Kehadiran kelompok penulis mewakili zamannya, dan mencerminkan pemikiran serta gagasan pegangan mereka. Penulisan mereka menggambarkan hubungan intelektualisme dan latar belakang pemikiran mereka, yang berkait rapat dengan sejarah yang berlaku pada zaman mereka merakamkan penulisan mereka. Lantaran itu banyak pengkaji sejarah menjadikan penulisan karya kreatif sebagai landasan rujukan kasar sejarah yang memperlihatkan berlakunya perubahan sosial masyarakat.

Pada zaman sebelum merdeka misalnya, pengarang terbabit dalam penulisan memperjuangkan politik nasionalisme. Kebanyakan mereka dalam kalangan guru, dan kebanyakan mereka guru berpendidikan Islam. Hashim Ismail, pengkaji sastera tanah air dalam bukunya berjudul, Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda, berjaya membuktikan wujudnya kecenderungan beberapa pengarang untuk menyatakan pemikiran mereka dari segi ideologi. Dapatan beliau ini berdasarkan penelitiannya terhadap novel-novel awal Melayu.

Misalnya, kemunculan pemikiran Kaum Muda yang bermula di Timur Tengah adalah urutan daripada hubungan ideologi yang diasaskan oleh gerakan islah Jamaluddin al-Afghani, Muhammmad Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha di Mesir. Hal ini menyebabkan karya pada zaman sebelum perang itu menekankan aspek mengembalikan keagungan Islam dengan menolak penguasaan penjajah, reformasi sistem pendidikan untuk mengembalikan keagungan Islam.

Demikianlah zaman berganti zaman, dan setiap perubahan zaman itu dituruti juga oleh perubahan idea dan pemikiran, biarpun masing-masing masih meneruskan bentuk atau jenis sastera yang sama, iaitu puisi, cerpen, novel dan drama. Pada zaman ledakan teknologi maklumat, senario perkembangan sastera turut berubah. Pengarang bukan lagi hadir daripada kelompok guru atau yang mantap dalam acuan kesusasteraannya, tetapi munculnya kelompok pengarang di luar bidang sastera. Mereka yang tidak ada latar belakang sastera, sama ada dari segi pendidikan ataupun bakat, juga semakin banyak menjebakkan diri mereka dalam bidang penulisan kreatif. Lebih memberangsangkan lagi, mereka daripada golongan profesional dan ada yang mendapat pendidikan lanjutan di luar negara.

Adakah kehadiran mereka mencabar keselesaan penulis yang dalam acuan sastera atau adakah kehadiran mereka ini menyerikan lagi persada sastera tanah air? Jika kejayaan seseorang pengarang itu diukur dari segi penerimaan anugerah atau kemenangan sayembara, beberapa nama dalam kelompok penulis bukan bidang sastera ini telah pun menikmati penghargaan itu. Tidak perlu kita membeza-bezakan antara satu sama lain, seperti “antah berkumpul antah, beras bersama-sama beras”, kerana masing-masing mempunyai kehebatan yang tersendiri; mereka tidaklah seperti “banyak tukang di mata dan di mulut, sedikit tukang di tangan” – pandai berkata-kata sahaja tetapi tidak pandai mengerjakan. Di kesempatan ini sidang editor Dewan Sastera ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia.

-Rozninah Abd. Azib

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks