan tingkah laku watak [i] hingga [v] tidak sama dengan Pelayan Muda. Kebuntuan dan kebencian yang dilihat akhirnya dinyatakan secara lantang, setelah tidak tahan dengan hinaan dan teguran Ibu Pembesar terhadapnya. Katanya secara bersemuka, terang dan berani; [2001: 38] [i] Saya tidak ingin jadi Ibu Pembesar, [ii] Ibu terlalu banyak berbohong, [iii] Saya sudah belajar bohong untuk membuat Ibu senang dan [iv] Lama-lama saya bosan dan capek, saya mahu pulang.

Hal ini adalah satu bentuk tentangan yang berani dan terbuka daripada seorang wanita kepada wanita. Segala bentuk dan jenis luahan rasa yang selama ini dibendung dan dipendam dilepaskan dengan rasa jujur dan telus tanpa sekatan. Luahan rasa hatinya yang lebih tepat dan benar mencerminkan hakikat diri Pelayan Muda yang asal lebih nyata apabila watak ini meluahkan, “Saya akan katakan pada ibu saya bahawa saya tidak mau jadi perempuan seperti Ibu atau perempuan-perempuan teman Ibu. Jelasnya lagi, harga saya beda, tetapi di dunia saya tidak ada kebohongan. Saya bahagia jadi diri saya sendiri” (2001: 38).

Itulah yang dimaksudkan oleh Oka Rusmini mengenai judul cerpen “Harga Seorang Perempuan”. Harga atau nilai seorang wanita atau gadis seperti Pelayan Muda yang lebih akur, ingat dan taat tentang kadar dirinya yang asal. Watak ini tidak mudah lupa diri dengan kemewahan. Jati dirinya yang asal terus kekal, segar dan tidak luntur seperti mana keadaan alam semula jadi yang kaya dengan aroma yang tidak pernah dicemari atau tercemar, malah harga dirinya terlalu mahal, tidak mudah dijual beli atau ditukar ganti dengan harta benda.

Oka Rusmini telah meletakkan watak Ibu Pembesar secara iring-iringan dengan Pelayan Muda untuk menjelaskan perbezaan gaya hidup, sikap dan pembawaan serta pendirian yang menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan harga seorang perempuan. Hal ini dapat dikesani secara berkesan dengan wujudnya aplikasi unsur flora dan fauna yang mewakili luahan jiwa raga wanita watak-watak berkenaan. Sekiranya Shahnon Ahmad memperlihatkan unsur flora dan fauna serta persekitaran alam dan budaya mempengaruhi hidup Siti yang dipenjarakan oleh sistem patriarki, sebaliknya Oka Rusmini pula memperlihatkan bagaimana luahan jiwa raga wanita lebih dipengaruhi oleh kehidupan wanita itu sendiri yang dibelenggu dengan konflik dan idea bagaimana seharusnya menjadi wanita Bali. Hakikatnya, beliau tidak secara “terbuka” menyatakan bahawa implementasi Bali itu “baik” atau “buruk”, tetapi khalayak dapat rasakan bahawa situasi yang dihadapi oleh Pelayan Muda dan Ibu Pembesar yang kelihatan remeh dan mudah itu sebenarnya sangat “rumit”. Untuk memahami situasi ini sewajarnya perlu memahami konflik dan peranan wanita Bali berhadapan dengan lelaki, di samping konflik sosial kerana diikat oleh tradisi dan adat Bali: sebagai wanita dan sebagai wanita Bali itu sendiri. Hal inilah yang dikupas secara sederhana tetapi amat berkesan oleh Oka Rusmini.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa kedua-dua pengarang telah menggembleng unsur-unsur flora dan fauna untuk memperlihatkan bagaimana ekspresi unsur-unsur ini adalah juga berperanan mewakili jiwa raga wanita. Berlandaskan fahaman dan kaedah bacaan eco-feminism, perbincangan ini memperlihatkan bahawa gaya olahan Shahnon Ahmad menerusi cerpen “Perempuan” hanyalah pada tahap mendedahkan jiwa raga wanita yang dilepaskan melalui unsur flora dan fauna, tetapi tidak merosakkan unsur-unsur alam tersebut. Maka itu, tidak berlaku “destruction of nature by humans”. Apa yang berlaku ialah ekspresi emosi dan tekanan jiwa raga watak telah menjawab persoalan domination and oppression yang diakibatkan oleh sistem patriarki yang melihat wanita sebagai subordinat. Oleh itu, hanya wanita yang didera jiwanya tetapi tidak pada jiwa raga alam. Hal yang sama dikesan dalam olahan Oka Rusmini menerusi cerpen “Harga Seorang Perempuan”.

Di tangan Oka sumber alam dipelihara dengan baik, mengekalkan haruman, kesegaran dan kehijauan yang berpanjangan tanpa diganggu-gugat. Penggemblengan unsur-unsur persekitaran alam, budaya, flora dan fauna hanya setakat mewakili kejatian dan pendirian jiwa raga wanita terutama watak Pelayan Muda tentang hakikat kediriannya yang utuh dan tidak tercemar. Maka itu, tuntutan ciri-ciri, fahaman dan falsafah perjuangan golongan sarjana yang menjana kaedah bacaan eco-feminism tidak dieksploitasi sepenuhnya.

Dalam hal ini, kritikan eco-feminism yang ingin membuktikan bahawa kerosakan alam adalah juga domination and oppression, abuse of environment dan destruction of nature by human, seterusnya memberi maksud wujudnya oppression of women by men tidak dijalinkan sepenuhnya oleh kedua-dua pengarang. Namun begitu, jalinan alam sekitar sekali gus memperlihatkan panorama kampung dan bandar antara Malaysia dengan Indonesia (Bali) jelas memperlihatkan hubungan silang budaya yang selari sifatnya. Cerpen “Perempuan” mewakili emosi seorang gadis Melayu, manakala cerpen “Harga Seorang Perempuan” mewakili seorang gadis Bali yang cekal dan kental sifat jati dirinya. Persembahan cerpen ini juga memperlihatkan kekuatan kedua-dua orang pengarang mengeksploitasi persekitaran setempat semaksimum mungkin untuk memerihalkan kelestarian kehidupan manusia yang boleh ditransformasikan kepada unsur alam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks