Oleh Ammy Yasmin

Pesta Buku antara wadah utama pemerkasaan masyarakat membaca. Kita sedar bahawa buku menghadapi cabaran dan saingan sengit daripada kemajuan teknologi terkini. Namun, ciri istimewa buku itu sendiri tidak mungkin terhakis oleh kecanggihan Internet. Hal ini adalah kerana buku mempunyai keunikan yang tersendiri, iaitu dapat dipegang, diuliti dan dinikmati keseluruhannya. Buku menarik, mudah dibawa ke mana-mana dan senang disimpan sebagai warisan ilmu, lantaran itulah buku sentiasa mendapat tempat di hati pembaca.

Pesta Buku Negeri Sembilan (PBNS) 2011 telah berlangsung pada 19 hingga 24 Julai 2011, di Pusat Beli-belah AEON, Seremban 2. Selama enam hari, pelbagai pengisian menyemarakkan program pengisian ilmu, dimulai pada pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Selain jualan buku daripada syarikat dan penerbit utama di Malaysia, pada kali ini pihak perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dan Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan membuka ruang kepada pihak lain yang berkaitan. Sebagai contoh, pihak yang sinonim dengan buku iaitu penulis, turut diundang dan dilibatkan untuk memeriahkan program. Para penulis daripada Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) bergabung tenaga dengan penulis jemputan lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Be Sociable, Share!