Oleh Zurinah Hassan

Setiap pagi sepupunya Hassan datang mengambil udang kering untuk dijual di Pekan Rabu. Setiap malam, Hassan pulang dari pekan menghulurkan beberapa keping duit syiling. Biasanya mereka mendapat beberapa keping duit syiling lima sen dan satu sen berwarna tembaga, berbentuk empat segi gambar King George VI.

Duit itu cukup untuk belanja mereka anak beranak. Emak sangat hati-hati apabila berbelanja. Setiap hari emak tidak lupa memasukkan satu sen ke dalam tin bulat dan menyimpannya baik-baik di atas almari. Bila Ayub diterima masuk ke Kolej Sultan Abdul Hamid, emak membuka tin untuk mengeluarkan wang secukupnya bagi membeli seluar, baju, buku dan keperluan yang lain. Tetapi sejak tahun lepas, mereka tidak lagi mendapat wang syiling berwarna tembaga itu. Duit syiling itu sudah tidak laku lagi. Ayub sedih apabila melihat emak menangis kerana syiling yang disimpannya hingga penuh tin tidak boleh digunakan lagi. Sekarang mereka terpaksa memakai duit Jepun iaitu duit kertas dengan gambar pokok kelapa.

Kalau dia berjalan jauh sedikit menyusur sungai, dia akan mendapat tangkapan yang lebih banyak. Tetapi emak dan ayah akan marah “Jangan kau berani sangat nak buat semua kerja. Takut kalau ditangkap Jepun.” Memang itulah yang didengarnya daripada ayah setiap kali dia hilang dari rumah. Biasanya, Ayub diam sahaja kerana dia tidak berani menjawab cakap ibu bapanya. Dia tahu adalah berdosa besar kalau bercakap kasar dengan ibu. Cuma kadang-kadang dia cuba menerangkan kepada ibu, “Jepun dah tak ramai lagi di Kedah ni mak. Sekarang ni Jepun dah menyerahkan Kedah kepada Siam. Siamlah yang memerintah kita sekarang.”

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks