Oleh Noriah Taslim

Makalah ini cuba mengesan dan menampilkan wajah dan sisi lain wanita yang jarang- jarang sekali ditemui di ruang dan lorong biasa yang dihuni atau dilaluinya. Kehadiran mereka walaupun amat nadir dan corot, namun kerana kelainan lagak dan penampilannya menjadikan mereka cukup hebat dan gah, mengejutkan malah kontroversial.

Dalam kelompok wanita yang sewarna, stereotaip, dan konvensional, kelainan mereka cukup menyegarkan dan memberikan inspirasi. Watak wanita yang dapat dianggap sebagai watak yang radikal, bukan sahaja kerana tindakan mereka yang terkeluar daripada kelumrahan adat, tetapi juga kerana sikap dan pendirian mereka yang tegar, tidak bertolak ansur hatta kontroversial, bukan sahaja untuk zamannya tetapi juga di luar zamannya.

Watak wanita pertama yang dimaksudkan itu ialah Nang Sida (atau Sita dalam Ramayana) dan cerita tentangnya terdapat dalam syair abad ke-19, Syair Nang Sida (atau Syair Raja Muda Perlis). Dalam Syair ini, Nang Sida bukan lagi tipa wanita unggul (seperti mana yang digambarkan dalam Ramayana) yang membenarkan hidupnya diumbang-ambingkan oleh hukuman lelaki, beralah dan menyerah kepada segala perencanaan hidup yang ditentukan oleh mereka.

Dalam syair ini, Nang Sida berdiri tinggi sebagai wanita yang perkasa, enggan lagi mengalah dan menyerah kepada kerenah lelaki/suaminya (yang berkali-kali menguji ketaatan dan kesuciannya), tegar dengan pendiriannya, malah tanpa belas kasihan menghukum suami yang menzaliminya. Syair ini sengaja memberikan fokus kepada keperihalan Nang Sida selepas dinyahkan (dihukum bunuh) oleh Rama. Walaupun fokus juga diberi kepada anak-anak Rama, namun perwatakan mereka menjadi tipis, berbanding pewarnaan yang diberi kepada perawakan Nang Sida.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks