Oleh Maskiah Masrom

Suara merdu neneknya beransur-ansur hilang. Neneknya seperti berdiri dalam kabus. Taming Sari duduk di birai katil. Dia tersenyum sambil mengusapi tapak tangannya. Terasa-rasa genggaman hangat tangan neneknya yang penuh kasih sayang. Dia sudah tidak hairan dengan kejadian itu. Hampir setiap malam sejak setahun lalu, neneknya menjelma dalam mimpi.

Biasanya, nenek akan menyanyikan puisi tradisional seperti seloka, gurindam, nazam dan endui. Neneknya juga akan menyampaikan cerita-cerita rakyat. Malam tadi, neneknya menceritakan kisah Singapura Dilanggar Todak. Dia berasa seperti mendapat semangat baharu untuk menjalani hidup setiap kali bermimpikan neneknya. Dia sedar hidup yang dilaluinya bukan hidup yang mudah.

Dia menjadi anak yatim semenjak dalam kandungan ibunya. Bapanya terbunuh dalam kemalangan. Ibunya pula meninggal dunia ketika melahirkannya. Neneklah yang menjaganya, dari usianya sehari dengan penuh kasih sayang. Dia diberi nama Taming Sari kerana neneknya meminati kisah-kisah penglipur lara.

Seingatnya, dia tidak pernah menyikat rambutnya sendiri kerana neneknya sentiasa ada untuk merapikannya. Dia tidak perlu melihat kereta di kiri dan di kanan jalan semasa menyeberang, kerana tangan neneknya sentiasa ada untuk memimpinnya. Dia juga tidak perlu bimbang tercekik semasa makan kerana jari-jari neneknya sentiasa siap siaga untuk membersihkan tulang ikan. Neneknya memang amat memanjakannya.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks