Oleh Rizqi Khairullah

Hasil kesusasteraan sama ada puisi, cerpen, novel dan drama semuanya berfungsi untuk menghiburkan dan mendidik masyarakat yang menghayatinya, sama ada melalui pembacaan mahupun melalui mendengar dan menonton. Kesusasteraan mampu memberikan kesedaran kepada pembaca dan penghayatnya. Karya sastera, seperti sajak jika dibaca dan dideklamasikan dapat dihayati, dinikmati dan diapresiasikan bagi membina jiwa insan dan diikuti dengan terbina ketamadunan bangsa.

Karya yang baik bertolak daripada isinya yang baik. Bagaimana isi itu disampaikan, penggunaan teknik, logik dan perutusan isi disampaikan barulah menyokong kekuatan karya. Hal ini bermakna, isi menjadi tunjang mutu baik atau buruknya sesebuah karya, dan hal ini dalam kajian kritikan sastera dipanggil “moral dalam karya”. Mana Sikana dalam bukunya, Kritikan Sastera Melayu Moden mengumpulkan pandangan Sidi Ghazaiba, 1974 dan Glickman, Jack, 1976 tentang “moral”. Menurut mereka, moral ialah pendidikan dan pengajaran yang mempunyai nilai normatif baik atau buruk, yang menjadi dasar sesebuah karya. Dengan itu, moral merujuk kepada pembinaan sahsiah untuk menjadi warga yang baik, yang dapat berfikir secara dinamik dan membina tamadun hidup. Dalam pengertian falsafah, moral ialah satu konsep yang telah dirumuskan oleh sesebuah komuniti, sosial atau budaya bagi menentukan kebaikan dan keburukan. Hal ini merupakan satu norma tentang kehidupan yang diberi kedudukan istimewa dalam kegiatan sesebuah komuniti, sosial atau budaya itu. Tegasnya, norma inilah yang menentukan gerak kerja ahli-ahlinya dan biasanya berlandaskan sesuatu yang mulia, dihargai dan mempunyai prestij.

Berdasarkan defi nisi tersebut, apabila moral dikaitkan dengan sastera, para pengkaji sastera dan peminat sastera telah meletakkan bahawa karya yang baik ialah karya yang bermoral, malah moraliti dalam kesusasteraan harus mempunyai maruah dan prinsip. Pendekatan moral juga disebut pendekatan atau teori moralistik yang memegang pada prinsip bahawa karya yang baik ialah karya yang disanjung dan dimuliakan. Bagi menghasilkan karya yang bermoralistik, pengarang bukan sahaja perlu mempunyai bakat dan kemahiran menulis atau mengarang, tetapi juga harus mempunyai visi, aspirasi dan perjuangan dalam menyuguhkan karya.

Selanjutnya, pendekatan moral ini mengutamakan isi lebih daripada bentuk dan teknik. Maka itu, Mana Sikana menegaskan dalam buku Kritikan Sastera Melayu Moden bahawa isi karya yang bermoral ditentukan oleh corak dan aliran masyarakat waktu itu, lebih-lebih lagi persoalan yang menjadi topik semasa. Pendekatan moral melihat sastera sebagai sumbangan ke arah pembentukan masyarakat yang sensitif dengan zamannya. Buku kumpulan puisi Marzuki Ali, berjudul Pesan Bonda adalah antara karya sastera yang menepati teori atau pendekatan moralistik. Buku yang mengumpulkan 83 sajak Marzuki Ali, yang dibahagikan kepada tiga bahagian ini iaitu bahagian pertama “Bunga Bangsa”, bahagian kedua “Adik Munirah” dan bahagian ketiga “Pesan Bonda”. Semua bahagian ini mempunyai isi yang padat dengan unsur moralnya, dan isinya menyentuh isu semasa yang hangat diperkatakan pada zaman itu.

Sajak “Bukan Selesema Burung” misalnya, menitipkan pengajaran moral kepada masyarakat tentang kasih sayang manusia terhadap hidupan ciptaan Allah, haiwan misalnya harus disemai sejak kecil lagi. Ibu bapa sebagai orang dewasa harus juga menyokong anak-anak dan memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk memelihara haiwan ternakan ini dengan baik, hingga tidak menjejaskan kehidupan dan kesihatan anak-anak dan sebaliknya juga memberikan keselesaan kepada haiwan peliharaan. Sajak ini jika dihayati dari segi isinya, pengarang mengisahkan tentang isu semasa yang digeruni banyak pihak pada suatu masa dahulu iaitu serangan wabak penyakit selesema burung.

+ Kenapa dengan ayam Ana?

- Mati di reban, mak!

+ Sudahlah. Kalau ayam yang mati,

kenapa mesti nangis?

- Tapi ia mati bukan kerana penyakit, mak!

+ Bukan! Ayam mati kerana terjerut

lehernya.

- Ayam Ana mati bukan kerana sakit ya,

mak?

+ Ya, Ana. Ayam Ana mati bukan kerana

sakit

Tetapi kerana ajalnya!

- Ayam Ana tidak kena penyakit mak?

+ Sudahlah Ana. Jangan menangis…

… – Ayam tak sakit macam burung itu, mak?

Anak itu masih terus bertanya emaknya.

+ Burung apa?

Ibu agak kaget

Kenapa, apa hubungan ayam dengan

burung pula?

- Mak, itu yang lagi disiarkan kat TV

sekarang.

Jangan-jangan ayam Ana kena penyakit itu?

tanya anak itu cemas.

+ Yang mana?

Sang ibu mula berfikir

Dan bila mengingatkan berita yang

menjadi topik Utama

Baru ibu berkata senang,

+ Sudahlah, ayam Ana bukan dijangkiti

selesema burung!

- Tidak kena jangkitan selesema burung,

mak?

+ Ya!…

(Pesan Bonda, hlm. 48 dan 49)

Sajak panjang tentang wabak penyakit selesema burung ini bukan sahaja mendidik kanak-kanak memperkukuh akidah, dengan mempercayai semua kematian yang berlaku pada setiap insan di dunia ini adalah kerana kekuasaan Allah, Pencipta Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa, tetapi dalam sajak ini juga pengarang menjelaskan bagaimana untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit ini.

Pengajaran moral yang ingin disampaikan oleh pengarang yang melibatkan isu semasa yang berlaku di luar negara dapat dilihat oleh pembaca dalam sajaknya di bahagian kedua yang berjudul, “Pusaranya Buat Adik Loubna”.

Dan jenazah si kecil sembilan

tahun pun dibebaskan oleh seluruh isi

keluarganya di penempatan sepi di

Tangiers, Maghribi sambil keranda kecil

putih bersalut warna ditutupi dengan kain

hitam bersalut emas perlahan-lahan

ditelan penglihatan jauh dalam upacara

yang syahdu dan bergenang air mata

seluruh bangsa…

… Loubna dara sunti sembilan tahun

sewaktu membeli belah untuk ibunya telah

hilang dari keluarga tercinta baru lima

tahun kemudian ditemukan mayat dalam

peti besi di sebuah garaj di pinggir Exelies,

Brussels tempat dia bermain menghirup

udara siang…

(Pesan Bonda, hlm 88 dan 89)

Moral daripada kisah dalam sajak ini banyak mendidik manusia dewasa yang berfikiran dan matang dalam kehidupan, agar tanamlah rasa kasih sayang dan kemanusiaan, lebih-lebih lagi kepada golongan kanak-kanak, yang sepatutnya mendapat perlindungan daripada orang dewasa. Alangkah malangnya nasib mereka, kanak-kanak yang lemah tidak berdaya dan mudah diperdaya dengan keseronokan menjadi mangsa. Isi daripada sajak ini banyak memberi iktibar, bukan sahaja kepada kanak-kanak agar berhatihati dengan manusia asing yang tidak dikenalinya di luar rumahnya, tetapi juga menitipkan pesan agar ibu bapa sentiasa berwaspada dan menjaga anak-anak mereka dengan rapi. Sementelah lagi peristiwa hitam ini kini bukan sahaja berlaku di luar negara, tetapi telah juga berlaku beberapa kali dalam negara kita; kanak-kanak perempuan hilang dan akhirnya ditemui mayatnya atau langsung tidak dapat dikesan oleh ibu bapanya.

Marzuki Ali yang menggunakan pendekatan moralistik dalam sajaknya yang mengutamakan isi dengan memanfaat isu semasa yang berlaku pada zaman itu tidak melupai memberikan kesan positif dan negatif dari segi moral akibat daripada kesan zaman Teknologi Makluman, dalam sajak yang berjudul, “Mahu Maju Ya, Komputar” di bahagian tiga.

- Wang ayah di Tabungan Kelompok

Wang Simpanan banyak ayah?

+ taklah. Kenapa?

tanya ayah yang kepingin tahu

kenapa masalah kewangan itu

ditimbulkan anaknya.

- Boleh beli komputer?

dan pertanyaan anaknya itu

membuatkan sang ayah teringatkan

simpanannya dalam KWSP

hasil titik peluh yang ditabungkan

untuk hari tuanya…

Dan hari tuanya telah direnanginya sekarang

+ Boleh. Bahkan itu yang digalakkan

Dan wangnya boleh dikeluarkan.

- Kenapa mesti beli komputer

tidak boleh beli yang lain?

bentak si anak yang entah bagaimana,

nada tidak puas hati.

+ Kerana zaman ini zaman komputer!

(Pesan Bonda, hlm. 160 dan 161)

Pesanan moral yang hendak dititipkan oleh pengarang dalam sajak ini, untuk mendidik masyarakat menjadi maju dan berjaya sesuai dengan kehendak zaman. Masyarakat perlu memenuhi tuntutan dunia moden, seperti setiap individu perlu memiliki komputer dan menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan satu rumah satu komputer. Bagaimana untuk mendapatkannya terpulang kepada usaha dan pemikiran ibu bapa sendiri, walaupun terpaksa menggadai masa depan, demi kemajuan anak-anak terpaksa dituruti jua. Membaca sajak ini juga akan mengingatkan pembaca atau khalayak sastera ketika zaman komputer mula diperkenalkan di Malaysia. Pada waktu itu, pelbagai skim pinjaman diadakan bagi menggalakkan rakyat membeli dan memiliki komputer peribadi. Moralnya, hingga kini komputer menjadi keperluan dan lambang kehidupan masyarakat moden yang bertamadun dan berjaya. Dalam pendekatan moral, soal bentuk dan teknik penghasilan karya tidak diambil kira. Pendekatan ini juga tidak mengambil kira struktur romantisme, abstrak, absurdisme dan realisme karya, walaupun dari segi nilaian bahasanya. Yang pentingkan adalah penyampaian isinya yang senang difahami oleh pembaca, sampai dan telus maksudnya. Seperti tiga petikan sajak di atas memperlihatkan pengarang menggunakan kata-kata biasa, menolak sama sekali penggunaan simbol atau lambang. Bahkan pengarang banyak menggunakan dialog dalam sajak yang dihasilkan, iaitu dialog soal dan jawab antara anak dengan ibu atau antara anak dengan bapa. Menurut Karl Beckson dan Arthur (1972), didaktis dalam sastera ialah karya yang mengandungi unsur-unsur pengajaran dan doktrin yang boleh memandu pembaca ke arah dan tujuan. Sama ada arah dan tujuan itu kepada sosial, pendidikan, politik atau apa-apa juga yang penting dalam karya, yang mengajak pembaca merenung dan berfi kir mengikut landasan yang tertentu. Maka kerana itulah, pendekatan atau teori moral ini memberi keutamaan kepada karya yang berdasarkan daripada pengalaman sebenar pengarang atau orang sekelilingnya yang boleh dijadikan renungan dan iktibar kehidupan. Sajak “Anak Kesayangan Bapa Tunggal”, “Masuk Sekolah”, “Tingkah Polah Sang Anak”, “Gambar Abang”. “Bongsu Si Anak Manja @ Anak yang Kepalang Ajar”, “Pengilat Sepatu”, “Lapangan Bermain Sepak Bola” dan banyak lagi sajak dalam buku kumpulan Marzuki Ali ini yang dihasilkan berdasarkan pengalaman dan pengamatan pengarang terhadap hitam putih kehidupan yang boleh dijadikan contoh dan teladan bagi perkara yang baik, dan dijadikan sempadan bagi perkara yang buruk. Lantaran itulah, tugas kesusasteraan yang paling dihormati dan disegani oleh seni yang lain ialah aspek pengajarannya yang begitu ditekankan berbanding dengan seni yang lain selain peranannya menghiburkan.

Sekali pun karya itu dianggap baik dari segi mutu persembahan dan isinya, tetapi jika isinya mengupas isu yang tidak bermoral, lebih-lebih lagi dengan menggunakan bahasa yang jijik dan kasar, karya itu menjadi tidak bermoral dan dipandang rendah oleh masyarakat. Maka itu, banyak sajak Marzuki Ali dalam Pesan Bonda ini mendidik masyarakat cara berbahasa yang santun dan menghormati orang tua. Sajak “Ucapkan Selamat, Bilang Bonda” ialah salah satu contoh terbaik dalam mendidik anak-anak, yang dimuatkan dalam buku ini.

Kalau mahu selamat, bilang bonda

kena rajin mengucapkan kata – salam,

kepada setiap apa yang ditemukan.

Jadi, aku mahu selamat

jadi aku pun rajin sekali menggunakan

salam,

setiap pagi,

setiap siang,

setiap malam…

(Pesan Bonda, hlm. 85)

Biarpun pendekatan moral ini merupakan pendekatan tertua yang bermula sejak zaman Greek sementelah wujudnya pendekatan atau teori Islam, pendekatan ini masih tetap relevan lagi digunakan untuk apa-apa sahaja karya sastera. Hal ini adalah kerana pendekatan ini mengajak pembaca khususnya dan umumnya masyarakat seluruhnya, mendapat kesan yang positif terhadap pembacaan setiap karya sastera. Pesan Bonda ialah karya yang paling sesuai didekati dengan pendekatan moral kerana dalamnya terlalu banyak iktibar dan teladan.

___

Ulasan buku ini diambil daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks