Oleh Siti Aminah Ismail

Tersergam indah di hadapanku bangunan tinggi yang bakal mewarnai kenangan kehidupanku pada masa hadapan. Emerald Puteri Hotel itulah namanya. Proton Persona Elegan membelok masuk ke kawasan parkir di tingkat bawah tanah. Ruang agak sempit dan hanya mampu menempat beberapa buah kereta sahaja, dan aku bernasib baik kerana ruang untuk aku parkir masih ada.

Aku menaiki tangga menuju ke lobi hotel. Di kaunter penyambut tetamu, aku memaklumkan bahawa aku peserta bengkel penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Aku diberikan bilik penginapan di hotel tersebut dan aku mula bergerak menuju ke bilik 302 sebelum acara bermula pada pukul 2.00 petang nanti. Selepas solat zuhur, semua peserta dikehendaki ke Dewan Puteri di tingkat dua hotel untuk slot pertama bersama-sama Puan Fatimah Zainal, Editor Kanan Bahagian Buku kanak-kanak dan Remaja dari DBP.

Di Dewan Puteri, semua peserta bengkel didedahkan dengan cara dan kaedah membina novel kanak-kanak dan remaja. DBP memerlukan penulis bagi melakar pelbagai cerita untuk dibukukan. Kebanyakan peserta bengkel ini sudah ada nama dan dikenali banyak orang. Ada juga antara mereka sedang menunggu novel diterbitkan, tetapi aku, aku yang bernama Siti Aminah Ismail ini, masih belum ada satu karya pun untuk dijadikan bukti yang aku boleh menulis, apatah lagi karya untuk disiarkan. Namun, itu semua bukan penghalang untuk aku. Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih. Tinggitinggi Emerald Puteri Hotel, tinggi lagi harapan aku.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Be Sociable, Share!