Oleh Zarima Mohd Zakaria

Iqbal bin Sheikh Noor Muhammad dilahirkan di Sialkot, Punjab-Pakistan pada November 1877. Beliau merupakan anak lelaki kedua daripada lima orang adik-beradik. Keluarganya berasal daripada keturunan Brahmin yang memeluk Islam sejak 200 tahun dahulu. Bapanya Sheikh Noor Muhammad berasal dari Kashmir, seorang tukang jahit yang hebat dan terkenal tetapi sangat merendah diri dan kuat beragama.

Bapa beliau banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada perkembangan Islam di Pakistan. Sheikh Noor Muhammad sangat mementingkan pendidikan dengan memperkukuh pendidikan anaknya dengan asuhan dan pendidikan agama sedari kecil lagi. Sinar Islam mula bertapak dalam keluarga ini bermula pada zaman datuk neneknya lagi iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin Badsyah (1421- 1473M) iaitu sebelum pemerintahan Dinasti Mughal.

Iqbal mendapat pendidikan awal dalam bidang bahasa, tulisan, sejarah, puisi dan agama. Potensi beliau sebagai penyair dan penulis telah dikenal pasti oleh salah seorang tutor beliau, Syed Mir Hassan. Beliau memulakan pendidikan sasteranya di Sialkot’s Scottish College. Beliau menguasai beberapa bahasa selain mempunyai kemahiran menulis prosa dan puisi. Beliau lulus cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1892.

Beliau bertemu jodoh seawal usia 15 tahun. Pasangan itu dikurnia dua orang anak, iaitu anak perempuan Begam Mi’raj (lahir 1895) dan anak lelaki bernama Aftab (lahir 1899). Anak ketiganya meninggal dunia selepas dilahirkan. Namun, bahtera perkahwinan beliau tidak panjang dan bercerai pada tahun 1916.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Be Sociable, Share!